Bab 2: Hati Yang Galau

“Bagaimana El? Sudah buat keputusan untuk bersama-sama dengan abang?” tanya Runi Naqiu sambil memandang telus ke wajah Ellis Elliza ketika mereka mengadakan temujanji untuk makan tengah hari pada hari itu.

Ellis Elliza membisu sejuta bahasa sambil menguis-nguis Claypot Beriyani Ayam di dalam pinggannya. Entah kenapa selera makannya terputus terus. Dia tidak dapat mencernakan sebarang jawapan yang dipinta oleh Runi Naqiu. Matanya pula asyik memandang pada claypot Beriyani Ayam dari menatap wajah Runi Naqiu.

“El, abang tanya ni. El dah buat keputusan ke?” Sekali lagi Runi Naqiu bertanya ketika melihat Ellis Elliza seakan-akan tidak memberi perhatian kepadanya.

Ellis Elliza masih lagi belum mahu memandang wajah Runi Naqiu ketika ini. Hanya dengusan nafas sahaja yang bisa didengar. Susahnya untuk memberi sebuah keputusan. Boleh putus nafas aku dibuatnya dengan desakan demi desakan. Ya ALLAH, Kau berikanlah aku kekuatan agar aku mampu menangani masalah yang aku cipta sendiri. Ellis Elliza bertafakur seketika di dalam hati.

“El, pandang wajah abang. Pandang dalam-dalam.” Runi Naqiu ingin membawa dagu Ellis Elliza memandang wajahnya tetapi cepat-cepat wanita itu menepis lembut. Dia masih lagi seorang isteri. Tidak manis jika ada lelaki lain menyentuh mana-mana bahagian pada dirinya. Ellis Elliza terpaksa mengalah dengan kehendak Runi Naqiu lalu wajah lelaki itu dipandangnya dalam-dalam.

“Cuba El lihat ke dalam mata abang. Siapa yang ada di dalam mata abang?” Runi Naqiu merenung Ellis Elliza sebelum menyambung kembali bicara manisnya.

“Itulah wanita yang sangat abang cintai. Tolong El, jangan hampakan abang. Tinggalkan kenangan El bersama suami El. Tinggalkan semuanya dan datang pada abang. Inilah impian abang sejak abang kenali El. Bolehkan? Lagipun, abang dah buktikan cinta abang dengan meminta El daripada suami El. Apa lagi yang El ragu?” Runi Naqiu masih tidak mahu mengalah dengan kedegilan Ellis Elliza. Baru sahaja ayatnya hendak menjadi, tiba-tiba kedengaran suara seekor burung yang menandakan ada mesej masuk dari mana-mana application di dalam talian telefon pintarnya.

Hishhh... masa ni jugalah ada yang nak Whatsapp aku. Tak boleh tunggu ke sampai ayat kasih aku menjadi? Sikit aje lagi dia dah nak cair dengan aku. Runi Naqiu mendengus kasar tetapi tidak pula dipadamkan telefon pintarnya itu. Cepat sahaja matanya membuka mesej yang diterima melalui Whatsapp.

“Siapa yang Whatsapp abang?” Suara Ellis Elliza kembali bergema setelah menyimpannya untuk beberapa ketika. Keruh sahaja wajah itu di hadapan Runi Naqiu.

Terangkat kening Runi Naqiu memandang Ellis Elliza. Segaris senyuman terukir di persada bibirnya. Dia amat suka melihat riak wajah Ellis Elliza begitu kerana dia yakin wanita itu sedang dilanda cemburu.

“Kenapa? El cemburu?” duga Runi Naqiu.

Kali ini giliran Ellis Elliza pula menayang segaris senyuman menyindir. “Banyaknya stok wanita simpanan abang. Kali ni edisi yang mana satu? Dasar buaya darat!” Ternyata Ellis Elliza tidak dapat menahan rasa cemburunya pada Runi Naqiu yang seakan-akan mengejeknya dengan tayangan senyuman perdana edisi khas lelaki itu. Huh!

“Edisi apa pula ni? El sayang.. abang tak ada apa-apa hubungan dengan mana-mana perempuan. Mereka hanya kawan maya. Ya, abang akui memang ramai yang memburu abang. Maklumlah, abang El ni kan, sweet... But i love you, only you. Percayalah.” Runi Naqiu meyakinkan Ellis Elliza sambil tersenyum menatap wajah masam Ellis Elliza.

"El... cemburu tu tandanya sayang." Runi Naqiu terus mengembangkan senyumannya melihat tahap cemburu Ellis Elliza semakin membara dan dia sememangnya suka menambah bara yang sedang marak naik.

Tangannya pantas sahaja menaip mesej di dalam telefon pintar buat Nur Syarida. ‘Catch you later, Honey. Quit busy right now.’ Kemudian, dia cepat-cepat menekan butang ‘send’ sebelum mengalih perhatian buat Ellis Elliza semula.

"Sudahlah... El makan dulu, nanti sejuk tak sedap. El makan sampai habis. Abang suka tengok El makan," Runi Naqiu tersenyum memandang Ellis Elliza.

Ellis Elliza membalas senyuman Runi Naqiu sambil mula menjamah nasi di hadapannya.

"Nak abang suap?" Runi Naqiu berkata lembut menggoda hati Ellis Elliza.

"Tak nak. Nanti orang tengok," Ellis Elliza menolak. Namun Runi Naqiu sudah pun menyudu nasi di dalam pinggannya.

"El rasa nasi abang ni, sedap," Sudu di tangan Runi Naqiu sudah pun berada dekat dengan mulut Ellis Elliza. Mahu tak mahu Ellis Elliza membuka mulutnya.

"Sedap tak?" Tanya Runi Naqiu tak lekang dengan senyuman.

Ellis Elliza mengangguk. "Abang, El tak boleh lama. El ada temujanji dengan klien 2 petang ni." Ellis Elliza memandang Runi Naqiu.

"Emmm.. kalau macam tu makan cepat. Habiskan makanan tu dulu." Runi Naqiu Sedikit hampa. Bukan senang hendak jumpa Ellis Elliza. Selesai makan Ellis Elliza membayar bil mereka berdua.

"Abang, El pergi dulu ya." Ellis Elliza meminta izin.

"Pergilah. Drive carefully sayang. Sampai, call abang ya. Jangan buat abang risau," Runi Naqiu berpesan kepada Ellis Elliza. Keperihatinan Runi Naqiu mencairkan hati Ellis Elliza yang sememangnya sedia cair.

"Baik, abang. Nanti El call abang," Ellis Elliza memberikan senyuman. Rasa berat pula hendak meninggalkan Runi Naqiu. Ada rasa hiba di hati Ellis Elliza mengenangkan hubungan mereka. Hampir menitis air matanya.

"El, tak mahu nangis. Tiap kali nak tinggalkan abang mesti El menangis. El.. ingat ya, abang selalu ada untuk El." Runi Naqiu berkata lembut. Kasihnya pada Ellis Elliza semakin bertambah tiap kali melihat wanita itu menitiskan air mata.

"El pergi dulu, abang," Ellis Elliza cuba tersenyum. Gugur jua setitis air matanya. Ellis Elliza bergerak pergi meninggalkan Runi Naqiu setelah memboloskan diri di dalam kereta Gen2 milik peribadi wanita itu.

Runi Naqiu menarik nafas panjang. Setelah kelibat Ellis Elliza hilang dari pandangan, Runi Naqiu membelek telefon pintarnya lalu masuk ke laman sosial facebook dan penjelajahan matanya terhenti pada mesej yang masih belum dibalas oleh Rabiatul Syafiqah.

“Huh! Liat juga minah ni nak balas mesej aku tapi jangan bimbang, aku perlu bersabar sedikit waktu lagi, pasti dia akan balas mesej aku. Ini Runi, tiada wanita yang tidak tersungkur dalam genggaman aku.” Begitu riak Runi Naqiu membanggakan dirinya sendiri.

-----------------------------------------------------------------------------

“Huh! Menyampah betul. Baru aku nak menggoda, dia dah potong moodaku!” Nur Syarida menghempas helaan nafas yang cukup kasar. Dia tidak boleh menerima bahawa Runi Naqiu tidak mahu berbalas mesej dengannya di Whatsapp. Runi Naqiu yang dikenali, tidak pernah tidak mahu membalas mesejnya.

“Kenapa ya dia mengelak dari membalas mesej aku? Entah-entah ada perempuan lain, sebab itulah berat sangat nak balas mesej aku. Sibuk konon, ingat aku nak percaya ke?” Nur Syarida dilanda taufan cemburu yang cukup kencang. Nafasnya turun naik turun naik. Mulut comelnya pula asyik membebel sahaja.

“Kau ni kenapa, cakap sorang-sorang? Dah buang tabiat atau ada skru yang longgar? Nak aku bawa kau jumpa mekanik? Ketatkan balik skru kau yang longgar tu.” Nazira yang baru habis berbincang dengan kliennya terus menegur Nur Syarida yang kelihatan lain dari kebiasaannya.

Hanya jelingan maut yang diberikan oleh Nur Syarida buat Nazira. Hati aku tengah panas ni, dia boleh buat loyar buruk yang tak laku pula. Sekali aku bagi sedas bom mulut aku yang berbisa, mau menangis tujuh hari tujuh malam. Nur Syarida malas mahu melayani bicara Nazira. Wajahnya kelat. Masam mencuka.

“Kata orang, tak baik tau tunjuk muka kelat macam tu. Cepat nampak tua. Kau ada masalah apa sebenarnya sampai tayang wajah cemberut macam tu sekali?” Nazira masih belum berputus asa untuk memancing suara Nur Syarida yang tiba-tiba sudah menjadi suara berlian pula. Namun segala usaha Nazira masih belum menampakkan hasil apabila Nur Syarida masih lagi belum ikhlas ingin beradu suara dengannya.

“Haa ... jangan cakap si jejaka maya tu yang buat kau jadi macam ni? Itulah, dah berapa kali aku pesan jangan main dengan api tapi kau degil. Tengok sekarang, dia dah memporak-perandakan kedamaian hati kau.” Nazira masih mencuba lagi. Tidak betah pula jika tidak mendengar suara Nur Syarida.

“Kau diam boleh tak? Sakit telinga aku dengar suara kau membebel macam nenek kebayan.” Nur Syarida tiba-tiba bersuara dengan menembak sedas peluru kata-kata berbisanya.

Tersentak Nazira. Sedikit berkecil hati dengan tembakan kata-kata teman sekerjanya itu.

“Assalamualaikum Syar?” tiba-tiba ada suara yang menegur mereka dari belakang membuatkan Nur Syarida tersentak manakala Nazira pula membulatkan matanya memandang pada jejaka yang agak tampan walaupun berkaca mata.

Siapa pula ni? Handsomenya. Kalau inilah jodoh aku, pasti aku tak tolak. Gila nak tolak lelaki setampan ni. Nazira cuba memaniskan wajahnya serta menambah gula di dalam senyumannya agar si jejaka mampu terpikat pada dirinya.

“Eh abang, bila sampai? Nak ajak lunch ke? Jom.” Secepat kilat Nur Syarida bangun dari kerusinya dari terus bermalas-malasan seperti tadi. Secara automatik, wajahnya yang kelat tadi bertukar menjadi ceria. Kini dia berpaling pada Nazira yang masih kelihatan terpinga-pinga dengan perubahan moodnya. Ah, lantaklah apa yang Nazira hendak fikir, dia sudah tidak peduli lagi.

“Dah masuk waktu lunchkan? Aku pergi dulu ya?” Nur Syarida masih lagi mengekalkan riak wajah riang rianya.

“Eh, siapa dia tu? Handsome betul.” Nazira masih lagi melirik ke arah jejaka berkaca mata yang sememangnya tampan dengan kulit putih kuning langsat, hmm memang cita rasa dia.

“Oh, dia abang aku. Pergi dulu.” Cepat-cepat Nur Syarida menarik baju jejaka itu supaya mereka boleh keluar dari bangunan Excellent Travel secepat yang mungkin.

Berkerut dahi Nazira untuk beberapa ketika. “Abang? Syar ada abang ke? Tak pernah pun aku tahu sebelum ni. Bukankah Syar dua beradik perempuan saja di dalam keluarganya?” Nazira masih lagi berteka-teki sendirian sebelum deringan telefon bimbitnya memecahkan lamunannya beberapa minit tadi. Nazira terus melirik ke arah si pemanggil sebelum segaris senyuman dilebarkan.

“Assalamualaikum Roz. Ada berita baik ke kau telefon aku?” tanya Nazira sebaik sahaja melihat nama Rozlina tertera di skrin telefon bimbitnya. Rozlina merupakan sahabat baiknya semasa di universiti dan kekal sehingga sekarang.

“Waalaikumussalam. Tentulah ada berita baik. Aku dengar novelis pujaan kau akan turun padang Ahad ni. Jom pergi nak? Aku dah lama nak jumpa dengan dialah.” Ajak Rozlina menceriakan Nazira yang agak pusing sebentar tadi dengan fakta ‘abang’ Nur Syarida.

“Maksud kau, Fadhila Imani ke yang akan datang sini?” tanya Nazira yang sememangnya teruja. Fadhila Imani merupakan penulis komedi romantik yang sangat digilainya. Nasib baiklah Fadhila Imani itu perempuan, kalau lelaki sudah lama dipikatnya. Muehehe ... gurau aje.

“Siapa lagi novelis kegemaran kita. Fadhila Imanilah. Jangan kau buat-buat sibuk pula hari Ahad ni.” Rozlina berpesan lagi.

“Taklah. Aku mesti luangkan masa demi Fadhila Imani. Asyik chat dalam FB aje, sekali-sekala nak juga bertemu muka, kan? Kau datang dengan siapa?” tanya Nazira lagi yang sememangnya hantu novel.

“Aku nak angkut sepupu aku yang liat bersosial tu. Sekali-sekala dia kena juga bertemu dengan ramai orang, asyik terperap aje di rumah. Okeylah, aku datang ambik kau nanti. Assalamulaikum.” Rozlina terus mematikan talian menandakan perbualan mereka sudah tamat di situ.

“Waalaikumussalam.” Hati Nazira kembali berbunga girang apabila membayangkan novelis kegemaran ramai si Fadhila Imani akan mempromosikan novel terbarunya di tempat mereka.

-------------------------------------------------------------------------------

“Eh, kau tak balas lagi ya mesej si Runi?” tanya Rozlina ketika bertandang ke rumah sepupunya Rabiatul Syafiqah.

Rabiatul Syafiqah memandang Rozlina dengan perasaan yang amat malas sekali. Perlukah dia membalas mesej Runi Naqiu sedangkan buat masa ini dia memang tiada hati hendak membalas mesej sesiapa. Orang kata belum ikhlas lagi hendak menghulurkan sebarang tali perkenalan.

“Apa? Belum balas lagi mesej Runi?” tanya Mak Nana Vougue dan Fatin Vavavoom serentak.

Tu dia, kalau Mak Nana Vougue dan Kak Fatin Vavavoom bergabung tenaga, sekejap lagi pasti dia akan terkena lahar bicara mereka yang cukup ummph. Tak percaya, lihat sendiri. Rabiatul Syafiqah sudah menayang wajah jengkel.

“Hei ... kau ni memang tak reti bersosiallah Atul. Patutlah umur nak menginjak ke senja pun masih belum bertemu jodoh. Nak kata tak mandi bunga, dah mandi. Nak kata tak pergi berubat, tu pun dah pergi. Apa lagi yang tak kena dengan kau ni, Atul. Liat betul jodoh kau.”

Kak Fatin Vavavoom kalau sudah bersuara, bukan ingat apa dah. Sedap mulut dia sahaja hendak mengebom orang. Paling kuat pun, suka sangat mem’bahan’kan orang. Lebih-lebih lagi kalau aku yang jadi bahannya. Suka sangatlah. Rabiatul Syafiqah masih menayang wajah tiada perasaan sambil menonton rancangan kartun Tom & Jerry. Sudah lama dia tidak menonton rancangan kegemarannya itu.

“Apa yang tak liatnya kalau sikap dia macam tu. Orang hulur salam perkenalan bukannya nak sambut. Balas sajalah, bukan nak suruh kahwin pun. Kenal-kenallah dulu apa salahnya. Tak reti nak rebut peluang.” Mak Nana Vougue menghabiskan sulaman terakhirnya yang berada di tangan kini.

Tu dia mak aku pula dah bersambung. Kan dah cakap tadi, pasti seronok kalau aku yang jadi bahan mulut mereka. Mak aku ni pun satu, suka sangat suruh aku berkenalan dengan entah apa-apa orang. Dah hati tak berkenan, macam mana nak sambut salam perkenalan. Wei, aku tak sukalah. Semua tu auta saja lebih. Mereka tak ikhlas. Kenapalah berat sangat hati aku nak balas mesej si Runi walaupun dah banyak kali dia mencuba nasib hantar mesej pada aku. Tak putus asa pula tu. Hmm ... akan dipertimbangkan. Rabiatul Syafiqah hanya membalas setiap layangan jarum peniti dari mulut berbisa mereka di dalam hati sahaja.

“Runi tu ikhlas nak kenal dengan kau. Baik orangnya. Kenal-kenallah dulu. Sebelum kenal kau dah reject macam mana kau nak bertemu jodoh?” Rozlina memandang telus wajah Rabiatul Syafiqah. Entah apa kriteria jejaka idaman hati sepupunya yang seorang ini.

“Kau sajalah berkenalan dengan dia. Kenapa nak pass kat aku pula?” tanya Rabiatul Syafiqah sedikit jengkel dengan sikap sepupunya itu walaupun dia tahu niat baik Rozlina.

“Aku dah kenal dengan dia tu cuma mungkin kami tak serasi. Bukan nak pass, cuma apa salahnya kalau kau berkenalan dengan dia. Mungkin kau orang lebih serasi siapa tahu, kan? Cubalah dulu. Tak cuba mana kau tahu?” Aku bukan pilihan hati dia, Atul. Mungkin aku tak secantik kau. Orang pandang aku sekali, takkan pandang aku buat kali yang kedua. Tapi kalau kau, pasti orang nak pandang beberapa kali walaupun usia kau dah lanjut. Rintih hati Rozlina. Mungkin Rozlina mempunyai pengalaman yang cukup pahit dengan Runi Naqiu. Dia seakan dilanda taufan kecewa yang tidak bisa untuk diubati lagi.

“Haa .. betul tu betul. Kalau nak tahu serasi atau tidak, kau kena layan dia. Tengok macam aku, vavavoomsentiasa kelas dengan sesiapa saja yang aku jumpa. Layan baik-baik sikit. Jangan buat endah tak endah aje. Agaknya kau ni terkena renjatan kilat kot Atul sebab tulah otak kau macam biul aje? Hmm ...” Fatin Vavavoom membuat spekulasi sendiri.

Amboi mulut Kak Fatin ni ... boleh tahan puakanya. Kan aku dah cakap tadi, kalau membahankan aku, memang serahlah kat dia. Cukup suka. Huh! Rabiatul Syafiqah tidak senang dengan bicara Fatin Vavavoom.

“Amboi mulut kau Fatin, lancarkan serangan gerilla ke? Tu anak aku yang kau bahankan. Elok-elok sikit. Ikut sedap mulut aje nak kata anak orang. Hah, kau Atul. Jangan lupa balas mesej si Runi tu. Kena cuba. Jom Fatin teman aku pergi kedai bawah sekejap.” Mak Nana Vougue terus menarik tangan Fatin Vavavoom untuk pergi dari situ.

“Ahad ni aku nak ajak kau ke Majlis Perlancaran Novel Terbaru Fadhila Imani. Jangan banyak alasan ya cik. Aku balik dulu. Dan ... jangan lupa balas mesej Runi tu. Dah lama dia tunggu kau.” Sengaja Rozlina meleretkan bicaranya agar Rabiatul Syafiqah tergoda.

Rabiatul Syafiqah hanya mencebik sahaja sesudah mendapat nasihat yang sangat baik daripada Rozlina ketika bersalaman dengannya.

Hmm, tengoklah kalau aku betul-betul ikhlas nak berkenalan dengan Runi. Itu pula kata hati Rabiatul Syafiqah.

Previous:

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.