Assalamualaikum sayang. Abang ada berita yang
abang nak beritahu sayang. Runi Naqiu mula memancing Ellis Elliza di laman
whatsapp.
Berita
apa tu abang? Tanya Ellis Elliza ketika dia berehat sekejap dari terus tekun
menghadap komputer grafiknya.
Abang dah block Dhila. Bukankah itu berita
yang sangat gembira? Orang yang menyakiti El adalah orang yang menyakiti abang
juga. Jadi, abang tak nak simpan orang yang tak guna macam Dhila. Are you
happy? Runi Naqiu membentangkan ayat-ayat maya yang penuh dengan bunga-bunga
kasih sehingga Ellis Elliza rasa cukup terharu.
Betul ke apa yang abang cakap ni? Ellis Elliza inginkan
kepastian.
Ya. Untuk El, abang sanggup lakukan apa saja.Tekan Runi Naqiu.
Tapi sebenarnya abang tak perlu buat macam tu.
Kesian Dhila. Cukup abang beri amaran saja. Apapun dia tetap kawan El. Tiba-tiba rasa
simpati singgah di hati Ellis Elliza dengan apa yang Runi Naqiu telah lakukan.
Apa yang abang buat untuk membuktikan yang
abang sangat cintakan El. El sepatutnya menghargai abang dan bukannya
mempertikaikan abang seperti ini. Runi Naqiu agak berkecil hati dengan Ellis
Elliza.
Maaf abang. El tak sengaja. Ellis Elliza dapat
membaca apa yang Runi Naqiu rasakan pada kala itu.
Lets celebrate. Please? Itu sebenarnya tujuan
Runi Naqiu yang ingin bertemu dengan Ellis Elliza.
Okey. Di mana? Ellis Elliza sudah
terpancing dengan kata-kata Runi Naqiu.
Warung Beriani gam.
Bila?
Esok. Lepas Zohor.
Okey. Jumpa di sana. Janji Ellis Elliza
membuatkan sengihan Runi Naqiu melebar.
----------------------------------------------------------------------------------------
Faridadli
menumbuk meja ketika berada di pejabat. Dia masih sakit hati dengan apa yang
berlaku pada Nur Syarida. Dia tidak boleh terima perlakuan Runi Naqiu yang
hampir meragut kesucian Nur Syarida. Nasib baik dia tidak mengambil tindakan
mendadak dengan memutuskan pertunangan mereka. Nasib baik juga dia berprasangka
baik terhadap Nur Syarida. Andainya dia berprasangka buruk ... hmm ... dia
sendiri tidak tahu apa akan jadi terhadap perhubungan mereka yang bakal ke
gerbang perkahwinan beberapa bulan sahaja lagi. Faridadli mengucap panjang.
“Aku
masih tak puas hati terhadap lelaki keparat tu. Aku yakin dia pasti mengamalkan
ilmu songsang. Islam hanya pada nama.” Hati Faridadli berdetak hebat di kala
itu.
“Astagfirullahalazim.
Tak baik menuduh tapi ....” Faridadli meraup wajahnya beberapa kali.
“Kenapa
hati aku kuat menyatakan si keparat tu menggunakan ilmu yang tidak betul. Aku
harus mencari kenyataannya. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan. Entah berapa
ramai lagi wanita maya yang menjadi mangsa. Ya ALLAH, Kau lindungilah mereka
dari menjadi mangsa si keparat ini.” Faridadli berdoa panjang sebelum dia
membuat panggilan kepada seseorang.
“Helo.”
“Helo
bos.”
Mendengar
sahaja panggilannya berjawab, Faridadli mengulum senyuman. Misinya pasti akan
berjaya. Dan dia juga berjanji akan melindungi Nur Syarida dari sebarang mala
petaka sehingga mereka diijabkabul kelak.
------------------------------------------------------------------------------------------
Nur
Syarida berkurung di dalam bilik sewanya sepanjang hari itu. Dia juga meminta
cuti kecemasan daripada ketuanya. Dia masih tidak berdaya lagi untuk ke pejabat
dalam keadaan begitu. Air matanya pula bagaikan air paip yang rosak tidak
berhenti-henti mengalir. Dia menyesali dengan apa yang terjadi. Dia menyesali
membenarkan perkenalannya dengan Runi Naqiu berkembang sebagai sahabat. Dia
tidak menyangka sama sekali bahawa Runi Naqiu yang bermulut manis rupanya setan
bertopeng dan juga makhluk perosak. Astagfirullahazim. Nur Syarida mengucap
panjang berkali-kali.
“Ya
ALLAH, ampunilah aku. Mungkin inilah balasan-MU kerana aku menduakan Farid
walau hanya di alam maya. Hobi aku tidak boleh diteruskan. Hobi aku amat bahaya
sebagaimana yang dikatakan Farid.” Nur Syarida mengesatkan air matanya.
“Ya.
Ia umpama virus yang merebak dan berjangkit sehingga mampu memusnahkan sel-sel
baik yang ada pada kita. Astagfirullahalazim. Aku hampir menjadi mangsa lelaki
maya. Ya ALLAH, sesungguhnya aku tak dapat terima apa yang telah berlaku. Aku
menyesal Ya ALLAH. Aku berdosa pada tunang aku.” Nur Syarida menyembankan
wajahnya ke bantal lalu tersedu lagi.
“Andainya
Farid tak datang pada waktu tu, sudah pasti aku akan jadi makanan jamahannya.
Astagfirullahalazim. Bagaimana aku boleh terpedaya dengan perosak maya itu?
Ilmu apa yang dia guna sehingga aku terpesona. Ya ALLAH, aku bersyukur Kau
telah selamatkan aku dari menjadi mangsanya.” Nur Syarida teringat kembali
bagaimana dia boleh menyerah diri tanpa sedar pada Runi Naqiu.
Semuanya
bermula apabila Runi Naqiu melemparkan senyuman padanya. Kemudian, tatkala dia
merenungi mata Runi Naqiu ala-ala kuyu itu, nah ... itulah detik permulaan dia
tidak sedar apa sehingga perosak maya itu mampu menyentuh tangannya. Mampu
menari-narikan jemarinya ke atas Nur Syarida sehingga wanita itu hanya merelakan.
Nasib baik bibir mereka tidak bertaut. Jika tidak, rasa bersalah ini terhadap
Faridadli akan berkurung selamanya. Syukur Ya ALLAH.
“Mujurlah
Farid datang tepat pada waktunya. Kalau tak, aku pasti layu sebelum sampai
masanya. Aku tak dapat bayangkan jika itu yang berlaku. Bahaya si perosak maya
ini. Kerana dia, aku dah jadi fobia dengan semua jantan-jantan maya. Bukan
semua orang ikhlas terhadap kita.” Nur Syarida mengeluarkan telefon pintarnya
lalu mencari nama Runi Naqiu dan terus disekatkan. Nur Syarida tidak mahu ada apa-apa perhubungan dengan Runi Naqiu
hatta sebagai sahabat sekalipun. Dia tidak sanggup. Dia takut akan terpedaya
dan terpesona lagi dengan bicara manis bermaut Runi Naqiu. Cukuplah hanya
sekali dia terkena.
Nur
Syarida juga pasti Runi Naqiu mengamalkan ilmu yang boleh menundukkan wanita
sama ada menerusi tulisannya, suaranya dan yang paling bahaya menerusi matanya.
Boleh membuat semua wanita jatuh ke dalam perangkap asmaranya yang bukan datang
dari ALLAH tetapi dari SYAITAN. Nur Syarida beristighfar lagi.
Nasib
baik juga Faridadli membawanya berjumpa dengan ustazah yang berilmu tinggi
sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Ustazah itu menyatakan bahawa ada makhluk hitam
yang ingin mendampinginya. Nasib baik dia cepat dibawa berubat, jika tidak,
pasti dia akan menjadi mangsa yang dia sendiri tidak relai. Nauzubillah min
zalik. Nur Syarida tidak tahu bagaimana dia ingin mengucapkan terima kasih pada
Faridadli yang sebaik-baik lelaki yang pernah dikurniakan kepadanya. Kini
barulah Nur Syarida tahu bersyukur dengan kurniaan ALLAH. Nur Syarida berjanji
pada dirinya sendiri bahawa dia tidak akan bermaya lagi. Tidak akan sesekali.
Cukuplah dengan apa yang terjadi.
----------------------------------------------------------------------------------------------
Nazira
ketawa dengan sesungguh hati dengan lawak maharaja lawak mega yang
dipersembahkan oleh Runi Naqiu di facebooknya.
Nazira cukup terhibur setiap kali berchatting
dengan Runi Naqiu. Hilang segala masalahnya.
Ira, bila nak jumpa Runi? Takkan tak sudi? Ayat Runi Naqiu
sebagaimana biasa.
Runi turunlah ke KL, boleh kita jumpa. Nazira tidak ada
halangan untuk berjumpa dengan Runi Naqiu. Makin lama makin dia merindui jejaka
itu. Kerana rindulah yang mendesak dirinya untuk bertemu dengan Runi Naqiu
walaupun rasa malu masih tebal menghuni di dalam dirinya.
Apa kata Ira turun ke Kulai? Sekali-sekala
kena juga makan angin. Boleh tengok negeri orang. Tak gitu?
Jauhlah. Ira tak ada sahabat mahupun saudara
di situ. Adu Nazira membuatkan Runi Naqiu melebarkan sengihan.
“Ini
sudah bagus. Apa yang bakal berlaku tiada siapa yang tahu. Aku kena cuba
dapatkan kepercayaan si Nazira ni. Peluang keemasan.” Runi Naqiu ketawa jahat.
Runikan ada. Takkan Ira tak percayakan Runi?
Tolong percayakan Runi. Kitakan sahabat. Ini permintaan sahabat Ira. Please? Runi Naqiu memasukkan
jarum kasihnya secara halus untuk mencengkam sekeping hati Nazira.
Nazira
merenungi skrin komputer ribanya. “Hmm .... macam mana ni? Aku nak turun ke?
Boleh juga. Sekali-sekala boleh bercuti sekali di Johor. Boleh ajak Runi teman
aku ke Legoland. Cun.” Nazira membuat rancangan secara spontan.
Boleh temankan Ira ke Legoland tak? Nazira menunggu
jawapan daripada Runi Naqiu.
Ira, belanja ke? Kalau Ira belanja, anytime. Pancing Runi Naqiu
lagi.
Ira yang ajak, Ira belanjalah. Runi jangan
risaulah. Ira masih ada budget. Boleh? Begitu mudah Nazira
memberi sumbangan kepada Runi Naqiu.
“Ini
sudah bagus. Bolehlah aku berjimba-jimba di sana. Tentang dia .... ah, aku
peduli apa. Aku tahulah bagaimana nak jawab nanti.” Runi Naqiu sudah memasang
angan-angan berdua-duaan dengan Nazira.
Okey intan, boleh. Nanti bila Iradah planning
nak datang, just inform me. Runi Naqiu dengan senang hati membuat janji.
Okey. Terima kasih. Ira nak keluar dulu. Nak
solat. Assalamualaikum.
Waalaikumussalam.
Begitulah
tamatnya perbualan Nazira dengan Runi Naqiu yang membuatkan hati jejaka maya
itu berkembang sakan kerana mangsa seterusnya sudah rela menyerah diri tanpa
dipaksa. Kuasa cinta maya boleh dibeli dengan murah. Mudah ... Mudah ... Runi
Naqiu ketawa lagi.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Ellis
Elliza datang menemui Runi Naqiu sebagaimana yang telah mereka janjikan. Namun,
hati Ellis Elliza membengkak apabila melihat Runi Naqiu begitu leka bermaya
tanpa menyedari kehadirannya.
“Ish,
suruh aku datang tapi dia leka bermaya. Sakit hati betul aku tengok.” Ellis
Elliza berjalan pantas menuju ke arah Runi Naqiu yang sedang molek duduk
bersantai dengan minumannya. Bibir Runi Naqiu pula tidak sudah-sudah menguntum
senyuman. Entah dengan siapalah yang dia berbual di maya tu.
Ellis
Elliza terus merampas telefon pintar kepunyaan Runi Naqiu lalu melihat dengan
siapa si jejaka maya itu sedang berbual. Terkejut Runi Naqiu melihat perlakuan
Ellis Elliza yang diluar jangkaan. Terkebil-kebil matanya memandang wanita
kacukan pan-asian itu.
“El.”
Barulah suara Runi Naqiu mampu dikeluarkan dari peti suaranya.
“Leka
sangat. Dengan siapa abang bermaya? Janji dengan El tapi berdating sampai tak sedar El dah datang.”
Ellis Elliza melihat mesej-mesej Runi Naqiu di medan maya. Rabiatul Syafiqah
yang sedang diayatnya. Namun, perhatian Ellis Elliza tidak kisah sangat dengan
wanita itu kerana tiada yang menarik selain perbualan biasa.
Tetapi
apabila mata Ellis Elliza tertancap pada satu gambar wanita maya Runi Naqiu
yang hanya berpakaian mandi tidak cukup kain, hatinya kembali membara dan tidak
dapat ditahan-tahan lagi.
“Ni
gambar apa ni? Abang yang minta, kan? Perempuan ni pun tak tahu malu ke? Elok
bogel aje!" Ellis Elliza terus melempar telefon pintar itu ke dada Runi
Naqiu.
Nasib
baik Runi Naqiu sempat menyambut telefon pintarnya. Jika tidak, pasti akan
berderai. Runi Naqiu memandang dalam anak mata Ellis Elliza.
"Sampai
hati El lempar telefon abang. Abang tahulah, pada El telefon ni tak bernilai.
Bila-bila El boleh dapat. Bukan abang yang minta gambar tu tapi dia yang bagi.
Orang bagi, terima ajelah.” Runi Naqiu membela dirinya.
“Habis
tu, yang abang sebarkan gambar dia pada kawan-kawan abang buat apa? Untuk jadi
bahan ketawa? Hah? Malulah sikit. Jaga kehormatan orang sama. Abang nak tunjuk
kat perempuan lain yang abang tu ramai yang nak, sampai dia orang tu sanggup bagi
gambar tak cukup kain kat abang?" Ellis Elliza terus melenting sakan.
“Abang
minta maaf. Maaf sayang. Abang janji takkan buat lagi.” Runi Naqiu melunakkan
suaranya agar Ellis Elliza termakan dengan pujukannya.
Ellis
Elliza mengucap panjang sambil memegang dadanya. Kemudian, barulah Ellis Elliza
mampu menatap wajah Runi Naqiu semula. “El minta maaf. Bukan El sengaja nak
lempar telefon tu tapi hati El sakit melihat gambar perempuan tu. Padam lepas
ni. Tahu?” Ellis Elliza meminta Runi Naqiu membuangkan gambar wanita yang
berpakaian mandi itu.
Runi
Naqiu mengangguk. “Ya sayang. Abang akan lakukan apa yang El mahu. Sekejap ya.”
Runi Naqiu ke belakang warung itu dan seketika kemudian dia kembali sambil
membawa sejambak mawar merah.
Mata
Ellis Elliza terkebil-kebil melihat jambakan mawar merah yang dihulurkan
kepadanya. Selama kenal dengan Runi Naqiu, Ellis Elliza tidak pernah menerima
apa-apa hadiah daripada jejaka itu. Bunga yang sedang dihulur bukannya murah
harganya. Mana Runi Naqiu memperolehi duit untuk membeli bunga mawar merah itu?
“Mana
abang dapat duit beli bunga ni?” tanya Ellis Elliza yang masih tidak mahu lepas
memandang wajah Runi Naqiu.
“Abang
berjaya jual skrip drama abang. Ini hadiah sebagai tanda penghargaan abang pada
El. Sudilah kiranya El menerimanya. Abang tak ada duit nak beli benda yang
mahal-mahal.” Runi Naqiu masih statik menghulur jambakan bunga itu.
Bibir
Ellis Elliza mengulas senyuman sambil menerima jambakan mawar merah yang cukup
harum itu. “Terima kasih abang.” Ellis Elliza terus mencium bunga mawar itu.
Makin lama dia menciumnya, makin dia ketagih sehingga dia tidak sedar bahawa
dirinya sudah melayang-layang. Entah apalah yang Runi Naqiu sembur pada bunga
mawar itu. Tiba-tiba sahaja Ellis Elliza merasakan dirinya melayang dan terus
tidak sedar diri.
“Kau
liat sangatkan nak bercerai dengan laki kau. Sekarang kau akan jadi milik aku
tanpa aku bersusah payah mendapatkan kau. Kali ini, laki kau mesti takkan ralat
untuk menceraikan kau. El ... El ... sepandai-pandai kau, jatuh juga ke dalam
perangkap aku.” Runi Naqiu ketawa besar sambil mengendong Ellis Elliza ke
kereta wanita itu.
Seketika
kemudian, dia membawa Ellis Elliza ke hotel yang berdekatan. Tubuh wanita ini
akan menjadi jamahannya sebentar lagi. Lebih enak dari nasi beriani gam. Rongga
tekak Runi Naqiu tidak habis-habis mengeluarkan ketawa besarnya.