Pagi-pagi Sabtu itu, Fariq Hazen telah mengajak Qisha Mirza menemaninya
untuk ke pasar kerana dia telah mengatur rancangan untuk mereka sekeluarga yang
akan pergi berkelah pada hari Ahad. Sudah lama dia tidak mengajak keluarga
bersantai bersama-sama. Aina Rahizan juga sudah dihubungi agar pulang ke banglo
mereka agar dapat melakukan aktiviti ini bersama-sama.
Banyak yang Fariq Hazen memborong di pasar. Macam-macam ada. Ayam, daging, seafood dan sedikit sayur-sayuran.
Berkerut dahi Qisha Mirza melihat abang sulungnya itu memborong macam-macam.
“Banyaknya along beli. Takkan nak masak semuanya untuk perkelahan esok?
Macam nak buat kenduri saja?” Qisha Mirza tidak dapat menahan dirinya dari
terus bertanya.
Fariq Hazen menyungging senyuman. “Along beli untuk stok umi dan Qisha.
Senang, nanti tak payah hendak keluar beli bahan-bahan mentah. Untuk perkelahan
esok, masak ayam goreng, spagetti goreng, sandwich sardin, kueyteow goreng
sudahlah. Ramai yang nak makan nanti. Malam ni boleh buat seafood. Dah lama tak makan ramai-ramai macam ni.” Jelas Fariq
Hazen.
Barulah Qisha Mirza faham kenapa Fariq Hazen membeli bahan-bahan mentah
yang begitu banyak. Rupa-rupanya mereka pun hendak menjamu selera sekali. Ceh!
Beli banyak pun bukannya boleh buat stok. Nanti malam masak, habis juga.
Betullah along aku ni ... tak pandai kira budget.
Hmm ... dah alang-alang nak belanja, biar aku pau sampai kering. Ha ha ha .... Qisha Mirza tersengih nakal.
“Along, tambah bahan mentah tu. Mana cukup nak makan satu keluarga. Ada dua
family yang sudah berumahtangga dan
dua orang yang masih bujang. Tak cukup.” Qisha Mirza membuat muka kambing.
“Amboi! Pandai pula dia mengira budget.
Ini betul-betul tak cukupkah atau nak pau
along?” Fariq Hazen memandang wajah Qisha Mirza yang sedang menayangkan
wajah yang tidak berdosa langsung.
“Mana ada Qisha pau along. Tak
baik tau tuduh adik along yang mithali ni. Qisha cuma takut tak cukup. Keluarga
kita ramai mana boleh masak sikit-sikit. Tambah lagilah along, jangan kedekut
sangat.” Qisha Mirza masih menggesa Fariq Hazen dan akhirnya alongnya itu
terpaksa mengalah.
“Lari budget aku macam ni.” Fariq
Hazen mengira-kira baki tunai yang tinggal di dalam dompetnya. Qisha Mirza
masih menayang wajah yang tidak bersalah mahupun berdosa setiap kali Fariq
Hazen menoleh ke arahnya. Namun, di dalam hati dia bersorak riang kerana telah
berjaya mengepau alongnya itu.
Nasiblah. Bukan selalu, sekali sekala apa salahnya. Kak Isfa pasti tidak kisah.
Itulah perbualan hati Qisha Mirza di saat mereka berada di dalam kereta.
Sesudah acara makan malam selesai, Qisha Mirza terus mendamparkan dirinya
di taman yang terdapat di dalam banglo itu. Malam itu dia tidak online kerana pasti ada gangguan yang
akan menggaggu konsentrasinya untuk berbual dengan Fulshan. Oleh itu daripada
konsentrasinya mengikut aliran angin, baik dia tidak menyentuh laptopnya langsung. Ada sahaja yang akan
menyibuk akan hal peribadinya. Dia tidak suka malah tidak gemar. Hal
peribadinya biar dia sendiri yang selesaikan tanpa campur tangan sesiapa. Dia
hanya akan berkongsi apabila hal itu terlalu rumit dan tidak mampu untuk
diselesaikannya sendiri. Begitulah sikap Qisha Mirza yang sebenarnya.
Qisha Mirza menghayati keindahan malam di taman yang indah lagi permai
dengan hembusan semilir angin yang datang dari mana dia tidak pasti pulak.
Fikirannya tenang dan damai sambil menatapi hiasan bulan dan bintang di dada
langit. Namun ketenangan yang sedang dikecapinya tidak lama apabila Fariq Hazen
datang mengganggunya. Huh! Ada sahaja pengacau.
“Hmm ... kalau tengok bintang dan bulan ni memang sahlah tengah teringatkan
buah hati kan? Hari ni tak onlinedengan
dia?” Fariq Hazen mula mencungkil rahsia Qisha Mirza.
Huh! Ingatkan bolehlah mengulit perasaan tapi ada pula pengganggu yang
tidak dijemput ni. Sabar sajalah. Tahu pulak dia apa yang sedang bergema di
dalam hati aku ni. Citt! Qisha Mirza menayang wajah selamba.
“Qisha mana ada buah hati? Suka hatilah Qishalah nak online atau tak malam ni. Yang along dok sibuk-sibuk hal Qisha ni
apa pasal? Dah tak ada kerja lain nak buat?” Qisha Mirza masih berusaha
menyembunyi setiap rahsia yang tersimpan di lubuk sanubarinya.
“Along bukan sibuk sembarangan tapi kalau ia berkaitan dengan seorang
wanita yang bernama Qisha Mirza, along memang harus sibuk kerana dia merupakan
adik along. Qisha jangan nak menyembunyikan perkara sebenarnya dari alonglah.
Dari riak wajah Qisha pun along dah tahu, Qisha sedang dilamun cinta kan?”
Pergh! Hebat sungguh kenyataan along tu. Dilamun cinta? Spekulasi yang
bagus. Bila masa aku dilamun cinta? Baru nak kenal saja takkanlah begitu cepat.
Tak mungkin. Qisha Mirza masih menolak akan hakikat itu.
“Mana ada Qisha jatuh cinta? Qisha baru nak kenal dialah. Qisha sendiri tak
tahu siapa dia yang sebenarnya. Takkanlah begitu mudah Qisha akan jatuh cinta.
Tak mungkinlah along.” Dalam keadaan sedikit marah dengan kenyataan Fariq
Hazen, Qisha Mirza tidak sedar bahawa dia sudah terlepas cakap.
O’oo. Alamak! Mati aku. Macam mana aku boleh terlepas cakap ni. Huh! Along
ni ... memang bijak memerangkap aku. Ceh! Tak pasal-pasal rahsia aku dah
terbongkar. Teruk betullah. Benci! Qisha Mirza tidak berani hendak bertentangan
mata dengan Fariq Hazen. Dia terus menebarkan pandangannya ke dada langit.
Aku yakin takkan dapat menyembunyikannya dari along. Along macam aku juga
tak mudah mengalah kalau apa yang dia nak tahu tidak dia dapat. Umi ... tolong.
Hmm jerit nama umi pun tak guna. Tengok ... dia dah senyum-senyum. Qisha Mirza
menelan air liurnya.
“Jadi memang betullah telahan along bahawa dah ada seseorang yang singgah
di hati Qisha? Itulah, jangan nak sembunyi dari along sebab Qisha takkan dapat
lari punya.” Fariq Hazen masih merenungi Qisha dengan satu pandangan yang cukup
tajam.
“Jangan tenung Qisha macam tu boleh tak? Along tahu tak, panahan mata along
tu boleh menggerunkan orang yang melihat.” Qisha Mirza benar-benar tidak
selesa.
“Kalau Qisha tak selesa lebih baik Qisha berterus-terang dengan along siapa
dia? Along nak tahu juga jejaka yang telah berjaya merobohkan tembok kerikil di
hati Qisha untuk mencampakkan cintanya ke dalam hati adik along ni.” Fariq
Hazen menanti jawapan.
Qisha Mirza sedikit mengeluh kerana dia yakin dia tidak mungkin akan dapat
lari dari berterus-terang dengan alongnya itu. Qisha Mirza mula memandang wajah
Fariq Hazen. Dia menarik nafasnya dalam-dalam sebelum sebarang bicara terlontar
keluar dari bibirnya itu.
“Qisha baru saja kenal dia along. Perkenalan kami terjadi masa Qisha hadiri
kursus BI hari tu. Jadi, along tak bolehlah nak harapkan sesuatu sebab Qisha
sendiri masih tidak mengenali dirinya. Semuanya masih dalam proses lagi. Qisha
tak mahu meletak harapan yang tinggi kerana Qisha cukup takut kalau kecewa yang
bertandang dan Qisha akan tercampak ke lembah terluka lagi.” Mata Qisha Mirza
berair tatkala meluahkan apa yang terpendam di dalam hatinya itu.
Fariq Hazen memegang erat tangan Qisha Mirza. Dia berharap apa yang
dilakukannya akan mengembalikan ketenangan hati adiknya itu. Dia faham benar
kalau apa yang kita harapkan tidak menjadi sebagaimana yang kita inginkan.
Memang cukup perit. Dia sudah melalui situasi itu sebelum bertemu dengan
Isfaten. Memang hampir roboh tembok keimanannya. Namun nasib baik dia beristighfar
dan mendekatkan dirinya pada Allah swt. Syukur alhamdulillah dia tidak tersasar
dari landasan kehidupan yang sebenarnya.
“Along tak kisah dengan siapa pun Qisha berkawan tetapi Qisha kena janji
dengan along yang Qisha akan menjaga diri baik-baik. Kalau benar Qisha telah
jatuh cinta pun, jaga batas-batas pergaulan dan jangan sesekali tersasar dek
godaan nafsu syaitan. Along akan sentiasa berada di belakang Qisha untuk apa
jua situasi pun. Ingat, Qisha bukan bersendirian mengharungi sebarang dugaan yang
melanda.” Fariq Hazen menasihati Qisha Mirza.
Qisha Mirza memeluk Fariq Hazen sambil teresak di bahu alongnya itu. Dia
benar-benar terharu dengan perhatian yang telah diberikan oleh Fariq Hazen.
“Terima kasih along. Qisha akan sentiasa tanamkan nasihat along di dalam
hati Qisha. Terima kasih kerana sentiasa ada untuk Qisha.” Qisha Mirza tidak
dapat menahan aliran air yang jernih itu dari terus tumpah.
“Dah jangan menangis. Buruklah. Jom masuk. Dah tengah malam ni. Tak elok
kalau terlalu lama kena angin malam.” Fariq Hazen memimpin tangan Qisha Mirza
untuk masuk ke dalam rumah mereka.