Azaharil Anuar membawa Nazira, Nur Syarida dan
Fadhila Imani bertemu dengan Rabiatul Syafiqah setelah mendapat panggilan
daripada Ellis Elliza untuk membongkarkan kebenaran Runi Naqiu. Ellis Elliza
tidak mahu Rabiatul Syafiqah menjadi mangsa Runi Naqiu seterusnya setelah ramai
mangsanya telah mengundur diri. Hanya dengan cara ini sahaja untuk
menyelamatkan Rabiatul Syafiqah. Azaharil Anuar mengambil tindakan drastik
sebegitu demi menyelamatkan Rabiatul Syafiqah.
Rabiatul Syafiqah sendiri terkejut apabila
mendapat panggilan daripada Azaharil Anuar untuk bertemu dengan dirinya. Belum
sempat lagi dia menghubungi mangsa-mangsa Runi Naqiu, kini dia ingin dikunjungi
pula oleh suami Ellis Elliza. Ellis Elliza sendiri memberi kebenaran pada
Azaharil Anuar untuk bertemu dengan Rabiatul Syafiqah. Bukan sahaja dia membawa
mangsa-mangsa Runi Naqiu, dia juga mengheret sekali Adryan Evan’s sebagai bukti
yang kukuh untuk ditunjukkan kepada Rabiatul Syafiqah.
Mereka bertemu di Grand Pacific Hotel Kuala
Lumpur. Azaharil Anuar telah menempah sebuah bilik di situ untuk sesi
pendedahan mereka. Manakala Adryan Evan’s, Fadhila Imani, Nazira dan Nur
Syarida akan pulang semula ke Johor Bahru dengan menaiki pesawat.
Berdebar-debar sahaja hati Rabiatul Syafiqah
ketika memandu ke Grand Pacific Hotel. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang
tidak kena. Siapakah Runi Naqiu yang sebenarnya akan terbongkar sekejap lagi.
Sebaik sahaja tiba di Grand Pacific Hotel, Rabiatul Syafiqah terus menekan
butang lif ke bilik yang disewa oleh Azaharil Anuar.
“Assalamualaikum.” Rabiatul Syafiqah memberi
salam sebaik sahaja pintu bilik dibuka oleh Azaharil Anuar.
“Waalaikumussalam.” Jawab mereka yang berada di
situ dengan serentak. Kesemua mereka menyambut kedatangan Rabiatul Syafiqah
dengan mesra sekali.
“Atul.” Nazira yang mengenali Rabiatul Syafiqah
terus memeluknya.
“Naz, lama tak jumpa. Roz mana ya? Lesap macam
tu saja. Susah nak contact dia.” Rabiatul Syafiqah terus mengutarakan soalan
kepada Nazira. Walaupun mereka pertama kali dikenalkan leh Rozlina tetapi
kedua-duanya bagaikan sudah kenal lama.
“Entahlah. Dah lama juga kami lost contact sejak pulang dari
perlancaran novel Fadhila Imani.” Jujur Nazira menjawab.
“Pandai dia, buat-buat cerita terus lesap. Huh!
Teruk punya sepupu.” Rabiatul Syafiqah sedikit merungut membuatkan mereka yang
berada di situ tersengih manja.
Tiba-tiba mata Rabiatul Syafiqah melirik ke arah
Fadhila Imani. Novelis terkenal. Siapa yang boleh lupakan hasil tulisannya yang
selalu gempak itu. “Eh, Fadhila pun ada.” Rabiatul Syafiqah seakan-akan sedikit
teruja.
“Kejap ... Fadhila pun mangsa dia ke? Ya, Ellis
ada sebut nama Fadhila. Tak perasan pula hari tu.” Sambung Rabiatul Syafiqah seolah-olah
teringatkan sesuatu.
Fadhila Imani hanya senyum tawar memandang ke
arah Rabiatul Syafiqah. Boleh tahan juga si Runi Naqiu ini memilih wanita
berkerjaya yang ada rupa. Cantik juga Rabiatul Syafiqah ini walaupun agak
berisi sikit. Hati kecil Fadhila Imani berkata-kata.
“Saya Nur Syarida. Mungkin Ellis tak kenal
dengan saya tapi kami baru saja berkenalan melalui suaminya Azaharil.” Nur
Syarida memperkenalkan dirinya pula.
“Kalau tak silap saya, Ellis ada sebut nama awak
juga. Cuma saya saja yang tak sempat nak hubungi nama-nama yang disebutkan
disebabkan kekangan masa yang terhad.” Jujur Rabiatul Syafiqah memberitahu Nur
Syarida.
Mata Rabiatul Syafiqah melirik pula pada Adryan
Evan’s. Eh, takkan lelaki ni pun mangsa Runi juga. Mustahillah si Runi ni dwi. Nakal
sekali hati kecil Rabiatul Syafiqah berbicara. “Haa ... jangan cakap awak pun
mangsa si Runi juga.” Tepat dan jelas kata-kata itu ditujukan buat Adryan
Evan’s sehingga semua yang berada di situ memuntahkan ketawa masing-masing.
Lucu juga si Rabiatul Syafiqah ini. Tidak hairanlah jika Runi Naqiu terpikat
pada empunya diri.
“Saya bukan mangsa si Runi tapi saya adalah
penyiasat persendirian yang diupah oleh Encik Azaharil Anuar untuk menyiasat
latar belakang Runi dan ini buktinya yang saya temui.” Lalu tanpa membuang masa
lagi Adryan Evan’s terus membentangkan bukti-bukti yang dia perolehi kepada
Rabiatul Syafiqah.
Terlopong mulut wanita itu melihat kebenaran
yang nyata lagi tepat. Bak kata pepatah, sudah terang lagi bersuluh. Dia juga
melihat Runi Naqiu ke tempat terpencil namun dia tidak tahu apakah yang Runi
Naqiu lakukan di sana. Paling tidak disangkanya adalah Runi Naqiu sudah
beristeri dan mempunyai dua orang anak. Tiba-tiba hati Rabiatul Syafiqah
menggelegak dengan rasa amarah yang amat tinggi. Tak guna punya jantan, dah
kahwin pun lagi nak menggatal. Kenapa ya lelaki kebanyakan macam tu? Masa
bujang tak adalah gatal sangat tetapi bila dah kahwin gatalnya mengalahkan
biang keladi. Rabiatul Sayfiqah mengetap bibirnya. Sakit sungguh hatinya
melihat bukti demi bukti yang dibentangkan. Alhamdulillah, ada hikmah kenapa
hatinya tidak tergerak untuk bertemu dengan Runi Naqiu atau mengadakan sebarang
temujanji. Ada juga kebaikannya kenapa dia menggunakan nama Mak Nana Vougue
apabila Runi Naqiu mengajaknya untuk bertemu.
“Ini Runi Naqiu yang sebenarnya?” Rabiatul
Syafiqah mengucap panjang selepas itu.
“Ya Cik Fiqa, inilah wajah Runi Naqiu yang
sebenarnya. Rupa sebenarnya tak sama kan, dengan gambar yang sering dia gunakan
dalam laman sosial untuk memikat wanita? Dalam gambar yang dia tunjuk bolehlah
'jual' sikit! Bolehlah nak buat perempuan terpikat." Adryan Evan's tergelak
sambil menggeleng kepala.
"Ya Fiqa, itulah wajah si setan bertopeng
sebenarnya. Dia menggunakan wanita yang berkerjaya demi memenuhi tuntutan hidup
dan juga nafsunya. Dia ingin bersenang-lenang tanpa berusaha sendiri. Dia ingin
memperolehi pendapatan untuk meneruskan kehidupan hariannya hasil daripada
jualan cinta murahnya.” Jelas Fadhila Imani pula dengan penuh rasa marah.
Manakan tidak marah, dia juga mangsa kejam Runi Naqiu dan yang paling kasihan
adalah suaminya Rozman yang masih tidak tahu bahawa dia dan Runi Naqiu pernah
tidur bersama. Penyesalan demi penyesalan menyelinap masuk ke dalam diri
Fadhila Imani. Dia sendiri tidak tahu sama ada ALLAH mahu ampunkan dia ataupun
tidak.
“Saya juga hampir menjadi mangsa rogolnya. Nasib
baiklah tunang saya hadir tepat pada masanya. Kalau tidak, saya akan layu
sebelum tiba waktunya.” Nur Syarida juga kesal mengenali lelaki bernama Runi
Naqiu ini.
“Naz, kau pun mangsa Runi juga? Apa yang Runi
dah buat pada kau?” tanya Rabiatul Syafiqah memandang tepat ke wajah Nazira.
“Aku belum sempat berjumpa dengan dia. Dia baru
manipulasi minda aku tentang Syar. Hampir saja aku percaya kata-kata si Runi.
Nasib baiklah Syar tak jemu menyedarkan aku. Alhamdulillah aku terselamat dari
menjadi mangsa nafsunya.” Nazira memberitahu kedudukan yang sebenar kepada
Rabiatul Syafiqah.
“Wah ... sekarang dia menggoda aku pula suruh
jumpa dengan dia. Nasib baiklah aku kata nak ajak mak aku tu sekali kalau betul
dia nak jumpa dengan aku. Pandai pun tak mahu. Naluri aku tak pernahnya silap
menilai orang. Patutlah aku rasa berat hati sangat nak jumpa dengan dia.” Rabiatul
Syafiqah mengurut dadanya.
“Ellis sendiri dah melabur banyak duit padanya.
Setiap kali keluar atau ada perjumpaan, Ellis yang mengeluarkan duit belanja.
Itupun Ellis masih mahu rapat dengan dia. Sebab itulah saya hantar Ellis ke
Austalia agar Ellis dapat lupakan dia.” Azaharil Anuar pula memberitahu.
“Macam mana pula awak tahu setiap kali keluar,
Ellis yang bayar untuk dia?” tanya Rabiatul Syafiqah inginkan kepastian.
“Dalam rakaman ni. Adryan yang rakamkan. Sebab
itu saya tahu tentang hubungan Ellis dan Runi. Saya harus memikirkan pendekatan
yang paling baik untuk menyelamatkan Ellis, saya cuba betulkan keadaan. Saya
kenal isteri saya. Saya tahu ada sesuatu yang tak kena apabila Ellis terlalu
kerap ingin bertemu dengannya.” Balas Azaharil Anuar.
Kagum betul Rabiatul Syafiqah dengan kesabaran
yang dimiliki oleh Azaharil Anuar. Kalau boleh, dia juga berharap agar
dikurniakan suami sebagaimana Azaharil Anuar. Sudahlah tampan, sikap suami
mithali memang ada pada Azaharil Anuar.
“Ke mana sebenarnya Runi ni pergi di tempat
terpencil macam tu?” tanya Rabiatul Syafiqah inginkan kepastian. Dia agak pelik
bila Runi Naqiu sanggup meredah segala-galanya ke tempat yang terpencil itu.
“Dia mengamalkan ilmu songsang yang dipanggil
sihir cinta. Jika lebih banyak rumahtangga orang yang berjaya dirosakkan, maka
akan bertambah kebal ilmu yang dimiliki. Setiap kali dia membuka mulut, pasti
ramai yang akan jatuh cinta dengannya. Bila mereka renung matanya pula, mereka
pasti akan tergila-gilakan dirinya tanpa sebarang sebab. Saya telah menyiasat
pengamal sihir cinta ini, jangan terkejut jika saya beritahu ia juga boleh
dilakukan melalui tulisan. Puisi contohnya. Dengan itu, dia dapat mengawal
mereka. Bukan sahaja diri mereka dapat dikawal malah harta dan wang ringgit
mereka juga akan dikawalnya. Silap-silap haribulan, papa kedana perempuan yang
kaya setelah dikikis olehnya.” Panjang lebar Adryan Evan’s menjelaskan kepada
Rabiatul Syafiqah akan kedudukan Runi Naqiu sebenarnya.
“Nasib baik Fiqa tak jumpa dengan dia. Kalau
tak, Fiqa akan tergila-gilakannya macam saya dulu.” Fadhila Imani berkata
sambil mengetap bibirnya.
“Astagfirullahalazim. Dia ni psycopath ke apa? Gerunnya Fiqa dengar.
Alhamdulillah ALLAH masih sayangkan Fiqa. Syukurlah tak tergerak hati Fiqa
untuk jatuh cinta dengannya. Fiqa sendiri tak tahu kenapa Fiqa liat sangat
untuk jatuh cinta dengannya walaupun Fiqa suka pada dia dan sekarang Fiqa dah
tahu kenapa ALLAH tak izinkan. Dia memang tak layak untuk dicintai kerana dia
sendiri tak menghargai cinta yang dia ada. Kalaulah isteri dia tahu sikap
suaminya di belakang dia, pasti isterinya akan kecewa. Teruk.” Sekali lagi
Rabiatul Syafiqah mengurut dada.
“Dia memang lelaki teruk. Kerana dia hubungan
saya dengan Nazira hampir berantakan.” Nur Syarida menyampuk.
“Bukan saja teruk tetapi tak guna. Lelaki macam
tu harus dihumban saja ke dalam api neraka.” Nazira pula menambah. Hatinya
masih sakit dengan apa yang dilakukan oleh Runi Naqiu.
“Sekarang kita dah tahu, cubalah elakkan dari
terus terkena dengan dia. Alhamdulillah ALLAH telah mempermudahkan urusan saya
ke sini. Ellis tentu gembira kerana akhirnya dia dapat meyakinkan Fiqa tentang
siapa Runi Naqiu yang sebenarnya dan dapat menyelamatkan Fiqa dari jatuh ke
tangan lelaki parasit itu.” Azaharil Anuar mengucapkan syukur setelah lama
mendiamkan diri.
“Terima kasih semua kerana telah menyelamatkan
Fiqa. Fiqa minta diri dulu. Fiqa ada urusan yang perlu diselesaikan. Naz, kau
dah jumpa cinta hati ke selepas Runi?” Sempat lagi Rabiatul Syafiqah mengusik
Nazira.
“Dah. Inilah cinta hati aku. Cinta pandang
pertama. Kami akan diijabkabulkan pada bulan Muharram nanti. Nanti Naz hantar
kad jemputan ya.” Nazira berdiri di sebelah kekasih hatinya si Adryan Evan’s.
“Amboi, dalam diam kau ya Naz. Aku pun tak tahu
ni. Teruklah.” Nur Syarida pura-pura marah sedangkan dia amat gembira melihat
Nazira bertemu dengan orang yang betul.
“Aku nak surprisekan
kau tapi si Fiqa ni dah buat aku terbuka rahsia.” Nazira tergelak kecil.
Sekali lagi
bilik itu dimeriahkan dengan ketawa yang keluar dari rongga tekak
masing-masing. Masalah mereka semua selesai. Namun, Rabiatul Syafiqah berazam
di dalam hati akan kenakan balik Runi Naqiu. Hatinya masih sakit. Sudah ada
isteri. Masih ada hati untuk memikat dan menggoda dirinya. Lelaki itu harus
diajar.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Rabiatul
Syafiqah menjalankan misi untuk menyakitkan hati Runi Naqiu dengan bantuan
Ellis Elliza. Mereka berdua mencipta pelbagai mutiara kata indah yang
diletakkan di dalam artwork. Ellis
Elliza memang bijak mencipta artwork
yang begitu mempersona. Namun, selepas beberapa artwork yang sedang rancak dimuat turunkan ke dalam grup Facebook
Runi Naqiu, tiba-tiba Ellis Elliza menghilang diri. Terkejut juga Rabiatul
Syafiqah dengan tindakan Ellis Elliza yang sangat drastik itu. Kini Rabiatul
Syafiqah kehilangan rakan kongsi untuk menjatuhkan Runi Naqiu. Rabiatul
Syafiqah rasa bersalah namun dia tahu itu bukan salahnya kerana mereka tidak
pernah mempunyai sengketa sebelum ini. Pelik memang pelik. Rabiatul Syafiqah
mengandaikan pasti Ellis Elliza ingin ruang waktu untuk bersendirian dan
memulihkan dirinya semula setelah apa yang terjadi. Rabiatul Syafiqah tidak
memaksa kerana sudah puas dia mesej Ellis Elliza namun tiada balasan daripada
wanita itu. Ellis Elliza tiba-tiba menghilangkan diri tanpa sebarang kata. Apa
yang perlu dilakukannya kini adalah memuat naik turun kuota-kuota yang telah siap
untuk menyerang Runi Naqiu.
Pada suatu
malam, Rabiatul Syafiqah memuat turun satu kuota yang berbunyi:
"Anda
akan mempunyai ramai kenalan jika anda meminati mereka dan bukannya cuba
membuat mereka meminati anda."
Pada kuota
itu diletakkan artwork berbentuk
buaian di tepi pantai. Rabiatul Syafiqah mengukir senyuman setelah tugasnya
selesai. Kini dia juga tidak selesa berbual mesra dengan Runi Naqiu bagai suatu
masa dahulu. Dia kini lebih bersifat menyerang Runi Naqiu dalam diam.
Rabiatul
Syafiqah menyimpul senyuman melihat Runi Naqiu membalas kuota itu namun sesuatu
yang tidak berkaitan dengan apa yang dipaparkannya.
Bila kita boleh naik buaian tu sama-sama,
Fiqa? Kita duduk berdua di dalam tu.
“Hee ...
siapa teringin nak duduk dengan kau dalam buaian tu? Tak ingin aku.” Balas
Rabiatul Syafiqah sambil tangannya menaip sesuatu bagi membalas komen Runi
Naqiu.
Tak boleh. Sampai bila-bila pun tak boleh.
Hmm ... haramkan, bukan muhrim. Tahu.
Dah tahu kenapa nak duduk juga? Kita ada pegangan
agama, kan? Jadi, janganlah berangan macam-macam.
Rabiatul
Syafiqah sudah tidak mahu membalas lagi apa yang Runi Naqiu membebel di situ.
Ada beberapa orang lagi yang memberi respon pada kuota yang dipaparkannya,
namun Rabiatul Syafiqah sudah tidak berminat.
Tiba-tiba,
dia mendapat satu mesej yang masuk di dalam kotak mesej facebooknya.
Fiqa, bukan
main semacam kasarnya komen-komen Fiqa kat gurauan Runi ya. Aduhai, tak boleh
sakat-sakat ya? Macam ni I think,
kita tak perlu berkawan di fb lagi. Jadi, Runi nak cakap terima kasih pada Fiqa
for being my friends di fb selama
ini. Semoga Fiqa sukses terus ya. Maaf zahir batin.
Rabiatul
Syafiqah menarik nafasnya dengan sedalam yang mungkin. Dia tidak mahu membalas
mesej daripada Runi Naqiu itu. Sudah cukup dia dipermainkan oleh lelaki maya
itu. Cukuplah. Dia tidak mahu terjebak lagi dengan suami orang. Dahulu, dia
pernah terjebak dengan suami orang sebelum mengenali Runi Naqiu sehingga dia
fobia dengan lelaki maya kerana tidak semua yang dia jumpa jujur dengan
dirinya. Ingatkan dia sudah terlepas dengan suami orang, tapi Rozlina
membuatkan dia terjebak sekali lagi dan kali ini lebih teruk lagi kerana lelaki
ini bukan sahaja suami orang tetapi parasit yang mahu mengaut keuntungan hasil
titik peluh orang lain tanpa mahu berusaha sendiri.
Bila Fiqa online nanti, Fiqa tolong jap klik
unfriend dengan Runi ya. Macam sengal pulak line nih.. ishhh.. .hegeh-hegeh
line. Terima kasih Fiqa and good luck. Tak syok dah Runi nak usik-usik awak.
Kasar replynya. Runi yang salahlah... Maaf ekk..
“Aduh! Tak
pernah mengalah. Dia ingat aku akan ikut telunjuk dia? unfriend ajelah kalau
nak unfriend. Suruh aku buat apa?
Ingat kalau kau unfriend aku nak
merayu? Maaf ya...huh!" Omel Rabiatul Syafiqah di depan komputer ribanya.
“Malaslah nak
balas. Biarlah kat dia. Buat apa nak layan orang akal cetek" Rabiatul
Syafiqah mula menutup computer ribanya lalu berbaring di atas katil.
Baru terlelap dua jam, Rabiatul Syafiqah bangun semula, hasrat di hatinya
hendak letak satu lagi kuota di grup Runi Naqiu, namun sudah puas dia mencari
di dalam telefon pintarnya akan grup Runi Naqiu tidak juga ditemuinya. Rabiatul
Syafiqah tidak puas hati, lalu dia membuka komputer ribanya dan mula mencari
grup Runi Naqiu, rupa-rupanya dia sudah dikeluarkan daripada grup itu dan Runi
Naqiu sendiri telah unfriendnya.
Sakitnya hati Rabiatul Syafiqah kerana dia belum puas lagi mengenakan Runi
Naqiu. Rabiatul Syafiqah mengetap bibir geram. Dia sambung tidur semula dengan
hati yang sebal.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Runi Naqiu
termenung panjang pada pagi itu memikirkan sikap Rabiatul Syafiqah yang berubah
dengan mendadak. Dia mengagak sudah pasti perubahan Rabiatul Syafiqah ada kena
mengena dengan Ellis Elliza. Jika tidak, Rabiatul Safiqah tidak akan berubah
secara tiba-tiba begitu. Runi Naqiu terus menghantar mesej kepada Rabiatul
Syafiqah pada pagi itu. Sememangnya Runi Naqiu tidak tahu malu, sudah
dikeluarkan Rabiatul Syafiqah dari lama sosialnya, masih ada hati hendak
menghubungi wanita itu.
“Fiqa, kasar
sungguh ya Fiqa dengan Runi. Apa jadi pada Fiqa sebenarnya? Adakah Ellis yang
menghasut Fiqa hinggakan Fiqa berkasar dengan Runi?”
Celik-celik
mata saja dah nampak mesej dari Runi. Malas sungguhlah nak balas. Lepas tu,
boleh main tuduh-tuduh pula. Dahlah keluarkan aku dari grup dan facebook dia,
ada hati lagi nak mesej aku. Tak tahu malu sungguh. Gila punya jantan. Rungut
Rabiatul Syafiqah masih lagi menggosok-gosok matanya. Walaupun begitu, Rabiatul
Syafiqah masih mahu membalasnya untuk terakhir kali.
“Jangan main
tuduh-tuduh boleh tak? Memang Fiqa akui kuota tu daripada Ellis sebelum dia
menghilangkan diri. Fiqa pun tak tahu mana nak cari dia lagi. Mesej Fiqa Ellis
tak balas, facebook dia dah sah-sahlah memang tak dapat balas. Fiqa harap dia
masih sihat di luar sana.” Puas hati Rabiatul Syafiqah dapat meluahkan apa yang
terbuku di dalam hatinya.
“Betul ke apa
yang Fiqa cakap ni?” Runi Naqiu masih tidak puas hati dengan jawapan daripada
Rabiatul Syafiqah.
“Tak percaya
sudahlah. Fiqa tak ada kuasa nak suruh Runi percayakan Fiqa. Runi pun dah
keluarkan Fiqa dari grup dan facebook Runi, kan? Jadi, Runi tak ada hak nak
persoalkan Fiqa macam tu.” Rabiatul Syafiqah makin kasar dengan Runi Naqiu.
Lantaklah bukan dia nak kahwin pun dengan lelaki itu.
“Runi dah tak
kenal Fiqa lagi. Ada sebab kenapa Runi buat begitu. Fiqa tak tahu. Jangan benci
Runi, Fiqa. Fiqa tahu tak yang Runi sakit hati melihat kuota-kuota tu? Kau
orang memang rancang nak kenakan Runi ke?” Runi Naqiu masih tidak mahu berhenti
dari terus mengganggu pagi Rabiatul Syafiqah.
“Siapa yang
makan cili maka dialah yang terasa pedasnya. Kalau Runi tak buat, Runi takkan
terasa dengan semua kuota yang diberikan. Okeylah Runi, Fiqa nak mandi ni,
kejap lagi ada orang nak datang merisik. Terima kasih atas sebuah perkenalan
yang cukup indah ini.” Bohong Rabiatul Syafiqah untuk mengelak dirinya dari
dihubungi oleh Runi Naqiu lagi. Dia malas hendak melayani lelaki itu mahupun
ambil tahu apa-apa sahaja mengenai lelaki itu. Cukup sudah dengan apa yang
dilaluinya selama ini. Dia tidak mahu terjebak lagi.
“Good luck Fiqa. Runi doakan semoga Fiqa
bahagia dan berjaya dalam setiap langkah yang Fiqa ambil.” Balas Runi Naqiu
buat terakhir kali.
Rabiatul
Syafiqah sudah tidak mahu membalas lagi. Biarlah lelaki itu dengan dunianya
yang tersendiri. Apa yang perlu dilakukannya kini, menghantar mesej pada
Azaharil Anuar agar lelaki itu memberitahu isterinya itu agar tidak mengabaikan
mesej daripada dia. Ada sesuatu yang dia ingin kongsikan dengan Ellis Elliza.
Harapan
Rabiatul Syafiqah besar agar Ellis Elliza kembali menghubunginya.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Runi Naqiu
menghubungi Fadhila Imani pula dengan harapan agar wanita itu dapat menemaninya
keluar namun setiap kali dia menelefon gadis itu, pasti suami Fadhila Imani
yang menjawabnya membuatkan Runi Naqiu mendengus marah.
“Apa kena
dengan perempuan ni semua macam nak mengelak daripada aku? Kenapa Dhila berikan
telefonnya pada suami dia pula. Bencinya.” Runi Naqiu membaling telefonnya di
atas katil. Hendak dibaling betul-betul sayang sebab telefon pintar itu adalah
pemberian terakhir Ellis Elliza. Sekurang-kurangnya ada juga kenangan wanita
itu buat dirinya.
“Telefon
Naziralah. Manalah tahu aku masih ada untung lagi.” Pantas jari-jemari Runi
Naqiu menelefon Nazira. Namun, setiap kali dia menelefon, pasti akan ada suara
perempuan lain yang menjawab panggilannya dengan berbunyi begini :
Talian ini masih belum diberi perkhidmatanya. Harap
maaf.
Runi Naqiu
menjerit kuat di dalam biliknya. Semua wanita yang menjana Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja buat dirinya telah berhenti kerja. Jadi, bagaimana dia ingin
mengekalkan wang yang bakal diperolehi kelak. Mereka seolah-olah tahu apa yang
telah terjadi dan mula mengelak diri daripadanya. Runi Naqiu tidak dapat
menerima keadaan itu. Dia menarik nafas dalam-dalam dan akan memulakan misi
baru dalam pemburuannya.
Wanita-wanita masa lalu banyak yang telah
memberi manfaat kepadanya. Mereka cukup membuat dirinya gembira dengan
pemberian terlalu banyak. Banyak juga kepuasan yang dipenuhi oleh mereka. Dia
tidak akan berhenti selagi ada yang terpikat pada dirinya. Modalnya hanyalah
menjual cinta murah-murah. Pasti ada yang tersangkut dan ketika itulah dia akan
menjana kumpulan wang simpanan pekerja yang baru. Runi Naqiu tersenyum
sedirian. Namun, dia akan pantau wanita-wanita yang pernah terjebak dengannya
agar tidak mengganggu aktivitinya pada masa hadapan.