“SEKARANG aku dah boleh buat kerja dengan bersungguh-sungguh dan bersemangat.
Yalah kan, ubat semangat dah aku dapat,” kata Murazean kepada dirinya sendiri
sambil tersengih membayangkan wajah Sodiqin yang ala-ala pelakon sinetron
Indonesia si Baim Wong. Kan tampan tu?
Murazean mengaktifkan kamera di tangannya sambil berbual dengan kamera
itu. “Saya berada di ruang tamu bangunan usang ini dan sedang membaca bacaan
meter EMF. EMF adalah Electro Magnetic
Field yang mampu mengesan kehadiran sebarang entiti yang mahu berkomunikasi
dengan kita. Di ruang tamu ini didakwa oleh pekerja pembaik pulih, mereka
pernah melihat bayangan orang tua yang duduk di sofa ini sambil menonton
televisyen yang tidak ada siarannya. Tidakkah ia menyeramkan? Kita akan
mendapat jawapannya sebentar lagi,” jelas Murazean kepada penontonnya tentang
peranti yang sedang digunakannya dan juga keadaan di ruang tamu itu.
Baru sahaja Murazean menghalakan perantinya ke sofa, tiba-tiba dia
melihat bayangan seorang atuk yang lalu di belakangnya. Pantas Murazean
memalingkan wajah dan tubuhnya bersama kamera yang berada di tangan. Murazean
menghalakan kamera tangannya ke arah bayangan itu. Sah! Memang ada orang lain
selain daripada mereka.
“Eh, itu atuk yang kami jumpa siang tadi. Apa yang dia buat di sini?
Nampaknya kita ada tetamu. Mari kita dapatkan penjelasan daripadanya,” ujar
Murazean berbual seketika dengan kamera tangannya sebelum memanggil atuk yang
masih belum mempamerkan dirinya.
“Atuk, atuk nak pergi mana tu? Atuk!”
panggil Murazean segera mempercepatkan langkahnya apabila melihat
bayangan atuk itu terlalu cepat melangkahpergi.
Dia tidak mahu ketinggalan dan ingin seiring dengan atuk itu.
“Atuk! Atuk! Atuk!” panggil Murazean dengan lampu suluh yang berada di
kepalanya. Dia tercari-cari bayangan atuk yang tiba-tiba lenyap dari
pandangannya.
“Eh, mana atuk tu pergi?” soal Murazean kepada dirinya sendiri apabila
dia kehilangan jejak atuk dan dibawa ke satu tempat yang agak sempit berbanding
di ruang tamu di hadapan tadi.
“Tak mungkin atuk tu tiba-tiba boleh hilang? Takkan imaginasi aku aje?
Mustahil! Aku yakin aku nampak atuk tadi di hadapan mata aku. Aku tak tersilap
tengok,” bicara Murazean meyakinkan dirinya dengan apa yang dilihat. Dia
benar-benar nampak bayangan atuk yang menjengah di skrin matanya sebentar tadi.
Dia tidak mahu tertipu dengan situasi dan keadaan.
Dalam mencari bayangan atuk yang tiba-tiba lesap, kaki Murazean tersepak
sesuatu. Dia segera menghalakan lampu suluh yang masih kukuh di kepalanya dan
kamera di tangannya ke arah benda yang dia terlanggar.
“Ruang apa pulak ni?”
ujar Murazean sambil matanya masih lagi menjelajahi segenap pelusuk ruang yang
agaksempit tetapi mempunyai pelbagai kelengkapan seakan
ruang tamu persendirian.
Ruang itu mempunyai kerusi malas dan sebuah meja makan. Di situ juga
terdapat sebuah rak seakan rak buku. Cukup sempit tetapi sesuai untuk sesiapa
yang ingin bersendirian di sana.
“Ruang ni macam ruangan persendirian. Bermakna ruang ni untuk mereka yang
tidak mahu diganggu. Kenapa atuk siang tadi tak beritahu kami pasal ruang ni?
Tersembunyi di sebalik dapur. Hmm... menarik!” bebel Murazean, membuat andaian
sendiri dengan kamera tangannya.
Apa sahaja yang menjengah di kepalanya, pasti diberitahu kepada para
penonton melalui kamera tangan yang dipegangnya.
“Tapi di mana atuk tadi ya? Puas aku cari. Takkan tiba-tiba ghaib macam
tu aje? Mustahil!” Murazean masih lagi berdiskusi dengan dirinya sendiri.
“Atuk di sini, nak. Cari atuk ke?”
Di hujung telinga Murazean kedengaran suara yang terketar-ketar bertanya
kepada dirinya. Murazean terjerit akibat terlalu terperanjat dengan kehadiran
atuk secara tiba-tiba. Terhenjut bahunya disapa sebegitu rupa. Perasaan ganjil
masih lagi berselirat di dalam benaknya. Atuk itu hilang secara tiba-tiba dan
kini muncul pula.
“Atuk ni buat saya...” Ayat Murazean terhenti setakat itu sebaik sahaja
dia memusingkan kepalanya melihat ke arah atuk itu.
Kakinya bagaikan terpasak di lantai tanpa dapat bergerak ke mana-mana.
Suaranya bagaikan tidak mampu keluar dari peti suara. Matanya terpaku pada
sesusuk tubuh dan seraut wajah atuk yang kini betul-betul berada di hadapannya.
Peluh dingin mula merembes laju dan membasahi segenap tubuh Murazean. Air
liurnya pula bagaikan tersekat dan amat sukar untuk ditelan.
“Ya nak... cari atuk nak? Atuk di sini,” ujar Atuk itu kepada Murazean
yang ingin sekali berkomunikasi dengan dirinya.
Mak... Murazean bagaikan ingin menangis sahaja saat ini apabila hajatnya
menjadi kenyataan. Itulah apabila mulut terlebih insuran dan kini permintaan
yang jarang sekali diutarakan kini tertunai. ALLAH itu maha adil, sekarang DIA
beri apa yang dimahukan.
Atuk itu sedang tersengih dan menyeringai memandang Murazean. Wajah atuk
itu mereput sebelah dan tiada mata. Bibir bawah atuk itu seakan-akan baru
dijahit. Darah-darah merah masih mengalir basah. Nasib baik bibirnya tidak
dijahit bercantum terus. Jika tidak, mana mungkin atuk itu mampu bersuara lagi.
Murazean seakan mahu pengsan melihat atuk itu, tambahan lagi apabila dia
merasakan bahunya disentuh orang. Ya ALLAH, berapa banyak roh di sini? Dia main
pegang-pegang pula! Murazean sudah tidak dapat menahan ketakutan yang menyerang
dirinya lalu sedikit demi sedikit air matanya mengalir keluar. Seketika
kemudian, dia mendapat kekuatan semula lalu menjerit sekuat hatinya. Tiba-tiba
ada tangan yang menekup mulutnya agar tidak menjerit lagi. Murazean hanya mampu
berserah ketika itu.
“Hei, jangan menjeritlah. Aku aje kot? Yang kau menjerit ni apasal? Jumpa
sesuatu ke? Hajat tertunai?” soal Edinur yang kelihatan sedang tersengih
memandang ke arah Murazean yang tampak amat pucat sekali. Sekiranya ditoreh
dengan pisau, pasti tiada darah yang mengalir keluar.
Murazean menenangkan dirinya apabila mengetahui Edinur yang menyentuh
bahunya. Dia mengatur semula pernafasannya. Dia menarik nafas lega. Debar di
dada mula reda.
“Kau Psiko. Buat aku
terkejut aje. Lain kali jangan main-main macam ni. Tak kelakar okey?” Murazean
mengalihkan tangan Edinur yang masih melekat kukuh di bahunya. Cukuptidak selesa. Buang tabiat ke apa si Psiko ni? Itulah yang berkumandang
di minda Murazean ketika itu.
“Ha... satu lagi, mulut tu jangan celopar sangat ya. Aku siku karang,”
sambung Murazean lagi setelah kekuatan diri dibina sepenuhnya.
“Dapat rasa kehadiran entiti? Eh, aku peliklah dengan kau. Kenapa pucat
semacam ni? Hajat kau nak jumpa entiti dah tertunai ke?” soal Edinur yang tidak
mahu melayan kerenah Murazean lalu dia mengutarakan soalan yang bermain di
benaknya saat dia melihat wajah gadis itu begitu teruk sekali. Pertama kali dia
melihat wajah Murazean seperti itu sepanjang mereka menjalankan penyiasatan
jejak paranormal.
“Syhhh... jangan cakap pasal hajat akulah,” balas Murazean memberi
amaran.
“Ya. Bukan aje dapat rasa kehadiran entiti tapi dia tunjukkan dirinya
depan mata aku. Menarik tak? Dan aku dapat rasakan, ini ruang tamu yang kedua
untuk mereka yang ingin bersendirian melakukan aktiviti yang disukai. Ataupun
ruang rehat untuk pekerja di dapur,” jelas Murazean kepada Edinur.
“Menarik...” ujar Edinur yang tiba-tiba meniru suara seram sehingga
menimbulkan kemarahan Murazean.
“Eh, kau jangan buat suara macam tu, boleh tak Psiko? Berapa kali aku nak
cakap dengan kau? Tak kelakar okey kalau kau berhajat untuk menakut-nakutkan
aku,” marah benar Murazean dengan sikap Edinur yang ternyata ingin mengusiknya.
“Kau takut ke?” soal Edinur sengaja memancing perasaan Murazean.
“Tak. Kau jangan merepek boleh tak?” ujar Murazean masih mengawal nada
suara kemarahannya. Dia tidak mahu apa-apa pertengkaran meletus dalam rakaman
itu.
“Tadi kau cakap mereka di
sini? Macam mana kau tahu mereka di sini?” tanya Edinur lagi sambil memandang
tepatke anak mata Murazean sehingga sedikit menggerunkan
gadis itu.
Yalah, selama ini Edinur tidak pernah memandang ke dalam anak matanya
ketika mereka berbual. Tajam sahaja caranya memandang. Memang sah buang tabiat
agaknya si Psiko ini.
“Okey. Aku tak tahu tempat apa ni tapi aku dapat rasakan tempat ni
mempunyai penghuni yang ramai. Itu apa yang muncul dalam fikiran aku. Jom ikut
aku cari yang lain. Aku nak mereka siasat apa yang aku temui di ruang tamu yang
kedua ini. Aku dapat rasakan ada yang tak kena di sini,” ujar Murazean sambil
memandang di sekeliling ruangan sempit itu sekali lagi dengan bola mata yang
meliar sebelum dia menarik tangan Edinur beralih ke tempat lain pula.
Namun, baru sahaja dia ingin mencapai tangan Edinur, tangannya dicapai
terlebih dahulu dengan penuh kelembutan. Jari-jemari yang terasa agak kasar itu
membelai tangannya membuatkan Murazean kelihatan cukup berang dengan sikap
Edinur yang sememangnya di luar jangkaan. Bagi Murazean, apa yang Edinur
lakukan pada dirinya agak keterlaluan sedangkan Sodiqin sendiri tidak pernah
memegang tangannya sepanjang percintaan mereka terjalin.
Dia hendak menghamun Edinur tetapi tidak jadi berbuat begitu sebaik
sahaja cahaya lampu tersuluh akan tangan yang sedang memegang tangannya kini.
Ia berkerak bagaikan kulit kayu yang mereput. Kuku jari tangan itu meruncing
tajam membuatkan Murazean seakan
terputus nafasnya.
“Ni bukan tangan Psiko. Kalau bukan Psiko, tangan siapa pula?” soal
Murazean dengan suara tersekat-sekat dan nadanya juga sudah mula berubah.
Murazean tidak berani hendak memandang empunya tangan. Tetapi jika dia
tidak melihat, bagaimana dia ingin tahu milik siapakah gerangan tangan yang
sedang menyentuh tangannya ini?
“Tangan atuk, nak. Temankan atuk nak,” ujar suara itu.
Saat Murazean memandang wajah atuk yang amat menggerunkan itu dengan isi
wajah yang menggelebeh jatuh, dia tidak membuang masa lagi lalu membuka langkah
seribu. Murazean merentap tangannya dan melihat tangan atuk itu bercerai dari
badan dan melekat kukuh di pergelangan tangannya. Murazean menjerit nyaring
sambil cuba membuang tangan atuk yang masih melekat di tangannya. Dalam keadaan
kelam kabut, Murazean terlanggar seseorang sehingga jatuh terduduk. Pantas
Murazean memandang ke hadapan untuk melihat gerangan siapakah yang
dilanggarnya.
“Kau ni kenapa, Eyanz? Macam lari maraton dah aku tengok. Siapa yang kau
jumpa? Bacaan EMF kau macam mana? Ada rasa kehadiran entiti?” tanya Edinur
memandang Murazean dengan mendalam.
“Ka... ka... kau. Ta... ta... tadi kau bukan dengan aku ke di ruang tamu
kedua?” tanya Murazean sambil tergagap-gagap.
“Bila masa aku dengan kau? Aku baru aje datang ke sini,” ujar Edinur cuba
membantu Murazean untuk bangun tetapi pantas ditepis oleh gadis itu.
“Kau jangan sentuh aku. Kau jangan ikut aku. Jangan buat apa-apa pada
aku. Aku nak cari Hirma,” balas Murazean, pantas bangun dari tempat dia jatuh
lalu berlari mencari Nurhirmawaty.
Dia tidak mahu menunggu walau sesaat jua. Yang paling penting, dia tidak
mahu memandang wajah Edinur. Ada ketakutan yang mencengkam sanubarinya sehingga
memaksanya menjauhkan diri daripada Edinur.
Jika bukan Edinur dengannya berbual sebentar tadi, dengan siapa pula yang
dia berbual? Tidak mungkin roh-roh di sini dapat menyerupai rupa orang yang
mereka kenali. Sekali lagi Murazean menelan liurnya dengan amat payah sekali.
Edinur terpinga-pinga
mendengar amaran yang diberikan oleh Murazean. Tidak pernah gadis itu berkelakuan
anehsepanjang mereka melakukan aktiviti menjejak
paranormal. Hairan!
“Dah kenapa pula dengan dia ni? Macam-macam perangailah. Bila masa pula
aku ikut dia? Dah terserempak, aku tanyalah. Takkan itu pun salah kot? Hmm...
entahlah,” ujar Edinur, malas hendak memikirkan tingkah Murazean. Edinur
meneruskan tugas yang tergalas di bahunya.