Bab 12 : Pencegahan

Runi Naqiu mengambil gambarnya dengan Ellis Elliza di dalam bilik hotel itu lalu menghantarnya pada Azaharil Anuar menerusi e-mail dengan harapan suami wanita ini akan menceraikannya dengan segera. Rancangannya mesti disegerakan. Sebaik tamat tempoh edah, Ellis Elliza akan dinikahinya dengan segera. Kalau ada halangan Runi Naqiu sudah merancang untuk menikah di Siam! Senyuman terukir mekar di atas bibir Runi Naqiu.

“Aku puas dengan apa yang bakal terjadi. El akan menjadi milik aku sepenuhnya tanpa perlu aku memaksa lagi. Lubuk emas seperti El, mana boleh aku lepaskan begitu saja. Dia mampu buat aku senang.” Runi Naqiu ketawa jahat sejurus selepas itu. Tidak sabar-sabar lagi hendak melihat reaksi Azaharil Anuar apabila melihat gambar adegan mesra mereka itu.

Azaharil Anuar yang baru selesai melayan anak-anaknya makan, berkerut dahi melihat satu mesej masuk melalui e-mail yang sentiasa aktif di telefon pintarnya. Pantas Azaharil Anuar membuka e-mail itu. Melihat sahaja isi kandungannya, amarah Azaharil Anuar meluap-luap sakan. Nafasnya sudah tidak teratur. Penumbuk dikepal kuat-kuat.

“Kurang ajar! Kau perangkap isteri aku ya parasit. Siap kau!” Azaharil Anuar mencapai kunci keretanya dan terus keluar dari rumah. Pada anak-anak sudah dipesan agar menjaga diri kerana dia ada urusan penting. Kini barulah Azaharil Anuar mendapat jawapannya kerapa telefon bimbit Ellis Elliza tidak dapat dihubungi beberapa jam yang lalu.

Sebaik sahaja tiba di hotel murah sebagaimana yang diberikan alamat oleh Runi Naqiu, Azaharil Anuar terus menendang pintu bilik hotel itu. Adegan yang terpapar cukup menyiat-nyiatkan hati lelakinya apabila melihat Runi Naqiu tidak segan-segan membelai wajah Ellis Elliza. Azaharil Anuar mara ke hadapan dan terus menerajang Runi Naqiu yang tidak tahu malu itu.

“Pui! Dengan isteri aku kau main ya. Kau memang manusia durjana. Lelaki yang tak tahu malu. Setan apa yang merasuki kau hah, sampai isteri orang pun kau nak sapu. Tak cukup dengan isteri sendiri? Kasihan mereka dapat suami dan ayah seperti kau!” Azaharil Anuar terus meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya.

Runi Naqiu hanya ketawa besar. “Aku cintakan dia. Memang tak salahlah kalau aku mahu memilikinya. Dia pun sayang pada aku tanpa aku memaksanya. Kalau benar dia seorang isteri yang mencintai kau, tak mungkin dia akan datang pada aku bila aku meminta dia buat begitu. Fikir. Jangan jadi lelaki dayus. Lepaskan dia dan biarkan kami hidup bersama. Mudahkan?” Sengaja Runi Naqiu membakar hati dan jiwa Azaharil Anuar. Harapannya hanya satu iaitu memiliki Ellis Elliza sepenuhnya. Dia mahukan wanita ini untuk melengkapkan keperluannya yang masih kosong. Yang paling penting, poket Ellis Elliza sentiasa penuh dan sudah pasti semua keinginannya akan dipenuhi apabila mereka bergelar suami isteri kelak. Dia ... hanya goyang kaki sahaja. Lelakikan boleh kahwin empat, apa masalahnya jika dia memiliki Ellis Elliza untuk memenuhi kuota.

Azaharil Anuar menyedekahkan senyuman sindiran buat Runi Naqiu. “Kau ingat lepas apa yang terjadi antara kau dan Ellis, aku akan senang-senang lepaskan dia begitu sahaja? Jangan harap atau bermimpi di siang hari. Aku tahu, sesuatu yang kau miliki secara songsang telah mengawal minda wanita-wanita yang menemui kau. Perbuatan terkutuk kau ni, hanya ALLAH akan balas. Mencintai isteri orang pun dah salah, apatah lagi meruntuhkan rumahtangga orang. Ingat baik-baik apa yang aku katakan ni. Aku takkan sesekali melepaskan isteri aku pada sesiapa pun.” Azaharil Anuar menyarungkan pakaian Ellis Elliza yang telah dilucut oleh setan bertopengkan manusia ini sebelum membawanya pergi.

“Jadi, kau sanggup kongsi sisa-sisa aku? Baiknya kau.” Runi Naqiu terus mendidihkan hati Azaharil Anuar.

Sekali lagi Azaharil Anuar melepaskan tumbukan yang bertalu-talu sebelum membelasah tubuh lelaki jahanam itu. Perkataan ‘sisa’ cukup menyiat hati lelakinya.

Mind your words! Dia dah ada anak dengan aku, jadi dia bukan sisa kau. Apa saja yang kau impikan, ia takkan menjadi kenyataan. Takkan. Faham? Mulai dari hari ini, aku takkan benarkan isteri aku berhubung dengan kau lagi mahupun berjumpa dengan lelaki gila seperti kau. Aku akan kawal gerak-geri isteri aku untuk menjauhi orang seperti kau. Penjahanam rumahtangga orang!” Azaharil Anuar terus mencempung Ellis Elliza untuk dibawa ke kereta.

“Kau takkan mampu menghalang aku. Bila dia sedar, dia akan cari aku semula.” Runi Naqiu begitu yakin seratus peratus.

“Bermimpi di siang hari. Saat perbuatan terkutuk kau terbongkar, semuanya akan berakhir. Kau tak akan dan tidak pernah akan dapat dia sampai bila-bila.” Azaharil Anuar terus keluar dari bilik hotel murah itu. Dia tidak mahu lagi memandang wajah Runi Naqiu.

Ketawa Runi Naqiu walaupun keadaan sakit cukup membuat telinganya bagaikan dicucuk dengan jarum peniti. Sakit dan ngilu. Huh!

-------------------------------------------------------------------------------------

Nazira bernyanyi-nyanyi kecil sambil membereskan kerja-kerjanya. Keadaan Nazira yang begitu luar biasa gembiranya telah menarik perhatian Nur Syarida untuk menegur. Entah apalah yang membuat hati Nazira terlalu gembira di saat ini. Tidak pernah Nazira segembira ini. Terdetik juga di hati Nur Syarida untuk mengetahuinya.

“Hai Naz, gembira semacam saja ada apa-apakah?” Mukadimah Nur Syarida untuk mengetahui isi hati teman sepejabatnya itu.

“Sudah tentulah ada yang menggembirakan hati aku. Aku dah tak sabar-sabar ni. Hmm ...” Nazira menggenggam kedua-dua tangannya lalu dibawa ke dagu membuatkan Nur Syarida semakin galak ingin tahu.

“Dah tak sabar-sabar? Kau nak bertunang ke?” Tembak Nur Syarida dengan harapan agar ia mengena.

“Haip. Masih terlalu awallah. Aku baru nak jumpa dia ni setelah lama berbual di maya aje. Dia tu sweet sangat kau tahu. Pandai ambil hati aku. Pandai bergurau dan sentiasa buat aku ketawa. Aku rasa aku dah jatuh cinta dengan dialah, Syar. Aku tak tahu kenapa hati aku sayang sangat dengan dia. Pernah jumpa dia sekali tapi rasa macam tak puas. Kali ni mesti puas kerana hanya ada aku dan dia.” Secara tidak langsung Nazira sudah mendedahkan separuh dari rahsia hatinya.

Gulp! Nur Syarida menelan liur. Entah kenapa hatinya dipanah dengan debaran yang tidak enak sekali. Terlalu ngeri mendengar perkataan ‘sweet’. Entah kenapa hatinya ingin tahu siapakah jejaka yang telah berjaya mencuri hati Nazira.

“Kau nak jumpa dia di mana? Pernah jumpa dia di mana pula?” Sekali lagi Nur Syarida memasang perangkap.

“Aku pernah jumpa semasa perlancaran novel Fadhila Imani. Dan sekarang aku akan jumpa dia di Kulai, Johor. Cuti aku dah lulus. Tak sabarnya tunggu hari Sabtu ni. Aku tak tahu kenapa aku rindu dengan dia. Hailah ... sabarlah hati.” Nazira terus memegang hatinya yang sedang berdebar kencang di kala itu.

Gedebuk! Jantung Nur Syarida seakan terhempas mendengar Kulai, Johor. Dia terlalu fobia mendengar daerah di negeri itu. “Naz, siapa nama lelaki tu?” Nur Syarida sudah berada di hadapan Nazira. Hatinya dipagut dengan rasa yang cukup tidak sempurna.

“Kenapa kau nak tahu?” Nazira seakan mahu berahsia dengan Nur Syarida.

“Beritahulah aku siapa nama lelaki tu? Kenapa aku rasa macam tak sedap hati bila kau nak ke sana. Naz, please...” Pinta Nur Syarida dengan sesungguh hati.

“Tak nak nanti kau kebas pakwe aku. Kau tu bukannya boleh harap. Semua kau nak sapu.” Nazira membekukan dirinya dari memberitahu Nur Syarida.

“Naz, aku merayu pada kau ni. Aku tak ada niat nak rampas pakwe kau. Aku cuma tak nak kau terperangkap dengan jejaka maya. Bukan semua ikhlas terhadap kita. Naz ...” Nur Syarida berusaha memujuk Nazira.

“Hei ... aku tak naklah. Aku yakin dia ikhlas. Boleh tak kau jangan masuk campur dalam hidup aku.” Nazira menggalas tas tangannya untuk beredar setelah masa menginjak ke waktu pulang.

“Naz ... tolong percayakan aku kali ni. Aku mesti tau siapa kau nak jumpa. Aku tak kisah kau nak bercinta dengan siapa pun asalkan ...”

“Asalkan siapa? Aku tak perlukan nasihat kaulah. Aku tak perlukan consultant. Get out of my way!” Nazira memotong kata-kata Nur Syarida dan dia agak bengang di kala itu apabila wanita itu mahu masuk campur di dalam urusan hidupnya.

“Naz, aku bukan nak masuk campur dalam hidup kau tapi aku cuma nak pastikan yang kau nak jumpa tu bukan ...” Nur Syarida masih berusaha menghalang Nazira pergi ke Kulai, Johor tetapi tidak mampu menghabiskan skala ayatnya apabila telefon pintar Nazira berdering kuat. Nazira mengisyaratkan tangannya agar Nur Syarida tidak meneruskan kata-kata yang sedang berlagu di bibir wanita itu.

“Assalamualaikum umi.” Nazira menjawab panggilan telefon yang kini sudah berada di telinganya. Wajah Nazira keruh apabila mendapat berita yang disampaikan oleh uminya. Tiba-tiba sahaja mata Nazira berair. Dia sudah tidak dapat tahan tangisan yang mula berlagu rancak di persada bibirnya.

“Baik umi. Naz pulang sekarang. Assalamualaikum.” Suara Nazira masih serak-serak basah dek kerana menangis.

“Naz kenapa ni?” Nur Syarida turut terjentik ingin tahu.

“Datuk aku meninggal dunia. Aku rasa aku tak dapat nak pergi ke Kulai minggu ni. Aku balik dulu.” Nazira mengesatkan air matanya sambil menaip sesuatu di atas skrin telefon pintarnya. Mungkin menghantar mesej kepada si jejaka untuk memaklumkan bahawa dia tidak dapat penuhi pertemuan antara mereka.

Manakala Nur Syarida pula menarik nafas lega. Entah kenapa hatinya kuat bahawa Nazira ingin bertemu dengan jejaka yang sama ditemuinya. Dia harus menegah Nazira sebelum semuanya terlambat. Walaupun mereka ni rakan seteru tetapi dia masih sayangkan Nazira. Pengalaman mengajarnya sesuatu yang berharga.

----------------------------------------------------------------------------------------

Runi Naqiu agak kecewa dek Nazira membatalkan pertemuan mereka pada hujung minggu ini, maka dia mencari Rabiatul Syafiqah pula.

I’m sitting alone. Tengok hujan turun.” Runi Naqiu menghantar Whatsapp pada sang gadis.

Bibir Rabiatul Syafiqah mengukir senyuman yang cukup ranum mekarnya. Rindukan akulah tu. Lalu jari-jemari Rabiatul Syafiqah laju sahaja membalas mesej Runi Naqiu.

“Ada titisan air mata tak macam lagu Allahyarham Sudirman tu?” Permulaan bicara pada petang itu.

“No.”

“Oh ...”

“Just terkenang sesuatu.”

“Memori kadang-kadang sukar untuk dilupakan.”

“Hahaha ... it is?”

“Yup. Tapi hidup harus diteruskan. Mmm ... Missing my besty dekat Mekah sekarang ni.” Tiba-tiba sahaja hati Rabiatul Syafiqah terasa sayu apabila terkenangkan sahabatnya Ain Nurr di Mekah yang sedang mengerjakan haji bersama suami tercinta.

“Siapa?” Runi Naqiu ingin tahu siapakah yang sedang dirindui oleh Rabiatul Syafiqah kala ini.

“Ain Nurr.” Balas Rabiatul Syafiqah jujur.

“Memang suka perempuan ya?” Seakan ada sesuatu yang tidak kena apabila Rabiatul Syafiqah memberitahu bahawa dia sangat merindui sahabatnya itu.

“Taklah. Seorang sahabat yang selalu beri nasihat. Terlalu rindukannya.”Air mata Rabiatul Syafiqah menitik setitik apabila terkenang Ain Nurr yang tidak pernah lupakan dirinya walau di mana jua wanita itu berada.

Ever miss me?” Runi Naqiu sengaja menguji hati Rabiatul Syafiqah.

“Ngee ... soalan jenis apa ni? Takkanlah baru kenal dah nak main rindu-rindu? Aku ni bukanlah jenis suka merindu pada orang yang baru aku kenal. Hmmm, kena mengelak ni. Malas nak layan.” Bibir Rabiatul Syafiqah mengomel sakan sambil mencebik pada Runi Naqiu.

“Runi ... Fiqa dah nak balik ni dari pejabat penerbit ni. Tadi tunggu aggrement dari penerbit. Sekarang dah dapat. Jumpa lagi.” Pantas jemari Rabiatul Syafiqah menghantar mesej pada Runi Naqiu.

“Okey, baik-baik. You are nice person Fiqa. Go ... Baik-baik.”

“Terima kasih Runi.” Penamat perbualan antara dua insan.

---------------------------------------------------------------------------------------

Ellis Elliza tersedar dari lena yang panjang. Kepalanya rasa berat sahaja. Dia tidak tahu apakah yang sudah terjadi pada dirinya. Dia bingung kenapa dia boleh berada di rumah sedangkan seingatnya dia masih berada di hadapan Runi Naqiu sambil mencium harumnya jambakan bunga yang diberikan Runi Naqiu kepadanya. Ellis Elliza menarik nafas panjang lalu pandangannya melurus ke arah Azaharil Anuar yang baru selesai mandi.

“Abang, apa yang telah berlaku? Bagaimana mama boleh ada di rumah kita? Mama bingung.” Ellis Elliza mengharapkan jawapan daripada Azaharil Anuar.

Azaharil Anuar memberikan senyuman yang paling manis buat Ellis Elliza, isteri yang terlalu dicintainya walaupun kini tercemar dengan perlakuan sumbang oleh manusia durjana yang bertopengkan syaitan.

“Mama tak perlu fikirkan apa-apa. Semua yang terjadi telah termaktub di dalam kitab dugaan. Sekarang ni mama hanya perlu fokus pada keluarga kita, ya mama.” Mulusnya Azaharil Anuar mendamaikan hati Ellis Elliza.

Ellis Elliza terdiam seketika. Dia masih memandang wajah mulus dan telus Azaharil Anuar. Dia tidak puas hati selagi Azaharil Anuar tidak memberitahu padanya apakah yang telah berlaku.

“Abang, tolonglah beritahu mama apa yang terjadi? Mama perlu tahu, abang.” Ellis Elliza memujuk dan sedikit menekan, namun Azaharil Anuar tidak mengendahkannya.

“Mama perlu banyak berehat. Tidurlah dan semuanya akan pulih seperti sediakala bila mama bangun esok. Percayalah.” Azaharil Anuar mencium dahi Ellis Elliza dan memujuknya agar terus tidur.

Ellis Elliza merasakan bahawa dia sudah terlalu lama tidur dan dia tidak mahu tidur lagi. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Entah kenapa dia merasakan seluruh anggotanya terlalu sakit. Sakit yang tidak boleh diceritakan pada sesiapa. Emosi Ellis Elliza juga tidak stabil sekarang ini. Tiba-tiba sahaja air matanya deras turun tanpa dipinta.

“Abang, mama rasa mama dah terlalu lama berehat. Badan mama sakit sangat abang. Apa yang terjadi pada mama sebenarnya? Mama rasa mama macam ...” Ellis Elliza tidak dapat meneruskan apa yang ingin dikatakan.

“Shyy ... mama jangan banyak fikir. Emosi mama tak stabil lagi tu. Esok abang nak ajak mama pergi jumpa dengan ustazah. Abang yakin ada sesuatu yang tak kena dengan mama. Abang tak mahu mama terperangkap lagi dalam sebuah hubungan ilusi. Mama ikut abang ya?” Azaharil Anuar memujuk Ellis Elliza yang masih tidak tenteram lalu lelaki itu menarik si isteri ke dalam pelukannya.

Ellis Elliza terus tersedu di dalam pelukan Azaharil Anuar. “Kenapa mama rasa mama tak berguna abang? Mama tak pandai jaga diri. Mama tak pandai jaga status mama sebagai seorang isteri. Mama mengkhianati abang. Maafkan mama abang.” Ellis Elliza terus meluahkan apa yang terbuku di dalam dadanya.

“Shyy ... semua terjadi adalah dugaan di dalam rumahtangga kita. ALLAH ingin menguji sejauh mana kita mampu bersabar dan menghormati satu sama lain serta bersyukur dengan jodoh yang diberikannya. Setiap manusia ada melakukan kesilapan. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, begitulah dengan kita sebagai manusia biasa yang tidak sunyi dari melakukan kesilapan. Abang tak pernah memandang hina pada mama. Kita akan pulihkan semuanya. Percayalah.” Azaharil Anuar terus memujuk Ellis Elliza yang masih tersedu.

“Abang, mama rasa mama tak layak buat abang.”

“Jangan cakap macam tu. Mama adalah anugerah terindah buat abang.”

“Mama tak tahu kenapa mama boleh jatuh cinta lagi sedangkan mama terlalu sayangkan abang. Mama bingung abang.” Adu Ellis Elliza.

“Tak apa. Kita akan pulihkan segala-galanya. Kita tak akan bagi peluang pada syaitan untuk merosakkan rumahtangga kita. Ya sayang. Rehatlah. Jangan fikir apa-apa lagi. Abang nak lihat mama bahagia dan gembira.” Azaharil Anuar terus melagukan alunan kata-kata yang mampu membuai perasaan Ellis Elliza di kala itu.

Ellis Elliza mengangguk lemah. Dan mengikut sahaja kehendak Azaharil Anuar yang mahu melihatnya berehat.

Bagi Azaharil Anuar pula dia begitu yakin Runi Naqiu mengamalkan ilmu hitam sehingga tiada wanita yang tidak akan terjatuh di dalam perangkap asmaranya. Azaharil Anuar akan menyiasat akan hal itu. Dia telah pun mengupah penyiasat persendirian sekali lagi untuk mengetahui aktiviti Runi Naqiu selanjutnya. Dia tidak akan puas selagi tidak mendedahkan siapakah Runi Naqiu yang sebenarnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.