Me on
SMS with your hubby. Time to respect. Check with him nanti. Abang cinta El... Satu teks pesanan ringkas diterimanya melalui Whatsapp membuatkan Ellis Elliza terpana
seketika. Bagaikan taufan sedang melanda diri pada waktu itu. Peluh mula merenik
di dahi. Dada Ellis Elliza berombak kencang. Nafas Ellis
Elliza sudah tidak menentu percaturannya.
“Gila! Berani dia hantar sms pada hubby aku. Mesti hubby akan mengamuk
sakan. Dia tak ada akal ke hantar sms begitu? ALLAH, apa aku nak jawab
nanti?” Beberapa kali Ellis Elliza
meneguk air liurnya. Terasa amat payah sekali hendak menuruni rengkung.
"Abang mesej apa pada suami El?"
Ellis Elliza cuba bertenang ketika membalas Whatsapp
dari lelaki itu.
"Abang minta El dari suami El.
Abang dah buktikan pada El, abang sangat cintakan El." Balas si penghantar
Whatsapp.
Ellis Elliza terdiam seketika. Ellis
Elliza pasrah. Apa pun yang akan terjadi selepas ini, Ellis Elliza reda. Ya,
Ellis Elliza mencintai lelaki itu. Tapi Ellis Elliza ada suami, ada anak-anak.
Bagaimana mungkin seorang perempuan mencintai dua lelaki. Ellis Elliza menanti
dalam debar. Seketika kedengaran derapan bunyi tapak kaki menghampiri bilik.
Ellis Elliza cuba bertenang.
“Mama! Buka pintu ni." Suara
Azaharil Anuar sedikit tegang namun masih memelihara kelembutannya.
“Ya abang.” Ellis Elliza menyahut seraya
membuka pintu bilik.
Wajah Azaharil Anuar memang tegang
seiring dengan suaranya. Azaharil Anuar cuba bertenang sambil memandang wajah
isteri yang dicintainya.
“Ada apa-apa yang mama nak bagitahu abang?
Mama nak berterus terang?” Azaharil Anuar memandang tepat ke anak mata Ellis
Elliza.
Ellis Elliza tidak mampu berkata-kata.
Tidak sampai rasa di hati melukakan hati seorang suami. Azaharil Anuar terlalu
baik untuk disakiti. Tidak mungkin Ellis Elliza mengeluarkan perkataan yang
boleh merobek hati seorang suami yang telah 15 tahun bersamanya. Tiada cacat
celanya Azaharil Anuar, malah ramai yang memuji keperibadiannya. Ellis Elliza
mengakui, cinta pada Azaharil Anuar semakin pudar setelah kehadiran seorang
lelaki yang ditemuinya di alam maya. Dari alam maya mereka bertemu di alam
nyata. Tertarik dengan rayuan kata-kata manisnya akhirnya Ellis Elliza
tersungkur juga.
Puas Ellis Elliza cuba mengelak namun
Ellis Elliza termakan juga dengan kata-katanya 'cinta itu anugerah dari ALLAH.
Percayalah, ia datang dari syurga'. Ellis Elliza terasa bahagia setiap kali
bersama cintanya, tidak kira di maya atau nyata.
“Jangan ingat abang akan lepaskan mama.
Abang takkan lepaskan mama setelah abang lafazkan akad. Mama milik abang
selama-lamanya, walaupun ada parasit yang sedang mengganggu gugatkan hubungan
kita suami isteri.” Azaharil Anuar bersuara tegas dalam lembut, mematikan
lamunan Ellis Elliza.
Mama tahu mama telah menduakan abang. Mama
mengaku mama gembira dengan kehadiran dia. Dia telah menceriakan hari-hari mama.
Dia yang membuat mama menangis, dia juga yang membuat mama ketawa. mama cinta
dia, tapi sayang mama pada abang tetap ada. Ellis Elliza hanya mampu berkata
dalam hati. Tidak sampai rasa hati menyakiti hati suami.
“Mama ... I love you so much. Since first day I met you.” Ucapan Azaharil
Anuar begitu mencengkam lubuk sanubari Ellis Elliza.
Abang cukup baik. Ellis Elliza bergenang
air matanya. Azaharil Anuar sedikit pun tidak meninggikan suara walaupun
keadaan mereka di kala ini cukup tegang. Azaharil Anuar tidak melatah
berhadapan dengan situasi ini. Situasi yang sedang menguji rumahtangga mereka.
Ellis Elliza cukup bertuah memiliki suami seperti Azaharil Anuar yang cukup soft spoken. Dia terlalu baik. Ellis Elliza
cukup beruntung memiliki suami seperti Azaharil Anuar. Air mata yang bergenang
di tubir mata dan kini sedang jatuh bagaikan titisan embun pagi di pipi Ellis
Elliza disapu lembut oleh Azaharil Anuar membuatkan Ellis Elliza sedikit
teresak di dalam pelukan suaminya.
Diakah suami yang harus aku sakiti? Oh,
TUHAN!
----------------------------------------------------------------------------------------
‘Hati ini semakin merindui jika
sehari tidak menerima mesej dari dirimu, tampan.’ Jari-jemari Nur
Syarida sedang rancak menari di atas papan kekunci telefon pintar yang
dimilikinya.
‘Hati ini juga begitu manisku,
Syar. Kenapa lambat mesej Runi hari ni?’ Runi Naqiu si
hero di alam maya juga lincah menarikan jari-jemarinya di atas papan kekunci
telefon pintar membalas mesej-mesej yang dihantar oleh Nur Syarida.
‘Syar sibuk sikit Runi. Ramai
pula pelanggan yang telefon untuk menempah destinasi percutian. Maaf ya. Tapi
Syar nak Runi tahu bahawa ingatan Syar tidak sedikit pun lupakan Runi.’ Nur
Syarida masih mengatur ayat kasih. Entah kenapa dia suka sangat bermesej dengan
Runi Naqiu. Mungkin cara Runi Naqiu melayannya tidak sama dengan lelaki-lelaki
lain melayaninya. Runi Naqiu cukup menghiburkan hatinya dan sering membuatkan
bibirnya sentiasa tersenyum mahupun ketawa. Cukup sukar untuk menyingkirkan
Runi Naqiu dari hidupnya.
‘Iya ke? Runi rasa bertuah sekali
memiliki Syar sebagai teman. Susah untuk melepaskan Syar dari ingatan Runi
walaupun sesaat.’ Mesej balasan daripada Runi Naqiu mampu membuat Nur
Syarida tersengih sendiri.
‘Aduh Runi! Syar rasa mahu
melayang saat ini terus berada di sisi Runi. Syar nak sentiasa dekat dengan
Runi. Boleh ke? Susah Syar nak bernafas tanpa Runi di sisi. Runi bagaikan
oksigen buat Syar.’ Nur Syarida terus mengayat Runi Naqiu membuatkan
pemuda itu hanyut dengan kata-kata Nur Syarida.
“Haa ... kau mesej dengan siapa tu? Sekejap-sekejap tersengih, dah macam
orang tak betul aku tengok.” Nazira yang baru keluar dari bilik bos terus
menegur Nur Syarida yang cukup asyik dan leka dengan telefon pintarnya.
“Dengan mamat ni la. Aku sukalah chatting dengan dia. Pandai dia ambil
hati aku dan buat aku ketawa. Aku betul-betul senang dengan dia.” Balas Nur
Syarida masih lagi mengajak jari-jemarinya menari.
“Hati-hati sikit. Takut kau kecewa nanti.” Nasihat Nazira.
Terangkat sedikit kening Nur Syarida memandang kepada Nazira. “Aih, macam cemburu je? Kalau kau kenal dengan mamat ni,
pasti kau pun akan cair dengan dia.”Sengaja Nur Syarida menyuntik jarum yang
beracun pada Nazira.
“Eee... Tolonglah! Aku bukan kaki chattingmacam kau. Tak ada kerja nak
menatap skrin telefon tu berjam-jam. Tak ada faedah pun.” Nazira mencebik dan
tidak suka diri diperlekeh sebegitu rupa. Lagipun, jarang dia hendak
mempercayai jejaka maya. Banyak auta dari benarnya. Samalah seperti Nur
Syarida, sudah banyak pemuda maya yang diayatnya. Bukannya dia tidak tahu.
Sudah banyak nasihat yang terlontar keluar dari mulutnya buat Nur Syarida
tetapi tidak satu pun melekat di kepala otak sahabatnya itu. Makin menjadi-jadi
adalah. Nazira menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kau nak tak kalau aku kenalkan kau dengan
dia? Mesti hati kau digaru-garu kalau sehari tak dapat mesej dari dia. Kau akan
rasa betapa diri dihargai dan disayangi.” Nur Syarida memandang sekilas pada
Nazira sebelum kembali menatap skrin telefon pintar.
“Ops. Sorry. I’m not interested.
Dari tak ada penyakit, nak aku cari penyakit? Buat sakit jiwa raga aku yang
sedang harmoni ni. Aku nak keluar lunch
ni, kau tak nak ikut?” tanya Nazira pada teman sekerjanya.
“Aku dah kenyang terima mesej si Runi. Ah, aku
dah jatuh cintalah dengan dia.” Balas Nur Syarida sambil mencium skrin telefon
pintar seolah-olah Runi Naqiu berada di hadapannya.
Geli pula Nazira melihat aksi itu. Makin
bertambah-tambah meluatnya pada Nur Syarida. Sebaik sahaja Nazira keluar, Nur
Syarida terus terlontar ketawanya terbahak-bahak. Puas hatinya dapat
menyakitkan hati Nazira yang cukup liat untuk bersosial di alam maya. Nazira
hanya ke alam maya jika ada tujuan tertentu tetapi bukan untuk berfoya-foya
sebagaimana Nur Syarida. Alam maya bagaikan nyawa bagi Nur Syarida. Begitu juga
dengan Runi Naqiu.
------------------------------------------------------------------------------------------
“Ni yang aku tak suka. Baru saja accept
friend request di facebook, terus
nak chat dengan kita. Cepat sungguh.
Bagilah sehari dua. Huh!” Rabiatul Syafiqah merungut-rungut mendapat mesej
daripada teman baru di alam maya yang bernama Runi Naqiu. Nafasnya ditarik
panjang-panjang.
“Kau ni kenapa Atul? Rungut memanjang?” Mariana atau dikenali dengan Mak
Nana Vougue yang merupakan emak
kepada Rabiatul Syafikah menegurnya.
“Amboi mak. Pakai lip lap lip lap ni nak pergi mana? Hias mengalahkan Atul.
Melaram sakan nampak? Macam vougeje?”
Ish, mak aku ni memang kaki melaram. Kalau hendak keluar, berhias bukan
main lagi. Mekap jangan cakaplah. Pelupuk mata tu dah jadi warna pelangi pun.
Itu tak ditambah lagi dengan warna gincu yang mengalahkan orang muda. Warna
pink tahu? Sekali pandang, nampak aku pula adik mak. Mana tak hangatnya hati
ni. Ada ke patut?
Itu baru bahagian wajah, tak masuk lagi part
Whatsapp, Viber, We Chat, Line, Kakao Talk, Instagram, Facebook dan Twitter,
cakap apa saja application hendak
berhubung dengannya, semua dia ada. Mak aku ni selain vougue memang moden habis. Mak kau orang ada? Rabiatul Syafiqah
menggeleng-geleng kepala melihat Mak Nana Vougue.
“Hei, ingat ya. Kita kalau hendak ke mana sahaja walaupun tempat itu
sekentut, kenalah berhias. Mana tahu kot-kot depan kedai Pak Mat tu bertemu
jodoh? Haa .. kau kena ikut cara mak ni, Atul. Ubah cara kau barulah jodoh akan
tiba dengan senang.” Mak Nana Vougue terus membetulkan mekapnya agar kelihatan
sempurna.
Ini sudah lebih. Kutuk aku pula. Mak aku ni la. “Haih, mak perli Atul
nampak. Siapa datang ambil mak ni?” tanya Rabiatul Syafiqah malas hendak
memanjangkan lagi kutukan percuma Mak Nana Vougue terhadap dirinya.
“Kak Fatin Vavavoom kaulah yang ambik mak. Kami nak pergi kenduri Tan Sri.
Itulah kau, bila mak ajak ikut sekali tak nak. Asyik terperuk kat rumah aje,
mana nak dapat jodoh? Hah, tadi tu Atul rungut apa?” tanya Mak Nana Vougue.
“Ada orang request friend kat fb. Bila kita accept, mulalah nak PM. Malas betullah Atul nak balas. Tak
betul-betul bersedia lagi nak chat
dengan dia. Entah siapalah yang bagi ID
Atul ni. Bukan semua tahu Atul ada fb
selain mereka yang terdekat saja.” Rabiatul Syafiqah menarik nafas lagi.
“Siapa nama dia?” tanya Mak Nana Vougue
“Runi Naqiu.” Balas Rabiatul Syafiqah ringkas.
“Sedap. Mesti tampan. Eh, balaslah mesej dia. Mana tahu dia jodoh kau. Tak
reti bersosial langsung kau ni. Kenal-kenal dulu apa salahnya? Chat ... chat ... cepat sikit aku dapat
menantu. Ingat, umur kau tu bukan muda lagi. Tahun depan dah 39, nak tunggu
siapa lagi. Orang lain dah dapat cucu, aku ni sorang cucu pun tak ada.” Selamba
sahaja Mak Nana Vougue mengenakan Rabiatul Syafiqah.
Amboi mak aku ni. Kalau bab kutuk aku serahlah kat dia. Sampai berbukit
nanah telinga aku ni dengar bebelan dia. Ingat cari pasangan macam cari baju
ke? Rembat siapa saja. Hish! “Nantilah mak. Biarlah dia tunggu dulu. Nanti dia
ingat Atul ni gelojoh pula. Haa, tu Kak Fatin Vavavoom dah datang, jalan
baik-baik.” Rabiatul Syafiqah seakan menghalau Mak Nana Vougue bila melihat
kereta Kak Fatin Vavavoom sudah tiba di muka pintu.
“Aih, halau aku nampak? Mak nak pergilah ni. Jangan lupa chat. Bakal menantu tu.” Sempat lagi Mak
Nana Vougue berpesan pada Rabiatul Syafiqah.
“Mak aku ni, sempat lagi dia pesan. Hmm .. hamba Allah manalah yang
bertangungjawab bagi ID FB aku ni
pada si Runi Naqiu.” Rabiatul masih berteka-teki.
Seketika kemudian dia mendapat mesej dari kotak We Chatnya.
‘Aku kenalkan kau dengan sorang
mamat ni. Sweet talker dan kau pasti takkan menyesal kenal dengan dia. Selamat
berkenalan ya. Tak salah kalau kau kenal-kenal dulu. Bukan suruh kahwin pun.
Oh, ya nama dia Runi Naqiu.’ Begitulah bunyi mesej dari sepupunya
yang bernama Rozlina.
Soalan yang berlegar di kepala Rabiatul Syafiqah sebentar tadi kini
terjawab segalanya.
“Hantu kau Roz! Bila masa pula aku kata dah ikhlas nak berkenalan dengan
lelaki ni?” Rabiatul Syafiqah menjerit nyaring setelah tahu siapakah yang
bertanggungjawab memberikan ID
facebooknya kepada sang jejaka. Rabiatul Syafiqah masih tidak dapat
menerima apa yang dilakukan oleh Rozlina walaupun dia tahu niat sepupunya itu
baik. Aduh! Pusing kepala Rabiatul Syafiqah.