BAB 17 : Pembongkaran

Faridadli tiba di tempat kerja Nur Syarida dalam keadaan yang sedikit tergesa-gesa dan membisikkan sesuatu pada Nur Syarida. Kemudian, mata kedua-duanya terlayang dan melekat ke arah Nazira yang agak tajam memandang mereka. Sebetulnya, antara Nazira dan Nur Syarida masih lagi perang dingin, maka dengan itu Nazira hanya melihat sahaja gelagat Nur Syarida tanpa bersuara.

Eh, apasal dua-dua mereka pandang aku semacam eh? Huh! Tak pasal-pasal aku yang jadi mangsa santapan mata mereka. Omel Nazira di dalam hati. Anak matanya terus mengekori Nur Syarida dan lelaki itu memasuki bilik Datuk Al-Arizal Farass.

“Kenapa mereka masuk ke bilik datuk ya? Ada hal penting agaknya? Eh, kenapa tiba-tiba menyibuk ni? Lantak merekalah nak buat apa pun. Tak ada kena-mengena dengan aku okey. Asalkan mereka tak kacau hidup aku, itu dah cukup memadai.” Nazira berbicara dengan dirinya sendiri sebelum menyambung tugasan yang tertunggak.

Seketika kemudian Nur Syarida dan Faridadli keluar dari bilik Datuk Al-Arizal Farass. Sekali lagi mata Nazira terhenti dari melakukan tugasannya dan melirik ke arah pasangan itu. Nampak bahagia sekali. Entah kenapa, Nazira tidak dapat menahan matanya dari terus memerhatikan gelagat Nur Syarida yang agak mencurigakan itu. Hatinya dipanah debaran rasa secara tiba-tiba. Dia tidak tahu kenapa.

Eh, kenapa aku pula berdebar semacam ni. Seakan ada yang tak kena saja. Dah .. dah ... syhh ... syhh ... nyah kau perasaan yang tak enak ni. Nazira cuba menenangkan dirinya sebelum mengajak matanya ke arah skrin komputer semula.

Apa yang sedang ditaipkan oleh Nazira terhenti mendadak apabila terasa bahunya disentuh. Kus semangat. Syar ni lah ... buat aku terkejut saja. Gumam Nazirah di dalam hati.

“Kenapa dengan kau ni? Nak apa?” tanya Nazira agak kasar dan tidak mesra alam.

“Jom ikut aku.” Tiba-tiba sahaja Nur Syarida mengajak Nazira mengikutnya.

Bertambah-tambah banyak kerutan yang kelihatan di dahi Nazira. Eh, suka-suka hati suruh aku ikut dia. Ada apa sebenarnya ni? Nazira masih lagi berteka-teki dengan sikap aneh Nur Syarida.

“Ke mana?” tanya Nazira yang merasa agak pelik.

“Kebenaran dah terbongkar. Segala-galanya dah terdedah sekarang. Kau perlu tahu. Kau perlu tahu semuanya.” Nur Syarida menyimpan data-data yang baru ditaip oleh Nazira di dalam thumbdrive sebelum dia mengambil tas tangan Nazira dan menyangkut ke bahu wanita itu.

Tergamam Nazira dengan perlakuan pelik Nur Syarida. Cukup aneh di pandangan matanya. “Apa yang terdedah? Apa yang terbongkar? Kenapa aku pula yang perlu tahu?” Balas Nazira yang masih tidak berganjak dari tempat duduknya.

"Kenapalah kau liat sangat nak mempercayai aku. Ini semua untuk keselamatan kau." Kedengaran Nur Syarida mengeluh berat sebelum memandang tepat ke anak mata Nazira semula.

“Kerana kau terlibat dengan si setan bertopeng ni juga. Jadi, kau harus ikut kami untuk mengetahui kebenarannya. Setelah itu, kau buatlah keputusan yang terbaik untuk diri kau dan aku takkan ganggu lagi hidup kau. Ini usaha aku yang terakhir. Tolong percaya aku hanya untuk sekali ini saja.” Nur Syarida sedikit merayu kepada Nazira yang masih berdegil.

“Naz, kegiatan dia harus didedahkan. Sayang kalau wanita sebaik Naz jatuh ke tangan dia. Tak berbaloi. Tolong percayakan kami untuk kali ni saja.” Faridadli pula meraih kepercayaan Nazira.

Nazira tidak mempunyai pilihan selain terpaksa mempercayai mereka dan membiarkan mereka membawa dia ke mana sahaja mereka suka. Nazira yakin ada sesuatu yang ingin mereka tunjukkan buat dirinya. Dia berharap ... ya amat berharap agar apa yang mereka ingin dedahkan cukup berbaloi untuk dia mempercayai mereka. Nazira seakan redha dengan ketentuan ALLAH SWT.

----------------------------------------------------------------------------------------------

“Hai Fiqa tengah buat apa tu?” Runi Naqiu menghantar mesej buat Rabiatul Syafiqah. Dia mana boleh tidak bermaya. Bermaya itu bak jantung baginya perlu sentiasa berdegup untuk meneruskan hidup. Sunyilah hidupnya nanti. Yang paling penting adalah mengumpul dana demi kesenangan hidupnya tanpa perlu bersusah-payah berusaha. Ada cara senang, buat apa menggunakan cara susah. Iya kan?

“Fiqa tengah layan drama Suamiku Encik Sotong. Bestlah cerita adaptasi dari hasil karya Syikin Zainal.” Rabiatul Syafiqah jujur menjawab pertanyaan Runi Naqiu di laman whatssappnya.

“Wah, tentu menarikkan?” Runi Naqiu menyelesakan dirinya dalam melayan Rabiatul Syafiqah.

“Tentulah menarik. Pelakon yang dipilih pun bukan calang-calang. Bertuah penulis yang karyanya terpilih. Bukan senang tau.” Terang Rabiatul Syafiqah lagi.

“Tengok dengan siapa tu?”

“Dengan mak Fiqalah. Suamikan tak ada lagi.”

“Kalau Runi ajak melancong nak tak?” Inilah tujuan utama Runi Naqiu melayangkan mesej buat Rabiatul Syafiqah.

Bergaris-garis dahi Rabiatul Syafiqah memandang pada mesej yang tertera di laman aplikasinya. Terganggu sedikit rancangan yang sedang ditontonnya. Amboi, nak ajak aku melancong sedangkan jumpa pun belum lagi. Berani sungguh dia. Aku pula ... nak ke pergi melancong dengan dia. Entah siapa-siapa dia ni. Eh, tak naklah. Ngee ... Rozlina ni pun satu, lepas dia kenalkan terus dia lesap. Bertuah punya sepupu. Omel Rabiatul Syafiqah di dalam hati

“Biar benar ni?” Sengaja Rabiatul Syafiqah berlelucon.

“Iya, benar ni. Runi nak ajak Fiqa ke Gold Cost Australia. Jomlah. Ellis ada di sana, boleh kita jumpa dengan dia sekali. Boleh gathering atau lakukan aktiviti menarik di sana.” Pujuk Runi Naqiu.

Mak aiii ... nak ajak pergi Australia tu. Jauh bebeno ... kenapa tak ajak pergi ke kutub selatan ke atau kutub utara. Dia ingat aku banyak duit sangat nak pergi jauh-jauh ni. Lebih baik aku pergi buat umrah, lagi afdal. Dapat pahala berganda. Siapa nak keluarkan duit ni. Rabiatul Syafiqah sudah tidak enak berbual dengan Runi Naqiu.

“Runi belanja ke?” sengaja Rabiatul Syafiqa memasang perangkap sedangkan kalau Runi Naqiu belanja pun dia tidak mahu mengikut lelaki yang tidak dikenali itu ke sana. Berdua pulak tu ... ngee mengerikan.

“Fiqalah belanja Runi. Sekali sekala takkan tak boleh. Runi boleh belanja tempat penginapan kita. Tak perlu dua bilik, sebilik cukup. Lagipun, Runi bukannya nak buat apa-apa dengan Fiqa. Kita buat bilik tu bilik persalinan dengan tidur saja. Kalau Fiqa setuju, nanti Runi tempah tiket untuk kita berdua.” Runi Naqiu nampak bersungguh-sungguh.

Bulat mata Rabiatul Syafiqah memandang ke arah skrin telefon pintarnya. Amboi mak, suka hati atuk nenek dia saja nak ajak aku ke Australia tapi tiket aku yang kena belanja pergi balik sudah semestinya. Bilik nak tempah satu saja, ingat aku hadap sangat nak tidur sebilik dengan lelaki bukan muhrim walaupun di negara barat. Boleh jalan daa ... tak ingin aku. Mengerikanlah mamat ni. Perancangan dia bagus sekali nak bawa aku terpesong dari landasan ALLAH. Minta simpang malakaikat 44. Ingat maruah aku semurah gadis bohsia ke? Heee ... Rabiatul Syafiqah semakin tidak enak dengan Runi Naqiu seakan sudah nampak tembelangnya.

“Maaf Runi, Fiqa tak boleh janji sebab Fiqa banyak projek yang perlu disiapkan dalam waktu terdekat. Mungkin Runi boleh pergi dengan orang lain saja. Lagipun, sayang kalau Fiqa kehilangan projek mega ni. Maaf ya Runi.” Tak mahulah aku nak pergi dengan kau. Hilang akal sungguh kalau aku setuju dengan rancangan kau. Maaflah Runi Naqiu, rancangan anda tidak berjaya. Boleh cuba pada wanita lain. Ejek Rabiatul Syafiqah di dalam hati. Memang hilang akallah kalau dia buat sesuatu yang tidak pernah dia buat. Nak kena kerat 20 dengan Mak Nana Vougue? Minta nyawaaa ..

“Tak apalah kalau Fiqa tak sudi. Nak buat macam manakan. Bukannya Runi boleh paksa.” Runi Naqiu seakan sedang memanipulasi minda Rabiatul Syafiqah di kala ini.

“Runi, ada saudara datang rumah Fiqalah. Kena off sekarang. Jumpa lagi.” Rabiatul Syafiqah segera ingin menamatkan perbualan mereka. Tidak sanggup lagi untuk melanjutkannya. Sikap Runi Naqiu agak mengerikan dirinya. Dia mula berasa tidak sedap hati.

--------------------------------------------------------------------------------------------

Baru sahaja Rabiatul Syafiqah ingin bersenang lenang menonton drama Suamiku Encik Sotong, kedengaran satu lagi mesej masuk di kotak aplikasi LINE telefonnya. Mengeluh Rabiatul Syafiqah seketika.

Siapa lagi yang mengganggu aku ni. Tak senanglah tengok orang senang. Nak tengok TV pun susah. Heee ... Namun, telefon pintarnya dibawa juga ke dalam genggaman.

El. Apa yang dia nak? Rabiatul Syafiqah terus membuka aplikasi LINEnya untuk melihat mesej yang penuh daripada Ellis Elliza.

Oh, bertanya khabar rupanya. Cukup ambil berat si El ni ya. Aku suka dengan sikap prihatinnya. Rabiatul Syafiqah tersenyum seketika dengan sikap Ellis Elliza. Tidak hairanlah jika orang mudah jatuh cinta dengannya.

“Fiqa tengah buat apa tu?” tanya Ellis Elliza setelah bertanya khabar.

“Tengah tengok Suamiku Encik Sotong adaptasi dari novel Syikin Zainal. Sambil-sambil tengah mencari idea untuk mengetengahkan novel seram Kubur Bernyawa pula dari Ebriza Aminnudin untuk slot seram. Nak buat paper work tak ada idea, jadi rehatkan minda dulu.” Jujur Rabiatul Syafiqah memberitahu aktivitinya kepada Ellis Elliza. Entah kenapa dia mula senang dengan wanita itu.

Paper work ada artwork ke?” tanya Ellis Eliza untuk mendapat kepastian.

“Ya. Ellis tahu ke buat artwork? Fiqa memang fail sikit kalau artworkni. Paper work masih okey lagi.” Rabiatul Syafiqah suka mencambahkan idea di dalam penceritaannya agar tidak bosan mereka yang berbual dengannya.

“Nanti Ellis tolong Fiqa buat artwork.” Ellis Elliza menawarkan khidmatnya. Dia sememangnya suka jika diberi tugasan dalam membuat artwork.

“Terima kasih Ellis.” Rabiatul Syafiqah cukup terharu dengan tawaran pertolongan daripada Ellis Elliza. Dia amat berharap pihak KRU Production menerima usulnya di dalam mengetengahkan Kubur Bernyawa untuk diadaptasi memandangkan rating novel ini agak tinggi dan diminati oleh peminat genre seram.

“Sama-sama. Fiqa, Ellis ada sesuatu nak beritahu ni.” Ellis Elliza sudah sampai ke pokok tujuannya menghantar mesej buat Rabiatul Syafiqah.

“Ellis nak beritahu apa?” Dada Rabiatul Syafiqah sudah dilambung ombak yang ganas. Berdebar bagaikan hendak pecah dirasakannya.

“Ellis sekarang ada di Australia. Gold Cost, Australia. Ellis balik kampung. Ellis tak ada di Malaysia.” Bunga-bunga bahasa sudah masuk ke arenanya.

“Wow, bestnya. Bolehlah pergi Movie World, Dreamworld dan Sea World.” Rabiatul Syafiqah teruja mendengarnya.

“Ya. Memang ada planpun nak ajak anak-anak ke sana. Fiqa tak teringin ke nak datang ke sini?” tanya Ellis Elliza mengumpan Rabiatul Syafiqah.

Gila tak teringin. Dah lama aku idam-idamkan untuk ke sana. “Teringin tu teringinlah juga sebab tak pernah ke sana lagi.” Masih jujur dalam memberi jawapan.

“Kalau teringin datanglah sini. Fiqa ambik Air Asia flight. Murah saja. Lepas sampai ke lapangan terbang antarabangsa Gold Cost, telefon Ellis. Ellis boleh datang ambik Fiqa. Tak payah sewa hotel bagai, Fiqa duduk di rumah Ellis saja. Jimat kos. Nanti Ellis bawa Fiqa jalan-jalan. Jomlah.” Beria-ia Ellis Elliza memujuk Rabiatul Syafiqah ke tempatnya.

Seribu garisan yang muncul di dahi Rabiatul Syafiqah dengan perlawaan tiba-tiba daripada Ellis Elliza. Eh, tadi Runi ajak aku ke Gold Cost. Ni Ellis pula. Mereka berdua ni ada rancangan apa yang sebenarnya terhadap aku? Macam mana aku nak penuhi kehendak kedua-duanya sedangkan aku tak kenal pun siapa mereka ni. Jumpa pun tak pernah. Dia orang memang gila. Rabiatul Syafiqah menghela nafas yang amat berat.

“Maaf Ellis, Fiqa bukan tak nak ke sana. Tawaran Ellis memang bagus tapi mak cik Fiqa sakit. Fiqa takut kalau jadi apa-apa, Fiqa tak sempat nak balik ke sini. Fiqa tak berani nak ambil sebarang risiko.” Dia berkira alasan itu cukup kukuh untuk dipersembahkan buat Ellis Elliza.

Ellis Elliza terasa hampa sekali dengan penolakan Rabiatul Syafiqah untuk bertemu dengannya. Hanya bayar duit tiket sahaja pun Rabiatul Syafiqah tidak mampu memenuhi permintaannya tetapi betul juga apa yang dikatakan oleh wanita itu, jika ada apa-apa terjadi pada mak ciknya, susah pula dia hendak pulang. Australia dan Malaysia bukannya dekat. Pasti dia pula akan rasa bersalah.

“Tak apalah Fiqa. Tapi Ellis berharap sangat Fiqa akan datang sini.” Ellis Elliza masih tidak mahu mengalah.

“Insya ALLAH, kalau ada kelapangan nanti Fiqa beritahu Ellis. Ellis ada di sana berapa lama?” tanya Rabiatul Syafiqah.

“Sebulan. Masa masih panjang lagi. Fiqa fikir-fikirkanlah ya.” Dari cara Ellis Elliza menaip, Rabiatul Syafiqah dapat rasakan bahawa wanita itu hampa dengan keputusannya.

“Lamanya. Insya ALLAH.” Rabiatul Syafiqah kehilangan kata-kata.

“Fiqa nak apa-apa dari Australia ni? Nanti Ellis belikan buat Fiqa.” Ellis Elliza menawar sesuatu.

Terkejut Rabiatul Syafiqah dengan tawaran Ellis Elliza sekali lagi. Segan pula dia hendak meminta apa-apa kerana bukan sikapnya untuk meminta itu dan ini. Dia hanya menerima sahaja jika ada yang sudi memberi kepadanya. Terharu benar Rabiatul Syafiqah dengan kepercayaan yang diberikan oleh Ellis Elliza.

“Tak apalah Ellis. Fiqa tak retilah nak minta-minta ni. Kalau orang bagi, Fiqa terima aje.” Rabiatul Syafiqah tidak mahu menjadi seorang yang hipokrit lalu apa yang terbit di hati diluahkan sahaja.

“Nanti Ellis tengok buah tangan apa yang menarik di Australia ni. Nanti Fiqa bagilah bentuk yang bagaimana Fiqa nak Ellis buat artwork tu ya. Sementara Ellis banyak masa terluang ni." Ellis Elliza ingin menamatkan perbualannya.

“Baiklah. Nanti Fiqa fikirkannya. Terima kasih sekali lagi. Assalamualaikum Ellis.” Rabiatul Syafiqah memberi salam dan salamnya itu dijawab oleh Ellis Elliza sebelum perbualan mereka tamat di aplikasi LINE itu.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

“Abang, ceraikan Dhila. Dhila tak nak dengan abang lagi.” Fadhila Imani tiba-tiba mengamuk sakan. Dia tidak tahu kenapa dia jadi begitu. Yang ada di kepalanya hanyalah Runi Naqiu. Dia rindukan lelaki itu. Dia ingin ke pangkuan lelaki itu secepat mungkin. Dia sanggup lakukan apa saja demi dapat bersama Runi Naqiu.

“Dhila sedar tak apa yang Dhila cakap ni? Kenapa tiba-tiba minta cerai ni?” Rozman suami Fadhila Imani masih dapat mengawal rasa amarahnya melihat isterinya seakan terdesak meminta cerai daripadanya.

“Dhila tak cintakan abang lagi. Dhila cintakan Runi. Dhila nak kahwin dengannya. Tolonglah lepaskan Dhila. Lepaskan Dhila.” Fadhila Imani menjerit bagaikan orang hilang akal.

Mengucap panjang Rozman mendengar jeritan Fadhila Imani bagaikan orang kerasukan. “Mengucap Dhila, mengucap. Ni bukan Fadhila Imani yang abang kenal. Kita bukan berada di alam novel sebagaimana cerita yang Dhila karang. Kita di dunia nyata. Sampai mati pun abang takkan cerai Dhila kerana abang sayangkan Dhila. Abang sayangkan anak-anak kita.” Rozman cuba menenangkan isterinya yang tersayang itu.

“Kalau abang nak anak-anak, abang ambiklah. Dhila tak mahu apa-apa selain Runi. Dhila nak Runi. Dhila nak kahwin dengan dia. Dia cinta mati Dhila. Dhila benci tengok muka abang. Lepaskan Dhila. Ceraikan Dhila.” Fadhila Imani semakin memberontak setelah Rozman memberitahu bahawa dia tidak akan sesekali menceraikan Fadhila Imani.

“Dhila dah kena sampuk ni. Ikut abang.” Rozman memegang kejap lengan Fadhila Imani dan mengheretnya ke luar rumah. Nasib baiklah anak-anak mereka ada di kampung waktu itu. Jadi, mereka tidak tahu apa yang telah terjadi pada kedua ibu bapa mereka di kala ini.

“Tak mahu. Dhila tak mahu ikut abang. Dhila nak pergi pada Runi. Runi dah janji nak kahwin dengan Dhila. Dia sayangkan Dhila. Dia cinta mati Dhila.” Fadhila Imani tidak jemu-jemu mengulangi bahawa Runi Naqiu adalah cinta hatinya dan cinta matinya.

“Diam! Jangan sesekali sebut nama jantan yang tak ada kena-mengena dalam rumahtangga kita.” Rozman bertempik membuatkan Fadhila Imani terdiam seketika sebelum mendengar esakan tangisannya.

Rozman terus membawa Fadhila Imani berjumpa dengan Ustaz Mustafa yang merupakan sahabat baiknya. Sebaik sahaja sampai di rumah Ustaz Mustafa, Fadhila Imani meronta minta dilepaskan. Dia tidak mahu masuk ke dalam rumah Ustaz Mustafa. Dia terjerit-jerit bagaikan orang diserang histeria.

“Lepaskan Dhila. Dhila tak mahu masuk. Dhila panas. Dhila nak pergi pada Runi.” Terlolong Fadhila Imani minta dilepaskan.

Rozman hilang sabar lalu memberi penampar sulung pada Fadhila Imani. Itulah pertama kali Rozman mengangkat tangan pada Fadhila Imani yang selama ini ditatang bagaikan minyak yang penuh. Dia yakin sesuatu telah merasuki Fadhila Imani sehingga isterinya itu bertindak begitu. Jika tidak, Fadhila Imani tidak pernah bertindak seumpama itu.

“Kenapa ni Man?” tanya Ustaz Mustafa.

“Tak tahulah apa kena dengan Dhila, Mus. Tiba-tiba dia minta cerai nak pergi kepada Runi. Siapa Runi tu pun tak tahu. Selama ni dia hanya katakan dia nak jumpa Ellis. Tak tahulah kalau-kalau dia tipu saya.” Jelas Rozman tentang keadaan isterinya itu.

“Biar aku tengok dulu.” Ustaz Mustafa mengarahkan Rozman membawa Fadhila Imani ke dalam rumahnya. Fadhila Imani dibaringkan di atas tilam yang disediakan oleh isteri Ustaz Mustafa.

Seketika kemudian, Ustaz Mustafa membaca beberapa potong ayat suci al-Quran dan menghembusnya di dalam air jernih yang dimasukkan ke dalam mangkuk putih. Selepas beberapa ayat suci al-Quran dibaca, barulah Ustaz Mustafa memandang kepada Rozman. Ustaz Mustafa mengarahkan Rozman menyapu air itu ke muka Fadhila Imani dan ke seluruh tubuh isterinya yang telah dibaluti dengan kain batik semasa proses perubatan.

“Nanti dia dah bangun, bagi dia minum air penawar ni.” Arah Ustaz Mustafa kepada Rozman.

Rozman mengangguk tanda memahami dengan arahan yang diberi. “Kenapa dengan Dhila, Mus?” tanya Rozman ingin tahu.

“Dia dah terkena sihir cinta oleh lelaki yang tak bertanggungjawab. Apa yang aku lihat di sini, lelaki tu dah punya keluarga tapi menjadikan wanita-wanita yang jatuh cinta dengannya sebagai sumber pendapatan peribadi. Isteri kau seorang novelis yang berjaya, sudah pasti dia banyak wang, jadi tujuan lelaki itu untuk mengaut keuntungan daripada isteri kau tanpa perlu berusaha keras.” Panjang lebar Ustaz Mustafa menerangkan kepada Rozman apa yang telah terjadi pada Fadhila Imani.

Mengucap panjang Rozman yang mendengarnya. “Bagaimanalah Dhila boleh terperangkap dengan lelaki macam tu. Syukur Alhamdulillah aku tak memenuhi permintaan dia tadi walaupun hati aku agak terbakar. Aku dah dapat rasa ada yang tak kena sebab Dhila tak pernah berkelakuan macam ni. Kalau tidak, aku sendiri tak tahu nasib Dhila di tangan lelaki tu.” Rozman kesal Fadhila Imani boleh terjebak dengan lelaki tidak guna seperti itu. Hanya mengerah tenaga perempuan tanpa mahu berusaha sendiri.

“Maafkanlah dia. Mungkin dia tak sengaja terjebak dengan lelaki tu. Dia kan novelis yang harus berinteraksi dengan peminat-peminatnya, mungkin secara tak sengaja dia bertemu dengan lelaki durjana ini.” Ustaz Mustafa cuba menyejukkan hati Rozman di kala itu.

“Terima kasih Mus tolong aku. Kalau tak, aku tak tahu bagaimana nasib rumahtangga kami.” Rozman membelai wajah Fadhila Imani buat seketika.

Apabila Fadhila Imani sedar daripada lenanya yang panjang, Rozman memberi air penawar untuk diminum isterinya. Fadhila Imani yang terasa haus, terus meneguk air yang diberi oleh suaminya dengan sekali arung. Kemudian, Fadhila Imani termenung seketika seakan-akan baru tersedar dari mimpi ngeri. Dia memandang kepada Rozman dengan penuh kasih sebelum teresak-esak di situ.

“Shyy ... kenapa ni Dhila? Kenapa Dhila nangis?” Rozman bertanya dengan lembut.

“Dhila minta maaf abang. Dhila tak tahu apa yang merasuki Dhila. Dhila tak mahu bercerai dengan abang tapi seakan-akan ada yang mendesak Dhila minta cerai dari abang. Dhila masih sayangkan abang. Dhila nak kita bercerai mati bukan bercerai hidup.” Fadhila Imani meraih tangan suaminya sambil mencium tanda meminta maaf.

“Sudahlah. Abang dah maafkan Dhila. Lain kali berhati-hati bila berkawan. Tak semua yang ikhlas dengan kita. Ramai yang ingin ambik kesempatan pada kita.” Nasihat Rozman buat isterinya.

Fadhila Imani menganggukkan kepalanya. “Dhila akan lebih berhati-hati. Dhila tak tahu kenapa Dhila tergila-gilakan lelaki yang bukan tasteDhila. Dhila tak mahu dengan dia tapi Dhila tak dapat menolak dia dari hidup Dhila. Dhila rasa berdosa sangat dengan abang kerana terlalu mengikut kehendak naluri. Maafkan Dhila bang.” Fadhila Imani masih tidak puas meminta maaf daripada suaminya itu.

“Berapa kali Dhila nak minta maaf ni? Kan abang dah cakap, abang maafkan Dhila. Sudahlah. Kita lupakan apa yang telah terjadi dan mulakan hidup baru.” Rozman memberi janji buat Fadhila Imani.

“Alhamdulillah semuanya dah selesai. Dhila boleh ikut isteri saya ke belakang untuk dimandikan. Insya ALLAH, lepas ni semuanya akan pulih seperti sedia kala. Liza, tolong mandikan Dhila dengan air yang abang dah bacakan ayat-ayat suci al-Quran tu.” Ustaz Mustafa memanggil isterinya untuk sesi perubatan yang terakhir buat pesakitnya.

Liza menuruti kata-kata suaminya tanpa ingkar. Fadhila Imani diiringi oleh Liza ke bilik mandi untuk sesi rawatan yang terakhir. Entah kenapa dia berasa amat tenang sekali setelah berubat. Dia tidak lagi kemaruk tergila-gilakan Runi Naqiu sebagaimana sebentar tadi. Alhamdulillah, ALLAH masih sayangkan dirinya.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

“Tak guna! Kenapa ilmu aku tak menjadi padanya. Hampir sikit saja lagi aku dapat menawan Dhila. Arggghhh!!” Runi Naqiu menjerit nyaring apabila usahanya yang terakhir untuk mengaut simpanan Fadhila Imani tidak membuahkan hasil apabila dia merasakan Fadhila Imani sudah tidak teruja lagi terhadap dirinya. Dia yakin, suami wanita itu sudah pasti telah membawa isterinya berubat. Jika tidak, dalam waktu yang terdekat sudah pasti Fadhila Imani akan menemui dirinya. Itulah yang Runi Naqiu mahukan tetapi sayang dia tidak dapat apa yang dia mahukan.

"Sebelum Dhila tinggalkan aku lebih baik aku yang beritahu Dhila, aku akan lepaskan dia. Sebelum aku terkantoi lebih baik aku yang bertindak dulu. Biar semua orang fikir aku yang meninggalkan Dhila yang memang tergila-gilakan aku selama ini. Biar semua orang fikir aku lah lelaki yang baik yang tahu akan dosa seorang isteri bercinta dengan lelaki lain. Biar orang ingat aku tinggalkan Dhila atas sebab dia isteri orang. Aku mesti mengangkat diriku, akulah lelaki mulia di mata orang di luar sana."

Runi Naqiu sudah teliti merancang strategi permainannya.

Kebetulan pula hari lahir Fadhila Imani hanya tinggal berapa hari lagi. Satu kebetulan yang sungguh menguntungkan, bertepatan untuk Runi Naqiu bertindak. Runi Naqiu sudah merancang selepas menghantar mesej dia akan terus 'blok' Facebook Fadhila Imani. Runi Naqiu ketawa megah di dalam hati. Terasa sudah kemenangan akan dikecapi. Selepas ini dia akan mencari perempuan lain pula sebagai mangsa dalam permainan mayanya. Tanpa berlengah Runi Naqiu membuka Facebook dan menghantar mesej peribadi kepada Fadhila Imani.

"Asalamualaikum Dhila.. Birthday Dhila hanya tinggal berapa hari lagi. Abang nak bagi hadiah paling istimewa untuk Dhila. Sempena hari lahir Dhila, abang nk bagi hadiah terbesar sekali iaitu pembebasan, abang nak bebaskan Dhila dari cengkaman abang. Selepas ini abang akan 'blok' Dhila dan kita tidak akan berhubung lagi. Semoga Dhila akan terus berjaya dan berbahagia. Baik-baik. Wasalam." Runi Naqiu menamatkan kata-katanya kepada Fadhila Imani sebelum menekan butang 'BLOCK'!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.