Home Cerpen Seram/Misteri KUBUR BERNYAWA EDISI RAYA
KUBUR BERNYAWA EDISI RAYA
Ebriza Aminnudin
22/7/2014 23:11:46
4,374
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Pagi yang penuh barakah menandakan seluruh umat Islam menyambut kedatangan Syawal yang dinanti-nantikan hari ini setelah sebulan berpuasa dan menempuhi segala cabaran di bulan yang mulia itu. Kedengaran nyanyian takbir raya berkumandang di corong-corong radio mahupun di kaca-kaca televisyen. Nyanyian yang cukup menusuk kalbu sehingga mampu mengalir air mata si pendengar jika dihayati dengan penuh kekusyukkan. Begitu juga dengan penghuni di banglo mewah itu yang ditusuk sembilu sayu mendengar takbir raya yang tidak henti-henti dinyanyikan.

Di satu sudut dapur, kelihatan dua orang wanita berbadan dua sedang bertungkus-lumus menyiapkan hidangan di pagi raya. Sesekali suasananya agak meriah dengan gurau senda kedua-duanya. Seorang sedang memotong lemang dan ketupat dan disusunkan di atas pinggan. Seorang lagi sedang menghabiskan masakan rendang daging dan rendang ayamnya di atas dapur.

Ada pula yang datang mengacau ketika masakan sedang disiapkan sehingga menimbulkan kemarahan si isteri dengan kenakalan si suami. Namun, susasana itu cukup membahagiakan hati seorang tua yang sedang melayangkan pandangan ke arah mereka.

“Abang, janganlah kacau rendang ayam tu. Nanti hancur ayam semua. Dah tak jadi rendang, jadi bubur rendang pula.” Suara emas Azwana sudah berkumandang di corong telinga Zafarul Zaini membuatkan lelaki itu menyengih namun tangannya masih tidak mahu berhenti dari terus mengacau.

“Abang nak tolong isteri abang masak. Salah ke? Eh, suami yang tolong isteri di dapur romantik tau.” Zafarul Zaini menggiat Azwana.

“Haah. Memang romantik sangat tapi kalau suami menghancurkan masakan isterinya cukup tak romantik. Dah ..... dah ... pergi di depan tu teman ibu ke atau buat apa-apa yang patut. Sekejap lagi kita nak pergi solat raya. Kemudian, tetamu dah datang. Jangan kacau Wana lagi.” Azwana tidak betah menyiapkan hidangannya selagi Zafarul Zaini berada di dapur. Kekok rasanya. Semua yang dibuat bagaikan tidak menjadi apatah lagi jika Zafarul Zaini sudah campur tangan. Kalau terlebih sedap tak apalah juga, ini hancur semuanya. Manalah Azwana tidak naik angin. Huh!

“Tak baik tau pagi-pagi raya halau suami. Suami ni bagaikan syurga buat isteri. Suami yang menanggung segala dosa-dosa isteri...” Zafarul Zaini sudah mula membuka tazkirah di pagi raya yang indah itu. Berbulu telinga Azwana mendengarnya. Sebelum suaminya itu terus merepek-repek dengan segala hadis yang tidak masuk akal, adalah lebih baik dia menghentikannya terlebih dahulu.

“Okey, berhenti. Sekejap lagi kita dah nak dengar tazkirah raya, tak payahlah nak buka tazkirah lagi wahai suamiku yang tersayang. Boleh tak, tolong jangan melambatkan lagi kerja isterimu yang tercinta ini. Ibu ...” Azwana sudah mula hilang sabar. Dan jika dia hilang sabar, sudah pasti nama Mudzhirah akan dilaungnya. Hanya dengan adanya Mudzhirah sahaja Zafarul Zaini akan berhenti dari terus mengganggu dirinya.

“Eh apa panggil ibu. Shyy ... shyy ... abang pergilah ni. Abang nak masukkan kuih raya dalam balang. Jom Am, teman aku masukkan kuih dalam balang.” Bulat mata Zafarul Zaini menghala ke arah Fizaham yang sedang membantu Muzie Azirah memotong lemang dan ketupat.

Tergelak Fizaham dan Muzie Azirah dengan gelagat Zafarul Zaini yang sememangnya kelakar tetapi cukup takut jika nama Mudzhirah dipanggil.

“Haa .. reti pun nak buat kerja lain. Kan bagus punyai suami seperti itu. Terima kasih abang. I love you.” Azwana berkata sambil tersengih.

“Hmm ...” mendengus marah Zafarul Zaini setelah dapat dikalahkan oleh Azwana isterinya yang cukup licik itu.

“Hai ... marah nampak?” kini tiba giliran Azwana pula menggiat suaminya yang nakal itu.

“Am. Jom.” Malas lagi Zafarul Zaini hendak berlama di situ apabila Azwana sudah mula membuka gelanggang untuk mengenakannya.

Fizaham memandang Muzie Azirah dengan penuh kasih sehingga Muzie Azirah sendiri keliru dengan sikap Fizaham yang sekejap baik dan sekejap tidak. Berdebar hati Muzie Azirah menerima pandangan yang cukup romantik itu daripada Fizaham yang selama ini jarang diperolehinya.

“Sayang okey ke kalau abang tolong Zaf? Tak membebankan sayang nak potong lemang dan ketupat banyak-banyak ni?” lembutnya suara Fizaham mengalun pertanyaan sehingga mampu meruntun jiwa Muzie Azirah yang mendengarnya. Bergenang air matanya di tubir. Alhamdulillah jika Fizaham mahu berubah laku dan tidak mengasarinya lagi sebagaimana dahulu.

“Sayang okey. Sayang boleh buat semua. Abang jangan risau ya. Abang tolonglah Zaf. Banyak lagi kuih-kuih yang nak dimasukkan dalam balang. Taklah kami berebut lagi sesudah kerja di dapur siap.” Muzie Azirah masih sebak dengan perubahan Fizaham secara mendadak itu.

“Kalau sayang nak pertolongan abang, sayang panggil saja ya. Abang pergi dulu tau.” Fizaham mencium dahi Muzie Azirah membuatkan air mata wanita itu menitik laju. Segera Fizaham mengelapkannya.

“Jangan nangis sayang, nanti ada perisa tambahan pula dalam lemang dan ketupat ni.” Usik Fizaham membuatkan mata Muzie Azirah terbeliak seketika. Sejak bila pula Fizaham pandai bergurau ni? Hai, keliru sungguh dirinya.

“Abang!!!” jerit Muzie Azirah sesudah tahu Fizaham hanya mengenakannya.

Terkekeh-kekeh Fizaham ketawa sambil beriringan dengan Zafarul Zaini ke ruang tamu untuk menjalankan misi memasukkan kuih-kuih ke dalam balang yang sudah tersedia di atas meja ruang tamu itu.

“Masukkan kuih tu hati-hati. Jangan kuih hancur pula. Tangan sorang-sorang macam tangan gergasi. Kuih hancur, siap kau orang. Penat tau kami buat selama dua hari dari Subuh sampai ke dinihari.” Laung Azwana dari dapur.

“Kami taulah. Tak payah nak pesan. Huh!” Balasan laungan daripada Zafarul Zaini membuatkan Azwana pula terkekeh-kekeh ketawa.

Dari satu sudut banglo itu, kelihatan seorang tua mengukir senyuman bahagia sambil mengesat air matanya. Aidilfitri tahun inilah baru dapat dirasai kemeriahannya sebagaimana yang diimpikan sejak bertahun-tahun yang lalu. Jika tidak, dia sering menyambut Aidilfitri di rumah orang-orang tua dan rumah-rumah kebajikan yang lain. Alhamdulillah, tahun ini ALLAH telah memperkenankan doanya untuk menyambut Aidilfitri bersama anak-anak dan menantu.

“Ya ALLAH, aku bersyukur KAU tidak menghampakan permintaan aku. Aku harap agar kegembiraan seperti ini terus kekal mewarnai rumah yang sudah bertahun sunyi tanpa kehadiran anak-anak, menantu mahupun cucu. Insya ALLAH jika diizinkan-MU, aku teringin menyambut Aidilfitri bersama cucu-cucuku pula.” Mudzhirah mengesat air matanya yang semakin laju menuruni dataran pipinya.

Bahagia sungguh Mudzhirah melihat suasana raya yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Sesungguhnya dia amat beruntung kerana diberi peluang untuk merasai kesempurnaan ini sebagaimana orang lain walaupun mereka hanya anak-anak angkatnya dan bukannya anak kandung. Seandainya mereka anak kandung, sudah tentu suasananya akan lebih meriah lagi. Namun, dia tetap bersyukur dengan nikmat yang ALLAH berikan. Manalah tahu mungkin ini Aidilfitri yang terakhir buat dirinya. Ketentuan ALLAH tiada siapa yang mampu menduga.

“Abang, hidangan dah siap. Panggil ibu sekali untuk berkumpul sekeluarga.” Laung Azwana dengan suara gemersiknya.

“Yelah sayang.” Zafarul Zaini terus menyusun langkahnya untuk menemui Mudzhirah, namun tidak sempat dia berbuat demikian, Mudzhirah terlebih dahulu sudah pun turun untuk makan bersama-sama anak dan menantunya.

Azwana melayani Mudzhirah dengan penuh kasih sayang. Pelbagai hidangan diletakkan di dalam pinggan Mudzhirah sebelum dia meletakkan hidangan ke pinggan suaminya pula. Dia tahu, suami harus diutamakan tetapi dia lebih menghormati Mudzhirah sebagai emak mertuanya.

“Terima kasih Wana.” Mudzhirah berasa bahagia dilayan penuh mesra oleh Azwana.

“Sama-sama ibu. Lepas makan, Wana nak beraya dengan ibu tau.” Azwana menyimpul senyuman manis. Sejuk hati Mudzhirah memandangnya. Sememangnya Azwana seorang yang cukup menawan, pilihan Zafarul Zaini tidak salah.

“Lepas solat raya nanti kita beraya. Takut lewat ke masjid.” Mudzhirah memberi arahan. Kesemua mereka mengangguk faham dan setuju.

Sayunya suasana di dalam masjid itu setiap kali berkumandang takbir raya. Mudzhirah tidak tahu kenapa dia berasa cukup sayu seolah-olah Aidilfitri itu merupakan yang terakhir buatnya. Azwana dan Muzie Azirah memang perasan akan perubahan Mudzhirah lalu mereka memegang tangan wanita warga emas itu.

“Ibu, kenapa nampak sayu ni? Ibu tak gembira ke beraya dengan kami semua?” tanya Azwana lembut.

“Atau ibu ada masalah? Kalau ibu ada masalah, ibu boleh ceritakan pada kami. Kamikan anak-anak ibu.” Muzie Azirah pula cuba memujuk.

“Siapa kata ibu tak gembira? Ibu cukup gembira dapat menyambut Aidilfitri bersama anak dan menantu ibu. Ibu bersyukur kerana ALLAH telah memberi ibu kesempatan untuk merasai suasana Aidilfitri bersama keluarga. Terima kasih Wana, Muzie kerana menyayangi ibu tidak berbelah bagi.” Mudzhirah mencium dahi kedua-dua wanita mengandung itu.

“Ibu harap tahun depan dapat sambut Aidilfitri bersama cucu-cucu ibu pula. Tak sabar nak merasai suasana meriahnya hari raya dengan kehadiran cucu-cucu ibu.” Sambung Mudzhirah kemudiannya.

“Insya ALLAH ibu. Ibu pasti dapat merasainya. Wana sentiasa akan berada di sisi ibu. Kalau Wana balik kampung, ibu ikutlah ya. Boleh rasa suasana raya di kampung Wana. Sesekali kita tukar angin.” Azwana menawarkan sesuatu yang cukup menyentuh hati Mudzhirah.

“Insya ALLAH jika umur ibu panjang.” Suara Mudzhirah semakin perlahan dan sayu.

“Ibu akan terus hidup seratus tahun lagi. Percayalah cakap Wana ni.” Azwana berlelucon membuatkan Mudzhirah ketawa geli hati.

“Merepek ajelah Wana ni. Ada ke pula seratus tahun lagi. Boleh pecah rekod kalau usia ibu sampai ke 200 tahun.” Mudzhirah menyentuh lembut kepala Azwana.

Muzie Azirah hanya tersenyum melihat kemesraan itu. Cemburukah dia? Sejak Azwana datang di dalam keluarga itu, Azwana berjaya menarik perhatian Mudzhirah ke arah dirinya dengan lebih banyak berbanding Muzie Azirah sendiri. Namun, Muzie Azirah tidak akan mengalah di tangan Azwana. Dia yang terlebih dahulu hadir dalam hidup Mudzhirah berbanding Azwana. Dia berjanji dengan diri sendiri akan menarik kembali perhatian Mudzhirah kepada dirinya.

Sebaik sahaja selepas mengerjakan solat Hari Raya Aidilfitri, mereka melawat rumah orang-orang tua dan rumah-rumah kebajikan yang lain. Mudzhirah ingin memberi sedekah di hari yang mulia itu. Begitulah yang kerap dilakukannya setiap kali menjelang Aidilfitri. Dia akan rasa bahagia dengan melakukan kerja-kerja amal sebegitu rupa. Setelah tugasnya selesai, barulah mereka sekeluarga pulang ke rumah. Pada Aidilfitri kali itu, Mudzhirah terbuka hati untuk membuat rumah terbuka buat semua kenalan perniagaannya yang telah bersama-sama dengannya menjayakan setiap sudut perniagaan yang dikendalikannya. Anak-anak dan menanntunya bebas menjemput rakan-rakan seperniagaan untuk memeriahkan suasana Hari Raya Aidilfitri pada kali ini.

Sesudah beraya dengan anak menantu, Mudzhirah meminta diri untuk ke ruang rehatnya sebentar. Tiada siapa mahu membantah kerana mungkin Mudzhirah terlalu penat dan perlukan rehat secukupnya. Mereka sahaja sudah cukup untuk melayani tetamu yang datang.

Mudhzirah memandang pada gambar suaminya yang menghiasi bilik bacaan itu. Bilik kesukaan Mudhizrah ketika ingin bersantai. Tiba-tiba hati Mudzhirah berasa sayu dan air matanya mula menitik apabila sebaris nama meniti di atas bibirnya.

“Abang.” Sesungguhnya dia amat merindui suaminya ketika itu. Tiada siapa tahu bahawa suaminya meninggal pada Syawal yang pertama. Imbauan kenangan lalu seolah-olah berputar kembali di mindanya.

_________________________________________________________________

“Abang, esok kita solat raya bersama-sama ya sebelum kita beraya di rumah teman-teman.” Mudzhirah memandang suaminya dengan penuh kasih sayang ketika salam terakhir diberi pada rakaat terakhir solat Isyak.

“Baiklah sayang. Abang turuti segala kehendakmu.” Masri membelai wajah isterinya yang cukup jelita dan tidak pernah jemu untuk dipandangi.

Tiba-tiba Mudzhirah berasa sayu dengan layanan suaminya yang tidak pernah putus-putus. Terasa dirinya cukup dihargai dan dilimpahi kasih sayang yang cukup banyak. Mudzhirah tidak dapat membendung perasaan yang bertandang di dalam hatinya kini. Masri perasan akan perubahan Mudzhirah lalu mengangkat dagu isterinya agar dapat melihat seraut wajah itu.

“Kenapa ni sayang? Apa yang mengganggu fikiran sayang?” tanya Masri agak gusar apabila melihat isterinya bersedih di malam raya.

“Abang tak sunyi ke kita tak ada anak? Sayang izinkan abang kahwin lain kalau abang mahu. Sayang teringin hendak melihat rumah kita meriah dengan tangisan bayi. Sayang teringin nak beraya dengan anak. Abang tak rasa ke apa yang sayang rasa?” Tanya Mudzhirah sambil berlinangan air mata.

“Sayang dengar sini. Abang tak pernah terfikir untuk menduakan sayang. Bagi abang, sayang adalah anugerah terindah buat abang. Abang tak kisah kalau kita tak ada anak sekali pun asalkan sayang di sisi abang sehingga ke jannah. Itu yang abang dambakan setiap waktu. Jangan menangis sayang. Abang tak suka lihat sayang menangis. Cinta abang pada sayang tak pernah kurang dari waktu ke waktu. Jangan fikirkan soal tu lagi ya.” Masri memujuk hati isterinya yang lara.

“Abang baik sangat. Sayang beruntung memiliki abang sebagai suami. Abang tak pernah merungut. Jarang orang lain mendapat suami sebagaimana abang. Terima kasih abang.” Mudzhirah memeluk suaminya yang masih di atas tikar sejadah..

“Abang, bangun. Dah raya ni. Sayang nak beraya dengan abang. Kejap lagi kita nak pergi solat raya bersama-sama.” Mudzhirah menggerakkan suaminya yang masih lena di katil empuk mereka berdua.

Kenapa dengan abang ni? Selalunya tak pernah tak bangun bila aku kejut. Macam tak ada perasaan. Mudzhirah terasa pelik melihat suaminya kaku tidak bergerak.

“Abang, janganlah main-main dengan sayang. Sayang tak suka abang bergurau macam ni. Abang, bangunlah.” Mudzhirah masih berusaha mengejutkan Masri dari terus lena. Nyenyak sungguh suaminya itu lena.

“Abang, takbir dah berkumandang tu. Nanti abang tertinggal solat Subuh. Abang bangunlah. Jangan takutkan sayang. Abang ....” Kali ini hati Mudzhirah mula berasa tidak enak. Dia meletakkan jari telunjuknya di hidung Masri dan dia tidak merasai nafas suaminya itu.

“Tidak! Tidak! Tak mungkin ia berlaku pada aku di pagi raya. Tak mungkin. Abang .... bangunlah. Jangan bergurau dengan sayang macam ni. Jangan tinggalkan sayang di pagi raya. Abang ....” Mudzhirah menangisi sesungguh hati. Dia yakin masih mampu menyelamatkan suaminya, lalu dia menelefon doktor peribadi mereka agar dapat datang ke rumah dengan kadar segera.

Doktor Fazlan memeriksa nadi Masri dan seluruh tubuh Masri. Setelah beberapa minit meneliti satu persatu, akhirnya Doktor Fazlan menghela nafas yang cukup berat sekali. Bebola mata Doktor Fazlan menghala ke arah Mudzhirah kembali. Agak berat untuk dia menyatakan sesuatu yang mampu menyakitkan hati Mudzhirah, tambah-tambah lagi di pagi Hari Raya Aidilfitri.

“Maafkan saya Zhirah. Suami awak dah tak ada lagi. Dia mendapat serangan jantung masa tidur. Relakan pemergiannya. Dia pergi di hari yang penuh barakah.” Doktor Fazlan terpaksa memberitahu akan hakikat yang cukup perit itu walaupun dia tidak mahu.

“Tidak! Abang ..... kenapa tinggalkan sayang. Abang ...” Mudzhirah tidak dapat menahan sendu di hati. Sesungguhnya dia tidak menyangka bahawa semalam adalah perbualan dengan suaminya yang terakhir dan Ramadhan yang terakhir buat suaminya pada tahun itu.

_________________________________________________________________

“Abang. Entah kenapa hari ni sayang sangat rindukan abang.” Mudzhirah mengesatkan air matanya yang semakin lebat mencurah turun tanpa ada bendungan lagi.

“Assalamualaikum Mak Cik Zhirah. Buat apa berkurung dalam bilik ni sorang-sorang? Tetamu dah semakin ramai. Semua cari Mak Cik Zhirah. Jomlah turun.” Arrief tiba-tiba datang menyerbu ke dalam bilik Mudzhirah.

“Bertuah punya budak. Tak reti-reti nak ketuk pintu atau bagi salam dulu? Nasib baik jantung mak cik sihat walafiat tau.” Mudzhirah membalas sergahan Arrief membuatkan pemuda itu tersengih kambing.

“Alah, hari raya ni tak baik tau marah-marah. Ni Rief datang nak beraya dan mohon maaflah kat Mak Cik Zhirah.” Arrief terus meluru ke arah Mudzhirah dan melutut ke arahnya lalu memegang tangan warga emas itu dan diciumnya penuh kasih sayang.

“Rief nak minta maaf kalau Rief ada menyinggung perasaan Mak Cik Zhirah. Rief sayang kat Mak Cik Zhirah. Jom kahwin.” Tiba-tiba Arrief mengeluarkan lamaran yang mampu membeliakkan mata Mudzhirah.

“Hei ... memang bertuah budak ni. Baru beraya dia buat hal lagi.” Lalu Mudzhirah menyekeh kepala Arrief yang agak nakal pada Aidilfitri kali ini.

“Aduh, sakitlah sayang. Sayang ni sebiji macam Juliana Evans tau. Tu yang buat hati Rief terpikat. Kita kahwinlah sayang.” Arrief masih belum mahu keluar dari kandang gurauan membuatkan sekali lagi tangan Mudzhirah singgah di kepalanya.

“Sekali lagi kamu merepek dengan mak cik, mak cik hempuk kepala kamu di dinding bilik. Mahu?” Telinga Arrief dipegang kejap lalu dipiatnya sehingga merah.

“Aduh, sakit .. sakit .... Tak mahu usik dah. Ampun.” Arrief memohon ampun agar telinganya dibebaskan dari cengkaman jari-jemari Mudzhirah yang masih gah.

“Haa .. tahu pun sakit. Tapi betul ke muka mak cik macam Ju ... Ju .. siapa namanya? Susah pula nak menyebut. Alahai ...” Mudzhirah memandang wajah Arrief yang masih galak menyengih walaupun tangannya masih lagi menggosok-gosok telinganya yang agak pedih.

“Juliana Evans pelakon di negara kitalah sayang.” Entah kenapala Arrief seakan tidak mahu berhenti dari meneruskan kenakalannya.

“Arrief!” Suara Mudzhirah sudah naik satu lagi oktaf membuatkan Arrief memohon ampun sekali lagi sambil menutup telinganya dengan kedua-dua belah tangan. Hmm .. tahu pun takut kena piat sekali lagi.

“Maaf. Tengok ni.” Arrief menunjukkan wajah Mudzhirah semasa muda dengan wajah Juliana Evans ketika pelakon itu masih gah di layar perak melalui tabletnya.

“Sama, kan? Sebab tulah suami mak cik sangat sayangkan mak cik. Kalau Rieflah, Rief pun akan setia dengan mak cik ... eh silap sayang.” Arrief menyengih.

“Kamu ni memang nak kena, kan?” Mudzhirah terasa lucu dengan kenakalan Arrief yang jarang mahu mengusiknya. Dia tidak tahu apa kena dengan Arrief pada hari itu.

“Ha ha ha ... jom turun.” Arrief memegang tangan Mudzhirah dan memimpinnya untuk turun.

Mudzhirah tersenyum bahagia mempunyai rakan kongsi yang sangat prihatin pada dirinya dan sangat penyayang itu.

“Yalah.”

“Betul ke sayang tak mahu kahwin dengan Rief?” Arrief .... Arrief .. masih tidak serik-serik lagi nampaknya.

Gedebuk! Sekali lagi kepala Arrief menjadi mangsa sekehan tangan Mudzhirah membuatkan wajah pemuda itu berkerut seribu. Itulah, siapa suruh mengusik warga emas yang amat sensitif jiwanya itu.

Buat Mudzhirah, Aidilfitri pada tahun itu adalah Aidilfitri yang terindah. Bahagia dikelilingi orang-orang yang begitu menyayangi dirinya.

_________________________________________________________________

“ Hu .... Hu ... Hu ...” Sayup-sayup kedengaran suara tangisan yang berkumandang di hadapan banglo mewah yang pernah memberi seribu erti kebahagiaan buat dirinya. Kini semuanya kembali suram bagai suatu masa dahulu.

Kelihatan roh Nenek Mudzhirah sedang meratapi ketika melihat banglo mewahnya pada malam raya Aidilfitri. Dia berasa sayu. Dia berasa sebak. Semua kenangan yang lalu seakan berputar kembali di ruang mindanya. Sesungguhnya dia tidak menyangka begini berakhir semuanya. Semakin lama, semakin kuat tangisannya.

Tiba-tiba dia berasa kedua-dua belah tangannya digenggam oleh seseorang. Roh Nenek Mudzhirah mengalih pandangannya ke arah kanan dan kiri. Terlihatlah dua kujur tubuh yang memandangnya penuh dengan kasih sayang.

“Kenapa kamu berdua datang ke mari? Sepatutnya kamu berdua berada di sisi ibu bapa masing-masing.” Roh Nenek Mudzhirah bertanya soalan kepada kedua-dua jejaka itu.

Jhaznarul dan Firdee Aqasha mengukir senyuman yang amat manis buat roh Nenek Mudzhirah. Kini mereka tidak takut lagi akan kehadiran roh itu.

“Nenek tak ingat ke, kedua ibu bapa saya sedang menjalani hukuman. Sambutan hari raya bagaikan tiada makna untuk saya. Alangkah indahnya kalau nenek masih hidup. Saya teringin hendak beraya dengan nenek saya.” Sayu suara Jhaznarul memandang roh Nenek Mudzhirah membuatkan roh itu kembali sebak.

“Ibu bapa kamu tidak izinkan nenek beraya dengan kamu. Ibu bapa kamu tidak izinkan nenek merasai bagaimana suasana raya dengan cucu nenek. Ibu bapa kamu terlalu mementingkan diri sendiri. Pulanglah kepada penjaga kamu.” Seakan berkaca mata roh Nenek Mudzhirah tatkala dia memandang Jhaznarul yang sudah pun mengalirkan air mata kekesalan.

“Tapi mummy saya sangat sayangkan nenek. Nenek hendak beraya dengan saya?” tanya Firdee Aqasha pula.

“Maafkan nenek, cucuku. Nenek tak mampu walaupun nenek mahu. Kamu pulanglah beraya dengan ibu kamu. Ini merupakan kali terakhir kehadiran nenek di sini. Terus menghadiahkan doa untuk nenek ya setiap kali kamu berdua rindukan nenek. Terima kasih kerana menenangkan roh nenek. Selamat tinggal cucu-cucuku. Nenek sayang kamu.” Roh Nenek Mudzhirah meninggalkan Jhaznarul dan Firdee Aqasha sesudah hasratnya tercapai.

“Nenek.”

Panggilan kedua-dua jejaka itu tidak dihiraukan oleh roh Nenek Mudzhirah. Dia terus berlalu meninggalkan mereka menuju ke alam yang lebih bahagia dan tenteram buat dirinya. Segala-galanya sudah dilangsaikan oleh cucu-cucunya itu. Tiada sebab untuk dia terus menapak di bumi yang bukan lagi miliknya. Kini dia mampu hidup dengan lebih aman bersama suaminya di jannah. Itulah impian mereka berdua. Dia berharap agar berada di sisi suaminya kala ini.

“Firdee, aku rindukan nenek.” Jhaznarul tidak dapat menahan sebak di dada lalu dia menghamburkan segala-galanya agar bisa tenang.

“Aku pun. Alangkah bahagianya kalau kita dapat beraya dengan Nenek Mudzhirah. Aku tak sempat nak cium tangannya tadi.” Firdee Aqasha juga tidak dapat menahan air matanya dari terus mengalir.

“Aku pun. Kalaulah boleh memutarkan masa semula, aku nak sangat beraya dengan dia. Aku harap dia akan tenang dan bahagia di alam sana. Kita akan buat kenduri lagi untuk dirinya. Jom kita balik. Banglo ni hanya memberi duka pada aku.” Jhaznarul cukup kesal dengan apa yang berlaku.

“Pada aku juga. Kita akan aturkan kenduri tahlil buat nenek kita.” Firdee Aqasha dan Jhaznarul terus melangkah meninggalkan banglo yang menyimpan seribu satu kenangan tragis di dalamnya. Malam raya yang penuh pilu bagi kedua-duanya.

Pertama kali beraya tanpa kehadiran kedua-dua ibu bapa buat Jhaznarul dan pertama kali beraya tanpa kehadiran seorang papa buat Firdee Aqasha. Kedua-duanya mereka menginsafi kejadian yang berlaku agar tidak berulang kembali pada generasi mereka yang akan datang.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.