Rabiatul Syafiqah
menerokai tempat-tempat menjual gadget
yang berada di sekitar Kuala Lumpur. Hajat di hatinya hendak membeli headphone untuk memenuhi permintaan Runi
Naqiu yang telah berpesan beberapa kali sehingga naik kematu lubang telinganya.
Huh! Selagi tidak dibeli, selagi itulah Runi Naqiu akan menitipkan pesanan
berulang kali. Dia tidak suka pesanan ulangan bagaikan rancangan Astro
sahaja lagaknya. Dia tahu bila hendak memilikinya.
Sesudah beberapa
tempat diterokai, akhirnya Rabiatul Syafiqah memilih satu headphoneyang agak trendy
tetapi sedap dipakai sesudah ditekapkan ke telinga. Harganya tidak sampai RM40
ringgit. Cukup berbaloi. Tidak sia-sia dia mengajak kakinya untuk berpusing di
sekitar kota raya ini.
Sesudah memiliki,
hatinya bagai digaru hendak diletakkan di dalam laman muka buku beserta dengan
secarik senyuman.
“Hmm ... biar dia rasa
kembang sikit bila tengok headphone
ni. Barulah nanti dia akan berhenti dari menyanyi headphone di lubang telinga aku. Huh! Bosan! Suka memaksa jugak si
Runi ni tanpa sedar.” Rabiatul Syafiqah segera mengambil gambar headphonedengan telefon pintarnya lalu
terus diletakkan di laman muka buku dengan judul,
Buah hatiku. ^_^
“Aku yakin, dia pasti
akan senyum sampai ke telinga bila melihat headphone
dan judulnya. Walhal, aku bukan bermaksud pun dengan apa yang aku paparkan.
Saja suka cari penyakit. He he he ...” Rabiatul Syafiqah tersengih sendiri
sesudah agendanya selamat dijalankan.
Kini dia sedang
bersenang-lenang di atas katil bagi merehatkan kakinya yang banyak berjalan
sambil berbaring seketika. Tanpa sedar, dia terus terlelap akibat keletihan.
-------------------------------------------------------------------------------------
Runi Naqiu membuka
laman muka buku dan terus tersenyum memandang gambar yang baru diletakkan oleh
Rabiatul Syafiqah.
“Akhirnya, dia beli
pun headphone. Bukan main susah lagi
nak suruh dia beli. Banyak sangat alasan. Tengok kakilah siapa yang pujuk.
Perempuan ni di hujung jari aku saja. Ayat lebih kurang, cairlah mereka dan
terus melekat pada aku.” Runi Naqiu tergelak besar sesudah dapat menundukkan
wanita-wanita maya. Dia boleh berbangga diri dengan kebolehan yang dimiliki,
semua wanita yang dikenalinya mudah sahaja mengikut telunjuknya tanpa dipaksa.
Begitu mudah Runi Naqiu menguasai wanita. Entah ilmu apa yang dia guna?
“Hmm, rindu pula
dengan El. Telefon dialah sekejap guna Viber.” Runi Naqiu terus mengambil
telefon pintarnya dan mendail nombor Ellis Elliza. Beberapa saat kemudian,
kedengaran suara merdu Ellis Elliza di hujung talian.
“Assalamualaikum
abang.”
Aduh! Merdu sungguh,
buat aku gila bayang. Sayang kau milik orang. Kalau kau masih solo seperti
Rabiatul Syafiqah, sudah pasti kau sudah dalam genggaman. “Waalaikumussalam. El
buat apa tu?” tanya Runi Naqiu sebagaimana biasa.
“Lipat baju. Abang ada
mana?”
“Abang ada di rumah.
Hmm ... macam mana El? Sudah ada keputusan rasmi? I’m still waiting sayang.” Lunak suara Runi Naqiu menggoda hati
Ellis Elliza.
Ellis Elliza diam.
Sesaat. Dua saat dan seterusnya.
"Kenapa diam?
Abang tanya hal ni saja, mesti El hilang suara." Runi Naqiu sudah mula
bosan kerana Ellis Elliza tidak mengendahkan usulnya untuk menuntut fasakh.
“Maaf abang. Bukan
mudah untuk mengambil satu keputusan. Banyak hati yang kena jaga. El masih ada
mak bapa, ibu dan bapa mertua. Apa kata adik beradik El nanti. Selama ni semua
orang pandang El baik. El tak pernah menyusahkan orang. Kalau El menuntut cerai
seperti yang abang kehendaki, apa pandangan keluarga El nanti, abang? Apa kata
adik beradik El?" Sayu suara Ellis Elliza. Dia sememangnya anak kesayangan
dalam keluarga. Kerap menjadi contoh kepada adik beradiknya. Seorang yang lemah
lembut, agak pendiam, murah hati dan tidak pernah menyusahkan sesiapa. Bak kata
orang, sejuk perut ibu mengandungkannya.
“El, sampai bila abang
nak tunggu? El risaukan adik beradik El, mak bapa, sampai mertua pun El risau.
Syurga El bukan terletak kat dia orang pun. Bila kita dah kahwin nanti, syurga
El pada abang. Bukan pada dia orang, buat apa El nak risau. El ni lembik tau
tak? Weak! Kata cinta.. . liar! Fake love! Kalau El tak boleh
buat keputusan, ada ramai lagi yang sedang beratur tau. Tu, Rabiatul Syafiqah.
Abang suruh dia beli headphone, dia
dah pun beli. Tahu apa katanya di facebook?
Buah hatiku. Tahu apa maknanya?” Runi Naqiu sengaja memperhangat Ellis Elliza
agar memenuhi kehendaknya.
“El tahu abang. Cukup
tahu. Abang pergilah pada Rabiatul Syafiqah, kalau itu yang abang nak. Dia
solo. Jadi, tiada masalah bagi abang. Bukan macam El. El dah berkeluarga. Susah
hendak penuhi kehendak abang.” Akhirnya Ellis Elliza terpaksa bertutur sayu
kerana sudah tidak tahan dipaksa lagi oleh Runi Naqiu. Jiwanya cukup tertekan
kini. Runi Naqiu semakin hari semakin suka mendesaknya sehingga dia cukup sukar
untuk bernafas walau sesaat. Ellis Elliza tahu, haram seorang isteri menuntut
cerai daripada suami. Tidak mencium bau syurga jika isteri melakukannya.
“El dah berubah
sekarang. El dah tak macam dulu lagi. El dah tak cemburu pada abang lagi. Kalau
dulu sebut nama perempuan je El akan melenting. Pantang sungguh kalau abang
sebut nama perempuan. Sekarang El dah pandai melawan abang. Suami El yang ajar
semua ni kan?” Runi Naqiu melenting geram dengan sikap Ellis Elliza sejak
kebelakangan ini yang banyak membantah dari mengikut telunjuknya. Dia tidak suka
dengan perubahan Ellis Elliza sekarang.
“Suami El tak pernah
ajar El jadi begini tapi abang yang ajar El jadi begini. Abang terlalu memaksa
El sedangkan abang tahu El sudah bersuami. Awal-awal perkenalan dulu El sudah
bagitahu abang, El ada suami, ada anak. I love them very much. Tapi abang dekati
El juga hingga El balas perasaan abang. Semuanya berpunca dari abang."
Ellis Elliza terpaksa berkeras walaupun air matanya sudah berambu turun dari
kelopak mata. Benteng takungan pecah jua walaupun ditahan sedari tadi.
“Iyalah, yang
buruk-buruk semuanya dari abang. Yang baik-baik semuanya dari suami El. Ya... advantage
memang ada pada suami El. Dia kan
bussinessman yang berjaya. Tidak hairanlah kalau El memperlekehkan abang
sebegini. Kalau dulu zaman kegemilangan abang, mesti El tak akan ragu-ragu
pilih abang." Cucuk Runi Naqiu lagi. Dia tidak betah jika tidak
merembeskan air mata Ellis Elliza. Perempuan.
“Abang jangan cakap
begitu. El tak pernah membeza-bezakan abang dan suami El. Bukan El minta untuk
dijodohkan dengannya tapi sudah tertulis jodoh kami.” Ellis Elliza semakin
berang dengan sikap Runi Naqiu yang membuatkan sabarnya semakin hilang.
“Alah, El memang
banyak alasan. El, jangan salahkan abang
jika Rabiatul Syafiqah menjadi galang gantinya. Dia nampak polos, sudah pasti
dia tak ada masalah untuk mendampingi abang. Lagipun, dia dah lanjut usia,
abang yakin jika abang masuk meminang, pasti dia akan terima kerana dia sudah
terdesak dan tak ada siapa yang nak. El jangan menyesal. Jangan kata abang tak
ingatkan El." Runi Naqiu masih statik dalam kandang bicara. Tiada
tanda-tanda untuk dia keluar dari kandang yang menyakitkan hati dan telinga
Ellis Elliza.
“Pergilah pada dia,
jika itu yang abang mahukan. El rela demi sayang El pada abang. El nak abang
bahagia. Kalau itu yang abang nak, El boleh buat apa? Maaf, abang. El hendak
ambik anak-anak El dari mengaji. El stop
sini ya. Assalamualaikum abang.” Ellis Elliza tidak mahu memanjangkan lagi
perbualannya dengan Runi Naqiu. Hatinya terlalu sakit untuk mendengar butir
bicara Runi Naqiu.
“Waalaikumussalam.
Tapi ingat El, jangan cuba kacau daun. Kalau El cuba bagitahu orang di maya
tentang abang dan kalau El menghalang niat abang, abang akan beritahu
satu maya yang El terlalu cintakan abang dan tergila-gilakan abang hingga El
sanggup buat cerita mengenai abang supaya tiada perempuan yang sudi dekati
abang. El cemburu untuk melihat mana-mana perempuan rapat dengan abang. Remember that sweetheart.” Pesan Runi
Naqiu sebelum dia melepaskan Ellis Elliza dari talian.
------------------------------------------------------------------------------------
Sebaik sahaja tamat
perbualannya dengan Runi Naqiu, Ellis Elliza menangis teresak-esak. Dia tidak
menyangka begitu nekadnya Runi Naqiu memburukkan dirinya hanya kerana dia tidak
mahu menuruti kehendak lelaki itu.
“Ya ALLAH, Kau
berikanlah aku kekuatan. Kau berikanlah aku kesabaran. Kau tabahkanlah
hatiku menerima dugaan-Mu. Hanya Kau saja yang mengerti di dalam hatiku ini.
Andai ini ujian dari-Mu, janganlah Kau uji aku dengan ujian yang tiada daya
untuk aku menghadapinya." Ellis Elliza bersujud di atas tikar sejadah.
Sebenarnya dia baru
sahaja usai solat Asar. Sengaja dia membohongi Runi Naqiu dengan menyatakan dia
melipat baju kerana dia tidak mahu lelaki itu memintanya mendoakan jodoh
mereka. Dia masih sayangkan Azaharil Anuar. Dia keliru kerana dia juga
sayangkan Runi Naqiu. Entah kenapa perasaan itu ada, walau dia tahu akan dosa
seorang isteri mencintai lelaki lain.
“Kasihan Rabiatul
Syafiqah andai dia juga terjatuh ke tangan Runi. Mudah-mudahan Rabiatul
Syafiqah bukan gadis yang mudah tergoda dengan kata-kata manis lelaki. Ya ALLAH,
Kau lindungilah mereka yang tak bersalah. Apa yang harus aku lakukan? Kau beri
aku petunjuk Ya ALLAH.” Ellis Elliza sempat berdoa apabila mendengar rancangan
Runi Naqiu terhadap Rabiatul Syafiqah. Dia cukup kasihan pada Rabiatul Syafiqah
jika terlepas ke tangan Runi Naqiu sedangkan gadis itu mampu mendapat teman
yang lebih baik daripada Runi Naqiu.
“Aku akan melihat
dahulu bagaimana orangnya Rabiatul Syafiqah ni. Sebelum ni pun tegur kat komen
saja dalam grup di Facebook."
Ellis Elliza tergerak hatinya untuk mengenali Rabiatul Syafiqah. Ada masa nanti
dia akan masuk grup dalam Facebook
yang dicipta oleh Runi Naqiu. Grup yang menempatkan penulis, peminat-peminat
bidang penulisan, insan seni dan sebagainya. Seronok juga bersantai di situ.
Ramai juga kenalan baru.
Ellis Elliza mengukir
sedikit senyum.
Dalam hati
berkata-kata.. "Sejauh mana aku pergi... Sekuat mana pun aku lari... Aku
tidak akan dapat menghindari realiti dan aku akan temui juga diriku sendiri. Ya
ALLAH, kau berikanlah aku kekuatan dan ketenangan."
----------------------------------------------------------------------------------
Nazira sedang rancak
menaip huruf-huruf yang terdapat di dalam telefon pintarnya. Sesekali bibirnya
merekah dengan senyuman bahagia. Dia semakin terhibur dengan sikap Runi Naqiu
yang baru dikenalinya. Lelaki itu cukup pandai mengambil hatinya. Aduh,
sesunguhnya seluruh jiwa raganya sedang berdebar dan jantungnya dipam dengan
hebat sekali. Perasaan apakah ini? Adakah ia dinamakan cinta? Hai, entahlah
hati, dia sendiri tidak dapat mentafsirkannya.
Nur Syarida menjeling
ke arah Nazira yang cukup leka dengan telefon di tangan. Dahulu, Nazira sering
memarahi dirinya yang asyik dengan telefon pintar tetapi kini gadis itu pula
yang telah berjangkit dengan dirinya. Bahana telefon pintar memang seperti
virus HIV yang cepat menular dan berjangkit. Nur Syarida tidak senang melihat
Nazira tersengih-sengih begitu. Dia takut gadis itu lebih hebat daripadanya
bermaya.
“Dengan siapa kau chattu, Naz? Dulu, bukan main lagi kau
hamun aku setiap kali aku bermaya. Sekarang ni dah berjangkit ke?” tanya Nur
Syarida ingin tahu. Jolokkan perasaannya semakin membuak-buak minta Nazira
memberitahu jejaka manakah yang telah berjaya mencuri hati gadis itu.
Terangkat kening
Nazira menari Kpop. Huh! Suka hati saja menabur fitnah si Syar ni. Ada ke pula
dikatakan aku hamun dia. Bila masa? “Eh, Syar... bila masa aku hamun kau?
Selalu tu aku bagi nasihat saja, kan? Pandai-pandai buat cerita. Fitnah namanya
tu.” Nazira mula melontar vokal retak seribunya membuatkan Nur Syarida menarik
sengih.
“Maaflah. Aku gurau.”
Pandai pula Nur Syarida memusing fakta.
“Gurau atuk kau.” Haa
... kan dah betul-betul kena hamun. Nak sangat aku hamun, kan? “Aku tak suka kau ada-adakan cerita yang aku
tak ucap.” Nazira memandang ketat pada Nur Syarida yang masih lagi tersengih.
“Okey .... okey ....
Maaf. Kau dah jumpa dengan buah hati ke?” Nur Syarida masih lagi ingin tahu.
“Aku tak tahulah sama
ada boleh dikategorikan buah hati ke tidak. Aku baru saja kenal dengan mamat
ni. Aku kenal dia masa Majlis Perlancaran Novel Fadhilah Imani hari tu. Sejak
tu, kami sering Whatsapp dan Skype. Dia ni kelakarlah. Aku suka bual
dengan dia. Untuk meramal lain-lain tu, aku rasa masih jauh lagi perjalanan
kami. Ni baru peringkat perkenalan.” Jujur Nazira memberitahu Nur Syarida.
Nur Syarida
mengangguk-anggukkan kepalanya. Sebiji macam Runi. Runikah? Nur Syarida mula
tidak sedap hati kerana sejak kebelakangan ini, Runi Naqiu sering lewat
membalas mesej-mesejnya di aplikasi Whatsapp.
“Apa namanya?” Nur
Syarida masih ingin korek rahsia Nazira dan jejaka maya itu.
“Rahsia. Nanti kau
rampas. Aku nak keluar solat ni. Kau nak ikut?” tanya Nazira untuk menamatkan perbualannya
dengan Nur Syarida.
Nur Syarida mencebir
bibirnya tanda tidak puas hati. “Kedekut. Aku cuti hari ni. Kau pergilah
sorang.”
“Aih, halau nampak?
Tak puas hatilah tu.” Nazira mengekek melihat wajah kelat Nur Syarida sebelum
berlalu ke surau yang disediakan untuk staf seperti mereka.