Azaharil
Anuar menunaikan janji membawa Ellis Elliza bertemu dengan seorang ustazah yang
mengamalkan ilmu perubatan Islam. Azaharil Anuar sememangnya sangat pelik
melihat kelakuan Ellis Elliza seakan ada sesuatu yang tidak kena. Ellis Elliza
sekarang bukan Ellis Elliza yang dikenalinya 14 tahun dahulu. Sebelum semuanya
terlewat, baik dia bertindak terlebih dahulu. Dia tidak mahu kehilangan isteri
yang amat dicintainya itu.
Ellis
Elliza masih bingung. Dia tidak dapat mengingati langsung kejadian selepas dia
mencium haruman bunga yang luar biasa pemberian Runi Naqiu. Dia seakan
berkhayal sebelum dia tidak sedar diri. Entah apalah yang ada pada haruman
bunga itu sehingga melumpuhkan ingatannya pada kejadian selepas itu. Sesekali
Azaharil Anuar mendengar Ellis Elliza menghela nafas panjang.
“Kenapa
mama?” tanya Azaharil Anuar yang begitu prihatin pada Ellis Elliza.
“Mama
masih tak puas hati selagi mama tak tahu apa yang jadi pada mama semalam.
Kenapa mama boleh tak sedar diri. Bagaimana mama boleh ada di rumah kita. Semua
persoalan yang tidak terjawab memeningkan kepala mama.” Ellis Elliza
berterus-terang. Dia sudah tidak mampu lagi untuk menanggung apa yang dia rasa.
“Syhhhh...
lupakan apa yang terjadi. Mama akan pulih seperti sedia kala nanti. Mama
perlukan banyak rehat. Abang sayang mama.” Tulus benar pengucapan Azaharil
Anuar di cuping telinga Ellis Elliza sehingga mengundang sebak di dada wanita
itu.
“Terima
kasih abang. Terima kasih kerana sentiasa di sisi mama. Mama sayang abang tapi
mama tak tahu bagaimana mama boleh terjebak dengan cinta dia. Maafkan mama
abang.” Ellis Elliza mengambil tangan Azaharil Anuar lalu mengucupnya. Lama.
“Syhhhh...
itu bukan cinta namanya. Itu nafsu. Cinta bertunjangkan syaitan. Cinta sebegitu
takkan kekal lama. Percaya pada Qada dan Qadarnya. Insya-ALLAH semuanya akan
kembali pulih seperti sedia kala. Ya mama?” Azaharil Anuar mengucup ubun-ubun
Ellis Elliza sebelum membelai kepala isterinya itu.
Seketika
kemudian, Ellis Elliza sudah pun berada di hadapan Ustazah Ariani. Ustazah
Ariani tersenyum melihat Ellis Elliza. Dia seakan dapat merasakan getar yang
melanda diri wanita itu.
“Awak
apa khabar?” Ustazah Ariani memulakan bicara.
“Baik.
Ustazah, ada yang tak kenakah pada saya ni?” Ellis Elliza ingin sangat tahu apa
yang tidak kena dengan dirinya sehingga Azaharil Anuar terpanggil untuk
membawanya ke sini.
“Beginilah.
Bila saya melihat awak, saya dapat rasakan memang ada yang tak kena. Saya dapat
lihat ada satu bayang hitam yang sentiasa mengekori awak. Boleh berterus-terang
dengan saya, sebelum ni awak ada tenung mata seseorangkah?” Ustazah Ariani
masih lagi mengukir senyuman manisnya. Dia tidak mahu pesakitnya berasa
tertekan ketika sesi berubat dijalankan.
“Ya.
Kerap dan selalu.” Ellis Elliza berterus-terang.
“Maksud
saya bukan suami awak.” Ustazah Ariani membetulkan ayatnya.
“Ya.
Dia yang saya kenal beberapa bulan yang lalu. Dia memang suka bila saya tenung
matanya. Kenapa ustazah?” tanya Ellis Elliza polos.
“Di
matanya itulah terletak kuasa yang maha dahsyat. Di matanya dapat mengawal
setiap wanita yang bertemu dan memandangnya walaupun sekali. Kuasa yang dia
amalkan terlalu kuat kerana ada pendamping yang sentiasa menyokongnya.
Sesiapa yang memandang tepat ke matanya, tidak mungkin dapat lari dari cengkamannya.
Saya rasa, awak sudah terkena sihir yang diamalkannya untuk menundukkan wanita
buat kepentingan dirinya sendiri.” Panjang lebar Ustazah Ariani memberitahu
Ellis Elliza.
Setitik
air mata Ellis Elliza gugur tanpa diminta. Dia tidak menyangka keikhlasannya menghulur
tali persahabatan rupanya telah dibalas sedemikian rupa. Kenapa dia
diperlakukan begitu? Ellis Elliza tidak mampu mendapat jawapannya dengan
sendiri.
“Tapi
kenapa saya disihirnya? Apa salah saya? Saya ikhlas bersahabat dengan dia.”
Ellis Elliza memberitahu dalam nada yang tersekat-sekat.
“Bukan
awak saja tapi terlalu ramai yang dilemparkan sihir cinta demi memenuhi
kepentingan dirinya sendiri. Dia ada motif yang tersendiri untuk buat awak
berada di dalam genggamannya. Mahu tak awak kalau saya membuangkan apa saja yang
singgah pada awak?” Ustazah Ariani meminta izin.
“Ya.
Buanglah. Saya tak mahu menyimpannya. Saya tak mahu lagi dipergunakan. Saya
mahukan kehidupan yang lalu. Tenang tanpa gangguan. Saya sayangkan suami dan
anak-anak saya.” Ellis Elliza tidak ralat jika Ustazah Ariani mahu membuangkan
apa sahaja yang singgah di tubuhnya. Dia tidak mampu lagi menanggung rasa
dengan terkenang Runi Naqiu. Cukuplah selama ini dia menuruti kata-kata Runi
Naqiu dan menghambakan diri buat lelaki itu. Dia tidak mahu menduakan Azaharil
Anuar yang terlalu mencintai dirinya. Dia ingin membetulkan segala-galanya.
Alangkah berdosanya dirinya mencintai lelaki lain sedangkan dia sudah pun
bersuami. Ini semua gara-gara lelaki itu yang telah memporak-perandakan
perasaannya.
Ustazah
Ariani menyuruh Ellis Elliza membelakanginya dan mula mengubati wanita itu.
Perit sungguh Ellis Elliza rasa apabila jari-jemari Ustazah Ariani mengenai
tempat-tempat menjadi singgahan kuasa hitam itu sedangkan kuku jari-jemari
Ustazah Ariani tidaklah panjang mana. Sesudah selesai sesi perubatan Islam,
Ellis Elliza berasa badannya ringan seakan boleh melayang.
Seketika
kemudian, Ustazah Ariani memandikan Elliza Elliza sebelum memberi air penawar
dan ayat-ayat yang harus diamalkan ketika berada di rumah agar diri tidak ampuh
dengan bisikan syaitan laknatullah.
Azaharil
Anuar memberi sedikit sagu hati buat Ustazah Ariani walaupun ustazah itu tidak
memintanya. Ellis Elliza berasa lapang minda apabila ingatannya yang terlalu
mendalam terhadap Runi Naqiu dapat dilupuskan sedikit demi sedikit. Syukur
Alhamdulillah.
--------------------------------------------------------------------------------------------------
Aku
kena selamatkan Fiqa. Nampak Runi rapat benar dengan wanita itu. Dia tidak
boleh jatuh ke dalam perangkap Runi. Ellis Elliza bertekad lalu menegur
Rabiatul Syafiqah di laman sosial
facebook secara tertutup.
“Assalamualaikum
Fiqa. Sibuk ke?” tanya Ellis Elliza
sambil menanti jawapan balas daripada wanita itu.
“Waalaikumussalam.
Fiqa nak ke Pulau Pinang ni. Saja jalan-jalan ke sana. Dah lama tak bawa mak
jalan-jalan makan angin.” Rabiatul Syafiqah membalasnya. Bolehlah dia berbalas
mesej kerana Kak Fatin Vavavoom yang sedang memandu kereta. Mereka akan memandu
secara bergilir nanti.
“Saya
mengganggulah ni?” Pancing Ellis Elliza.
“Taklah.
Bagus juga kalau ada orang berbual-bual. Tengah bosan dalam kereta.” Laju
sahaja Rabiatul Syafiqah menaip ayat balas.
“Runi
tak mesej Fiqa ke?” Ellis Elliza ingin tahu.
Tersenyum
Rabiatul Syafiqah melihat mesej itu. Seakan ada baur cemburu. Dia ni cemburu
agaknya. Maklumlah, aku semakin rapat dengan kawan rapatnya. Tapi apa salahnya
kalau aku rapat, diakan dah bersuami? Atau dia tak boleh lepaskan Runi? Kasihan
Runi. Teruk juga si Ellis ni.
“Ada.
Baru saja tadi mesej Fiqa. Dia sentiasa ambik berat pasal diri Fiqa. Dia suruh
Fiqa beritahu dia setiap waktu sebelum sampai ke Pulau Pinang.” Rabiatul
Syafiqah tidak mengesyaki apa-apa lalu menjawab sahaja soalan yang diajukan
kepadanya.
Wah,
si Runi ni memasang ayat pula pada Fiqa. Sudah pastilah Fiqa akan rasa dirinya
terlalu istimewa sehingga Runi begitu ambil berat. Tak boleh jadi ni. Aku kena
berterus-terang dengan Fiqa. Ellis Elliza semakin bertekad.
“Fiqa,
Runi tu dengan semua perempuan dia ambil berat tau. Hati-hati sedikit dengan
dia. Saya bukan nak masuk campur urusan Fiqa dengan dia, cuma saya tak mahu
Fiqa terjebak dalam perangkap asmaranya dan saya tak tahu kenapa saya ambil
berat sangat pada Fiqa.” Ellis Elliza sudah memasang kata.
Eh,
pelik betul bunyinya. Sahlah dia memang cemburu. Rabiatul Syafiqah tersenyum
sumbing.
“Ada
apa-apa yang perlu Fiqa tahu ke? Kenapa awak ambil berat tentang diri Fiqa
pula. Setahu Fiqa kita baru beberapa kali bual. Lagipun, Fiqa memang suka
berbual dengan Runi. Dia tu kelakar tau.” Rabiatul Syafiqah masih mahu melayani
Ellis Elliza.
“Fiqa,
dengan semua orang dia mulakan dengan jenaka. Itu cara dia sebelum dia dapat
menambat dan memundukkan hati wanita. Fiqa, awak tak kenal siapa dia tapi saya
kenal siapa dia. Saya tak mahu awak masuk perangkap dia. Fiqa tolong percayakan
saya.” Ellis Elliza masih berusaha untuk menyelamatkan Rabiatul Syafiqah.
“Awak
tak nak ke beritahu saya apa yang awak tahu tentang Runi? Tolonglah jangan buat
saya berteka-teki.” Rabiatul Syafiqah mula rasa tidak sedap hati.
“Saya
akan beritahu awak suatu hari nanti. Insya-ALLAH. Sedikit waktu lagi awak akan
tahu siapa Runi yang sebenarnya. Cuma sekarang, saya nak awak berhati-hati
dengan Runi. Jangan sampai jatuh cinta.” Pesan Ellis Elliza lagi.
“Insya
ALLAH. Okeylah, Fiqa nak makan kejap di R&R ni. Nanti Fiqa mesej awak lagi
ya. Terima kasih.” Rabiatul Syafiqah sudah tidak tahan lapar ketika berhenti di
R&R Tapah sebelum sampai ke Pulau Pinang. Sudah terbayang di matanya akan
tempat-tempat perlancongan Pulau Pinang yang begitu menggoda hatinya.
“Baiklah.
Fiqa, hati-hati di jalan ya. Nanti sampai Fiqa beritahu saya. Saya tak tahu
kenapa saya sayang Fiqa. Assalamualaikum.” Ellis Elliza faham bahasa apabila
Rabiatul Syafiqah sudah tidak mahu berbual dengannya lagi.
“Waalaikumussalam.
Terima kasih kerana sudi ambil berat pada saya.” Rabiatul Syafiqah menamatkan
perbualan mereka di alam maya. Entah kenapa hatinya celaru dan dapat merasakan
sesuatu yang tidak enak. Kenapa setiap kali dia ingin memulakan sesuatu hubungan
pasti ada halangannya. Kali ini entah apa pula halangannya. Rabiatul Syafiqah
menarik nafas panjang sebelum masuk ke tandas dan kemudian mencari gerai makan
untuk mengisi perutnya yang terlalu lapar itu.
------------------------------------------------------------------------------------------------
“Aku
terlalu rindukan dia. Boleh jadi sasau kalau tak dengar suara dia. Aku kena
lakukan sesuatu.” Fadhila Imani seakan meroyan apabila tidak mendengar suara
Runi Naqiu lalu dia mencapai telefon pintarnya dan terus mendail nombor Runi
Naqiu.
Fadhila
Imani menanti seketika sebelum panggilan bersambung kepada empunya dirinya.
Agak lama juga dia menanti di hujung talian dalam debaran rasa yang tidak
pernah putus.
“Helo.”
“Helo
abang.” Fadhila Imani terus membalas suara itu setelah lama tidak mendengarnya
sehingga rindu menusuk-nusuk ke dalam jantungnya. Seakan boleh gila jadinya.
“Hmm
... Dhila nak apa lagi?” Runi Naqiu terasa malas benar hendak melayani Fadhila
Imani di kala itu. Rabiatul Syafiqah sudahlah pergi melancong, manakala Ellis
Elliza sudah tidak kerap membalas mesej-mesejnya. Dia bertekad akan terus
memperhangat hati Ellis Elliza dengan menggunakan Rabiatul Syafiqah agar wanita
itu terus melekat pada dirinya.
“Abang,
janganlah abaikan Dhila macam ni? Sampai bila abang nak block Dhila? Dhila dah berubah bang. Dhila janji akan lebih jaga
adap perlakuan Dhila. Tolonglah abang jangan
block Dhila di facebook tu lagi.
Dhila rindu dengan abang, abang tak rindu Dhila ke?” Fadhila Imani merayu-rayu
Runi Naqiu agar tidak mengabaikannya lagi.
Runi
Naqiu tersengih mendengar rayuan Fadhila Imani. Sememangnya dia suka jika ada
wanita yang merayu-rayu sebegitu kepada dirinya apabila permainan block di facebookbermula. Itu bermakna mereka tidak mampu untuk melepaskan
dirinya dan ia juga merupakan kemenangan bagi dirinya.
“Abang,
janganlah diam macam ni. Abang terimalah Dhila semula. Dhila sayang abang.
Tolonglah.” Fadhila Imani semakin bersungguh-sungguh dalam mengatur rayuannya.
“Baiklah.
Abang akan unblock Dhila di facebook abang dan kita boleh berbual
seperti biasa. Tapi ingat, jangan sesekali menyakiti hati Ellis lagi.” Runi
Naqiu akhirnya memberi kemenangan pada Fadhila Imani. Bukan tidak tahan dek
kerana rayuan wanita itu tetapi dia mempunyai agenda lagi yang tersembunyi.
“Terima
kasih abang. Dhila cintakan abang dengan sepenuh hati Dhila. Nanti bila Dhila
bercerai, kita kahwin ya abang. Dhila tak sabar-sabar nak bersama abang.”
Fadhila Imani tidak segan silu menuturkan kata rindu mahupun cinta pada Runi
Naqiu.
Tersenyum
lagi Runi Naqiu memegang piala kemenangan. Hatinya bergolak riang. Kalau Ellis
Elliza sudah tidak mahukan dia, Fadhila Imani pun sudah cukup buat masa ini
hingga dia betul-betul bertemu perempuan
yang lebih hebat lagi. Fadhila Imani tidak lebih dari 'simpanan' sahaja kerana
hanya Fadhila Imani yang sentiasa akur dan menurut semua kehendaknya.
“Abang
pun sayang. Mwah ... jumpa lagi sayang. Abang nak unblockDhila kejap dan masukkan semula Dhila ke dalam grup abang.
Tunggu tau.” Begitulah ayat berbisa yang keluar dari dua ulas bibir Runi Naqiu.
“Terima
kasih abang.” Hati Fadhila Imani berbunga-bunga setelah lama memendam rindu
buat Runi Naqiu. Dia sudah hilang malu kerana cintanya pada Runi Naqiu terlalu
mendalam. Dia sudah tidak peduli lagi dengan rumahtangganya asalkan dapat
bersama-sama Runi Naqiu.
-----------------------------------------------------------------------------------------
Nur
Syarida mencari kelibat Nazira di rumah datuk wanita itu. Dia melihat Nazira
sedang menangisi permergian datuk kesayangannya. Nur Syarida mengambil senaskah
surah Yaasin lalu menghadiahkan kepada yang meninggal agar rohnya tenteram di
alam sana.
Sesudah
persiapan jenazah ingin dikebumikan, Nur Syarida membuntuti langkah Nazira
sehingga ke tanah perkuburan. Kemudian, dia tetap mengekori Nazira pulang ke
rumah semula.
“Naz.”
Panggil Nur Syarida penuh kelembutan.
“Sejak
bila kau ada sini?” Tanya Nazira yang masih berbaki air mata.
“Dah
lama aku di sini. Naz, aku tahu masa sekarang tak sesuai untuk berbincang tapi
percayalah pada aku jangan sesekali kau turun ke Kulai tu untuk berjumpa dengan
Runi. Bahaya Naz.” Kali ini Nur Syarida sudah tidak mahu menyembunyi lagi
identiti Runi Naqiu lalu dia bersuara agar Nazira dapat mendengarnya dengan
jelas. Dia masih berusaha kuat untuk menyalamatkan Nazira.
Terkejut
Nazira mendengar sebaris nama yang disebut oleh Nur Syarida. Dia hairan
bagaimana Nur Syarida tahu dengan siapa yang hendak ditemuinya. Tiba-tiba hati
Nazira menggelegak marah. Di fikirannya sudah pasti Nur Syarida membaca
mesej-mesejnya di telefon pintar.
“Kau
skodeng aku ya? Kau baca mesej-mesej aku dengan Runi? Hah? Kenapa kau suka
sangat campur tangan dalam hidup aku? Suka hati akulah nak jumpa dia ataupun
tidak. Boleh tak kau jangan halang aku dari bercinta? Aku sayang dia. Aku
sayang Runi. Faham tak?” Nazira mengamuk sakan. Dia sudah tidak tahan lagi
dengan sikap Nur Syarida yang mahu masuk campur dalam urusan hidupnya dari
segenap sudut.
“Naz,
aku bukan halang kau untuk bercinta. Malah aku suka kalau kau dapat seseorang
yang boleh menjaga kau. Tapi Runi .... dia adalah parasit yang menumpang kau
saja Naz. Dia bukan lelaki yang sesuai untuk kau. Dah ramai perempuan yang
diayatnya. Aku nak selamatkan kau, Naz. Percayalah pada aku kali ni.” Nur
Syarida sedikit merayu. Ada getar di hujung kata-katanya.
“Sudahlah.
Aku tak mahu dengar apa-apa lagi dari kau. Kau memang perosak hubungan orang.”
Nazira ingin berlalu pergi tetapi dihalang oleh Nur Syarida.
“Bukan
aku perosak hubungan orang tapi Runi. Naz, selama ni aku berchatting dengan Runi di whatsapp. Aku jatuh cinta dengan dia
kerana dia pandai ambil hati aku. Suka bergurau. Aku selesa dengan dia. Oleh
sebab itulah aku membuat keputusan untuk bertemu dengan dia di Kulai. Sesuatu
telah berlaku Naz. Aku tak mahu kau turut alami apa yang aku alami.” Nur
Syarida membuka rahsianya selama ini.
Nazira
semakin terkejut dengan kenyataan itu. Namun, entah kenapa dia tidak mahu
percayakan Nur Syarida malah memilih untuk lebih percayakan Runi Naqiu.
“Aku
tak percayakan kau. Kau saja buat cerita untuk halang kebahagiaan aku.” Nazira
melafazkan kata sebelum berlalu pergi. Namun, cepat sahaja Nur Syarida mencapai
pergelangan tangan Nazira.
“Naz,
aku tahu kau bencikan aku sebab aku selalu cari pasal dengan kau. Aku tahu
kenapa kau tak percayakan aku. Tapi aku janji Naz, aku akan bongkarkan siapa
Runi Naqiu sebenarnya. Waktu itu akan tiba. Tapi sebelum ia tiba, aku harap kau
takkan berjumpa dengan dia. Aku tak mahu maruah kau tercalar nanti.” Nur
Syarida masih tidak berputus asa untuk menarik perhatian Nazira.
“Dah
habis?” tanya Nazira tegas.
“Ya.”
Balas Nur Syarida dengan ringkas.
“Kau
boleh keluar dari rumah aku sekarang. Aku tak ada masa nak layan kau.” Nazira
terus berlalu.
Nur
Syarida menarik nafasnya dengan panjang sekali. “Aku janji Naz, aku akan
bongkarkan kerja jahat Runi Naqiu. Di saat itu, kau akan mempercayai aku. Aku
tak mahu kau terjebak di dalam perangkap asmara dustanya. Aku sayangkan kau,
Naz.” Nur Syarida berazam sebelum beredar dari rumah Nazira.