Home Novelet Seram/Misteri PROJEK SERAM KERUSI : ANTIK
PROJEK SERAM KERUSI : ANTIK
Ebriza Aminnudin
23/11/2016 21:11:09
18,814
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Senarai Bab
Bab 5: Kejadian Aneh Bermula

“Papa!” Syahril Azhar memanggil papanya ketika Iman Lutfi sedang mencatat semua barangan yang ada di dalam banglo itu menggunakan tab yang dibeli khas untuk kerja-kerja penilaian barang-barang antik.

Pantas Iman Lutfi berpaling ke arah Syahril Azhar dan juga Ahmad Akif yang sudah tercegat di muka pintu bilik paling hujung. Sengaja Iman Lutfi memulakan tugasnya di bilik paling hujung sekali. Banglo istana ini walaupun besar tetapi ia mempunyai hanya dua tingkat sahaja.

“Ada apa Syahril, Akif?” Iman Lutfi tidak suka kerjanya diganggu.

“Papa, dalam bilik Syahril dan Akif ada meja berukir. Lawa pa meja tu. Cuba papa tengok. Syahril rasa ia dari kurun ke 19,” Syahril Azhar menggula-gulakan Iman Lutfi untuk mengekorinya ke sana.

Iman Lutfi bagaikan lembu dicucuk hidung terus mengekori langkah Syahril Azhar dan Ahmad Akif ke bilik tidur mereka. Sekali terpandang pada meja solek itu, terus dia terpikat.

“Cantik tak papa? Dah jarang zaman sekarang nak ada meja solek macam ni. Ukirannya buat kita seperti berada di zaman dulu-dulu. Syahril pernah tengok meja macam ni dalam cerita melayu zaman dulu,” Syahril Azhar menyatakan pendapatnya.

“Macam mana pula Syahril tahu ia dari kurun ke-19?” hairan juga Iman Lutfi mendengar penerangan Syahril Azhar yang mengetahui dari kurun ke berapa asal ukiran meja itu.

“Syahril ada tengok dalam internet. Kalau Syahril tak silap lah. Cuba papa buat research,” cadang Syahril Azhar.

Sementara itu, Ahmad Akif yang baru nampak kerusi goyang terdapat di satu sudut bilik tidur mereka terus teruja hendak mencuba kerusi itu. Pada mulanya dia hanya duduk sambil menggoyang-goyang ala-ala orang tua dulu. Kemudian, dia rasa teruja pula hendak naik ke atasnya. Lalu tanpa fikir panjang dia melompat-lompat atas kerusi goyang itu. Seronoknya dia bagai berada di atas kapal dilambung alunan ombak.

Ia mengganggu kosentrasi Iman Lutfi dan Syahril Azhar yang sedang meneliti meja solek yang terdapat di dalam bilik itu. Iman Lutfi memaling wajahnya menghadap Ahmad Akif. Geram sungguh dia dengan anak keduanya itu. Ada sahaja perangai yang hendak dilakukan sehingga boleh menaikkan kemarahannya.

“Akif! Jangan loncat-loncat atas kerusi goyang tu. Papa nak jual kerusi tu juga. Pecah nanti apa papa nak jawab pada tuan banglo ni?” melantun suara gergasi Iman Lutfi.

“Alah pa .. kerusi goyang ni nampak kukuhlah. Seronok Akif main atasnya. Tengok ni, walaupun setinggi mana pun Akif loncat ia tetap kukuh.” Ahmad Akif tidak mahu mendengar kata. Iman Lutfi mendengus geram.

“Patah kerusi tu, Akif guna duit Akif untuk ganti. Papa akan potong duit sekolah Akif. Biar Akif tak ada duit ke sekolah,” Iman Lutfi mengugut Ahmad Akif pula dengan harapan cara itu akan menjadi tetapi ...

Makin lama makin menjadi-jadi pula Ahmad Akif melompat atas kerusi goyang itu. Ikutkan hati hendak sahaja Iman Lutfi memberi penampar kepadanya tetapi dia takut menjadi pergaduhan pula dengan Norliesa Aida. Isterinya itu pernah berhari-hari merajuk dengannya hanya kerana dia mengurung Ahmad Akif yang sangat nakal kerana tidak mahu mendengar kata.

“Janganlah loncat. Bisinglah kau ni, Akif. Aku nak bincang dengan papa pun tak senang,” Syahril Azhar pula meradang dengan sikap adiknya.

“Abang Syahril bincanglah dengan papa. Akif sukalah dengan kerusi goyang ni,” Ahmad Akif semakin tinggi melompat di atasnya. Sekali tengok bagaikan sedang bersenam pula.

“Biarkan dia papa. Kalau dia jatuh baru padan muka. Jom kita tengok meja solek ni dari kurun ke berapa,” Syahril Azhar juga sudah malas hendak menegah Ahmad Akif lalu dia mengalih perhatian Iman Lutfi ke arah meja yang terhampar di hadapan mata mereka.

Iman Lutfi menggunakan kanta pembesar untuk meneliti meja solek itu. Ia dari hasil art nouveaumenggunakan banyak inovasi teknologi pada akhir abad 19. Mungkin ia dari abad 1920an.Tarikan lacinya pula dibuat dari kuningan dengan ornamenArt Nouveauyang memukau.Alas meja menggunakan marmardoffpersegi berwarna abu-abu ukuran P.46,5 cm x L.25,5 cm merupakan pengaruh dari gayaThe Dutch Colonial. Itu apa yang Iman Lutfi perolehi dari hasil kajian ringkasnya.

Sedang membelek meja solek itu, ada satu ukiran yang berbentuk tulisan sankrit. Ketika menyentuhnya Iman Lutfi dapat merasakan kuasa yang ada di meja itu sehingga mengucap panjang dibuatnya. Mungkinkah terdapat sihir pada ukirannya di dalam bahasa yang tidak diketahui sehingga mampu membuat perabot itu tahan lama? Segalanya mungkin. Bukankah orang pada zaman dahulu memang terkenal dengan memiliki kuasa sihir? Iman Lutfi tidak mahu meneruskan kajian dan penelitiannya. Dia takut seandainya dia telah membuka kata kunci sihir di dalam bahasa yang tidak difahami dan ia akan membawa bencana kepada keluarganya. Iman Lutfi amat menjaga keluarganya.

“Papa, papa rasa ukiran apa yang terdapat pada meja solek ni?” Syahril Azhar teruja ingin tahu. Sesuatu yang pelik sering kali menarik minatnya.

“Papa rasa ia bahasa sanskrit. Tapi Syahril jangan pandai-pandai rungkaikannya sebab kita tak tahu ia berkenaan apa. Papa takut jika ia adalah sihir, sekali terungkai pasti kita semua dalam bahaya. Barang lama ni kadang-kadang ada penunggunya,”pesan Iman Lutfi agar Syahril Azhar tidak merungkaikan maksud ukiran yang terdapat di meja solek itu.

Papa ni macam tahu-tahu saja apa yang aku nak buat. Hesy, nampaknya tak dapatlah aku nak kaji maksud disebalik ukiran yang terdapat di meja ni. Betul juga kata papa, andai ia adalah sebuah sihir dan aku membebaskannya, maka kami sekeluarga di dalam bahaya. Dalam diam-diam Syahril Azhar membatalkan niat asalnya.

“Dengar tak apa yang papa cakap tadi?” Iman Lutfi menekan sedikit suaranya kerana dia sangat tahu keinginan Syahril Azhar begitu mendalam jika dia mahu tahu tentang sesuatu dan akan dicarinya sehingga ke akar umbi.

“Okey bos. Syahril janji takkan kaji maksud di sebalik ukiran tu,” Syahril Azhar terpaksa membuat janji dengan papanya.

“Bagus. Macam itulah anak papa. Papa tak mahu musibah melanda keluarga kita,” Iman Lutfi memberitahu kenapa Syahril Azhar ditegah untuk merungkaikan misteri di sebalik ukiran itu.

Tiba-tiba sahaja pandangan mata Iman Lutfi dan Syahril Azhar dihidangkan dengan sesuatu yang agak luar biasa. Mereka terperanjat apabila Ahmad Akif seakan dilempar dari terus meloncat di atas kerusi goyang itu ke ruang udara sebelum dia jatuh di atas lantai.

“Aduh papa! Badan Akif sakit!” Ahmad Akif meraung menahan kesakitan yang sangat berbisa. Dia tidak menyangka akan dilempar oleh kerusi goyang itu, seakan ada sesuatu yang menghuni di dalam kerusi goyang yang diperbuat daripada kayu buluh itu.

“Padan muka. Papa dah larang Akif dari meloncat atas kerusi goyang tu tapi Akif tak nak dengar cakap papa. Sekarang macam mana? Sedap tak dapat habuan?” tanya Iman Lutfi yang tidak langsung menayangkan riak kasihan.

“Papa ni, orang sakit bukannya nak simpati. Perli kita pula!” Ahmad Akif merajuk dengan papanya walaupun sudah didukung oleh Iman Lutfi dan dibaringkan di atas katil.

“Orang dah larang tadi tapi Akif tak nak dengar, kan? Itulah padahnya bila tak nak dengar cakap orang yang lebih tua. Lebih-lebih lagi papa dan mama. Lain kali kalau orang dah tegah tu janganlah buat lagi,” Syahril Azhar menambah perisa membuatkan luka di hati Ahmad Akif bertambah bengkak.

“Kerusi tu berpuakalah. Mula-mula ia peluk Akif macam nak putus nyawa sebelum ia lempar Akif tadi. Nanti Abang Syahril tolong bawa kerusi tu keluar. Akif tak nak tengok kerusi tu lagi. Lagipun, kerusi tu bermata. Tajam matanya pandang Akif,” Ahmad Akif mencipta alasan. Entah benar ataupun tidak kenyataan yang diberikan kepadanya.

Iman Lutfi dan Syahril Azhar memandang ke arah kerusi goyang yang dimaksudkan oleh Ahmad Akif dan mereka tidak nampak pun kerusi itu bermata sebagaimana didakwa oleh kanak-kanak sebelas tahun itu. Seketika kemudian, meletus ketawa dari dua ulas bibir Iman Lutfi dan juga Syahril Azhar. Mereka menggeleng-gelengkan kepala dengan tingkah Ahmad Akif.

“Merepek saja Akif ni. Mana ada kerusi tu bermata,” Syahril Azhar merasakan Ahmad Akif sengaja mencari perhatian mereka sedangkan apa yang dikatakannya tidak wujud.

“Jangan merepek banyak sangat boleh tak Akif?” Iman Lutfi menggeleng-geleng kepalanya sekali lagi dengan gelagat anak bujang keduanya itu.

Ahmad Akif terasa hati apabila kata-katanya tidak dipercayai oleh papa dan abangnya. Dia tidak tahu bagaimana hendak meyakinkan mereka sedangkan dia nampak mata di bahagian dada kerusi goyang itu.

Tatkala mata mereka bertentangan, kerusi goyang itu membuka matanya yang merah dengan luas membuatkan Ahmad Akif memeluk Iman Lutfi sambil menangis. Dia meronta-ronta menyuruh kerusi goyang itu dikeluarkan.

Syahril Azhar lantas mengeluarkan kerusi goyang itu dan diletakkan di bilik belakang sekali atas arahan Iman Lutfi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.