Bab 6 : Jarum Kasih Ayat Sayang

Ellis Elliza melihat keknya di dalam oven sama ada sudah masak atau belum. Dia berpuas hati melihat kek lapis coklat cadbury tersusun cantik dan berlapis kemas. Itulah hobi Ellis Elliza jika dia mempunyai masa yang terluang. Dia minat memasak kek walaupun kek itu susah. Ada kepuasan terbit di hati melihat kek hasil air tangan sendiri. Jika tidak lagi bekerja di Syarikat Pengiklanan Jaya Ria, dia pasti akan membuka sebuah bakeri dan menjual semua kek-kek hasil air tangannya. Namun, ketua Ellis Elliza tidak membenarkan dia berhenti kerja kerana sebagai pengurus pengiklanan di syarikat itu, Ellis Elliza telah banyak menyumbangkan idea kreatif yang memberi banyak keuntungan kepada syarikat. Siapa yang mahu melepaskan anak emas seperti Ellis Elliza.

Manakala Azaharil Anuar pula lebih selesa bekerja di syarikat pembinaannya sendiri. Dia telah membuka syarikat itu dengan hasil titik peluhnya dan dia merupakan salah seorang bumiputera yang paling berjaya dan berpengaruh di Johor Bahru.

Ellis Elliza mengerling ke arah telefon pintarnya yang berbunyi burung bersiul. Itu menandakan ada mesej yang masuk menerusi aplikasi Whatsapp. Dia tahu siapakah gerangan yang hantar mesej itu. Pantas jari-jemari Ellis Elliza menekan kata kunci di telefon pintarnya untuk membaca mesej yang dihantar. Ellis Elliza menarik nafas dan bibirnya menguntum secarik senyuman apabila tekaannya benar belaka.

Tengah buat apa? Tanya si penghantar mesej.

Buat kek lapis cadbury. Ringkas dan padat balasan daripada Ellis Elliza.

Sebentar kemudian, telefon Ellis Ellis meraung nyaring minta diangkat. Mungkin tidak puas agaknya jika tidak mendengar suara Ellis Elliza yang cukup menggoda itu. Sekali lagi Ellis Elliza menghela nafasnya.

“Assalamualaikum abang.” Pembuka bicara dari Ellis Elliza.

“Waalaikumussalam. Sedapnya kek coklat cadbury. Abang nak sikit.” Runi Naqiu mula memaniskan bicaranya.

“Abang nak datang sini ke?” tanya Ellis Elliza. Selalunya jika Runi Naqiu datang ke Johor Bahru, pasti akan dibekalkan sebarang kek yang dibuatnya.

“Hmm ... mungkin tak ada rezeki. Abang nak jumpa orang hari ni. Mungkin lain kali saja.” Runi Naqiu agak kecewa.

“Abang nak jumpa siapa?” Ellis Elliza kembali menyoal sambil melihat kek coklatnya agar tidak hangus pula.

“Penerbit, untuk bincangkan tentang skrip drama abang. Kalau okey, bolehlah abang jual tapi kalau dia nak ubah, abang tak nak. Abang tak suka orang ubah mana-mana scenedalam skrip abang.” Jelas Runi Naqiu.

Hmm ... kalau begitu, sampai bila pun takkan dapat jual skrip tu. Simpan ajelah buat pekasam. Macam mana nak ada duit kalau asyik ikut kepala dia saja. Rungut Ellis Elliza di dalam hati.

“El ...” panggil Runi Naqiu dalam suara yang sangat manja.

“Ya.” Ellis Elliza menjawab. Ada debar yang tiba-tiba hadir didadanya. Dia sudah berjanji pada diri sendiri untuk cuba memperbaiki hubungannya dengan Azaharil Anuar. Namun adakah hatinya akan tega dengan janji yang dilafazkan.

“El dah buat keputusan? Abang tunggu El. Abang selalu bayangkan El datang pada abang bawa beg besar. Abang dah tak sabar tunggu saat itu." Runi Naqiu terus melunakkan suaranya.

“Abang, abang kena faham situasi El. Semuanya takkan mudah sebagaimana abang inginkan.” Ellis Elliza menutup suis ovennya apabila kek sudah masak sepenuhnya.

“El, abang faham. Sangat faham. Abang boleh tunjukkan caranya untuk El berpisah dengan suami El. El boleh minta talak. Kalau El tak tahu nak buat bagaimana, abang ajar. El tuntut fasakh. Ramai orang buat macam tu. Semuanya tak mustahil. Please El, kita harus tamatkan semua ni. Kita bukan semakin muda. Abang nak anak bersama El. Abang sangat cintakan El. Percayalah sayang.” Runi Naqiu membenamkan jarum-jarum dari ayat kasihnya terus menusuk ke dalam hati Ellis Elliza.

"Abang harus faham situasi El. Suami El tak akan lepaskan El." Suara Ellis Elliza mula bergetar mendengar bicara Runi Naqiu pada waktu itu.

“Abang sanggup jaga double ‘A’. Anak-anak El macam anak-anak abang juga. Abang takkan pisahkan El dengan anak-anak El. El, boleh tinggalkan semuanya pada suami El. Datang pada abang sehelai sepinggang pun tak apa. El, will you? You know that I love you so much. Tulus dari hati abang. Abang takkan sia-siakan El.” Runi Naqiu tidak mahu mengalah. Walau apa pun terjadi, dia pasti dapatkan Ellis Elliza. Dia mempunyai impian untuk hidup bersama Ellis Elliza. Agak mustahil untuk dia lepaskan wanita berkerjaya seperti Ellis Elliza.

“Suami El pun tak pernah sia-siakan El. Dia jaga El dengan baik. Suami El terlalu baik abang. El tak sampai hati nak lukakan hatinya. Tak ada sebab untuk El menuntut fasakh dari suami El." Ellis Elliza masih ingin mempertahankan perkahwinannya.

“Jika Pegawai Agama tanya kenapa tuntut fasakh, El bagitahu El sudah tidak cintakan suami El, dah tak ada perasaan pada suami El. Percayalah sayang. Abang akan jaga El lebih dari suami El sekarang. Just come to me and I will proove it.” Goda Runi Naqiu lagi.

“Nanti El fikirkan.” Ellis Elliza tidak mahu memanjangkan lagi perbualan di antara mereka kerana nafasnya agak sesak ketika itu.

“Jangan lama-lama sangat sayang. Abang sangat cintakan El. Forever in my life. You must know i'm a loyal lover. I want to marry you. I want to live and die with you. Please take some times, think and decide ya.. May Allah bless our relationship and bring us together. I love you,sayang. I mean it my words." Ayat Runi Naqiu lagi.

"Baiklah abang, nanti El fikirkan. I need to stop. Suami dan anak-anak El dah sampai. Assalamualaikum, abang." Ellis Elliza ingin segera menamatkan perbualan memandangkan Amirul Adry dan Alyssa Ezura sudah pun pulang dari membeli belah bersama Azaharil Anuar.

“Waalaikumussalam.” Balas Runi Naqiu.

Wajah Ellis Elliza keruh waktu itu. Dia memandang Azaharil Anuar dengan rasa yang berbaur. Antara kasih dan kasihan. Antara cinta dan desakan. Dia terbayang pula wajah Runi Naqiu yang mengharap. Dia buntu dan keliru. Yang mana satukah harus dituruti.

“Mama, mama ... nak makan kek coklat.” Pinta Alyssa Ezura.

“Dah lama tak makan ma. Terima kasih kerana masakkan untuk kami. Kita boleh makan dengan pizza yang papa beli.” Amirul Adry sudah mengambil pinggan untuk meletakkan pizza yang dibeli dan juga pisau untuk memotong kek lapis coklat cadbury.

Ellis Elliza cuba memberikan senyuman indahnya tetapi ternyata hambar. Azaharil Anuar perasan akan kekeruhan di wajah Ellis Elliza. Memang peka sungguh.

“Kenapa mama? Keruh muka tu? Runi ada fon mama?” Azaharil Anuar meneka yang sememangnya tepat. Hanya lelaki itu sahaja yang mampu merubah roman wajah Ellis Elliza.

“Ya. Bual kosong saja.” Ellis Elliza jujur dengan Azaharil Anuar.

“Kalau bual kosong wajah mama takkan keruh macam tu. Apa pun dia minta, tolong abaikan. Mama dah miliki kesempurnaan di dalam hidup. Tolong fikirkan sedalam-dalamnya mama.” Azaharil Anuar tidak mahu menambahkan lagi beban di dalam hati Ellis Elliza lalu dia menamatkan perbualan di situ sambil menikmati pizza dan kek coklat hasil air tangan isteri yang tercinta.

Bergenang air mata Ellis Elliza dengan bicara lembut Azaharil Anuar. Seorang suka menekan dan seorang lagi cukup penyabar.

---------------------------------------------------------------------------------------------

“Sayang nak makan apa?” tanya Faridadli ketika membawa Nur Syarida pada petang hujung minggu itu.

Nur Syarida mengangkat sedikit keningnya memandang Faridadli sebelum bermain mesej semula dengan Runi Naqiu. “Apa-apa ajelah abang. Abangkan tahu selera sayang.” Balas Nur Syarida endah tak endah.

Sedikit keluhan terpancut keluar dari mulut Faridadli lalu memanggil pelayan. Dia memesan nasi briyani gam ayam untuk Nur Syarida dan nasi briyani gam kambing untuk diri sendiri beserta dengan air kelapa.

“Sayang, boleh tak beri sedikit perhatian pada abang, tunang sayang ni? Takkan 24 jam hendak main benda alah tu? Sampai sayang lupa pada orang sekeliling?” Faridadli sedikit bengang dengan sikap Nur Syarida yang tidak habis-habis dengan telefon pintarnya. Apakah jari-jemari Nur Syarida tidak kebas asyik menekan huruf-huruf di skrin telefonnya?

“Perhatian yang macam mana yang abang nak? Zaman dah berubah bang, takkan kita nak duduk bawah tempurung lagi. Sekarang ni, orang jual ikan pun ada telefon canggih. Ada aplikasi-aplikasi yang ditawarkan untuk kita guna bukan untuk disimpan. Nak hairan apa?” Nur Syarida memberikan senyuman kasih pada Faridadli sebelum jari-jemarinya menaip semula ayat-ayat yang dikarang untuk penerimanya.

“Tapi abang perlukan perhatian sayang. Asal keluar saja, pasti sayang main benda alah tu. Abang yang ada kat depan ni macam tunggul kayu tau tak?” Faridadli terus meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap sikap Nur Syarida.

“Abang, tak lama lagi kitakan dah nak kahwin. Pastilah perhatian sayang sepenuhnya pada abang. Sekarang ni biarlah sayang enjoydulu. Abang kenalah faham sayang juga. Nyawa sayang ni.” Nur Syarida tidak sedikit pun melihat wajah Faridadli selain telefon pintarnya.

Menarik nafas panjang Faridadli dengan jawapan yang diterima. Amboi mak, senangnya hati dia cakap macam tu. Belum kahwin dah macam ni, lepas kahwin nanti bagaimana? Kalau dah ketagih, boleh ke nak berhenti. Sindrom telefon pintar zaman kini memang boleh melalai dan melekakan penggunanya. Tambah-tambah dengan adanya kaki chat macam tunang aku ni. Dengan siapa ya dia asyik chat sampai tunang sendiri pun diabaikan? Tak boleh jadi ni.

Tiba-tiba sahaja Faridadli merampas telefon pintar Nur Syarida dengan kasar. Terperanjat Nur Syarida dengan tindakan sedikit ganas Faridadli.

“Abang!” bulat mata Nur Syarida memandang pada Faridadli.

“Cukup. Dengan siapa yang sayang leka chat sampai tunang sendiri pun diabaikan?” Faridadli mula membelek mesej-mesej yang dihantar oleh Nur Syarida.

Alamak! Kantoilah macam ni. Janganlah kami bergaduh pula. Aku masih sayangkan dia tapi aku sayangkan Runi juga. Macam mana eh? hati Nur Syarida dipanah taufan La Nina.

“Amboi mak! Banyaknya kekasih maya sayang. Semuanya ayat powerya? Patutlah leka sampai tunang sendiri pun tak ingat. Seronok permainkan hati orang macam ni?” jegil Faridadli sambil memandang tepat wajah Nur Syarida.

“Abang, itukan hobi di masa lapang saja. Alah, mereka pun mesti nak seronok-seronok juga. Di maya, mana boleh percaya seratus peratus. Kami saja suka-suka aje. Janganlah marah.” Nur Syarida cuba membetulkan keadaan.

“Tahu tak, orang-orang macam sayang inilah mampu memporak-perandakan hidup orang lain. Abang tak suka hobi gila sayang ni. Bukan semua yang anggap kita suka-suka. Ada yang cerai-berai kerana kaki chat. Sayang harus berhenti sekarang atau sayang memang nak perhubungan kita ni juga turut berhenti?” Faridadli sedikit mengugut untuk menyedarkan Nur Syarida akan bahayanya bermain api di alam maya. Menggoda hati orang lain dengan ayat-ayat kasih, jika boleh dianggap jenayah, sudah lama diwujudkan akta agar tidak akan ada lagi kaki chat yang boleh mengecewakan hati-hati yang tidak berdosa.

“Eh, jangan. Sayang janji abang, lepas kita kahwin nanti sayang akan berhenti segala aktiviti di maya ni. Sayang bersumpah dengan nama ALLAH.” Manisnya Nur Syarida menutur kata untuk mencairkan hati Faridadli.

“Betul ni? Bagaimana pula dengan kekasih-kekasih maya sayang?” Faridadli menduga.

“Sayang akan berterus-terang dengan mereka. Sayang takkan layangkan lagi ayat-ayat menggoda. Percayalah pada sayang abang. Sayang takkan tipu abang. Ya?” Nur Syarida semakin menggoda hati Faridadli. Gila hendak putus tunang setelah lama dia mengorat Faridadli si jejaka popular di universiti. Rugilah kalau dia melepaskan Faridadli.

“Baik, kali ni abang percaya tapi ada syaratnya. Bila kita keluar, abang tak suka sayang main dengan telefon.” Faridadli memberi amaran.

“Baik abang. Saaaayang... abang!" Nur Syarida menayang aksi gedik santai membuatkan bibir Faridadli mengukir senyuman dengan gelagat gila-gila manja tunangnya itu.

“Dan satu lagi.” Faridadli menarik semula telefon pintar Nur Syarida sebelum menyerahkan semula kepada pemiliknya.

Terangkat sedikit kening Nur Syarida menanti butir bicara yang akan keluar dari dua rekahan bibir Faridadli.

“Abang tak suka sayang chat dengan Runi. Abang nampak dia semacam saja.” Faridadli dapat merasakan ada yang tidak kena pada Runi Naqiu berbanding mesej-mesej Nur Syarida dengan jejaka lain.

“Semacam?” Nur Syarida ingin tahu.

“Ya. Abang dapat rasakan, dia mampu menggegarkan hati wanita yang mengenalinya. Jauhkan diri darinya.” Nada suara Faridadli cukup keras beramaran.

“Baik.” Nur Syarida terpaksa mengiakan supaya dia boleh mendapatkan kembali telefon pintarnya. Nur Syarida juga terpaksa tutup talian untuk memberi perhatian pada Faridadli.

-------------------------------------------------------------------------------------------

Rabiatul Syafiqah tersengih-sengih sendiri sambil memandang telefon pintarnya. Sekejap dia ketawa, sekejap dia tersenyum. Begitulah keadaan Rabiatul Syafiqah sejak hadirnya Runi Naqiu di dalam hidupnya. Rabiatul Syafiqah amat terhibur dengan maharaja lawak mega dari Runi Naqiu. Hatinya bagai digeletek-geletek sahaja ketika berbual dengan Runi Naqiu.

Fiqa datang ya masa majlis perlancaran novel Fadhila Imani?

Ya. Datang tapi sekejap aje. Fiqa tak tahan orang ramai. Macam nak pengsan.

Sampai hati tak nak jumpa dengan Runi.

Lain kali saja okey. Lagipun, masa tu Fiqa tak sedap badan.

Fiqa ada bestfriend tak?Tiba-tiba Runi Naqiu bertanya. Mungkin untuk memanjangkan perbualan.

Bestfriend? Fiqa ramai kawan. Di alam maya semua kawan Fiqa. Yang betul-betul rapat mungkin tak ada. Kenapa?

Saja tanya. Runi ada bestfriend tau. Ellis Elliza. Dia bukan setakat kawan maya Runi tapi real friend. Runi harap kita berdua dapat menjadi kawan sebagaimana Ellis Elliza.

Oh, iye ke? Jadi, Ellis Elliza is your bestfriend?

Ya. She’s nice lady. Nanti kalau ada masa Fiqa kenal-kenallah dengan dia ya. Seorang yang senang bergaul.

Insya Allah.

Tapi, jangan sakitkan hati dia.

“Eh? Aku nak sakitkan hati Ellis Elliza apa hal? Gila ke? Kenal pun tidak lagi. Pelik Runi ni.” Rabiatul Syafiqah mengerutkan dahinya.

Laa ... kenapa pula Fiqa nak sakitkan hati Ellis Elliza? Kenal pun tidak.

Just a reminder.

Sayang betul Runi pada dia ya?

She’s my bestfriend. Paling tepat very close friend, tentulah Runi sayang. Nanti Fiqa beli headphone ya? Senang nak berbual dengan Fiqa di Skype.

In Sha Allah. Fiqa nak out dulu. Assalamualaikum.

Rabiatul Syafiqah sudah diserang rasa mengantuk. Matanya sudah tidak boleh tahan lagi. Sejak berkenalan dengan Runi Naqiu, waktu tidurnya juga turut berubah. Ini kerana Runi Naqiu suka muncul waktu malam di laman muka buku. Macam misteri sahaja. Namun, kebiasaannya Runi Naqiu yang terlebih dahulu menegurnya. Rabiatul Syafiqah mempunyai prinsip yang tersendiri, dia tidak akan sesekali memulakan mesej dengan mana-mana lelaki terlebih dahulu. Entah Runi Naqiu dapat menerima prinsipnya ataupun tidak. Lihat sahajalah sejauh mana lelaki ini mampu bertahan.

Waalaikumussalam.

“Alah, lecehlah dia ni. Nak aku beli headphone pula. Bual biasa tak boleh ke? Nantilah aku fikirkan.” Rabiatul Syafiqah sudah pun menarik selimutnya sambil menguap.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.