Azaharil
Anuar memandang ke arah sampul surat berwarna coklat yang terletak elok di
hadapannya. Sekejap dia pegang, sekejap dia meletakkan semula sampul surat itu.
Hatinya amat berdebar sekali. Beberapa minit sesudah puas merenungi sampul
surat itu, kini hatinya benar-benar ikhlas untuk membukanya. Semoga apa yang
dia mahu akan berada di dalamnya. Lalu tangannya pantas meleraikan gam yang
melekat di sampul surat itu.
Azaharil
Anuar terkesima seketika. Sesungguhnya dia tidak mempercayai apa yang dilihat.
Namun, dia tidak pula menyangkal apa yang dirasa kerana naluri lelakinya telah
mentelah keperibadian Runi Naqiu dengan tepat. Entah apa pula yang akan
dirasakan oleh Ellis Elliza apabila kebenaran ini terbongkar.
Runi Naqiu Bin Ahmad
45 tahun
Beristeri
Tidak bekerja
Dulu penulis skrip
& pernah menjadi pelakon tambahan.. Sekarang sudah tidak aktif dalam seni
Isteri : Nurleela Bt
Hisham
Anak : Rizky Nurhisham
( 16 thn )
Sofea Farhana ( 13
thn)
Alamat : No 30 Blok D
Felda Hasal,
81000 Kulai,
Johor.
Pekerjaan isteri :
Sales & Marketing Department Legoland, Malaysia.
“Patutlah
dia memburu mangsa di laman sosial. Rupanya, dia ingin mengaut keuntungan dari
segenap segi. Bukan sembarangan wanita yang didampinginya. Semuanya berkerjaya
dan mempunyai kewangan yang kukuh. Aku harus dedahkan siapa dia. Kasihan
wanita-wanita yang menjadi mangsanya. Kasihan pulak isteri dan anak-anaknya
dapat suami dan bapa seperti Runi. Hmmm...” Azaharil Anuar menarik nafas dengan
lebih mendalam. Seketika kemudian, dia memasukkan sekeping DVD ke dalam
komputer ribanya lalu memainkan apa yang ada di dalam DVD itu.
Sekali
lagi Azaharil Anuar menggeleng kepalanya. Dia tidak menyangka kehidupan
keluarga Runi Naqiu sebegitu rupa. Kasihan. Isteri terpaksa bekerja untuk
menyara keluarga sedangkan dia ketua keluarga, di mana tanggungjawabnya?
Anak-anak masih bersekolah. Dia pula asyik bermaya dan cuba menjadi kaya dengan
cara yang paling mudah. Huh!
Tersentuh
hati Azaharil Anuar melihat kehidupan
isteri dan anak-anak Runi Naqiu. Keluar selepas Subuh, baliknya selepas Isyak.
Hmmm... mungkinkah Runi Naqiu kesepian? Mencari keseronokan di maya mengisi
kekosongan hati dan kebosanan jiwa. Kenapa tidak mahu bekerja? Kasihan
isterinya menanggung perbelanjaan keluarga. Bagaimana perbelanjaan sekolah anak-anaknya?
Besar belanja sekolah sekarang ini. Runi Naqiu merokok pula. Bibir pun dah
hitam kerana terlalu banyak merokok. Syukurlah dia masih menjadi seorang suami
dan bapa yang bertanggungjawab pada keluarganya. Walaupun Ellis Elliza bekerja,
tidak pernah dia lupa memberi nafkah kepada isterinya.
“Allahuakhbar.
Ya ALLAH, kau jauhi sifat aku seperti Runi. Mudah-mudahan, aku tidak akan
menjadi seorang ketua keluarga yang tidak bertanggungjawab. Elliza harus tahu
kebenaran ini.” Azaharil Anuar menyimpan kembali maklumat tentang Runi Naqiu di
dalam peti besinya yang tersimpan kesemua dokumen-dokumen yang sangat mustahak.
-------------------------------------------------------------------------------------
“Mama,
boleh abang masuk?” tanya Azaharil Anuar ketika melihat Ellis Elliza baru
sahaja selesai mandi. Isterinya begitu cantik dan sempurna di matanya. Wajah pan-asian yang dimiliki isterinya
menjadikan wanita ini sentiasa menjadi buruan ramai. Namun, dia bersyukur
kerana ALLAH swt telah menetapkan wanita ini menjadi isterinya. Mudah-mudahan Ellis
Elliza akan menjadi isterinya sehingga ke jannah. Itu yang selalu didoakan
setiap kali selepas solat.
“Boleh
abang. Masuklah.” Ellis Elliza memakai bedak dan mencalit sedikit lip gloss
agar bibirnya basah. Berhias untuk suami bukankah pahalanya berganda?
“Mama
ada masa untuk abang?” tanya Azaharil Anuar lagi sambil duduk di samping
isterinya apabila Ellis Elliza sudah melabuhkan punggung di atas katil mereka.
“Sudah
tentu ada abang. Ada apa-apa perkara yang abang nak bincang dengan mama?” tanya
Ellis Elliza penuh sopan dan manja.
Azaharil
Anuar memberikan senyuman paling menawan buat isterinya yang tercinta. “Mama,
abang dapat tahu sesuatu tentang Runi. Mama tahu tak yang Runi sudah
berumahtangga?” tanya Azaharil Anuar masih di dalam nada yang cukup lembut dan
bersopan.
Ellis
Elliza mengangguk-anggukkan kepalanya lalu dia mengimbas kembali hubungannya
dengan Runi Naqiu yang semakin rapat dan mesra.
“Abang
ada sesuatu nak beritahu pada El. Ini rahsia. El boleh simpan rahsia?” tanya
Runi Naqiu pada suatu hari ketika mereka mengadakan perjumpaan untuk
membincangkan aktiviti yang bakal dilancarkan oleh Grup Tinta Seninya.
“Abang
nak beritahu El rahsia apa?” Ellis Elliza sedikit teruja dengan rahsia Runi
Naqiu yang dirasakan amat besar.
“El,
abang sebenarnya dah kahwin dan mempunyai dua orang anak hasil perkongsian
hidup kami. Rizky yang abang selalu cerita kat El, anak abang. Adik Rizky,
Sofea. Abang harap, El tak menjauhkan diri dari abang. Abang sangat sayangkan
El." Jelas Runi Naqiu dengan panjang lebar membuatkan Ellis Elliza
tergamam.
Tanpa
diminta air mata mengalir di pipi. Ellis Elliza terdiam tidak terkata.
Telahannya benar belaka. Cara Runi Naqiu berbicara lagak seorang yang sudah
berkeluarga. Namun tidak seorang pun yang tahu hakikat sebenarnya. Kerana di
maya Runi Naqiu seperti orang bujang sahaja melayan kawan-kawan mayanya. Namun
bila berbicara dengan Ellis Elliza apatah lagi mengenai kehidupan
berumahtangga, hati Ellis Elliza dapat merasa yang Runi Naqiu sudah
berkeluarga. Nampak berpengalaman sahaja bicaranya.
Ya
ALLAH, aku amat berdosa. Kasihan isteri dan anak-anaknya. Hati Ellis Elliza bersuara sambil tangan
mengesat air mata. Akal warasnya mencerna untuk tidak meneruskan lagi hubungan
mereka.
“Tapi,
apa yang kita buat ni tak betul, abang. El rasa bersalah pada suami dan
anak-anak dan juga keluarga abang. El sayangkan suami El. El sayangkan
anak-anak El. I love them so much.
Susah untuk El penuhi impian abang. Setialah pada isteri abang. Dia lebih berhak.”
Ellis Elliza ditampar dengan rasa bersalah kerana selama ini dia telah
berkasih-kasihan dengan suami orang. Dia juga sedar dosa seorang isteri
berkasihan dengan lelaki lain. Entah kenapa Ellis Elliza tidak dapat lari dari
Runi Naqiu. Akal waras dan hati bertindak berbeza.
“El
juga berhak ke atas diri abang. Apa bezanya kita El? Abang dah kahwin, El pun
dah kahwin. Kita sama, sayang. Abang sangat-sangat sayangkan El. Abang boleh
jaga El. Buktinya perkahwinan abang dah bertahan selama 18 tahun." Runi Naqiu
cuba meyakinkan sambil memandang dalam-dalam anak mata Ellis Elliza.
“Entahlah
abang. El kena fikirkan semua. Situasi kita tak mudah, abang.” Ellis Elliza
masih ingin mempertahankan rumahtangganya.
Ya
ALLAH, kenapa keadaan yang aku lalui ini sungguh rumit. Kenapa aku masih mahu
bersama dengan Runi sedangkan hati aku tidak mahu mengahwini Runi. Kau bantulah
aku ya ALLAH.
“Mama
...” Tegur Azaharil Anuar apabila melihat Ellis Elliza jauh dibawa anganan yang
panjang.
Ellis
Elliza tersentak. “Maaf abang. Mama mengelamun. Mama tahu dia dah kahwin tapi
mama tak tahu kenapa mama masih ingin bersama dengan dia. Susah untuk mama
putuskan tali persahabatan ini.” Iyalah tali perashabatan sedangkan hubungan
kami sudah jauh dari itu. Ellis Elliza menghela nafasnya dengan panjang.
“Mama
fikirlah yang terbaik untuk kita dan juga untuk dia. Tak baik meruntuhkan
rumahtangga orang. Mama tahukan apa hukumnya jika meruntuhkan rumahtangga
orang?” Azaharil Anuar masih lagi berlembut dengan Ellis Elliza.
“Ya
abang. Mama tahu. Mama mengaku mama sayangkan Runi. Maafkan mama, abang,"
Ellis Elliza menangis di dalam pelukan Azaharil Anuar. Azaharil Anuar mengusap
lembut belakang Ellis Elliza untuk meredakan rasa sedihnya. Azaharil Anuar
bertekad untuk menyedarkan Ellis Elliza daripada terus terjebak dalam cinta
terlarang. Azaharil Anuar merasakan ada sesuatu yang tidak kena di dalam
hubungan Ellis Elliza dan Runi Naqiu. Paling penting Azaharil Anuar sangat
mencintai Ellis Elliza. Dia mesti berusaha untuk mendapatkan semula cinta dan kasih
Ellis Elliza sekaligus menyelamatkan isterinya dari permainan Runi Naqiu.
----------------------------------------------------------------------------------
Faridadli
mengekori langkah Nur Syarida yang sudah tiba di Kulai, Johor. Dia tidak
menyangka Nur Syarida sanggup membohongi dirinya. Apa salahnya jika tunangnya
itu memberitahu ke mana destinasi yang ingin dia pergi. Kenapa harus berahsia?
Itu yang dia tidak faham dengan sikap Nur Syarida.
“Kata
kursus di Melaka tapi kenapa pula sampai ke Kulai dia pergi. Ada yang tidak
kena ni. Hati aku rasa tak sedap.” Faridadli terus mengekori jejak Nur Syarida
tanpa tunangnya itu sedari.
Dia
mendapat tahu tentang pemergian Nur Syarida ke Kulai melalui Nazira. Kebetulan
dia menelefon ke pejabat Nazira, namun apa yang dia dapati cukup memeranjatkan
dirinya. Faridadli bergurau kononnya dia dari pihak atasan di Kulai sedang
menanti kedatangan Nur Syarida ke sana. Sangat mengejutkan apabila Nazira
memberitahu bahawa Nur Syarida akan sampai esok bagi segala urusan. Gurauannya
mengenai Kulai menjadi kenyataan. Tarik nafas Faridadli mendengarnya.
Faridadli
terus memanjangkan langkah dengan mengekori Nur Syarida secara perlahan. Nur
Syarida memandu sendiri ke Kulai, begitu juga dengan dirinya. Segala maklumat
penginapan Nur Syarida telah diperolehi daripada Nazira. Syukurlah Nazira mahu
memberi kerjasama tanpa banyak soal.
Fariadli
membelokkan keretanya menuju ke Harbour Puteri. Dia memakirkan keretanya agak
berdekatan dengan Nur Syarida. Pada hari itu, dia sengaja menggunakan kereta
adiknya, maka Nur Syarida mungkin tidak perasan bahawa langkahnya telah
diekori.
Sesudah
itu, Faridadli mengajak kakinya masuk ke Restoran Lat yang terdapat di situ.
Ada juga tempat menarik untuk kanak-kanak lawati iaitu Hello Kitty. Faridadli
duduk di tempat yang paling tersorok sekali sambil memesan makanan yang
diingini oleh tekaknya. Restoran ini menyediakan masakan kampung yang begitu
membuka selera tekaknya.
Seketika
kemudian, dia melihat Runi Naqiu datang menemui Nur Syarida. Faridadli tidak
mengenali Runi Naqiu namun dia dapat merasakan bahawa lelaki itu adalah lelaki
yang sering Nur Syarida berbual di laman maya. Hati lelakinya menyatakan bahawa
itulah Runi Naqiu yang mampu mencairkan hati wanita hanya dengan lafaz kata
manisnya. Dada Faridadli berombak kencang. Sanggup Nur Syarida menipunya
semata-mata kerana lelaki maya itu. Bukannya tampan pun jika hendak
dibandingkan dengan dirinya tetapi entah kenapa Nur Syarida seakan masih tidak
mahu melepaskan lelaki itu. Tiba-tiba amarah Faridadli menggelegak hanya tunggu
masa sahaja hendak meletup.
Makin
lama dia melihat aksi Nur Syarida yang agak mesra dengan lelaki itu, makin
berbulu matanya. Cemburunya sudah tidak mampu ditahan lagi. Dia cukup sakit
hati melihat Runi Naqiu dengan mudah membelai jari-jemari Nur Syarida. Itu yang
menghairankan Faridadli kerana selama dia mengenali Nur Syarida, wanita itu
tidak membenarkan sama sekali dia memegang tangan walaupun mereka telah
bergelar tunangan. Entah apa yang dipakai oleh Runi Naqiu sehingga Nur Syarida
begitu mudah menyerah di tangannya.
Kali
ini amarah Faridadli benar-benar meletus dari laharnya apabila melihat Runi
Naqiu cuba mencium tunangnya. Penumbuk dikepal lalu langkah kaki dipantaskan ke
tempat mereka dan dia menghadiahkan hadiah yang paling mujarab buat lelaki itu
yang cuba melakukan adegan sumbang dengan tunangnya.
“Kurang
ajar! Dengan tunang orang pun kau nak melakukan maksiat ke? Dah tak tahu halal
haram?” Merah mata Fariadli memandang Runi Naqiu yang sudah terduduk kembali di
tempatnya.
“Yang
kau pula dengan mudah menyerah diri kenapa? Dah berapa kali aku cakap,
hindarkan diri dari lelaki ni, tapi kau degil. Kalau aku tak sampai cepat,
entah apa akan berlaku pada kau. Kalau kau nak dia, beritahu aku, aku akan
lepaskan kau.” Jerkah Faridadli pada Nur Syarida tanpa dapat ditahan lagi.
Nur
Syarida menangis sambil mengekori langkah Faridadli. Dia sendiri tidak tahu
bagaimana dengan mudahnya dia termakan pujukan Runi Naqiu untuk ke Kulai dan
dia sendiri tidak tahu kenapa dia begitu mudah menyerah kerana selama ini dia
seorang yang cukup sukar untuk disentuh. Dia menyesal kerana terlalu menurut
kata hati. Benar kata Faridadli, jika tunangnya itu tidak cepat, entah apa akan
berlaku pada dirinya. Dia seakan tersedar setelah Faridadli menjerkah mereka.
Entah syaitan mana merasuki dirinya pada waktu itu yang begitu asyik sekali
mendengar kata-kata manis daripada Runi Naqiu dan begitu tertawan dengan
belaian manja jejaka itu. Astagfirullahalazim. Alhamdulillah dia terselamat.
“Abang.
Abang maafkan Syar. Syar mengaku Syar salah tapi Syar tak sedar apa yang
berlaku tadi. Abang ...” Nur Syarida cuba berpaut lengan Faridadli tetapi
jejaka itu menepisnya.
“Kau
nak sangat dengan dia kan? Kau pergilah pada dia. Aku akan putuskan pertunangan
kita.” Faridadli tidak main-main ketika bertutur mengenai perpisahan mereka.
“Jangan
abang. Syar masih sayangkan abang. Syar janji Syar tidak akan bermaya lagi.
Maafkan Syar abang.” Nur Syarida melutut sambil memegang kaki Faridadli.
Sayu
pula Faridadli melihat tingkah Nur Syarida. Sebenarnya, dia pun masih sayangkan
Nur Syarida. Susah untuk dia melepaskan tunangnya itu. Faridadli beristighfar
seketika. Sesungguhnya benar marah itu amalan syaitan. Apabila dalam keadaan
marah, keputusan yang dilakukan juga di luar jangkaan. Masya-ALLAH.
“Syar,
bangun. Maafkan abang, Abang terlalu ikut kata hati. Mulai dari sekarang, abang
tak mahu lagi Syar bermaya dengan orang yang tidak tentu hala. Bukan semua
orang baik dan ikhlas terhadap kita. Ingat tu.” Nada suara Faridadli mula
mengendur semula.
Nur
Syarida mengangguk lemah. Faridadli telah memimpinnya ke kereta dan mereka
pulang bersama-sama ke hotel.
Faridadli
bersyukur kerana tergerak hatinya untuk mengekori Nur Syarida. Siapa sebenarnya
Runi Naqiu ini? Dia berazam untuk mencari kebenaran seorang lelaki maya bernama
Runi Naqiu.
--------------------------------------------------------------------------------------------
Runi
Naqiu yang masih marah kerana tidak dapat menjamah Nur Syarida telah menelefon
Fadhila Imani dengan menggunakan laman facebook
sahaja (begitu mudahnya teknologi zaman sekarang tanpa perlu menggunakan kredit
atau talian yang ada). Halnya wanita itu dengan Ellis Elliza masih belum
selesai. Alang-alang marah, biar sampai ke kemuncaknya.
“Assalamualaikum
abang.” Sapa Fadhila Imani dengan riang. Bukan selalu Runi Naqiu mahu
menelefonnya.
“Waalaikumussalam.
Haa .. dah puas tabur fitnah pada Kak Ellis? Kenapa Dhila sanggup buat begitu?
Kan abang dah warning? Jangan usik
Ellis!" tanya Runi Naqiu agak kasar.
Fadhila
Imani agak terperanjat. Siapa pula yang berani membongkarkan fitnahnya pada
Ellis Elliza? Aduh! Kacau sungguh. Hatinya sangat berdebar.
“Err
... ma ... mana ada bang. Mana ada Dhila fitnah Kak Ellis? Tak ada.” Fadhila
Imani menafikannya sekeras yang mungkin.
“Tak
ada? Dhila jangan tipu abanglah. Dhila cakap kami berpegang tangan bermesra di
khalayak ramai tu apa? Bila masa kami buat begitu?” Runi Naqiu terus meyerang
Fadhila Imani.
“Dhila
.. Dhila ...” Fadhila Imani seakan semput untuk melancarkan percakapannya.
“Sudahlah
Dhila. Mulai dari sekarang, abang akan
block Dhila dari facebookabang
dan juga buang Dhila dari grup abang. Bye.”
Runi Naqiu terus mematikan talian. Puas hatinya. Siapa suruh menabur fitnah.
Pada orang yang dia sayang pula tu. Sungguh tidak dapat dimaafkan.
Fadhila
Imani menangis teresak-esak mendengar pada kekasaran Runi Naqiu. Sampai hati
Runi Naqiu membuangnya seakan barang yang tidak berharga.
“Tak
guna punya jantan! Sesudah aku kau miliki, kau campak aku macam barang tak
berharga. Tapi aku takkan mengalah. Aku takkan lepaskan kau.” Tekad Fadhila
Imani bersemangat waja.
---------------------------------------------------------------------------------
Rabiatul
Syafiqah menemani Mak Nana Vougue menonton drama yang ditayangkan di Astro.
Kalau tidak layan nanti, akan ada pula siri drama sinetron berangkai. Itu tidak
apa lagi, buatnya dia mengadu pada Kak Fatin Vavavom lagi haru biru. Dari
hendak mendengar mulut machine gun
Kak Fatin Vavavoom lebih baik dia menawarkan diri menemani ibunya itu. Aman
telinga.
Sesekali
layan, dia memandang pada telefon pintarnya. Tangannya gatal pula hendak menaip
ayat-ayat pada Runi Naqiu di laman Whatsapp.
Rabiatul Syafiqah menyengih sesudah dia menghantar pesanan ringkas pada Runi
Naqiu.
Assalamualaikum. Harap sihat ya. Ni Fiqa.
Rabiatul Syafiqah. Entah kenapa hari itu dia benar-benar ikhlas untuk memberikan nombor
telefonnya pada seseorang. Selama ini dia cukup susah hendak memberikan
nombornya pada orang. Tambah-tambah orang yang baru dikenalinya. Runi Naqiu
agak bertuah pada malam itu apabila Rabiatul Syafiqah sudah mengikhlaskan diri
menaip mesej di laman Whatsapp.
Pantas
Runi Naqiu yang kaki maya itu membalas teks daripada Rabiatul Syafiqah.
Waalaikumussalam. Hmm .. baru nak hantar mesej
pada Runi. Lamanya Fiqa ambil masa.
Maaf. Baru ikhlas nak hantar mesej.
Selama ni tak ikhlaslah ya?
Ya. Tapi tolong simpan nombor Fiqa ni. Jangan
bagi pada orang sebab Fiqa jarang bagi nombor Fiqa pada orang.
Ya. Runi akan jaga dengan baik seperti Runi
menjaga hati Fiqa. Jangan bimbang ya.
Kembang
seketika hati Rabiatul Syafiqah membacanya. Entah kenapa dia mula terpesona
dengan setiap ayat yang ditaip oleh Runi Naqiu.
Terima kasih. Buat apa tu?
Menulis skrip yang tak siap lagi.
Jadi, Fiqa menganggulah ni.
Tak apa. Boleh nak bersembang. Runi dah biasa
buat dua kerja dalam satu masa. Tambah-tambah Fiqa yang mesej, mana Runi boleh
abaikan.
Huh!
Kembang lagi hati Rabiatul Syafiqah. Seakan sukar pula hendak bernafas pada
ketika ini.
Alah, Runi ni ...mengadalah. Fiqa tengah teman
mak Fiqa menonton tv. Runi selalu ada masa untuk Fiqa, kan? Terima kasih Runi.
Untukmu intan, apa saja. Runi kan kawan Fiqa,
sudah tentulah masa Runi sentiasa ada untuk Fiqa. Runi mahu Fiqa menjadi
sahabat Runi bukan saja di maya tetapi juga di alam nyata. Bila nak jemput Runi
ke rumah Fiqa?
Erk?
Jemput dia ke rumah aku? Eh ... eh .. kita baru kenal okey, takkan
senang-senang nak jemput ke rumah. Tolonglah. Advance pula dia ni. Gerutu Rabiatul Syafiqah dengan permintaan
Runi Naqiu.
Nantilah bila Fiqa dah ikhlas nak jemput Runi
ke rumah. Lagipun kitakan baru kenal, tak manislah kalau Runi ke rumah Fiqa.
Jangan lama-lama sangat intan. Runi teringin
nak pergi rumah Fiqa. Kenal Fiqa dengan lebih mendalam lagi. Runi serius ni.
Baiklah. Fiqa akan fikirkan ya.
Runi tunggu tau.
“Oh,
ini kerja kau ya? Kata nak teman aku tengok drama tapi dia bukannya tengok
drama, layan telefon pula. Bila dia nak masuk meminang?” Tanya Mak Nana Vougue
ketika dia dapat menangkap Rabiatul Syafiqah melayani jejaka maya itu.
“Meminang
apa pula ni mak? Kami baru kenallah. Lagipun Atul masih tak tahu siapa dia.
Hati Atul beratlah mak nak terima dia. Atul tak tahu kenapa.” Rabiatul Syafiqah
berterus-terang.
“Kalau
dah Rozlina yang kenalkan, pastilah dia dah selidik siapa si lelaki tu.
Takkanlah dia nak aniaya kau pula, Atul oi.” Bebel Mak Nana Vougue.
“Tahulah.
Tapi kita kenalah berhati-hati juga. Hati Atul tak sedap. Nantilah Atul
fikirkan lagi.” Rabiatul Syafiqah sudah menamatkan perbualannya dengan Runi
Naqiu sejak Mak Nana Vougue datang menjerkah. Hmm ... nasib Runi Naqiulah
tiba-tiba dia tidak balas mesej. Kalau ditanya, akan dijawab telefon habis
bateri. Mudah. Habis cerita.
“Jangan
lama-lama sangat. Nanti kempunan aku nak bermenantu.” Pesan Mak Nana Vougue.
Tak
habis-habis. Hidup sorang pun okeylah. Aku tak kacau sesiapa pun. Aku wanita
berkerjaya, nak hairan apa. Kan kau orang? Rabiatul Syafiqah berpura-pura
menumpukan perhatiannya pada skrin televisyen sedangkan fikirannya berada
bersama Runi Naqiu. Dia seakan terpikat dengan lelaki maya itu tetapi dia tidak
tahu kenapa dia tidak boleh terima. Mungkin Runi Naqiu bukan dari jenis lelaki
yang merupakan cita rasanya. Tak tampan pun ... wahahaha ... memilih juga si
Rabiatul Syafiqah ni. Nak hidup sepanjang zaman beb, mana boleh tak pilih.
Iyakan?