“TAK nak! Tak nak! Tak nak!
Ruddi tak nak ke kem remaja tu. Kenapa ayah dan mak nak hantar Ruddi ke sana?
Ruddi tak sukalah pergi ke kem macam tu.” Nuruddin mengamuk sakan apabila
ayahnya menyusul untuk dia ke kem remaja pada musim cuti sekolah selama dua minggu.
Kem remaja itu akan mengajar Nuruddin membina siasah diri kerana sikap anak
muda itu sudah melampaui batas. Sombong tidak bertempat. Mementingkan diri
sendiri. Jadi, ayahnya memikirkan cara yang terbaik untuk memulihkan siasah
diri anak remaja itu.
“Cubalah
jangan ingkar cakap ayah kali ni. Selama ni apa saja yang Ruddi mahu, semua
ayah turutkan. Takkan kali ni saja Ruddi tak nak tunaikan permintaan ayah? Kem
remaja tu bagus untuk Ruddi membina siasah diri. Ayah tak nak Ruddi
mementingkan diri sendiri dan sombong tak bertempat. Kekayaan yang kita miliki
bukan milik kita selamanya. Ia hanya pinjaman sementara. Jadi, Ruddi tak
perlulah terlalu berbangga dengan kekayaan ayah dan bukannya kekayaan Ruddi.
Ayah tak kira, sama ada mahu atau tidak, suka atau tidak, Ruddi kena juga pergi
ke kem remaja tu.” Encik Saifuddin tidak mahu mengalah dengan kedegilan
satu-satunya anak lelaki mereka yang berusia 15 tahun itu. Baru setahun jagung
sudah berlagak hebat sedangkan kekayaan yang mereka kecapi sekarang bukan miliknya.
Tegang sahaja muka Encik Saifuddin memandang Nuruddin pada waktu itu.
Jika
sebentar tadi wajah Nuruddin masam tetapi kali ini bertambah masam dengan
keputusan tegas ayahnya. Dia tidak menyangka ayahnya begitu tegas kerana selama
ini ayahnya terlalu memanjakan dirinya. Apa sahaja permintaannya pasti dituruti
tetapi tidak kali ini. Dia sendiri tidak tahu apakah yang merasuki ayahnya
sehingga begitu tegar ayahnya mahu menghantar dia ke kem remaja.
Kini
pandangan Nuruddin beralih pula kepada Puan Hazura. Dia tahu kuasa seorang emak
pasti tidak akan sampai hati untuk melihat hati anaknya merusuh. Dia mahu
menggunakan rasa simpati itu untuk memancing reaksi Puan Hazura bagi memujuk
Encik Saifuddin agar mengubah keputusan yang telah ditetapkan. Dia juga tahu,
Encik Saifuddin tidak pernah menghampakan Puan Hazura. Jadi, dia menggunakan
kelemahan Encik Saifuddin untuk membebaskan dirinya dari pergi ke kem remaja
itu.
“Mak,
Ruddi tak nak pergi ke kem remaja tu. Mak kan tahu, selama ni Ruddi mana pernah
berjauhan dengan mak. Ruddi mana pernah buat kerja sendiri. Ruddi tak reti.
Kalau Ruddi ke kem remaja tu, dah tentu semuanya Ruddi kena buat sendiri. Basuh
baju, entah-entah masak pun sendiri. Ruddi mana pandai. Boleh tak mak pujuk
ayah batalkan niatnya tu?” Nuruddin betul-betul menggunakan kuasa pembujukan ke
atas Puan Hazura.
Puan
Hazura berasa simpati pula dengan Nuruddin yang dipaksa untuk ke kem remaja
itu. Dia memandang sekilas pada Encik Saifuddin tetapi lelaki itu buat-buat
tidak nampak sambil meneguk kopi panas di tangannya serta menumpukan perhatian
pada kaca televisyen. Jika begitu cara Encik Saifuddin, dia sudah tahu bahawa
suaminya itu tidak mahu berbicara mahupun bertolak ansur dengan keputusan yang
telah dibuat. Puan Hazura faham benar tingkah suaminya. Dia menarik nafas panjang-panjang sebelum
menghela keluar. Kini bebola mata Puan Hazura kembali menatap semula pada
Nuruddin.
“Ruddi,
maafkan mak ya sayang. Mak tak rasa ayah Ruddi akan tukar keputusannya walaupun
mak pujuk. Ayah Ruddi dah lama rancang untuk menghantar Ruddi ke kem remaja tu.
Selalunya tak ada tempat kosong, sayang. Penuh saja. Itu bermakna kem remaja tu
bagus. Bila ada kekosongan, ayah Ruddi cepat-cepat daftarkan nama Ruddi sebab
dia tak nak ketinggalan untuk Ruddi menuntut ilmu di sana. Pergilah nak, ke kem
tu. Bagus untuk Ruddi belajar berdikari. Sampai bila Ruddi nak harapkan kami
lakukan kerja-kerja Ruddi? Sesekali Ruddi harus berdiri di atas kaki sendiri.
Cubalah sekali ini jangan ingkar cakap ayah, ya sayang?” Penuh kelembutan Puan
Hazura memujuk Nuruddin agar tidak membantah rancangan mereka untuk menghantar
dirinya ke kem remaja yang sudah lama terpahat di minda.
Nuruddin
tidak puas hati apabila pembujukkannya tidak menjadi, malah emaknya sendiri
pula yang memujuknya untuk ke kem remaja itu. Dia sudah tiada cara lain lagi
agar tidak ke kem remaja itu. Dia perlu lakukan sesuatu supaya mereka berdua
mengubah keputusan yang sudah dibuat. Dia berharap mudah-mudahan dengan cara
ini mereka akan membatalkan niat mencampakkan dirinya ke kem remaja itu. Siapa
mahu berkampung di tengah-tengah hutan yang tidak ada internet mahupun
televisyen. Malahan, telefon bimbit pun tidak dibenarkan guna. Itu syaratnya
apabila berada di kem remaja itu. Atas sebab itulah Nuruddin tidak mahu
dihantar ke sana. Dia tidak boleh hidup tanpa internet dan telefon bimbitnya.
Malahan boleh menjadi gila. Dua minggu baginya sangat-sangat lama. Memang tak boleh tahan apabila dirinya sudah biasa
disogok dengan kemewahan duniawi. Nuruddin tidak sanggup membayangkan semua
kemudahan itu tiada di sisinya. Oh, tidak! Dia tidak mahu menjadi budak-budak
zaman ortodoks. Dia mahukan kebebasan menggunakan kemudahan dan teknologi
terkini. Beberapa kali Nuruddin meneguk air liurnya setiap kali memikirkan kem
remaja yang serba kekurangan dari segala segi. Yang paling tidak seronok
apabila bilik dan katil terpaksa dikongsi oleh ramai orang. Mana ada privasi
untuk dirinya. Sudah pasti dia harus ikut jadual yang telah ditetapkan. Itu
juga bermakna dia tidak boleh bangun lewat atau tidur lewat. Ah, bosannya
hidup!
“Mak
ni sama saja dengan ayah. Semua tak faham kehendak Ruddi. Bencilah. Benci
sangat-sangat!” Nuruddin membentak lalu berlari naik ke atas dan menghempas
pintu. Dia mengurung dirinya di dalam bilik dengan harapan agar emak dan
ayahnya datang ke bilik dan memujuk dirinya. Yang paling dia hendak dengar
adalah mereka membatalkan niat menghantar dirinya ke sana. Itu yang
diharapkannya. Nuruddin yakin kali ini dia akan berjaya memujuk ayah dan
emaknya.
Puan
Hazura hanya memandang tingkah Nuruddin yang tampak sangat marah dengan
keputusan mereka. Dia hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Makin lama
Nuruddin makin degil. Dia sendiri tidak tahu bagaimana lagi hendak membentuk
keperibadian Nuruddin. Mungkin dia terlalu memanjakan Nuruddin. Maklumlah anak
tunggal seorang. Dan itulah kesalahannya yang paling besar. Dia rasa menyesal
kerana tidak pandai mendidik Nuruddin sehingga remaja itu menjadi sangat degil
dan kurang ajar. Puan Hazura melirik ke arah suaminya semula. Bukan kehendak
hati untuk memujuk tetapi dia hanya ingin berbincang.
“Anak
kurang ajar. Tengoklah perangai dia tu. Langsung tak nak dengar cakap kita.
Semua hanya nak ikut kepala dia saja. Dia ingat dengan cara tu abang akan
batalkan niat abang? Jangan haraplah. Haz pun jangan bagi dia muka sangat. Dia
dah terlalu manja dan terlalu degil. Selalunya kita ikut cakap dia, dia ingat
kali ni pun kita akan ikut cakap dia. Sekali-sekala dia kena juga belajar
berdikari. Takkan semuanya kita nak suap.” Encik Saifuddin membentak sebagaimana
Nuruddin. Jika Nuruddin berdegil, dia lagi degil. Dia sudah bertekad walau apa
pun yang berlaku dia tidak akan turuti kehendak anaknya itu. Sudah seringkali
dia ikut cakap Nuruddin dan kali ini anak muda itu harus ikut cakapnya pula.
“Tapi
bang, betul ke apa yang kita buat ni? Haz takut dia memberontak di sana pula
dan menyusahkan semua orang. Macam mana kalau dia larikan diri dari kem remaja
tu? Itu yang Haz bimbangkan. Sudahlah kem tu di tengah-tengah hutan. Ruddi tu
mana pernah masuk hutan. Dia anak bandar.” Puan Hazura meluahkan rasa
kebimbangannya. Dia takut Nuruddin tidak akan mampu bertahan selama dua minggu
di kem remaja itu. Paling dia takut Nuruddin akan melarikan diri dari sana.
Bagaimana kalau anaknya itu tersesat jalan? Bagaimana pula jika anaknya itu
menjadi mangsa binatang buas di dalam hutan itu? Semuanya itu cukup
membimbangkan sekeping hati seorang ibu.
“Insya-ALLAH
apa yang kita buat ni betul, Haz. Kem remaja tu dikawal ketat dan abang tak
rasa dia mampu melarikan diri dari sana. Haz jangan bimbang, walaupun di
tengah-tengah hutan tapi tak ada binatang buas di sana. Sudah lama kem tu
beroperasi dan keselamatan pesertanya terjamin. Selama ni abang tak pernah
dengar sesuatu yang buruk berlaku di kem tu. Abang yakin, Ruddi akan berubah
setelah pulang dari kem tu. Kita tak boleh terlalu manjakan dia. Dia kena
bentuk sahsiah dirinya yang semakin menyimpang. Abang harap sangat Ruddi akan
sedar tentang hakikat dirinya sendiri. Abang yakin semuanya akan berakhir di
kem remaja tu.” Encik Saifuddin memujuk isterinya.
“Kalau
begitu kata abang, Haz ikut saja. Haz pun berharap benda yang sama, bang.” Puan
Hazura menguntum senyuman manis buat suaminya.
----------------------------------------------------------------------------------------------------
“MAK, mak tak rindu Ruddi ke kalau Ruddi ke
kem tu? Mak boleh ke hidup tanpa Ruddi? Ruddi sayang mak tau. Ruddi kalau boleh
tak nak berjauhan dengan mak. Tak boleh ke mak pujuk ayah? Masih sempat lagi
kalau nak batalkan pendaftaran Ruddi.” Nuruddin masih berusaha memujuk meraih
simpati Puan Hazura walaupun ayahnya telah ke tempat pendaftaran untuk
mengesahkan kehadiran Nuruddin di kem remaja itu.
“Mak
akan sentiasa rindukan Ruddi. Ruddikan tahu macam mana mak sayangkan Ruddi.
Tapi kali ni mak betul-betul tak dapat nak batalkan niat ayah Ruddi tu. Kem ni
bagus untuk Ruddi. Ruddi kena juga belajar bergaul dengan mereka dari pelbagai
golongan. Pergilah sayang. Tak lama pun, dua minggu saja.” Puan Hazura tidak
endahkan cakap Nuruddin malah memujuk untuk menyertai kem remaja yang akan
berlangsung pada bila-bila masa sebaik sahaja selepas tamat sesi pendaftaran.
“Kalau
berlarutan sebulan macam mana mak? Mak sanggup tak jumpa Ruddi selama sebulan?”
Nuruddin tidak puas hati dengan keputusan emaknya yang tidak langsung mahu
bersimpati atau termakan dengan pujuk rayunya. Dia juga tidak tahu kenapa
emaknya begitu degil untuk menuruti kehendak hatinya. Selalunya Puan Hazura
tidak begini.
“Sekolahkan
cuti selama sebulan? Jadi, takkan ada masalah buat Ruddi jika kem ni berlarutan
selama sebulan. Mak akan tahan rasa rindu mak pada Ruddi sampai Ruddi pulang.
Mak janji akan tunggu Ruddi. Mak sendiri akan jemput Ruddi sebaik saja sesi kem
Ruddi tamat. Ya sayang?” Masih lembut bicara Puan Hazura walaupun ada nada
tegas di dalamnya.
Nuruddin
sudah putus asa untuk memujuk Puan Hazura lagi. Dia tahu walau apa pun dia
cakap, Puan Hazura tidak akan menaruh simpati pada dirinya. Nuruddin mengeluh
hampa. Nampaknya mahu atau tidak, suka atau tidak dia harus jalani sesi kem
remaja ini sehingga bertemu ke waktu penamat. Dia amat berharap agar dia mampu
bertahan selama dua minggu. Dia tidak tahu bagaimana perjalanan hidupnya di
dalam kem ini. Mudah-mudahan dipermudahkan semuanya. Itulah doa Nuruddin di
dalam hati.
“Ruddi,
ayah dah selesai daftarkan nama Ruddi dalam kem ni. Pergilah jumpa komander
Ruddi di sana. Ada taklimat akan diberikan kepada peserta kem. Nanti ayah dan
mak akan jemput Rudi dua minggu lagi. Mudah-mudahan Ruddi dapat manfaat dengan
segala pembelajaran di dalam kem ni nanti. Ayah amat berharap sangat agar Ruddi
akan berubah. Belajarlah sesuatu yang tidak dapat di sekolah mahupun di rumah.
Jangan degil sangat. Dengar cakap ketua Ruddi.” Encik Saifuddin menggosok-gosok
kepala Nuruddin sebagai memberi semangat sebelum memeluk anak muda itu.
Nuruddin
menarik muka ketika bersalaman dan berpelukkan dengan emak dan ayahnya. Dia
memandang jauh ke kem remaja itu, entah apalah nasibnya ketika berada di sana.
Mudah-mudahan dia dapat bergaul dengan mereka semua walaupun dia tidak suka bercampur
dengan golongan bahawahan tetapi di kem remaja ini sudah pasti tidak mengira
sama ada golongan atasan mahupun sebaliknya kerana mereka semua sama sahaja.
Nuruddin memejam matanya seketika sebelum melangkah kaki ke sana. Hatinya
dipukul ombak rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Namun, dia harus
tempuhi juga walau apa pun berlaku.
“Selamat
datang ke kem remaja 2016. Anda adalah remaja-remaja yang sangat bertuah kerana
terpilih untuk menyertai kem remaja pada tahun ini. Bukan semua remaja yang mampu
menyertai kem ini. Hanya mereka yang terpilih sahaja. Oleh itu, anda harus
bersyukur kerana berada di sini pada hari ini.” Komander Muazzam memberi
sedikit kata-kata aluan sebelum memasuki ke topik utama di dalam taklimat yang
sedang berlangsung itu.
Yang
terpilih saja? Jadi memang betullah kata mak dan ayah kem ni memang sentiasa
penuh. Perlukah aku rasa bangga menghadiri kem ni atau sebaliknya? Mungkin aku
boleh canang pada rakan-rakan sekolah nanti yang aku dah sertai kem ni
berbanding mereka sama ada berpeluang atau tidak. Ha ha ha .... Terselit satu
niat di dalam diri Nuruddin. Mahu juga rasa bangga selepas balik dari kem
remaja itu nanti.
“Baiklah,
mari kita lakukan sedikit sesi taaruf sebelum kita lakukan apa-apa aktiviti
selepas ini. Nama saya Komander Muazzam yang akan menerajui kem remaja ini
selama dua minggu. Inilah adalah barisan guru-guru yang akan bersama-sama saya
dan kamu semua di dalam sesi kali ini,” lalu Komander Muazzam memperkenalkan
barisan pendidik yang akan membimbing mereka sehingga ke akhir sesi.
“Kita
akan ada banyak lagi aktiviti selepas ini. Saya tahu kamu semua baru sahaja
sampai dan kami akan hantar kamu semua ke dorm
masing-masing untuk berehat seketika menunaikan kewajipan kita pada Yang Maha
Satu, kemudian kita akan turun makan dan terus ke dewan ini semula. Kita akan
mulakan sesi yang sebenar. Kami akan memecahkan anda semua kepada beberapa
kumpulan dan sesi memperkenalkan diri masing-masing akan dilakukan bersama-sama
kumpulan. Kamu semua akan membentuk nama kumpulan, misi dan visi kumpulan serta
akan lakukan apa-apa saja aktiviti bersama-sama kumpulan. Faham semua?”
Komander Muazzam ingin mendengar balasan daripada mereka yang hadir ke kem
remaja itu.
“Faham
komander.” Laung mereka ramai-ramai.
Komander
Muazzam mengukir senyuman kepuasan. Dia juga amat berharap agar mereka semua
dapat mengikuti sesi latihan di dalam kem ini tanpa ada sebarang masalah.
Selama dia mengendalikan kem remaja ini,
tidak pernah ada lagi peserta yang membuat hal. Dia yakin, kali ini juga para pesertanya terdiri daripada
mereka yang sangat bagus keperibadiannya.
Nuruddin
yang duduk di bahagian tengah hanya mencebik melihat riak kepuasan yang
terlukis di wajah Komander Muazzam. Di dalam hati terbetik satu niat untuk
menghuru-harakan kem remaja itu sebagai menunjukkan tanda protes terhadap ibu
bapanya. Sudah pasti apa yang akan dilakukannya menjadi lebih menarik. Mungkin
dia boleh mencetuskan suasana huru-hara dengan menyamar sebagai hantu. Ha ha ha
... Nuruddin ketawa di dalam hati dengan niat yang dipasang. Sebenarnya dia
hendak mengecewakan Encik Saifuddin yang telah mencampakkannya ke dalam kem
ortodoks ini.
“Assalamualaikum.
Awak ni nama apa? Saya Aqmal.”
Dalam
keasyikkan memasang angan-angan, Nuruddin telah ditegur oleh seorang remaja
yang duduk di sebelah kanannya. Remaja yang mengenalkan dirinya sebagai Aqmal
telah menghulurkan tangan untuk berjabat sebagai tanda perkenalan.
Nuruddin
serba-salah pada mulanya hendak menyambut huluran salam itu kerana dia ke sini
bukan untuk bersahabat dengan siapa-siapa tetapi kalau dia tidak berjabat
tangan dengan Aqmal, dia takut dia tidak mempunyai teman bicara langsung.
Sekurangt-kurangnya Aqmal boleh membantu dirinya dalam melaksanakan suasana
huru-hara. Nuruddin tersungging senyuman sinis.
“Nuruddin.
Panggil Ruddi. Saya tak suka panggilan nama saya ditukar kepada panggilan nama
lain.” Begitu sombongnya Nuruddin memperkenalkan dirinya.
Aqmal
hanya mengangguk-angguk faham dan mereka saling berjabat tangan. Senyuman Aqmal
tampak ikhlas tetapi bukan Nuruddin.
“Saya
Sabbir. Panggil Sab.” Rakan yang duduk di sebelah kiri Nuruddin pula
memperkenalkan dirinya.
Sekali
lagi Nuruddin terpaksa menyambut huluran tangan itu. Dia akan belajar
bersahabat dengan mereka yang tidak setaraf dengannya demi kepentingan dirinya
selama berada di kem remaja ini. Sebaik sahaja keluar dari kem ini, dia akan
melupakan mereka. Itu niatnya.
“Nuruddin.
Panggil Ruddi.” Ringkas sahaja Nuruddin memperkenalkan dirinya dan Sabbir hanya
mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham sebagaimana Aqmal.
“Jom
Ruddi, kita ke dorm. Kita pilih katil
dekat-dekat ya? Baru seronok nak berbual.” Aqmal mengajak Nuruddin ke dormyang akan menjadi penginapan mereka
selama dua minggu.
“Kalau
Ruddi katil atas, Aqmal katil bawah, saya katil sebelah ya?” Sabbir tidak mahu
ketinggalan.
“Hmm
...” hanya itu balasan daripada Nuruddin. Baginya mereka tidak layak langsung
hendak tidur berdekatan dengannya tetapi apa boleh buat, di sini dia tiada
pilihan. Dia terpaksa bertahan selama dua minggu. Dia berharap agar dua minggu
itu akan cepat berakhir.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
NURUDDIN
mengambil katil yang berdekatan dengan almari pakaian senang dia hendak
memantau jika ada peserta yang ingin mendajalkannya. Sebagaimana yang dikatakan
oleh Aqmal dan Sabbir, mereka telah memilih katil di bawah dan di sebelahnya.
Memandangkan katil itu dua tingkat, jadi Aqmal sekatil dengannya sedangkan
Sabbir duduk di bahagian atas bertentangan wajah dengannya.
Nuruddin
tidak membuang masa ketika sampai di dorm
itu, terus dia memasukkan pakaiannya ke dalam almari dan mengemas dalam sekelip
mata. Aqmal dan Sabbir juga melakukan perkara yang sama.
Sabbir
memandang Nuruddin setelah pakaiannya sudah tersusun rapi di dalam almari.
Nuruddin perasan dirinya diperhatikan lantas duduk bertentangan mata dengan
Sabbir. Dia menumpang katil Aqmal. Manakala Sabbir pula menumpang di katil
sebelah. Maklumlah katil mereka di bahagian atas, takkan hendak panjat naik
semata-mata hendak berbual sedangkan Nuruddin hendak ke tandas untuk bersihkan
dirinya sebelum turun ke sesi ceramah yang akan berlangsung.
“Ada
apa hal kau tengok-tengok aku ni, Sab? Nak kata kau ada hutang dengan aku, kita
baru saja kenal. Tak mungkinlahkan kau ada hutang dengan aku.” Nuruddin
tersenyum sinis.
“Hesy
kau ni. Bila masa pula aku hutang dengan kau. Aku nak beritahu kau sesuatu ni.”
Mata Sabbir meliar sana-sini takut orang lain turut mendengarnya. Kalau boleh
dia tak nak orang lain mendengar khabar yang ingin dia sampaikan pada Nuruddin.
“Hmm..
apa yang penting sangat kau nak beritahu aku ni? Cepat sikit. Aku tak ada masa
nak layan kau. Aku nak mandi ni. Kejap lagi dah kena turun makan sebelum ke
dewan semula.” Nuruddin berpeluk tubuh sambil menyangkut tuala mandi di
bahunya.
“Aku
dengar, kem remaja ni adalah kem remaja paling berhantu sekali. Kau tak takut
ke duduk di dalam kem berhantu?” Sabbir memandang tepat ke arah Nuruddin.
Nuruddin
mencebik seakan mempersendakan kata-kata Sabbir. Jauh di sudut hatinya,
langsung tidak percaya akan kewujudan hantu. Zaman teknologi sekarang mana ada
hantu lagi? Mungkin Sabbir terlalu percaya pada hantu-hantu di dalam
filem-filem yang dia tengok sehingga terbawa-bawa ke alam nyata. Hantu itu
semua bagi Nuruddin hanyalah khayalan semata-mata.
“Kenapa
kau senyum-senyum ni? Aku cakap betullah. Kau tak percaya ke?” Sabbir seakan
tidak puas hati melihat tingkah Nuruddin yang bersahaja.
“Kau
ingat aku akan percaya dengan kata-kata kau ke, Sab? Sudahlah jangan
takut-takutkan aku. Aku memang langsung tak percaya pada kewujudan hantu-hantu
ni. Dalam filem adalah. Kalau zaman dulu mungkin aku percaya tapi bukan pada
zaman sekarang. Tu aje ke yang kau nak beritahu aku?” Begitu bongkak sekali
Nuruddin membalas kata-kata Sabbir sehingga terkedu remaja itu dibuatnya. Mulut
Nuruddin terlalu lantang dalam melafaz ketidakpecayaan pada kewujudan makhluk
halus.
“Jadi,
kau memang tak percaya yang hantu tu wujud?” Sabbir menekan Nuruddin.
“Hantu
tu tak wujud. Kalau betul wujud, aku nak tengok dia muncul di depan mata aku.
Sudahlah jangan kolot sangat boleh tak? Asal datang saja ke kem tengah-tengah
hutan macam ni cakaplah pasal hantu. Apalah.” Nuruddin terus-terusan menafikan
akan kewujudan entiti atau makhluk halus ini. Susah benar hendak memecah tembok
kepercayaannya yang mereka ini wujud.
Aqmal
menepuk-nepuk bahu Nuruddin membuatkan anak muda itu sedikit terperanjat.
Gelagat Nuruddin mengundang ketawa Aqmal dan juga Sabbir. Konon tak takut
hantu, tapi bila dikejutkan sikit dah terperanjat mengalahkan perempuan.
“Hei,
yang kau senyap-senyap datang belakang aku ni kenapa Aqmal? Sajalah tu nak bagi
terkejut aku, konon-konon hantu yang buat ya?” Nuruddin tidak puas hati dengan
gelagat sahabat barunya itu.
Aqmal
terus sambung ketawa. “Kau kata tak takut hantu tapi kenapa kau terkejut macam
nampak hantu?”
“Dah
kau hantunya tentulah aku terkejut. Dalam aku tak sedia kau buat macam tu, mana
aku tak terperanjat. Apalah kau ni.” Nuruddin menumbuk mesra bahu Aqmal.
“Hei,
aku dengar kau memang tak percaya pada kewujudan hantu ya?” Aqmal pula
mengambil giliran Sabbir menyoal Nuruddin.
“Ya,
hantu memang tak wujud tapi kalau manusia jadi hantu, itu wujud macam kau buat
kat aku tadi.” Sememangnya hati Nuruddin masih panas lagi dengan gurauan Aqmal
sebentar tadi.
Aqmal
ketawa geli hati dengan kemarahan yang dipamerkan oleh Nuruddin. “Penakut!”
Aqmal mencebik.
“Hei,
aku bukan penakutlah! Jangan gelarkan aku penakut!” Nuruddin menafikannya
dengan rasa bongkak.
“Jadi,
kau benar-benar yakinlah yang hantu tu tak wujud?” Aqmal memancing Nuruddin
lagi. Dia ingin tahu pendirian remaja itu.
“Ya.
Aku yakin seratus peratus yang hantu tu memang tak wujud.” Nuruddin tetap tegas
dengan pendapatnya.
“Bagaimana
kalau dia muncul di hadapan kau?” Sabbir mencelah.
“Silakan.
Aku nak tengok juga macam mana rupa hantu tu. Adakah dia selawa Maya Karin atau
seburuk-buruk makhluk TUHAN.” Kelancangan Nuruddin tidak dapat dibendung lagi
dan terus-terusan menafikan akan kewujudan entiti yang tidak nampak dengan mata
kasar kita.
“Kau
jangan terlalu takbur sangat Ruddi. Karang dia muncul betul-betul di hadapan
kau, baru kau lari tak cukup tanah. Benda-benda halus macam ni memang pantang
dicabar maka akan muncullah dia.” Aqmal cuba meruntuhkan tembok keegoan
Nuruddin.
Bertambah
sinis cebikan yang dipamerkan oleh Nuruddin akan bicara yang terluah dari dua
ulas bibir Aqmal.
“Sudahlah
Aqmal, tak perlu kau meyakinkan aku yang hantu wujud. Rancangan-rancangan yang
menyiasat akan kewujudan hantu tu semua pembohong. Saja aje mereka hendak
pancing penonton agar menggemari rancangan mereka. Entah-entah yang kena rasuk
tu, berlakon saja. Aku memang tak percayalah benda-benda macam ni semua.
Bomoh-bomoh tu semua, kau orang ingat mereka telus ke dalam perubatan, tipulah.
Semua nak cekau duit saja.” Nuruddin membentangkan pula hujah-hujahnya
membuatkan Aqmal dan Sabbir terdiam seketika.
“Haa
.. satu lagi, makhluk-makhluk halus ni takkan muncul dengan orang yang berani
macam aku. Mereka hanya akan muncul pada orang yang lemah semangat dan penakut
macam kau orang berdua ni. Sudahlah. Aku nak pergi mandi ni,” sambung Nuruddin
menamatkan bicaranya. Dia tidak suka membincangkan tentang hal-hal yang tidak
logik kerana dia berpaksikan pada sains dan teknologi, maka dengan itu baginya
hantu-hantu ni semua memang tidak wujud. Manusia yang sengaja mengada-adakan
cerita tentang kewujudan hantu hanya untuk menakut-nakutkan keadaan.
Aqmal
memandang jauh ke hadapan. Begitu juga dengan Sabbir. Mata mereka bertentangan
seakan berbicara sesama sendiri.
“Kau
percaya pada kewujudan hantu?” mata Aqmal masih memandang jauh ke hadapan.
“Ya
aku percaya pada pada kewujudan makhluk halus ni kerana dalam al-Quran sendiri menyatakan
tentang kewujudan mereka dan juga jin.” Sabbir menjawab pertanyaan Aqmal.
“Ruddi
harus kena sekali barulah dia akan percaya yang hantu tu wujud bukan hanya
rekaan semata-mata. Tidak malam ni, esok atau lusa pasti dia akan kena juga.
Dia terlalu takbur, ego dan sombong. Aku nak tengok juga bagaimana reaksi dia
bila diri sudah terkena kelak.” Hiliran Aqmal pula tersenyum sinis.
“Ya.
Kem ni sangat keras dan tak boleh cakap sembarangan. Kalau ada rezeki Ruddi,
dia akan alami apa yang dia tidak percaya.” Sabbir mengangguk-anggukkan
kepalanya sebelum menuju ke almari semula untuk mengambil tuala.
Nuruddin
yang mengintai dua orang sahabatnya sedang berbicara masih tersenyum sinis.
“Suka
hati kau oranglah nak percaya yang hantu tu wujud tapi aku tetap tak percaya.”
Nuruddim
terus masuk ke dalam salah sebuah bilik mandi yang kosong.
------------------------------------------------------------------------------------------------------
NURUDDIN
sedang enak dibuai mimpi pada malam pertama dia berada di kem remaja. Walaupun
katil yang disediakan tidak seempuk katil di rumahnya tetapi dia masih boleh
lena kerana keletihan yang menyapa. Dengkuran halus Nuruddin kedengaran
menghiasi suasana malam tetapi siapa pun tidak terganggu dengan dengkuran itu
kerana masing-masing juga sangat letih.
Nuruddin
tidak sedar diri sebaik sahaja kepalanya mencecah bantal. Hendak berbual juga
sudah tidak mampu apabila kelopak matanya terus sahaja terpejam. Dalam berbual
ringkas dengan Sabbir, Nuruddin terus terlena. Mungkin dia tidak pernah
menghadiri mana-mana kem seumpama ini membuatkan tubuh Nuruddin tidak dapat
menampung pelbagai aktiviti yang dijalankan.
Sedang
enak lena, selimut Nuruddin ditarik perlahan-lahan sehingga terlurut dengan
sendirinya. Nyamuk-nyamuk yang berkeliaran, apa lagi terus hinggap di betis
Nuruddin dan menghirup darah anak muda itu sepuas-puasnya. Tidur Nuruddin
terganggu dengan gigitan nyamuk yang semakin ganas.
Berdepuk.
Berdepak. Nuruddin memukul nyamuk-nyamuk yang tidak diundang itu dan
menggaru-garu kakinya. Dia bangun dalam keadaan mamai dan menarik selimutnya
semula dan menyambung kembali tidur.
Baru
beberapa minit sahaja, kain selimut Nuruddin terlurut semula membuatkan remaja
itu menarik kembali selimutnya yang terlurut. Sebanyak mana Nuruddin menarik
kembali selimutnya, begitu jugalah selimutnya akan terlurut kembali sehingga
hati Nuruddin menjadi panas sepanas bahang. Dia sudah tidak boleh menahan lagi
dengan gangguan seumpama itu. Lalu dia bangun dan duduk bersila di atas
katilnya.
“Tak
guna betul. Siapa yang main-main dengan aku ni? Kau orang ingat kelakar ke
tarik-tarik selimut macam tu?” Suara garau Nuruddin memecah suasana hening di
tengah-tengah malam.
Namun,
tiada siapa pun di antara rakan-rakan dormnya
yang sedar akan jeritan yang melantun dari rengkung Nuruddin. Nuruddin berasa
pelik kerana mereka semua sedang lena tidak terusik. Nuruddin mengambil lampu
suluh yang sentiasa ada dengannya lalu menyuluh di sekeliling. Semuanya sedang
enak tidur dan tidak seorang pun yang bangun. Berkerut dahi Nuruddin dengan
situasi itu.
“Kalau
semuanya sedang tidur lena, siapa pula yang main tarik-tarik selimut aku?
Adakah Sabbir atau Aqmal?” Nuruddin tidak puas hati lalu menyuluh di katil Sabbir,
remaja itu sedang tidur tidak bergerak. Lampu suluh disuluh pula di bawah
katilnya di mana terletaknya katil Aqmal. Dia juga sedang tidur lena. Jadi,
siapakah yang main-main dengannya jika semua sedang tidur lena?
Nuruddin
tidak mahu fikir lagi lalu dia kembali tidur. Mungkin mainan perasaannya
sahaja. Nuruddin menyedapkan rasa hatinya yang bercelaru tadi. Dia kembali
memejam matanya semula. Dia harus tidur kerana esok pagi-pagi dia kena bangun
awal. Di sini amat berbeza dengan rumah kerana di sini tidak boleh bangun
lewat.
“Perasaan
aku saja. Tidurlah Ruddi.” Nuruddin kembali menarik selimutnya dan terus tidur.
Baru
sahaja hendak terlena, kali ini selimut Nuruddin ditarik dengan kasar
membuatkan remaja itu tersentak lalu terus bangun dan kembali duduk bersila.
Kali ini hati Nuruddin benar-benar panas. Dia yakin rakan-rakannya yang
sengaja ingin kenakannya kerana dia
tidak percaya pada kewujudan hantu. Jadi, mereka ingat dengan cara ini, mereka
dapat menakut-nakutkan Nuruddin tetapi mereka silap kerana Nuruddin bukan
selemah yang disangka.
Meluap-luap
api kemarahan yang datang bertandang di dalam hati Nuruddin, lalu dia menjerit
sekuat-kuat hati. Dia tidak peduli jika terpaksa mengganggu lena orang lain.
Mereka yang mulakan dahulu, jadi mereka harus menerima hamburan kemarahannya.
“Hoi!
Sabbir! Aqmal! Kau orang ingat apa yang kau orang buat ni kelakar ke hah? Tak
kelakar okey. Aku tetap tak takut. Tolonglah jangan takut-takutkan aku dengan
cara kolot ni!” Nuruddin sudah tidak tahan lalu meledak amarahnya.
Terpisat-pisat
semua yang ada di dalam dorm itu bangun termasuk Aqmal dan
Sabbir. Sabbir menggosok-gosok matanya sambil memandang Nuruddin. Dia
memberikan isyarat tubuh bertanya kenapa?
Sakit
hati pula Nuruddin melihat dengan tingkah Sabbir yang buat-buat tidak tahu
setelah dia buat cerita. Mencerlung Nuruddin memandang wajah polos Sabbir.
“Kau
jangan buat-buat tak tahu pula Sab. Kau kan yang tarik selimut aku? Mengaku
sajalah.” Nuruddin masih lagi marah dengan permainan yang diciptakan oleh
Sabbir mahupun Aqmal.
“Apa
yang kau merepek ni Ruddi? Bila masa pula aku main tarik-tarik selimut kau? Aku
tengah tidur ni kan? Takkan kau buta tak nampak aku tengah buat apa? Dah tengah
malam kot. Agak-agaklah esok nak bangun pagi kot.” Sabbir menafikan angkara dia
yang mengenakan Nuruddin. Lalu dia kembali sambung tidur. Malas hendak layan
kerenah Nuruddin yang berlagak tidak tentu tempat.
“Kalau
bukan Sab yang buat mesti kau yang buatkan Aqmal?” Nuruddin terjun turun dari
katil dan menuduh Aqmal pula yang melakukan angkara itu.
“Aku
buat apa?” Aqmal yang masih mamai bertanya kepada Nuruddin.
“Tarik
selimut aku. Dah banyak kali kot kau buat macam tu. Kau ingat aku takut ke
dengan permainan yang kau ciptakan? Dah aku katakan yang aku tak takut pada
hantu, kau reka permainan untuk aku percaya yang hantu wujud, kan?” marah benar
Nuruddin dengan Aqmal.
“Kau
tengah tuduh akulah ni yang tarik selimut kau?” Aqmal menggosok-gosok matanya.
Masih cuba menghadam apa yang sedang diperkatakan oleh Nuruddin.
“Ya.
Aku tahu kau saja buat macam tu supaya aku percaya yang hantu tu wujud.”
Nuruddin mencekak pinggangnya sambil memandang tepat ke wajah Aqmal.
“Apa
faedahnya aku buat macam tu? Kita sama-sama penat kot, Ruddi. Tak ada kerja aku
nak bangun tengah-tengah malam tarik selimut kau. Aku tengah tidur kot ni.
Entah-entah kau yang reka cerita untuk kenakan aku, kan? Sudahlah Rudi, pergi
tidur. Esok nak bangun pagi.” Aqmal terus tarik selimut semula tanpa
mempedulikan Nuruddin.
“Amboi,
amboi. Sedapnya mereka tidur selepas kacau aku. Kau orang ingat aku akan
percaya ke hah? Jangan harap. Aku akan buktikan yang kau orang punya angkara.
Esok aku akan mengadu pada Komander Muazzam biar kau orang yang kena.” Nuruddin
bertekad di dalam hati.
Lampu dorm ditutup semula dan Nuruddin
kembali tidur. Dia sudah lelah hendak melayan kerenah mereka. Gara-gara dia
seorang habis semua peserta kem remaja terjaga dari tidur. Nasib baiklah
Komander Muazzam tidak datang menjengah. Kalau tidak, masak mereka didenda esok
pagi. Nuruddin! Nuruddin!
Sedang
enak dibuai mimpi, tiba-tiba tubuh Nuruddin ditolak dengan kasar sehingga jatuh
dari katil atas sehingga katil bawah. Menjerit kesakitan Nuruddin diperlakukan
sedemikian rupa. Sekali lagi amarahnya terjentik tetapi kali ini dia tidak
boleh tahan dengan permainan kasar yang diciptakan mereka.
“Hoi!
Apa main tolak-tolak aku ni? Ingat aku tak sakit ke tolak macam tu? Kalau
kepala aku terkena bucu katil ni macam mana? Siapa yang nak bertanggungjawab?”
Sekali lagi suara Nuruddin bergema di dalam dorm
itu.
Terbeliak
mata Nuruddin memandang sesuatu yang sedang menyeringai di hadapan wajahnya.
Muka makhluk itu sangat hodoh dan berbulu bagaikan seekor haiwan. Giginya yang
runcing tajam melelehkan air liur membuatkan Nuruddin terpana dalam kegelian.
“Si
... siapakah kau?” Tergagap-gagap Nuruddin cuba berbicara dengan makhluk yang
tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
“Kau
tak percaya pada kewujudan aku kan? Sekarang aku muncul di hadapan kau. Apakah
masih kau tak percaya? Aku pantang dicabar sebab itu aku datang pada kau.”
Makhluk itu menyeringai lagi sebelum menarik kaki Nuruddin secara kasar dan
dibawanya remaja itu ke tengah-tengah hutan.
“Lepaskan
aku! Lepaskan aku!” Nuruddin terjerit-jerit tetapi peliknya tiada seorang pun
di dalam dorm itu yang mendengar
jeritan Nuruddin.
“Aku
akan tunjukkan kau siapa sebenarnya aku supaya kau tidak celopar lagi. Aku
sememangnya wujud. Orang yang bongkak macam kau saja yang tidak percaya pada
kewujudan aku. Sekarang, kau takkan boleh lari dari cengkaman aku. Ha ha ha
....” Makhluk itu seakan mengejek Nuruddin yang sudah kepucatan.
Menyesal
aku cabar dia. Mulut akulah ni yang macam longkang, kan dia dah muncul.
Nuruddin mengutuk dirinya sendiri dengan keceloporan yang dia sendiri
timbulkan. Sekarang dia akan menerima padah hasil dari mulutnya yang tiada
insuran itu.
----------------------------------------------------------------------------------------
NURUDDIN
bagaikan terpukau mengikut sahaja ke mana makhluk itu membawanya. Sebaik sahaja
sampai di tengah-tengah hutan, tiba-tiba pegangan kakinya menjadi semakin
longgar dan bebas dari cengkaman makhluk itu. Nuruddin segera bangun dan
mengitari di sekelilingnya. Dia mencari makhluk yang membawanya ke tengah hutan
tetapi makhluk itu sudah tiada. Dia sendiri tidak tahu ke mana makhluk itu
pergi.
“Mana
pula dia pergi ni? Takkan takut di tengah-tengah hutan? Pandainya, dahlah
biarkan aku seorang-seorang kat sini dia terus lesap. Aku yakin makhluk tu
bukan yang benar. Dia adalah ciptaan Sabbir dan Aqmal. Esok pagi aku akan buat
perhitungan dengan mereka berdua. Suka hati betul memperdayakan aku. Hesy!”
Nuruddin kembali berwajah cengil. Hati yang sakit semakin sakit mengenangkan
kedua-dua orang sahabatnya itu.
“Baik
aku pulang ke dorm semula. Aku tak
nak ada yang menuduh aku merayap. Teruk karang aku didenda.” Nuruddin membuat
keputusan untuk pulang semula ke dorm
mereka tetapi telinganya menangkap sesuatu membuatkan kakinya terpasak di situ.
“Benarkah
apa yang aku dengar ni?” Nuruddin seakan tidak percaya apa yang didengar. Dia
terus memasang telinga.
“Hesy,
siapa pula yang kawad tengah-tengah malam ni? Atau memang kami semua akan
dikejutkan untuk berkawad? Aduh, ni yang aku tak suka datang kem macam ni. Masa
nak tidurlah, mereka nak berkawad. Bingai betullah.” Nuruddin menghamburkan
rasa tidak puas hati dengan aktiviti di tengah malam.
Walaupun
demikian, Nuruddin masih tidak bergerak di mana dia sedang berdiri. Dia terus
menanti akan kehadiran siapakah yang bakal ditemui. Dari kejauhan dia melihat
sekumpulan orang sedang berkawad. Apa yang pelik di pandangan matanya ialah,
mereka yang berkawad itu memakai pakaian lengkap askar Jepun. Berdegup jantung
Nuruddin ketika mereka semakin menghampiri tempatnya. Siap ada parang dan juga
senapang yang digalas bersama.
“Eh,
dari mana pula datang askar Jepun ni? Takkan kami kena pakai pakaian Jepun
untuk berkawad. Pelik sungguh. Atau mata aku yang menipu?” Nuruddin masih tidak
bergerak. Dia mahu melihat dengan lebih dekat lagi akan sekumpulan askar Jepun
itu.
“Tuan,
ada orang di sana.” Kata salah seorang askar yang mengikuti latihan berkawad
itu sambil menunjuk tepat ke arah Nuruddin.
“Alamak,
mereka nampak aku ke? Macam mana ni? Nak lari dah tak boleh. Aku tunggu dulu.
Apa-apa jadi baru aku cabut.” Nuruddin bertekad di dalam hati.
Ketua
askar itu betul-betul berdiri di hadapan Nuruddin. Nuruddin berusaha menahan
pernafasannya. Macamlah askar Jepun itu tidak melihat dirinya. Askar Jepun itu
membelek dari atas sehinggalah ke bawah batang tubuh Nuruddin. Sudah pasti dia
berasa hairan kerana pakaian Nuruddin itu sungguh luar biasa daripada mereka.
“Kamu
daripada mana? Kenapa pakaian kamu sangat berbeza daripada kami semua?” ketua
askar Jepun itu menepuk-nepuk bahu Nuruddin dengan senapangnya.
Okey,
kali ni aku betul-betul takut. Mereka benar-benar nampak aku. Aku tidak
berilusi atau berhalusinasi. Nuruddin mula berpeluh dan berperang dengan
dirinya sendiri. Melihat senapang yang digalas mereka sahaja sudah mampu buat
Nuruddin kecut perut. Hendak bernafas pun amat sukar baginya di kala itu.
“Saya
dari sini. Saya adalah peserta kem remaja.” Nuruddin menjawab dengan jujur dan
telus. Mudah-mudahan dia akan selamat daripada cengkaman mereka.
“Kem?
Kem remaja? Apa itu kem?” tanya askar Jepun itu dalam loghat Jepun yang sangat
pekat. Mereka tahu berbahasa Melayu sedikit-sedikit dan masih difahami oleh
Nuruddin.
Alamak,
mereka benar-benar askar Jepunlah. Daripada mana mereka ni semua datang? Siang
tadi aku tak nampak pun mana-mana askar Jepun. Permainan apa pula Komander
Muazzam lakukan? Nuruddin masih berbual dengan dirinya sendiri.
“Kem
membina semangat pelajar-pelajar di sini untuk berjaya di dalam hidup.”
Nuruddin masih berusaha menerangkan tentang kem remaja yang dihadirinya.
“Di
sini tidak boleh merayau. Ikut aku.” Askar Jepun itu seakan tidak mahu
melepaskan Nuruddin dan memaksa dia untuk mengikuti mereka.
“Tak
mau! Aku takkan ikut kau orang. Aku nak balik.” Nuruddin bertindak melulu lalu melarikan
diri dari terus menjadi tawanan askar Jepun yang entah dari mana datangnya
mereka.
“Hei,
jangan lari. Jangan ingkar dengan arahan aku. Berhenti!” Laung askar Jepun itu
tetapi Nuruddin tetap dengan keputusannya untuk melarikan diri. Mereka tidak tahu
betapa degilnya Nuruddin di kala itu.
“Kalau
kamu lari aku tembak.” Askar Jepun itu mengugut Nuruddin tetapi tidak
diendahkan oleh remaja itu.
Lalu
askar Jepun itu menembak di kaki Nuruddin agar berhenti berlari. Mereka
benar-benar kotakan apa yang mereka lafaz. Mereka tidak akan bertolak ansur
dengan sesiapa jua yang degil. Apa yang mereka atur hendaklah dituruti sama ada
suka ataupun tidak.
“Aduh!”
Nuruddin memandang pada betis kakinya yang sudah mula mengalir darah pekat.
Hendak bangun pun amat sukar baginya.
“Tak
guna punya askar Jepun. Boleh dia tembak aku. Aku akan melawan. Ingat aku ni
apa, suka hati saja suruh aku ikut mereka?” Nuruddin merungut sambil memegang
kakinya yang ditembak.
“Lain
kali jangan degil. Aku suruh kamu ikut aku, kamu kena turuti. Aku tidak suka
pada orang yang degil. Faham?” Tubuh Nuruddin ditujahnya dengan senapang.
Askar
Jepun itu berbicara dengan rakan-rakannya di dalam bahasa Jepun yang tidak
difahami oleh Nuruddin sambil memandang ke arah dirinya. Mereka
mengangguk-angguk faham dengan kehendak ketua mereka itu.
“Degil.
Pancung! Faham?” itu sahaja yang difahami oleh Nuruddin.
Menelan
liur Nuruddin mendengar perkataan-perkataan itu termasuk perkataan ‘pancung’.
Berdebar-debar hati Nuruddin saat memandang mereka yang berwajah cengil. Adakah
dia akan dipancung? Tapi atas alasan apa dia harus menjalani hukuman itu? Dia
tidak bersalah. Dia hanya tidak mahu ikut mereka.
“Kerana
kedegilan kamu, ketua kami telah menjatuhkan hukuman pancung ke atas kamu. Ikut
kami.” Kata salah seorang askar yang mengiringi ketua askar Jepun itu.
“Tak
mau! Tak mau! Aku tak salah apa-apa. Jangan pancung aku. Tolong!” Nuruddin
menjerit-jerit di tengah-tengah pekatan malam membuatkat telinga askar-askar
Jepun itu bingit dengan jeritan Nuruddin.
“Diam!
Diam! Jika kamu tidak mahu cedera sebelum hukuman pancung dijalankan ke atas
kamu.” Pengikut askar Jepun itu mengugut Nuruddin.
“Lepaskan
aku! Aku nak balik. Aku bukan mangsa kau orang!” Bertambah kuat Nurudin
menjerit.
“Kamu
ini memang terlalu degil. Lagi disuruh diam, lagi kamu menjerit ya. Kamu akan
menerima hukuman sebelum kepala kamu dipancung.” Pengikut askar Jepun itu
hendak menujah kepala Nuruddin dengan senapang yang dipegangnya.
“Arghhh!!!”
Nuruddin menutup matanya sebelum senapang askar Jepun itu singgah di kepalanya.
Tiba-tiba
sahaja Nuruddin terasa tubuhnya ditarik ke belakang dan dia mendengar jeritan
kesakitan daripada askar-askar Jepun itu. Nuruddin cuba membuka matanya sedikit
untuk melihat apakah yang sedang berlaku. Dia berasa hairan apabila melihat
dirinya berada di tengah-tengah padang berhampiran dengan dormmereka. Segera Nuruddin mengalih pandangannya ke belakang
untuk melihat siapakah yang mengheretnya dari tengah-tengah hutan itu. Apabila
mata mereka bertentangan, Nuruddin menarik nafas lega kerana wajah yang menyapa
matanya adalah seraut wajah yang amat dikenalinya.
“Komander
Muazzam. Terima kasihlah kerana menyelamatkan saya dari askar-askar Jepun tu.
Kalau komander tak datang tadi, saya sendiri tak tahu apa yang akan berlaku
pada saya.” Nuruddin mula bangun. Elok sahaja dia bangun tanpa sebarang
kesakitan.
Nuruddin
baru perasan sesuatu lalu dia membelek betis kakinya yang ditembak sebentar
tadi oleh askar Jepun. Apa yang menghairankan, dia langsung tidak melihat kesan
ditembak. Puas dia membelek tetapi kesan tembakan itu memang tidak ada.
Pelik.
Mana kesan tembakan tu? Asyik benar Nuruddin membelek kakinya sehingga terlupa
bahawa Komander Muazzam masih berada di hadapannya.
“Apa
yang kamu belek tu?” teguran daripada Komander Muazzam mengecutkan Nuruddin
yang masih mencari kesan tembakan di kakinya.
“Saya
cari kesan tembakan di kaki saya. Pelik betul sebab tiada sebarang kesan
tembakan tadi. Tak ada juga sebarang kecederaan. Saya macam bermimpi saja.”
Nuruddin membelek kakinya untuk kesekian kali sebelum memberi tumpuan penuh
pada Komander Muazzam.
“Kenapa
kamu keluar tengah-tengah malam dan pergi kat tengah hutan tu? Kamu kan tahu
bahawa tiada seorang pun peserta kem ini yang dibenarkan merayau pada waktu
malam. Bahaya.” Tajam pandangan Komander Muazzam memanah wajah Nuruddin.
Sekali
lagi Nuruddin menelan liurnya. Haruskah dia berterus-terang dengan apa yang
berlaku? Jika tidak berterus-terang dia pasti Komander Muazzam akan
terus-terusan menyalahkan dirinya.
“Sebenarnya
saya tak merayau komander.” Nuruddin cuba bersuara untuk mempertahankan
dirinya.
“Kalau
kamu tak merayau, jadi apa yang kamu buat di tengah-tengah hutan tu?” Masih
tajam pandangan Komander Muazzam kepada Nuruddin.
“Saya
telah diheret keluar dari dorm oleh
makhluk berbulu. Dia tinggalkan saya di tengah-tengah hutan tu sebelum
menghilang diri. Kemudian, saya dengar orang kawad dan ketika itulah
askar-askar Jepun itu datang pada saya.” Jelas Nuruddin dalam takut-takut.
Komander
Muazzam tidak lagi memandang tajam malah dia menghamburkan ketawa pula. Pelik
sungguh Nuruddin melihat tingkah Komander Muazzam itu.
“Mana
ada makhluk berbulu di sini atau askar-askar Jepun? Kamu mesti mengigau. Sudah,
lain kali jangan merayau lagi kerana kamu tidak tahu apa yang ada di luar
sana.” Pesan Komander Muazzam.
Berkerut
dahi Nuruddin memandang Komander Muazzam. “Memang komander tak nampak ya
askar-askar Jepun tu?” Nuruddin inginkan kepastian.
“Kenapa
mereka nak bunuh saya sedangkan saya tak buat salah? Saya cuma nak balik ke dorm saya semula. Apakah tu menjadi
kesalahan bagi mereka?” Nuruddin bersuara lagi memandangkan Komander Muazzam
masih menguncikan suaranya.
“Pergi
balik ke dorm kamu. Lain kali jangan
merayap keluar dari dorm pada
waktu-waktu macam ni kerana apa yang kamu lihat tidak semestinya benar. Faham?”
Komander Muazzam senyum sinis memandang kepada Nuruddin tanpa mahu menjawab
pertanyaan anak muda itu.
Nuruddin
semakin keliru dengan kesamaran jawapan yang diberi tetapi dia tidak mahu
beratkan kepalanya lalu dia berjalan masuk ke dorm semula.
-----------------------------------------------------------------------------------------
“SABBIR! Sini kejap. Ada benda aku nak tanya
kau ni.” Nuruddin memanggil Sabbir sebelum remaja lelaki itu bergerak ke tandas
untuk mandi.
Sabbir
terus menghampiri Nuruddin. Tidak jadi hendak melangkah ke tandas. Sabbir duduk
di hadapan Nuruddin sambil berdiri sedangkan Nuruddin duduk di tempat Aqmal.
“Ada
apa kau panggil aku ni?” tanya Sabbir sambil mengangkat keningnya.
“Aku
nak tanya kau sesuatu ni tapi kau kena jawab dengan jujur.” Serius wajah
Nuruddin ketika memandang ke arah
Sabbir.
“Okey.
Apa yang kau nak tanya tu? Serius benar.” Sabbir tersenyum-senyum memandang
Nuruddin.
“Aku
tak main-mainlah.” Bengang pula Nuruddin apabila Sabbir seakan mempersendakan
dirinya.
“Siapa
cakap kau main-main? Aku pun tak kata apa pun.” Sabbir juga mempertahankan
dirinya.
“Habis,
yang kau tersengih-sengih tu kenapa?” tanya Nuruddin.
“Tak
adalah. Gaya kau tu serius sangat. Kelakar pula aku tengok. Hah, apa yang kau
nak tanya aku? Cepat sikit, aku nak mandi ni. Kita kena turun ke dewan lepas
sarapan. Aku tak nak terlewat,” ujar Sabbir.
“Apa
yang kau kata semalam tu betul ke?” Wajah Nuruddin sangat tegang pada waktu
itu.
“Maksud
kau apa?” tanya Sabbir kembali.
“Betul
ke kem remaja ni berhantu?” Nuruddin tidak mahu bermain tarik tali lagi lalu
dia berterus-terang bertanya tentang keadaan kem itu kepada Sabbir.
“Adakah
kau percaya pada hantu?” tanya Sabbir kembali tidak mahu menjawab pertanyaan
Nuruddin.
Nuruddin
menarik nafasnya dengan agak panjang sebelum menghelanya kasar. Dia sendiri
tidak tahu sama ada hendak percaya atau tidak tetapi apa yang berlaku semalam
membuatkan kepercayaannya pada kewujudan entiti atau makhluk halus goyah.
“Ruddi,
kau percaya tak pada hantu?” sekali lagi Sabbir bertanya setelah lama Nuruddin
mendiamkan diri.
“Sememangnya
aku tak percaya pada hantu tapi apa yang aku alami semalam buat aku
hampir-hampir percaya. Aku sendiri tak pasti dengan kepercayaan aku sama ada
hendak percaya ataupun tidak.” Nuruddin memandang tepat ke wajah Sabbir.
“Apa
yang kau alami semalam?” Sabbir berminat ingin tahu. Sudah pasti apa yang
terjadi pada Nuruddin sesuatu yang menarik. Jika tidak, remaja lelaki itu
takkan mudah hendak percaya pada kewujudan hantu atau makhluk halus. Sukar
benar hendak memecah tembok kepercayaannya.
“Aku
tak tahu sama ada kau percaya atau tidak. Semalam aku ditarik oleh makhluk
berbulu tapi bukan kau kan yang rancang kehadiran makhluk berbulu tu?”
Pandangan Nuruddin memanah tepat ke wajah Sabbir.
“Maaf.
Aku tak pernah dengar pula makhluk berbulu ada di sini. Pertama kali aku
dengar. Yang pasti bukan aku perancang kehadiran makhluk berbulu tu. Aku ada
juga dengar cerita yang makhluk berbulu tu akan muncul pada orang yang tidak
percaya pada kewujudan mereka. Tak sangka cerita yang aku dengar bukan omongan
kosong.” Sabbir membuka suatu cerita baru bisa menambat hati Nuruddin yang
mendengarnya.
“Apa?
Makhluk berbulu tu akan muncul pada orang yang tak percaya pada hantu?”
Nuruddin inginkan kepastian.
Pantas
Sabbir mengangguk. “Aku dah lama nak tengok makhluk berbulu tu tapi tak pernah
ada peluang.” Sabbir tergelak-gelak ketika meluahkan keinginannya.
“Tak
payah tengoklah bukan cantik pun. Satu lagi peristiwa yang aku alami. Masa
makhluk berbulu tu heret aku ke tengah hutan, aku jumpa pula askar zaman Jepun
dulu. Kau tahu tak, kepala aku hampir terpenggal. Nasib baiklah Komander
Muazzam selamatkan aku. Kalau tak, pasti aku dah jadi arwah sekarang ni.”
Cerita Nuruddin dengan bersungguh-sungguh.
“Tu
sebabnya aku tanya kau betulkah kem ni benar-benar berhantu?” sambung Nuruddin
apabila dia melihat wajah Sabbir berkerut seribu.
“Apa
kau kata tadi? Komander Muazzam selamatkan kau?” tanya Sabbir kembali.
“Haah.
Takkan kau dah lupa pada Komander Muazzam? Baru semalam kot dia beri taklimat
pada kita?” Kali ini Nuruddin pula kehairanan dengan tingkah Sabbir itu.
“Kau
biar betul? Macam mana pula Komander Muazzam boleh selamatkan kau sedangkan dia
dah tak ada?” Sabbir memanah pandangan ke wajah Nuruddin.
Terbeliak
mata Nuruddin mendengar kenyataan Sabbir. Sunguh terperanjat dibuatnya dengan
sesuatu yang tidak diduga.
“Apa
kau kata? Komander Muazzam tak ada? Dia pergi mana?” Nuruddin inginkan
pencerahan daripada Sabbir.
“Kau
tak tahu ke atau kau tak dengar pengumuman? Komander Muazzam kan dah meninggal
dunia semalam selepas kita balik ke dorm
akibat serangan jantung? Jadi, macam mana pula dia boleh selamatkan kau? Atau
roh dia yang selamatkan kau semalam?” Serius Sabbir mengkhabarkan berita yang
tidak disangka-sangka.
Terlopong
mulut Nuruddin cuba menghadamkan cerita yang dibawa oleh Sabbir. Kalau benar
Komander Muazzam sudah meninggal dunia, jadi siapa pula yang dia temui semalam?
Adakah benar roh Komander Muazzam yang menyelamatkan dirinya. Patutlah Komander
Muazzam kata padanya jangan percaya apa yang dilihat kerana yang dilihat itu
tidak semestinya betul. Kenapa dia tak mendengar pengumuman yang dibuat tentang
kematian Komander Muazzam? Minda Nuruddin benar-benar bercelaru kini.
“Kau
tak tipu aku kan?” Sekali lagi Nuruddin mendapatkan kepastian daripada Sabbir.
Sabbir menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Hei,
Ruddi. Kau tak mandi lagi?” Aqmal yang baru pulang dari tandas terus menegur
Nuruddin.
“Belum.
Aku nak mandilah ni.” Nuruddin mula menggalas tualanya walaupun mata masih
melihat pada Aqmal yang sedang menyidai tualanya di tepi katil.
“Kau
cakap dengan siapa tu? Dari semalam aku tengok kau bercakap dengan seseorang.”
Aqmal sudah tidak tahan lagi dengan gelagat Nuruddin lalu bertanya kepada tuan
tubuh setelah mempunyai kekuatan untuk berbuat demikian.
“Lah,
takkan kau tak nampak Sabbir kot? Dia kan ada dengan kita dalam dewan semalam?
Dia kan tinggal atas katil atas bertentangan dengan aku?” Nuruddin semakin
pelik dengan kejadian-kejadian yang menimpa dirinya di kem remaja itu.
“Sabbir?
Kau jumpa dengan Sabbir?” Aqmal inginkan kepastian.
“Yalah.
Kau pun ada cakap dengan Sabbir semalam, kan? Aku nampak kau berbual-bual
dengan Sabbir.” Ni apa hal pula tiba-tiba tak nampak Sabbir? Gumam Nuruddin di
dalam hati.
“Ruddi,
aku rasa kau telah dipermainkan. Sabbir yang kau jumpa tu tak wujud. Sabbir dah
lama meninggal dunia. Sabbir adalah peserta kem tahun lepas yang lemas di kolam
ikan belakang dorm kita ni.” Terang
Aqmal membuatkan mata Nuruddin terbeliak.
Kalau
Sabbir dah meningal, dengan siapa pula yang selalu dia berbual? Mustahil dalam
waktu yang singkat dia mengalami pelbagai perkara mistik. Dia sudah tidak dapat
menerima lagi dengan permainan kem itu.
“Kalau
Sabbir dah meninggal, kat depan kita ni siapa?” Nuruddin menghala bebola
matanya menghadap Sabbir tetapi wajah Sabbir sudah tiada diganti dengan wajah
yang tidak dikenalinya.
“Dari
semalam aku yang layan kau. Tapi kau tak habis-habis panggil aku Sabbir
sedangkan nama aku Iemran Iesmail. Dari semalam aku cuba beritahu kau tapi kau
masih panggil aku Sabbir. Aku yang duduk bertentangan dengan kau bukannya
Sabbir.” Iemran Iesmail barulah ada peluang berterus-terang dengan Nuruddin
tentang namanya.
Beberapa
kali Nuruddin meraup wajahnya. Dia juga melihat beberapa peserta kem memandang
dirinya dengan pandangan pelik setiap kali lalu di hadapannya. Nuruddin tidak
ambil peduli. Malas dia hendak layan mereka yang tidak dikenalinya. Bukannya
rapat pun.
Apabila
dia menoleh kembali ke arah Iemran Iesmail, dia terlihat wajah Sabbir yang
sudah mempamerkan wajah sebenar-benarnya. Pucat tidak berdarah bagaikan sudah
lama berada di dalam dasar kolam. Sabbir tersengih memandang ke arahnya. Nuruddin mengemam bibir
berlagak berani berhadapan dengan Sabbir.
“Kenapa
kau muncul di hadapan aku? Apa yang kau cuba buktikan?” tanya Nuruddin dengan
lagak berani walaupun pada hakikatnya dia sudah kecut perut dengan tayangan
perdana di hadapan matanya.
“Aku
takkan muncul andai kau percaya pada kewujudan kami. Itu yang cuba aku buktikan
pada kau.” Sabbir seakan ingin menghampiri Nuruddin tetapi dengan pantas
Nuruddin menarik tangan Aqmal untuk berlari dari situ.
Nuruddin
merempuh sesiapa sahaja yang berhampiran dengannya. Dia tidak mahu diganggu
oleh roh Sabbir lagi. Ngeri melihat wajah pucat tidak berdarah itu.
“Hei,
hei ... Nuruddin.” Panggil salah seorang peserta yang berhampiran dengannya.
Dia juga salah seorang ahli di dalam kumpulan Nuruddin.
“Hah,
ada apa Adam Haiqal? Aku tak boleh duduk dalam dorm ni lama-lama. Macam-macam perkara mistik aku alami.” Nuruddin
ingin segera keluar dari terus berada di dalam dormitu.
“Kau
lari dengan siapa tu?” Adam Haiqal bertanya serius pada Nuruddin yang masih
memegang tangan seseoarang.
“Aqmal.
Takkan kau tak nampak rakan sekumpulan kita kot?” Nuruddin terasa bengang
dengan teguran Adam Haiqal macam dia berlari dengan hantu sahaja.
“Mana
ada nama Aqmal dalam kumpulan kita. Dari semalam aku pandang kau ni pelik
Ruddi. Suka benar kau panggil Sabbir dan Aqmal. Aqmal peserta batchyang lalu sebelum kita dah lama
meninggal dunia akibat dibuli dengan budak-budak nakal. Batch sebelum kita ni memang semuanya jahat dan susah Komander
Muazzam nak handle.” Jelas Adam
Haiqal membuatkan Nuruddin menoleh ke arah Aqmal.
Ya,
memang benar wajah Aqmal hancur sebelah akibat dipukul dan dicucuh dengan bara
api. Segera Nuruddin melepaskan genggamannya dari terus melekat ke tangan
Aqmal. Beberapa kali dia menelan liur yang menerjah ke rengkungnya.
“Kau
pun? Kenapa kau orang permainkan aku macam ni?” Nuruddin sudah tidak boleh
menerima dengan apa yang dilihatnya.
“Ini
kerana kau terlalu takbur dan sombong. Kau kata kau tak takut dengan kami sebab
itulah kami muncul dan berdampingan dengan kau supaya kau sedar yang kami juga
wujud.” Aqmal tersengih memandang Nuruddin.
Nuruddin
berkali-kali meraup wajahnya. Dia tidak menyangka bahawa dia telah dipermainkan
dengan sebegitu teruk dengan roh tidak tenteram yang menetap di kem ini.
“Sudahlah
Ruddi, jom kita ke dewan. Kita dah lewat ni.” Adam Haiqal mengajak Nuruddin
untuk menjalankan aktiviti kem pada hari itu.
“Betul
ke Komander Muazzam meninggal semalam?” Nuruddin inginkan kepastian.
“Ya.
Meninggal akibat serangan jantung. Semua tahu kenapa kau saja yang tak tahu?”
tanya Adam Haiqal membuatkan Nuruddin menggeleng-gelengkan kepalanya tanda
tidak percaya dengan apa yang dilihat kerana ia tidak benar-benar wujud.
Nuruddin bagaikan lembu dicucuk hidung hanya mengikut langkah Adam Haiqal.
-------------------------------------------------------------------------------------
NURUDDIN
bungkam. Dalam dua hari sahaja berada di kem remaja itu dia mengalami pelabagai
perkara mistik yang dia sendiri tidak menduga. Selama dia hidup, dia sering
mempersendakan kewujudan makhluk halus. Dia sering berkata bahawa makhluk halus
itu hanya wujud dalam ilusi sahabat-sahabatnya tetapi apa yang menimpa dirinya
di dalam kem itu membuatkan dia sukar hendak percaya. Entiti itu wujud
terang-terangan di hadapannya dalam keadaan yang cukup sempurna sekali sebelum
menonjolkan diri mereka dalam keadaan yang lain.
Nuruddin
termenung jauh. Dia tidak tahu hendak percaya pada siapa lagi. Kadang-kadang
yang dianggap kawan bukan kawannya yang sebenar. Kenapa hanya dia sahaja yang
nampak mereka dari mula lagi sedangkan rakan-rakan yang lain tidak nampak apa
yang dia nampak. Susah untuknya menilik yang mana satu benar dan yang mana satu
tidak. Nuruddin melepaskan satu dengusan kasar. Sesekali dia menelan liur.
Rengkungnya agak kering. Lalu dia mencapai sebotol air mineral dan meneguk
rakus bagi membasah tekaknya.
“Jauh
kau termenung? Fikirkan apa?” Adam Haiqal yang kini mengambil tempat Aqmal
duduk di sebelahnya pada malam itu. Mereka baru sahaja selesai menjalani
aktiviti secara berkumpulan di dalam dewan sebentar tadi dan kini tibalah
masanya untuk mereka berehat pula.
“Hmm?”
Nuruddin hanya memandang sekilas pada Adam Haiqal sebelum menghala bebola
matanya ke lantai semula.
“Kau
masih ingat kejadian tadi?” Tebak Adam Haiqal. Dia melihat Nuruddin tidak
seperti mula-mula hadir di sini. Remaja itu seolah-olah hilang pegangan diri
dan keegoannya terhakis sedikit demi sedikit. Dia tidak lagi berlagak mahupun
meninggikan diri.
Perlahan-lahan
Nuruddin mengangguk kepalanya. Apa lagi yang perlu dikatakan kerana sememangnya
dia masih teringat kejadian sebentar tadi. Semua yang dianggap kawan adalah
entiti yang berniat mengganggu dirinya hanya kerana dia tidak percayakan
kewujudan mereka.
“Aku
dah tak tahu hendak percaya pada siapa sekarang. Takut aku nak tegur orang
sembarangan. Takut terkena lagi. Mereka boleh muncul di hadapan kita pada
bila-bila masa sahaja tanpa kita tahu bahawa mereka bukan manusia biasa.” Luah
Nuruddin dari hati ke hati.
Adam
Haiqal menepuk-nepuk bahu Nuruddin untuk memberikannya semangat. Dia tahu hati
Nuruddin agak rusuh sekarang ini. Dia perlu menjadi penyejuk kepada hati
Nuruddin agar remaja itu bertenang dalam menghadapi situasi baru yang
diciptakannya untuknya.
“Buka
mata hati kau, aku yakin pasti kau dapat melihat yang mana satu benar dan yang
mana satu palsu.” Adam Haiqal memberi nasihat kepada Nuruddin.
Nuruddin
hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Mindanya terlalu berat untuk memikirkan
situasi-situasi yang tidak dijangka. Dia sangat penat dan letih. Pandangannya
dihala ke arah Adam Haiqal dengan segaris senyuman tawar.
“Aku
tidurlah ya Adam. Aku tak tahu kenapa aku penat sangat hari ni.” Nuruddin
meminta diri dan Adam Haiqal hanya mengangguk kepala. Terus Nuruddin memanjat
naik atas katilnya. Dalam beberapa saat sahaja kedengaranlah dengkuran
Nuruddin. Memang dia penat sangat agaknya. Penat berfikir dan dia berharap agar
hidupnya tidak diganggu lagi. Perlahan-lahan Nuruddin mula menerima kenyataan
bahawa makhluk halus itu wujud dan dia tidak akan lagi mempersendakan akan
kewujudan mereka.