BAB 15 : Si Parasit Masih Berusaha

“Assalamualaikum. Fiqa masih di Penang ke?” Entah kenapa Ellis Elliza seakan tidak mahu melepaskan Rabiatul Syafiqah dari mengetahui perkembangannya.

Rabiatul Syafiqah mengeluh seketika apabila melihat mesej masuk di laman whatsappnya. Tidak jemukah wanita ini asyik bermesej dengannya. Dia terasa seakan dikongkong oleh Ellis Elliza. Agaknya memang benar apa yang Runi Naqiu katakan bahawa wanita ini terlalu cemburukan dirinya sehingga mahu mengawalnya dari terus bersenang-lenang dengan lelaki itu. Kenapa Ellis Elliza sanggup bersikap begitu sedangkan dia sudah berumahtangga dan mempunyai anak? Tidak bolehkah Ellis Elliza membiarkan sahaja dia untuk bersama dengan Runi Naqiu? Tapi, jika dia benar cemburu bagaimana pula dengan amaran yang sering dititipkan oleh wanita itu buat dirinya.

Sebenarnya, Ellis ni ingin melindungi aku ke atau menghalang aku? Sesungguhnya Rabiatul Syafiqah berada di persimpangan dilema antara Runi Naqiu dan Ellis Elliza. Akalnya tidak dapat berfikir dengan waras yang mana satu benar dan yang mana satu bohong. Dalam tidak suka, Rabiatul Syafiqah membalas juga mesej daripada Ellis Elliza.

“Waalaikumussalam. Fiqa dalam perjalanan pulang ni. Kenapa Ellis?” tanya Rabiatul Syafiqah sengaja menampakkan dirinya ramah tamah walhal dirinya bagaikan berselirat dengan benang yang sukar untuk dirungkaikan.

“Fiqa, maafkan Ellis ya. Ellis tahu cara Ellis ni merimaskan Fiqa. Tapi Ellis tak tahu kenapa Ellis ambil berat sangat tentang diri Fiqa. Kalau orang lain lantaklah, Ellis tak peduli. Ellis dapat rasakan sesuatu yang buruk akan berlaku pada Fiqa selagi Fiqa masih berhubung dengan Runi. I have bad feeling.” Ellis Elliza akhirnya bersuara juga apa yang terbuku di dalam hatinya. Cengkaman rasa tidak enak itu semakin hari semakin berselirat sehingga melemaskan dirinya.

Ye ke ambil berat tentang diri aku atau kau cemburu? Ellis cemburu pada Fiqa ke kerana semakin rapat dengan Runi? Mahu sahaja Rabiatul Syafiqah bertanyakan hal itu pada Ellis Elliza namun bibirnya terkunci rapat. Dia tidak mampu untuk bersuara.

Namun, di satu sudut hatinya, Rabiatul Syafiqah amat terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Ellis Elliza terhadap dirinya. Mungkin dirinya insan yang terpilih untuk dilindungi. Mungkin. Jika firasatnya itu benar.

“Ellis, jujur dengan Fiqa siapa sebenarnya Runi tu? Apa sebenarnya yang terjadi sehingga Ellis sungguh-sungguh beri amaran pada Fiqa? Fiqa keliru, Ellis. Tolong jangan biarkan Fiqa tertanya-tanya macam ni?” Rabiatul Syafiqah memberanikan diri menaip sesuatu buat Ellis Elliza.

“Suatu hari nanti Fiqa akan tahu siapakah Runi Naqiu yang sebenarnya. Saat Fiqa mengetahui identitinya, Fiqa pasti akan menyesal mengenali makhluk TUHAN yang bernama RUNI NAQIU. Percayalah pada Ellis. Percayalah pada naluri Fiqa sendiri. Jangan bertindak mengikut hati Fiqa tapi bertindaklah mengikut akal kerana akal sealunya benar dari hati. Jangan biarkan dia manipulasi minda Fiqa.” Panjang lebar Ellis Elliza menaip mesej buat Rabiatul Syafiqah.

Tersandar Rabiatul Syafiqah di dinding kerusi keretanya sambil melemparkan pandangan ke luar tingkap. Sesungguhnya kini dia terperangkap antara dua sahabat. Yang mana satu harus dipercayainya? Hati Rabiatul Syafiqah mula digaru ragu-ragu dan dinding hatinya mula terbina tembok yang sukar untuk diruntuhkan. Itulah tembok kekeliruan dalam mencari kebenaran.

“Insya ALLAH. Ellis jangan risau. Fiqa akan sentiasa hati-hati. Tapi kalau boleh Fiqa minta Ellis berterus-terang dengan Fiqa siapakah Runi Naqiu yang sebenarnya. Fiqa benar-benar nak tahu untuk kebaikkan Fiqa sendiri.” Rabiatul Syafiqah masih mahu membalas mesej daripada Ellis Elliza walaupun batinnya menjerit sakit yang teramat sangat.

“Ellis terlalu ambil berat tentang diri Fiqa. Ellis tak mahu Fiqa menjadi mangsa Runi seterusnya. Tolong timbangkan apa yang Runi katakan dengan akal. Jangan percaya melulu.” Ellis Elliza masih cuba meraih kepercayaan Rabiatul Syafiqah agar mempercayai dirinya. Dia yakin suatu hari nanti kebenaran tentang lelaki yang bernama Runi Naqiu ini akan terbongkar jua. Cukuplah dia menjadi mangsa janji manis lelaki ini, dia tidak mahu wanita lain masuk perangkap lelaki parasit ini. Dialah Parasit Cinta, perlahan-lahan memamah mangsanya. Mangsa tidak akan menyedari kehadiran parasit perosak ini. Sungguh pandai dia duduk di hati sambil memamah minda mangsa.

“Insya ALLAH. Nanti kita mesej lagi ya. Dah nak masuk highway, line sekejap ada sekejap tak ada. Assalamualaikum.” Rabiatul Syafiqah tidak mahu membebankan lagi mindanya dengan berfikir siapakah Runi Naqiu yang sebenarnya.

Ellis Elliza menjawab salam Rabiatul Syafiqah sebelum menamatkan perbualan mereka.

“Kenapa ni Atul? Resah semacam aje? Ada apa-apa yang tak kena ke?” tanya Fatin Vavavoom.

“Rumit kak. Masalah hidup ni rumitkan? Kadang-kadang, kita rasa kita dah bertemu seseorag yang memikat hati tapi sebenarnya ia hanya ilusi dari keindahan yang kita ciptakan sendiri.” Rabiatul Syafiqah masih melemparkan biji matanya ke luar tingkap menikmati pokok-pokok yang ada di sepanjang highway itu.

“Kalau tak rumit, bukan kehidupan namanya. Kau harus pertimbangkan dengan kewajaran. Mana satu telus dan yang mana satu palsu. Barulah jawapannya akan muncul. Jangan percaya pada apa yang didengar kerana ia mungkin palsu. Gali dan terus gali agar kekeliruan tidak lagi membelit akal.” Nasihat Fatin Vavavoom bagaikan ahli falsafah lagaknya.

Tersenyum Rabiatul Syafiqah mendengarnya. Ada benarnya juga apa yang Fatin Vavavoom katakan itu. “Mak diam saja. Selalunya dia yang paling kecoh.” Rabiatul Syafiqah berpaling ke belakang dan melihat Mak Nana Vougue baik terlentok di bantal kerusi kereta. Patutlah tidak mendengar suara yang seakan pembesar suara itu. Rabiatul Syafiqah melarik senyuman segaris melihat wajah Mak Nana Vougue yang sedang lena diulit intan itu. Syahdu pula hati secara tiba-tiba.

Sabar ya mak. Jodoh anakmu ini masih belum sampai seruannya. Bukannya aku memilih tetapi ALLAH telah perliharakan hati anak mak yang limited edition ni untuk lelaki yang benar-benar halal nanti. Insya ALLAH. Tiba-tiba Rabiatul Syafiqah terasa hangat di tubir matanya. Cepat-cepat dia berpaling ke luar tingkap tidak mahu Fatin Vavavoom melihatnya.

--------------------------------------------------------------------------------------------

“Kenapa aku mesej Fiqa tak berbalas ni? Tak ada line kot. Entah-entah dia ada di highway. Bersangka baik Runi.” Runi Naqiu sedikit merungut apabila Rabiatul Syafiqah tidak dapat dihubunginya.

“Hmm ... apa susah, Fiqa tak ada, El kan ada.” Runi Naqiu tersengih jahat lalu pantas sahaja jari-jemarinya menelefon Ellis Elliza. Dia tahu, waktu-waktu begini sudah pasti Azaharil Anuar sudah keluar ke tempat kerja. Jika nasibnya baik, Ellis Elliza masih bercuti lagi di rumah. Inilah masanya untuk dia menyulam kata-kata indah agar Ellis Elliza terpesona mendengarnya.

Ellis Elliza mengeluh tatkala melihat sebaris nama muncul di skrin telefon pintarnya. “Dia nak apa lagi? Tak cukupkah dia mengganggu hidup aku?” Walaupun tidak mahu tetapi Ellis Elliza tidak mampu menahan dirinya dari menjawab panggilan daripada lelaki itu.

“Assalamualaikum.” Terdengar suara halus Ellis Elliza di talian membuatkan Runi Naqiu meleret senyuman. Sesungguhnya dia tidak sangka Ellis Elliza masih mahu menjawab panggilan darinya. Ini bermakna Ellis Elliza masih tidak dapat melupakan dirinya.

“Waalaikumussalam. Miss me?” tanya Runi Naqiu.

“Apa abang merepek ni?” Ellis Elliza agak geram dengan Runi Naqiu yang masih mahu menabur ayat-ayat kasih ke dalam sukmanya.

“Come on El. Jangan bilang yang El tak rindukan abang. Abang pasti yang El terlalu rindukan abang. El kan masih tak tahu lagi apa yang berlaku antara kita.” Runi Naqiu menggula-gulakan Ellis Elliza.

Berderai air mata Ellis Elliza di kala itu. Kenapa makhluk TUHAN ni menggunakan alasan itu untuk mencengkam dirinya? Kenapa lelaki itu tidak mahu melepaskan dirinya dan biarkan dia hidup bahagia. Ya ALLAH, berat sungguh ujian yang KAU hadapkan untukku.

Ellis Elliza mengesat air matanya dan mengumpul kekuatan untuk berbicara dengan Runi Naqiu si parasit cinta. “Abang, jangan gunakan itu untuk dekati El lagi. Cukuplah bang. Cukuplah abang pergunakan El selama ni. Tolong berhenti bang. Jangan seksa El lagi. El tak mampu lagi nak hadapinya. Kalau abang rasa, El perlu tahu apa yang berlaku antara kita, abang beritahulah. Jangan biarkan El hidup dalam teka-teki. Tolong bang.” Ellis Elliza sedikit merayu menggembirakan hati Runi Naqiu.

“Kalau El mahu jawapannya, El harus jumpa abang sekarang. Abang tunggu El di Restoran Killeney.” Runi Naqiu mencabar Ellis Elliza.

“Suami El akan marah jika El berjumpa dengan abang. El dah janji dengan suami El yang El takkan ingkar pada dia lagi. Jangan paksa El bang.” Ellis Elliza masih berdegil.

“Beri saja alasan buat suami El yang dungu tu. Selama ni El boleh tipu dia dengan pelbagai alasan untuk bertemu dengan abang, takkan untuk hari ni El tak boleh lakukan benda yang sama demi mengetahui kebenarannya? Come on El. Jangan katakan El tak biasa pula.” Runi Naqiu terus-menerus mencabar Ellis Elliza.

Semakin lebat air mata Ellis Elliza menuruni lekuk-lekuk dataran pipinya. Dia tidak mahu teresak menandakan kelemahannya. Kalau dia gagal menahan tangisnya, bermakna Runi Naqiu akan menang. Dia tidak mahu Runi Naqiu menang hari itu.

Ya, memang aku menipu suami aku. Kau yang mengajar aku! Kau! Kau memang pentingkan diri sendiri Runi, aku benci kau! Air mata Ellis Elliza semakin lebat, sehebat rasa mencengkam jiwanya. Ellis Elliza seolah terpenjara, sukar untuk lari dari jeriji ciptaan Runi.

“Abang cabar El datang jumpa abang dan abang akan beritahu segala-galanya pada El tanpa sekelumit rahsia pun. Lepas ni, kalau suami El ceraikan El, datang pada abang walaupun sehelai sepinggang. Kereta El pun tak payah bawa. Tinggalkan semua pada suami El dan abang janji akan jaga El lebih dari jiwa abang. El juga tak perlu risau. El boleh jumpa anak-anak El setiap hari. Abang sudah rancang semuanya." Runi Naqiu masih tidak mahu mengalah dalam membelai jiwa Ellis Elliza walaupun wanita itu tidak bersuara kini.

Aku tidak akan pergi kepada kau walaupun selepas ini suami aku tinggalkan aku. Aku tak mahu hidup dengan parasit seperti engkau yang hanya tahu makan hasil titik peluh wanita. Tegas hati Ellis Elliza.

Lebih baik aku hidup sendiri daripada bersuamikan jantan macam kau! Huh! Sehelai sepinggang konon! Pandailah kau mengumpan aku dengan kata-kata. Tak kan aku nak tinggalkan kereta aku sedangkan kereta tu bawah nama aku. Sebenarnya kau memang mahukan kesenangan tanpa perlu berusaha mendapatkannya. Usaha kau hanya mendapatkan wanita untuk kesenangan sendiri.

“Baik. El datang sekarang. Abang janji akan beritahu segala-galanya?” Tekan Ellis Elliza.

Yes. Aku berjaya akhirnya memujuk wanita bodoh ini. “Ya sayang. Abang akan beritahu segala-galanya tanpa satu pun yang tertinggal. Abang janji sayang.” Runi Naqiu bersorak kegembiraan melihat pada kemenangannya.

Ellis Elliza segera mematikan talian dan terus bersiap ala-kadar. Dia harus bertemu dengan Runi Naqiu dan harus kembali semula ke rumah sebelum anak-anaknya pulang dari sekolah. Yang paling penting, dia tidak mahu Azaharil Anuar mencium keingkarannya dalam melanggar tegahan untuk bertemu dengan Runi Naqiu.

Baru sahaja Ellis Elliza menjejak tangga yang terakhir di rumahnya, tiba-tiba muncul sekujur tubuh menghalang niatnya yang terancang di hati sebentar tadi.

Azaharil Anuar sedikit pelik ke manakah Ellis Elliza ingin pergi. Namun, jiwa seorang suami tidak akan menipu dan dia dapat rasakan isterinya itu mahu bertemu dengan Runi Naqiu demi satu kebenaran. Sudah pasti Runi Naqiu telah menggula-gulakan Ellis Elliza untuk bertemu dengannya.

“Mama nak ke mana ni?” Tanya Azaharil Anuar memandang tepat ke wajah Ellis Elliza.

Ellis Elliza terkesima seketika. Kakinya bagaikan terpasung untuk terus mengatur langkah seterusnya. Air liurnya menuruni rengkung dengan payah sekali.

“Mama .... mama ...” Payah benar Ellis Elliza ingin memberitahu kebenaran itu.

“Bagus juga mama dah siap-siap ni. Jom kemaskan beg mama.” Azaharil Anuar memegang tangan Ellis Elliza lalu dibawa naik ke atas semula.

Terpinga-pinga Ellis Elliza dengan perlakuan Azaharil Anuar. “Kemas beg? Abang nak bawa mama pergi mana? Anak-anakkan belum balik sekolah lagi?” tanya Ellis Elliza dengan minda berselirat penuh kekeliruan.

“Abang nak hantar mama ke Australia. Dah lama mama tak balik jumpa keluarga mama kat sana. Anak-anak biar abang yang jaga. Cuti sekolah nanti abang akan bawa anak-anak ke sana untuk jumpa mama. Kita boleh sambut hari lahir Alyssa Ezzura di sana. Dia tentu gembira dapat jumpa nenek dan atuknya.” Panjang lebar Azaharil Anuar memberitahu rancangannya buat Ellis Elliza.

Ellis Elliza semakin terperanjat dengan perkhabaran yang diberitahu oleh Azaharil Anuar. Kejutan apakah ini? Dia masih belum bersedia untuk meninggalkan semua ini. “Bagaimana dengan kerja mama, abang? Mama belum ambil cuti lagi. Nanti apa kata bos mama pula?” Ellis Elliza cuba untuk tidak meninggalkan bumi Malaysia buat masa sekarang.

“Tentang cuti mama abang dah uruskan. Abang dah minta dengan bos mama untuk diberi cuti sebulan. Mama dah lama tak berehat panjang. Mama perlu rehat untuk tenangkan minda mama. Ini tiket ke KLIA dan sebelah malamnya mama akan bertolak ke Gold Cost Australia.” Azaharil Anuar menolong Ellis Elliza memasukkan pakaian ke dalam bagasi yang agak besar.

Ellis Elliza terkedu dengan apa yang dilakukan oleh Azaharil Anuar dengan begitu pantas. Dia tidak sempat untuk merancang apa-apa dan dia harus akur dengan keputusan yang dibuat oleh Azaharil Anuar ke atas dirinya.

“Kenapa muka tegang saja ni? Mama tak suka ke jumpa dengan keluarga mama kat sana?” Azaharil Anuar cuba memberi senyuman manisnya lagi menawannya buat Ellis Elliza.

“Suka tapi terlalu cepat.” Ellis Elliza bersuara perlahan.

“Lagi cepat lagi bagus. Ini untuk terapi diri mama juga. Nanti dah sampai Australia, jangan lupa telefon abang. I love you sayang. Apa yang abang buat ni sebab abang cintakan mama. Abang nak mama pulih seperti sedia kala.” Azaharil Anuar mengucup ubun-ubun Ellis Elliza sebelum membawa masuk bagasi ke dalam kereta untuk menghantar Ellis Elliza ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor Bahru.

Ellis Elliza akur. Hasratnya untuk bertemu Runi Naqiu terpaksa dikuburkan begitu sahaja. Nampaknya ALLAH swt tidak mengizinkan dirinya untuk bertemu dengan lelaki itu. Mungkin ada hikmahnya.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Agak lama juga Runi Naqiu menunggu Ellis Elliza di Killeney Kopitiam Nusajaya. Akhirnya Runi Naqiu yang berasa bosan terus menelefon Ellis Elliza tetapi panggilannya tidak berjawab. Runi Naqiu berasa tidak sedap hati.

“Mana pula dia pergi? Mustahil dia tak datang. El yang aku kenal takkan menghampakan permintaan aku.” Runi Naqiu agak bengang dengan Ellis Elliza di kala itu.

Sebentar kemudian, Runi Naqiu mendapat mesej di talian whatssappnya dan ia dari Ellis Elliza.

“Maaf abang, El tak dapat datang jumpa abang kerana El akan berangkat ke Australia malam ini. Sekarang El berada di Lapangan Terbang Antarangbangsa Senai untuk berangkat ke KLIA. Nampaknya jodoh untuk kita bertemu memang telah dimatikan. ALLAH tidak mengizinkan untuk kita bertemu. Jaga diri abang baik-baik. Assalamualaikum.” Ellis Elliza menitip mesej buat Runi Naqiu sebelum dia menutup terus talian telefon pintarnya kerana dirinya sudah dipanggil untuk masuk ke dalam pesawat.

Runi Naqiu dilanda kegeraman yang teramat sangat. Kemarahannya sudah di puncak. Mahu saja dia menendang semua benda yang berdekatan dengannya. Runi Naqiu cuba bertenang. Sebatang demi sebatang rokok silih berganti dicelah bibir hitamnya. Berkepul asap di udara. Dicapai lagi rokok terakhir dan dengan rakus dihisapnya. Dia tidak boleh terima hakikat itu. Niat jahatnya tidak akan tertunai pada hari itu, namun dia harus mencari seseorang untuk menggantikan tempat Ellis Elliza. Tiba-tiba Runi Naqiu teringatkan Fadhila Imani perempuan yang tergila-gilakan dirinya dan sanggup melakukan apa sahaja demi dirinya, senyuman terus terhias di bibir Runi Naqiu lalu dia menitip mesej buat wanita itu agar datang bertemu dengannya.

Sebentar sahaja, muncullah Fadhila Imani di hadapannya dengan wajah yang ceria. Kenyang Runi Naqiu pada hari itu. Runi Naqiu tidak melepaskan peluang untuk bermesra dengan Fadhila Imani.

Fadhila Imani pula membiarkan dirinya dibelai oleh Runi Naqiu kerana dia teramat mencintai lelaki itu. Fadhila Imani terasa dirinya dihargai oleh Runi Naqiu. Sungguh dia tidak pernah merasa segembira ini. Hanya berdua dengan Runi Naqiu, itulah impiannya selama mengenali lelaki itu.

“Kak Ellis mana?” tanya Fadhila Imani yang masih menyendeng pada tubuh Runi Naqiu.

“Dia ke Australia. Laki dia hantar dia ke sana. Nak jauhkan dari abang kot." Runi Naqiu membelai tangan Fadhila Imani dan dibiarkan sahaja belaian manja ke atas dirinya tanpa menyedari perbuatannya itu telah membuatkan syaitan bersorak girang kerana telah berjaya menggoda anak Adam untuk mengikut ke haluan yang ditetapnya.

“Wow .. bertuahnya dia.” Fadhila Imani girang bersorak di dalam hati. Sekurang-kurangnya dia berjaya merapati dirinya dengan Runi Naqiu dengan ketiadaan Ellis Elliza yang dianggap pengacau itu. Dia bebas kini bermesra dengan Runi Naqiu tanpa pesaingnya itu.

“Jom Dhila, kita jalan-jalan.” Ajak Runi Naqiu untuk memenuhi kekosongan hatinya yang ditinggalkan oleh Ellis Elliza.

“Jom.”

Mereka keluar dari kopitiam itu sambil beriringan berpegangan tangan. Sekali pandang, nampak seperti pasangan romantik. Dua kali pandang, itulah maksiat sedang berlaku hasil godaan syaitan durjana. Berjaya dia menggunakan psikologinya untuk menyesatkan anak adam sebagaimana janjinya dengan ALLAH swt.

---------------------------------------------------------------------------------------------

“Naz, aku buat kuih seri muka untuk tahlil yang terakhir.” Nur Syarida menghulurkan dua berkas kuih seri muka yang dibuatnya.

Nazira menghela nafas agak kasar. Semakin lama dia melihat wajah Nur Syarida, semakin benci dibuatnya. Sebagaimana kasar nafas yang dihela, begitulah juga kasarnya dia mengambil bekas kuih dari tangan Nur Syarida.

“Lagi-lagi muka kau. Lagi-lagi muka kau. Tak ada muka orang lain selain muka kau.” Nazira memberi jelingan maut buat Nur Syarida.

“Muka aku comel sebab itulah asyik muka aku aje yang kau nampak Naz. Lagipun, hanya aku saja yang rapat dengan kau dalam cerita ni. Aku kan penyelamatkan kau.” Nur Syarida cuba berlawak dengan Nazira. Sungguhlah tidak kena tempat.

“Kau jangan buat lawak bahalul boleh tak? Hati aku tak tercuit langsunglah. Lepas baca tahlil ni kau terus balik. Tak lalulah aku asyik tengok muka kau aje.” Nazira berlalu ke dapur dan diekori oleh Nur Syarida tanpa jemu.

“Amboi! Halau aku nampak? Kalau aku tak mahu balik?” Nur Syarida tidak mahu mengalah dengan kedegilan Nazira.

“Aku heret kau balik. Eh, aku tak ada moodlah nak bertekak dengan kau.” Nazira memotong kuih seri muka yang dibawa oleh Nur Syarida dan diletakkan di atas piring yang dihulurkan oleh Nur Syarida.

“Runi ada mesej kau hari ni?” tanya Nur Syarida setelah mendapat peluang.

“Kau peduli apa dia ada mesej atau tak? Tak ada kena mengena dengan kau, kan?” Nazira tidak suka jika hal Runi Naqiu dibangkitkan.

“Ada kena mengena dengan diri aku sebab tu aku tanya. Aku tak mahu kau menjadi mangsa dia, Naz. Aku tak mahu kau masuk perangkap yang dipasangnya dengan penuh biacara manis. Aku tak mahu kau tergoda dengan parasit macam dia. Kau layak dapat yang lebih baik dari dia. Dengar cakap aku, tinggalkan dia.” Kali ini nada Nur Syarida agak serius tidak sebagaimana tadi.

“Tidak. Aku takkan tinggalkan dia sewenang-wenangnya. Aku sayang dia Syar. Jarang aku nak sayang lelaki macam tu. Kenapa harus kau jadi penghalangnya?” Nazira mulai bengang.

“Aku jadi penghalangnya sebab aku tahu dia tak layak untuk kau. Kalau dia layak, aku takkan menghalang. Kau akan menyesal Naz setelah dia tanggal dari topeng kebaikan yang berpura-pura. Kau takkan dapat bayangkan yang kau sedang bermain api dengan parasit cinta seperti Runi Naqiu.” Nur Syarida cuba memahamkan Nazira tentang kebenaran diri Runi Naqiu namun Nazira seolah-olah sudah tuli dengan cinta yang ditaburkan oleh lelaki pendusta itu.

“Dia selalu nasihat aku dengan benda yang baik-baik. Tak mungkin hatinya sejahat sebagaimana kau katakan. Aku tak percaya.” Nazira cuba mempertahankan Runi Naqiu.

“Mulutnya manis bagaikan malaikat tapi hatinya bertuankan jin. Lelaki macam tu yang kau kata baik? Sedarlah Naz, dia hanya memerangkap kau. Aku yang kenal dia terlebih dahulu. Selain kau, aku, tak tahu berapa ramai lagi perempuan yang menjadi mangsanya. Kalau kau kahwin dengannya, kau akan sara dia dan dia akan goyang kaki. Kau mahu sara lelaki? Aku tak mahu Naz sebab tanggungjawab seorang suami untuk sara isteri bukan isteri yang sara suami.” Nur Syarida masih tidak mahu mengalah di medan perjuangan. Nazira harus disedarkan sebelum terlambat. Nazira harus dilindungi daripada manusia bertopengkan syaitan itu. Harus.

“Cukup. Memang benarlah kata Runi. Kau cemburu melihat keakraban aku dengannya sebab itu kau menabur fitnah agar aku menjauhi dirinya. Bila dia buang kau, kau mula mereka cerita. Hebat sungguh kau ni Syar. Boleh jadi pelakon terbaiklah. Jangan ganggu aku lagi.” Nazira terus berlalu dari situ.

Nur Syarida menarik nafas yang agak panjang. “Aduhai Runi, kau pasang perangkap dahulu sebelum aku menyelamatkannya. Tapi aku takkan berputus asa untuk terus menyelamatkan kawan aku dari jatuh ke tangan kau. Kau kejam. Dan kau adalah SETAN BERTOPENG.” Nur Syarida tersangat geram dengan strategi yang dipasang oleh Runi Naqiu. Cukup licik lelaki parasit itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.