Bab 4 : Majlis Perlancaran Novel Terbaru Fadhila Imani

“Mak aii ... ramainya orang.” Rabiatul Syafiqah bagaikan orang jakun yang tidak pernah berjumpa dengan orang ramai.

“Biasalah kalau novelis terkenal yang turun padang. Memang ramailah orang.” Kata Rozlina pula.

“Nak ambil signature saja kena beratur panjang-panjang macam ni?” Rabiatul Syafiqah masih lagi tidak dapat menerima dengan fikiran yang waras.

Selama dia mengendalikan laman sesawang Tinta Berlian yang menampilkan penulis-penulis baru, dia tidak pernah terfikir sama sekali begini rupanya pada mereka yang obses dengan karya seseorang novelis. Almaklumlah, tidak pernah sekali pun dia turun ke Pesta Buku Antarangbangsa Kuala Lumpur atau mana-mana pesta buku walaupun dia sebahagian daripada mereka yang mengendalikan penerbitan novel. Kerjanya mudah, sesiapa sahaja boleh berkarya di laman sesawangnya dan apabila dia mendapati karya itu bermutu tinggi, dia akan pergi ke penerbitan yang bakal berurusan untuk proses menerbitkan novel-novel daripada penulis baru ini sehinggalah novel itu diterbitkan. Dia akan menguruskan bahagian promosi di laman sesawang manakala promosi untuk sesi bertemu dengan peminat, pihak penerbitan yang akan menguruskan. Jika hendak didramakan karya dari laman sesawangnya, dia akan ke rumah produksi itu sendiri untuk perbincangan lanjut. Itulah sebabnya dia berkelakuan sebegitu rupa, tidak menyangka sambutan pada karya seseorang novelis itu mampu berdiri dengan gahnya.

“Iyalah. Dah biasa situasi macam ni. Kau ingat sesi bertemu dengan peminat tu macam mana?” Rozlina sedikit berang apabila terpaksa melayani kerenah Rabiatul Syafiqah sedangkan Nazira sudah pun mendampingi Fadhila Imani. Siap duduk di sebelah novelis itu lagi, siapa yang tidak panas hati.

“Kalah Ramlee Awang Mursyid ooo ...” Fikiran Rabiatul Syafiqah masih lagi tidak dapat mencernakan apa yang sedang tertayang di layar matanya.

“Rezeki masing-masinglah. Nak banding-bandingkan buat apa?” Rozlina masih lagi melirik ke arah Nazira dan untuk seketika matanya tertancap pada pasangan yang kelihatan agak rapat dan mesra. Hatinya berdegup kencang. Mindanya sama ada mahu menerima atau pun tidak.

Siapa dengan Runi tu? Macam mesra je. Macam rapat je. Eh, apa kena dengan aku ni? Macam cemburu je. Rozlina menarik riak wajah yang kurang senang.

“Mari cepat.” Rozlina menarik tangan Rabiatul Syafiqah untuk mendapatkan pasangan yang kelihatan sangat mesra.

“Kau nak ajak aku ke mana?” Rabiatul Syafiqah sudah tidak boleh tahan lagi dengan kesesakan yang tiba-tiba datang melanda lalu dia hampir-hampir tumbang di tengah-tengah lautan manusia.

“Kau ni kenapa?” tanya Rozlina apabila Rabiatul Syafiqah seakan menghalang langkahnya untuk menghampiri pasangan yang semakin menyakitkan matanya.

“Aku nak muntah. Kau pergila jumpa Fadhila Imani tu dulu. Aku dah tak boleh tahan lagi.” Rabiatul Syafiqah memberi alasan.

“Rugilah kau. Runi ada sini. Entah dengan siapa dia berkepit tu. Saingan kau nampak hebat. Jangan sampai terlepas.” Umpan Rozlina dengan harapan agar Rabiatul Syafiqah tidak banyak beralasan. Dia mesti dapat tahu siapakah di samping Runi Naqiu sekarang ini. Adakah benar gosip yang didengar selama ini ataupun itu hanya rekaan ahli-ahli kumpulan sahaja.

“Hah?” Alamak! Runi ada. Nehi ... nehi ... aku tak mau jumpa dia. Masih terlalu awal. Roz ni gilakah apa. Boleh tak kalau aku buat-buat pengsan? Haa ... idea yang cukup bernas. Tiba-tiba sahaja Rabiatul Syafiqah melembikkan badannya sehingga memaksa langkah Rozlina terhenti.

“Alah, time-time nilah jugak dia nak pengsan. Lecehla kau ni Atul. Satu hal pula aku nak kena seret ke kereta.” Rozlina menguatkan tubuhnya untuk membawa Rabiatul Syafiqah ke kereta. Sebaik sahaja tubuh Rabiatul Syafiqah dimasukkan ke dalam kereta, gadis itu menyembunyi senyuman tanda kemenangan.

Kemudian, Rozlina memantaskan langkah menghampiri pasangan mesra alam itu. Baru sahaja dia ingin menegur Runi Naqiu, Nazira sudah menarik tangannya untuk bergambar dengan Fadhila Imani. Sementara ada peluang, baiklah mereka bergambar terlebih dahulu. Terlepas lagi dia hendak menegur sapa pasangan yang mampu membuatkan hatinya dipanah petir rasa.

“Dhila, siapa dengan Runi tu?” tanya Rozlina tidak mahu melepaskan peluang. Dia harus tahu siapakah wanita yang tampak 'gorgeous' itu? Susah kalau Rabiatul Syafiqah hendak menandinginya. Cukup sempurna dari segala segi.

“Oh, tu bestfriendRuni.. Tak pernah nampak ke di Facebook? Ellis Elliza. Mereka memang rapat tapi cuma teman tapi mesra. Kenapa? Cemburu ke?” Duga Fadhila Imani sambil menunakkan matanya tepat ke wajah Rozlina.

Oh, kalau macam tu selamatlah sepupu aku. Barulah Rozlina mampu memekarkan senyuman di persada bibirnya. “Eh, mana ada. Tanya aje.” Rozlina cuba memaniskan liuk lentok suaranya agar apa yang terkandung di dalam hati tidak ketara sangat tertera di wajah.

“Mari sini, Dhila kenalkan kau orang berdua dengan Ellis Elliza.” Fadhila Imani menarik tangan Rozlina dan Nazira untuk berkenalan dengan Runi Naqiu dan juga Ellis Elliza.

“Dhila dah habis ke sesi bertemu dengan peminat?” tanya Ellis Elliza ramah sambil tersenyum manis.

“Mereka tengah makan. Nanti sambung bergambar semula. Dhila nak kenalkan pada Kak Lis penggemar fanatik karya-karya Dhila. Ini Nazira dan ini Rozlina.” Rozlina dan Nazira segera menyalami Ellis Elliza setelah mereka berdua diperkenalkan oleh Fadhila Imani.

Runi Naqiu melirik ke arah Nazira yang nampak ayu di matanya. Mindanya mula merancang sesuatu. Siapa tahu jika rezekinya ada, bolehlah mengheret Nazira ke alam maya.

“Haa, yang ini Runi. Nazira belum kenal dengan Runi lagikan?” Fadhila Imani terus memperkenalkan Nazira pada Runi Naqiu.

Nazira hanya mengangguk kepalanya sahaja tanpa bersalaman dengan Runi Naqiu. Runi Naqiu menyedekahkan senyuman ala-ala penggoda membuatkan hati Nazira kacau seketika.

"Hai, Nazira.. I Runi.. Salam kenal ya," Runi Naqiu dengan sikap ramahnya menegur Nazira. Nazira senyum sambil mengangguk.

“El, nak apa-apa tak? Nanti abang ambikkan?” Runi Naqiu bersuara romantis ketika membisikkan kata-kata di telinga Ellis Elliza.

“Ambillah apa pun. Abang tahu kan, selera El.” Ellis Elliza memberi laluan pada Runi Naqiu untuk mengisi perut mereka yang belum terisi lagi.

“Awak nak makan tak? Jom temankan saya?” Runi Naqiu mempelawa Nazira membuatkan wanita itu tersentak seketika sebelum mengangguk dan mengekori langkah Runi Naqiu.

Sebaik sahaja mereka berdua hilang dari pandangan mata Rozlina, terus sahaja gadis itu menghantar pandangan buat Ellis Elliza. “Oh, jadi inilah Poison Ivy Runi yang ada dalam kumpulan Medang?” Rozlina mula sesi bual bicaranya dengan Ellis Elliza yang selama ini dia hanya kenal di laman sesawang. Sejujurnya, dia berasa sedikit malu apabila Ellis Elliza muncul di kala dia sedang rancak berkomen dengan Runi Naqiu. Rasa tidak selesa apabila gadis ini muncul.

“Ya. Sayalah tu. Salam perkenalan. Akhirnya dapat juga kita bertentang mata, kan?” Ellis Elliza cuba beramah mersra.

“Bual-buallah dulu ya. Dhila nak ke meja editor kejap.” Fadhila Imani meminta diri untuk memberi ruang pada dua wanita itu untuk berbicara.

Rozlina melirik pada Fadhila Imani ketika langkah gadis itu meninggalkan mereka berdua sebelum dia memberikan tumpuan penuh pada Ellis Elliza semula.

“Rapat sungguh awak dengan Runi, kan? Bercinta ke?” tanya Rozlina tidak mahu melepaskan peluang. Bukan senang dia hendak bertemu dengan Ellis Elliza jika tidak di maya sahaja.

“Bercinta?” Ellis Elliza ketawa geli hati.

“Kami nampak seperti pasangan bercinta ke? kami hanya berkawan rapat sahaja. Kadang-kadang kemesraan kami sering disalah tafsir.” Andainya dia tahu hakikat yang sebenar, apakah pandangannya nanti? Ellis Elliza berjeda seketika.

“Oh ... memang ramai yang salah tafsir pun. Tapi yang kami pelikkan, si Runi tu dengan semua orang dia mesra alam. Kadang-kadang sampai tak tahu siapakah buah hati dia yang sebenarnya.” Sengaja Rozlina memancing reaksi Ellis Elliza.

Ellis Elliza ketawa menyembunyikan getaran di dada. “Runi ada buah hati? Memang taklah kot. Diakan ramah. Biasalah kalau orang tersalah tafsir dengan layanan dia. Asalkan jangan tersilap rasa sudahlah.” Nasihat Ellis Elliza kerana dia tahu siapakah Runi Naqiu yang sebenarnya.

Noted. Eh, penatlah berdiri di sini. Jom kita duduk di bangku sana nak? Boleh sembang panjang.” ajak Rozlina. Ellis Elliza mengangguk setuju. Memandangkan kaki masing-masing sudah lenguh, sudah tidak mampu untuk berdiri lagi.

Sementara itu, di ruang makan, Runi Naqiu sedang beramah mesra dengan Nazira yang kelihatan agak polos. Bermula dari pertanyaan biasa sehinggalah masuk ke ruang peribadi sedikit.

“Berdua-duaan dengan Runi ni tak ada siapa yang cemburukan Ira nanti?” tanya Runi Naqiu yang cukup suka memberi panggilan istimewa pada setiap gadis yang dikenali.

“Masih kosong. Siapalah yang nak cemburu.” Nazira terus memasukkan beberapa bahan ke dalam pinggannya untuk dikongsi dengan Rozlina dan Rabiatul Syafiqah.

“Oh, kalau begitu, sudi tak kenal dengan Runi? Runi pun kosong lagi tau. Kawan perempuan memang ramai tapi yang istimewa ... hmm, masih belum bertemu. Mungkin Ira orangnya, siapa tahukan?” Runi Naqiu sudah mula bermanis mulut sekali lagi.

Nazira ketawa kecil. “Hmm, kalau takdir ALLAH memang tak ada siapa dapat menduga. Runi ni memilih sangat kot, itu sebabnya masih belum bertemu yang istimewa.” Nazira malu-malu kucing untuk menatap mata Runi Naqiu yang tajam menikam itu.

“Mungkin masih belum jumpa yang serasi. Ira, sudi tak WhatsApp dengan Runi?” tanya Runi Naqiu sambil memandang telus lagi buat Nazira.

Terdiam seketika Nazira dengan pertanyaan Runi Naqiu. Hatinya dipanah getaran rasa dengan tiba-tiba. Lainnya cara Runi Naqiu meminta nombor telefonnya. Mungkin inilah cara alaf baru. Tanpa sedar, Nazira mengangguk kepalanya.

Hishh.., kenapa mudah sangat aku setuju untuk WhatsApp dengan dia ni? Haru. Tapi dah terlajak perbuatan, mana boleh tarik balik. Tak ke nampak aku ni gelojoh sangat? Aduhai, bodoh kau Naz. Nazira mengutuk dirinya sendiri walaupun hanya di dalam hati sahaja. Dia tidak tahu kenapa dia mampu terpikat pada Runi Naqiu walaupun di dalam pertemuan yang pertama. Hendak dikatakan dia sudah jatuh hati pada jejaka itu, amatlah mustahil kerana dia tidak pernah percaya pada cinta pandang pertama. Nak kata kacak pun tidak. Agaknya sebab dia bermulut manis kot?

“Terima kasih Ira. Tahu tak, Ira paling bertuah sekali kerana dapat nombor telefon Runi. Bukan semua orang ada nombor Runi tau. Nanti senang-senang hantarlah mesej ya?” Runi Naqiu mengeluarkan telefon pintarnya untuk mendaftarkan nombor Nazira di dalam laman WhatsApp.

Aduhai ... bangganya aku. Control Naz ... control. Jangan nampak sangat kau sedang gembira. “Terima kasih ya Runi. Jom, kita ke sana. Tentu Roz dan Syafiqah dah lama tunggu.” Nazira tidak mahu berlama-lama dengan Runi Naqiu yang telah mencengkam sebahagian hatinya. Lama-lama boleh tersungkur dia di tangan Runi Naqiu hanya dengan pertemuan yang pertama.

“Syafiqah?” Seakan sinonim nama itu dengan Runi Naqiu membuatkan si pencinta maya mengajukan soalan.

“Ya. Rabiatul Syafiqah. Entah mana dia pergi. Mungkin dia ada hal kot.” Nazira terus memberitahu tanpa menyedari hati Runi Naqiu sudah dipanah debaran rasa.

Aduh, semuanya datang sekali gus hari ni. Tapi, boleh juga aku tengok gerangan orangnya bagaimana? Kena atau tidak dengan selera aku. Runi Naqiu mula hendak menggatal dengan gadis yang baru dikenali di maya itu. Namun, dia hampa kerana usahkan bayang, kelibat Rabiatul Syafiqah juga dia tidak tahu di mana. Hmm, mungkin bukan rezekinya untuk bertemu dengan gadis itu lagi. Tetapi tidak apa, dia akan terus bersabar. Berkawan dengan Rabiatul Syafiqah cukup menguji dirinya. Tapi diakan Runi Naqiu, mana ada wanita yang terlepas dari genggamannya. Semuanya akan dikawal dengan sebaik mungkin. Percayalah.

Sesudah menjamu selera, Rozlina dan Nazira meminta diri. Rozlina risaukan Rabiatul Syafiqah yang sendirian di dalam kereta. Entah apalah jadi pada sepupunya itu. Rozlina juga ada membungkuskan sedikit makanan dan minuman buat Rabiatul Syafiqah. Manalah tahu, sepupunya itu lapar di jalanan.

“El, lepas ni kita jalan-jalan nak?” Runi Naqiu tidak mahu melepaskan Ellis Elliza bila ada peluang untuk bersama-sama dengan wanita itu.

“Abang, apa kata kita balik hotel dan rehat dulu. El letih. Kita keluar dinner nanti." Ellis Elliza memberi usul kepada Runi Naqiu.

Runi Naqiu memandang Ellis Elliza dengan penuh kasih. "Baiklah sayang. Kita keluar dinner nanti. Nak balik sekarang ke?" Runi Naqiu bertanya sambil mengangkat kening. Agak rimas sebenarnya berada di tempat yang sesak.

"El, boleh tak abang jumpa kawan petang ni? Shimah, dia teringin sangat nak jumpa abang. Malam nanti pun after 11pm kawan-kawan lama abang pula nak jumpa." Runi Naqiu meminta kebenaran walau dia tidak perlu berbuat begitu sebenarnya.

Ellis Elliza tersenyum seraya berkata "Abang pergilah. Abang bebas nak jumpa sesiapa sahaja." Runi Naqiu merenung Ellis Elliza.

"Abang baik, kan. Abang beritahu El siapa pun abang nak jumpa. Abang minta izin El. Siapa yang call, PM abang pun abang beritahu El. Abang buat semua tu sebab abang sayang El. Abang cintakan El." Runi Naqiu berkata menambat hati Ellis Elliza.

"Jom, abang. Cari teksi. Kita balik hotel. Abang pun kena rest." Ellis Elliza sudah tidak betah berada di situ.

Runi Naqiu memberi isyarat tangan minta Ellis Elliza menunggu sebentar. Runi Naqiu mendapatkan Fadhila Imani. Dari jauh Ellis Elliza memerhatikan Runi Naqiu membawa Fadhila Imani ke tempat yang agak tersorok dari pandangan orang. Bagaikan ada sesuatu yang dibincangkan. Nampak serius sahaja Runi Naqiu. Sesekali Fadhila Imani menjeling Ellis Elliza dengan anak matanya.

-----------------------------------------------------------------------------------

Malam itu Runi Naqiu dan Ellis Elliza keluar makan bersama. Titis hujan renyai tidak menjadi penghalang untuk mereka berjalan kaki mencari tempat makan. Runi Naqiu mencapai tangan Ellis Elliza. Ellis Elliza terkejut tetapi membiarkannya sahaja. Sebenarnya dia agak takut berjalan di Kota Raya Kuala Lumpur itu dengan mata-mata yang memerhati pergerakan mereka. Rasa selamat bila Runi Naqiu seperti melindunginya.

"El nak makan apa?" Runi Naqiu bertanya sambil terus menggenggam erat jari jemari Ellis Elliza.

"Apa-apa ajelah abang. El tak kisah. Lagi pun hujan ni," Ellis Elliza memberikan jawapan mudah. Akhirnya Runi Naqiu memilih Restoran Sate Kajang.

Setelah selesai mengisi perut, Runi Naqiu dan Ellis Elliza terus balik ke hotel. Runi Naqiu ada temujanji dengan kawan-kawannya. Runi Naqiu mengajak Ellis Elliza namun di tolak baik dengan memberi alasan hendak berehat.

Sedang Ellis Elliz duduk santai di atas sofa dalam bilik, sambil menonton televisyen, telefon bimbitnya berteriak nyaring minta di jawab. Melihat nama tertera, Ellis Elliza mengeluh.

"Ya, abang. Nak keluar dah ke? Jangan lupa mesej El ya." Tanpa salam Ellis Elliza menjawab panggilan itu.

"El buat apa tu?" Runi Naqiu bertanya.

"El tengok tv. Nanti tv pulak tengok El."

Kedengaran Runi Naqiu ketawa kecil. "I miss you, darl," Runi Naqiu bersuara menggoda dan tiba-tiba talian terputus.

Ellis Elliza memandang skrin telefon bimbitnya seolah-olah memandang wajah Runi Naqiu. Lamunannya terhenti bila mendengar ketukan dipintu. Dengan langkah malas Ellis Elliza berjalan menuju pintu. Melihat wajah Runi Naqiu, Ellis Elliza tersenyum.

Hmmm, dah nak keluarlah tu. Ellis Elliza membuka pintu.

Tanpa arahan Runi Naqiu menolak daun pintu dan terus meluru masuk. Hanya memakai pijama, membuatkan Ellis Elliza terkejut. Bergetar jantungnya. Ellis Elliza kaku di hadapan pintu.

"Sayang, meh kat abang," Runi Naqiu memandang Ellis Elliza penuh menggoda.

Ellis Elliza menelan air liur. Seolah-olah baru tersedar Ellis Elliza dengan cepat membuka pintu seluas-luasnya dan berdiri di situ.

"Maaf abang. Tolong keluar dari bilik El." Ellis Elliza berkata tegas dalam lembut.

Runi Naqiu senyum menggoda. Masih berusaha memikat wanita pujaannya. "El halau abang, sayang?" Runi Naqiu enggan berganjak malah berbaring selesa di atas katil.

Ellis Elliza membesarkan matanya. "Abang, tak elok orang pandang. Abang balik ke bilik abang. Kata nak keluar, pergilah bersiap." Ellis Elliza juga enggan berganjak dari pintu di mana kakinya terpasak dengan molek.

Runi Naqiu akhirnya mengalah. Semasa melintas di hadapan Ellis Elliza, Runi Naqiu sempat mencuit dagu Ellis Elliza. "You look so beautiful, darl. I love you."

Semakin bergetar jantung Ellis Elliza. Sebaik sahaja Runi Naqiu keluar, sepantas kilat Ellis Elliza menutup pintu. Dari lubang pintu Ellis Elliza melihat Runi Naqiu masuk ke bilik yang berhadapan dengan biliknya. Ellis Elliza melepaskan nafas lega sambil memegang dadanya. Jantungnya masih lagi dipam-pam seakan tidak mahu berhenti melihat pada kelakuan Runi Naqiu yang di luar alam sebentar tadi. Pada masa yang sama juga telefon bimbit Ellis Elliza berbunyi menandakan ada mesej masuk. Tertera nama Runi Naqiu. Ellis Elliza membuka peti mesej dan membaca

'I miss you still and I love you so much,El'.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.