Bab 8 : Bermaya

Rabiatul Syafiqah rancak berbalas komen di dalam grup Tinta Seni dengan Runi Naqiu. Grup Tinta Seni merupakan grup di laman facebook yang diwujudkan oleh Runi Naqiu untuk menghimpun para pencinta dan peminat seni tidak kira seni dari cabang mana pun dan dari pelusuk mana mereka berada. Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia berkongsi minat yang sama.

Runi Naqiu seorang yang 'gila-gila' dan peramah telah dapat menambat hati semua orang di dalam grupnya sendiri. Mereka rasa seronok setiap kali bersantai di situ. Berkongsi kisah seni, puisi, lagu, drama, novel, cerpen, malah mutiara-mutiara kata indah. Bukan sekadar bersantai kosong, mereka memperoleh sesuatu di situ di samping mendapat teman baru.

Dari situ Rabiatul Syafiqah dapat melihat sendiri bagaimana layanan seorang yang bernama Runi Naqiu di laman muka buku. Bukan sahaja dirinya tetapi dengan Fadhila Imani, Nazira dan Rosliza juga dia melayan sama rata membuatkan hati Rabiatul Syafiqah terjentik rasa yang kurang senang.

“Hmm ... manis mulut juga si Runi ni. Habis semua orang dibedalnya. Tak kira siapa pun. Penggoda. Itu memang tepat untuk Runi.” Rabiatul Syafiqah mula tidak berapa selesa tetapi dia tetap juga seronok tiap kali berbual dengan Runi Naqiu di laman muka buku.

Rabiatul Syafiqah cuba berlagak seperti biasa dan tetap memberi perhatian kepada sesi balas-membalas komen. Tiba-tiba mata Rabiatul Syafiqah tertancap pada sebaris nama. ‘Ellis Elliza’

“Baru nampak si Ellis ni masuk. Hmm, tengok mereka berkomen macam rapat saja. Agaknya betullah apa yang Runi beritahu aku, dia dan Ellis memang sahabat maya yang paling rapat. Menarik juga kata-kata berserta imej yang diposkan sebentar tadi. Pandai dia cari.”

Ellis, saya suka dengan apa yang awak pos. Kata-kata yang menarik dan mampu memberi impak kepada pengunjung di sini. Salah satu seni yang cukup tinggi nilainya.Puji Rabiatul Syafiqah.

Terima kasih. Saya suka mencipta kata-kata yang menarik di dalam sebuah bayangan yang cukup sempurna agar sesiapa yang membacanya dapat menghayati apa yang dipapar. Balas Ellis Elliza mula hendak bermesra dengan Rabiatul Syafiqah.

Haihhh ... dah kenal-kenal di sini rupanya ya. Mudah-mudahan dapat menjadi sahabat asli yang rapat juga ya. Sampuk Runi Naqiu. Dia mana boleh biarkan Ellis Elliza melayan teman mayanya di dalam grup Tinta Seni.

In Sha ALLAH.

Balas Rabiatul Syafiqah dan Ellis Elliza dengan ayat yang sama pada ruangan komen masing-masing.

Hmm ... laparnya ... tiba-tiba Runi Naqiu mengadu lapar.

Laaa... Tak makan lagi ke Runi? Pergilah makan dulu.. Hmm... lapar juga ni. Ellis Elliza mengadu benda yang sama.

Jom teman Runi makan. Runi Naqiu mula mengada-ada.

Laa... Runilah temankan El makan.. Jomlah sini. Ellis Elliza sengaja menggedik di dalam maya.

Amboi, manjanya .... El nak masak untuk Runi ke? Balas Runi Naqiu.

El ... Fiqa nak juga. Kita pergi makan sama-sama ya.Rabiatul Syafiqah yang rasa ditinggalkan ke belakang, terus menyampuk. Mana boleh dia mendiamkan diri begitu saja.

Boleh. Datanglah JB. Nanti kita pergi makan-makan. Boleh kenal-kenal sekali.Ellis Elliza beramah mesra dengan Rabiatul Syafiqah.

Bestlah El ni. Rabiatul Syafiqah mula seronok berbual-bual dengan Ellis Elliza. Seakan ada keserasian diantara mereka.

“Ya ALLAH ... di sini rupanya dia. Kau tengoklah Fatin. Sejak dia kenal dengan jejaka maya tu, aku diabaikan. Ada ke patut? 24 jam asyik bermaya saja. Aku ni dahlah anak yatim piatu, ada anak pun seperti tak ada anak. Terasa sangat diabaikan.” Mak Nana Vougue mula membebel apabila dilihatnya Rabiatul Syafiqah masih tekun menarikan jari-jemarinya di papan kekunci komputer riba.

Ya ALLAH .... dia buat sinetron air mata pula dah. Mak aku nilah. Ada saja modalnya nak kenakan aku depan Kak Fatin. Nanti mulalah mereka beradu tenaga, pasti aku juga yang kena. Rabiatul Syafiqah berjeda di dalam hati.

“Kau ni Atul, tahulah kau nak kahwin. Tahulah kami yang suruh kau layan jejaka maya tu tapi takkanlah 24 jam kau menghadap benda alah tu saja. Berilah perhatian pada mak kau juga.” Kan dah cakap kalau Kak Fatin bersuara pasti dia yang akan kena.

“Orang tak suka bermaya, suruh bermaya. Bila orang dah ketagih, mereka pula bising.” Rabiatul Syafiqah membebel perlahan.

“Macam mana aku tak bising Atul oi. Kau kalau dah bermaya, semua kerja tak jalan. Baju tak pernah nak bersidai. Masak pun dah kurang. Macam mana nak kahwin bagi laki kau makan. Ingat-ingatlah sikit.” Tu dia Mak Nana Vougue sudah mengeluarkan suaranya yang maha gegar.

“Kau bahagi-bahagikanlah masa untuk bermaya dan kerja rumah. Baru kau akan jadi wanita yang sempurna.” Tambah Fatin Vavavoom. Suka benar kalau diberikan nasi tambah. Ada saja yang hendak dibahankannya.

“Iyalah. Atul akan bahagikan masa.” Rabiatul Syafiqah mula mengalah. Dia hendak berhenti dari bermaya tiba-tiba dia melihat satu mesej masuk di dalam peti laman muka bukunya. Pantas Rabiatul Syafiqah membukanya. Dari Ellis Elliza.

Fiqa.. maaf, panggil saya Ellis ya. Saya dah biasa dengan panggilan tu. Semua orang panggil Ellis.

“Aduh! Malunya aku. Aku suka singkatan nama El tu tapi tak apalah kalau tak dibenarkan panggil. Segannya aku pada Ellis.” Rabiatul Syafiqah mula berasa tidak enak. Dia seakan tidak mahu membalas mesej Ellis Elliza lagi.

Baiklah Ellis. Maafkan Fiqa.

Tak apa.

Begitulah berakhirnya perbualan maya sebelum Rabiatul Syafiqah memberi perhatian pada bondanya yang tercinta.

---------------------------------------------------------------

El, abang tak suka orang lain panggil El dengan nama 'El'. Panggilan El hanya untuk abang seorang saja. Mesej Fiqa dan beritahu dia cepat.Arah Runi Naqiu pada Ellis Elliza.

El seganlah abang. Tak kan sekadar nama tu El nak mesej Fiqa. Ellis Elliza betul-betul segan untuk menegur Rabiatul Syafiqah hanya sekadar panggilan nama untuk dirinya.

Abang tak kira. Even suami El pun tak boleh panggil 'El'. Only me. Kalau El tak nak mesej Fiqa, abang sendiri yang akan mesej Fiqa. Runi Naqiu masih tidak berpuas hati.

Abang mesej saja Fiqa. El segan. Ellis Elliza masih menggunung segannya.

Kalau abang mesej Fiqa, El jangan cemburu pula. Nanti lama pula kami berchat. Tak apa? I tell you, Fiqa tu syok kat abang. Runi Naqiu sengaja membuatkan hati Ellis Elliza resah.

Ya lah... Ya lah... El akan mesej Fiqa sekarang. Ada-ada saja abang ni. Ellis Elliza dengan keterpaksaan dan berat hati menghantar mesej kepada Rabiatul Syafiqah agar tidak memanggilnya dengan panggilan ‘El’ lagi. Semua gara-gara Runi Naqiu. Entah apa pandangan Rabiatul Syafiqah pada dirinya. Semasa awal perkenalan lagi Runi Naqiu telah memberikan panggilan 'El' untuk dirinya. Panggilan istimewa katanya dan orang lain tidak boleh memanggilnya dengan panggilan itu. Hanya untuk Runi Naqiu.

El dah lakukan apa yang abang suruh. Segan El tau. Ellis Eliza menaip lagi setelah urusannya selesai dengan Rabiatul Syafiqah.

El dah tengokkan bagaimana Fiqa layan abang? What do you think? Fiqa suka abang, kan? Itulah, abang cakap El tak percaya. Masihkah El tidak mahu membuat keputusan lagi? El jangan menyesal. Runi Naqiu bermesej dengan Ellis Elliza di dalam kotak mesej laman muka buku. Runi Naqiu sengaja memperhangatkan hati Ellis Elliza.

Fiqa suka abang? Yalah kot. So? Abang nak goda dia? Ellis Elliza mula rasa tidak enak.

El peduli apa? Suka hati abanglah nak buat apa pun dengan dia. Runi Naqiu membakar perasaan Ellis Elliza sekali lagi. Runi Naqiu sudah ada perancangan. Andai suami Ellis Elliza enggan melepaskannya, Runi Naqiu mahu seseorang yang boleh menggantikan tempat Ellis Elliza. Dia mestilah seorang yang ada rupa dan ada kerja. Yang penting masa hadapan terjamin. Seorang lagi dalam pelan hidupnya ialah Fadhila Imani. Yang itu tidak susah, menurut kata sahaja. Tapi Runi Naqiu tetap mahu mendapatkan Ellis Elliza dahulu. Perempuan-perempuan lain hanya 'standby', masuk pelan B,C dan seterusnya. Pelan A atau misi utama : Ellis Elliza.

Abang jangan nak buat benda mengarut ya. Ellis Elliza memberi amaran. Seminit kemudian ....

El bencilah dengan abang ni. Sambung Ellis Elliza lagi.

No.. You love me. Runi Naqiu menjawab.

I hate you! Menyampah! Ellis Elliza sudah mula sakit hati.

Tell me, you love me, sayang. Runi Naqiu sudah menukar mood romantiknya.

Ellis Elliza diam. Membiarkan Runi Naqiu menanti seketika. Suka menyakitkan hatinya. Bagai rasa hendak menangis sahaja.

El sayang. Jangan marah-marah ya. Bukan El tak tahu, kalau dah mula marah-marah, bergaduh tu, maknanya abang rindukan El. Kalau kita jumpa elok aje, tak pernah pun nak bergaduh.

Hmmmmm... Hanya itu yang dibalas Ellis Elliza.

El tak rindu abang? Abang sangat rindukan El. Hanya Allah yang tahu. Runi Naqiu sudah mula mengeluarkan ayat-ayatnya.

El sayang. Marah abang ke? Jangan marah abang ya. I love you El. Runi Naqiu menyambung.

I love you too and I miss you. Ellis Elliza membalas membuatkan Runi Naqiu tersenyum kemenangan.

I know. I love you more El. Kita jumpa ya sayang. Itu sebenarnya yang Runi Naqiu inginkan.

Baiklah. Di mana? Bila?Akhirnya Ellis Elliza memberikan keputusan.

Di Killeney. Hari Sabtu ni. Runi Naqiu memberi cadangan.

Baiklah. Ellis Elliza memberikan persetujuan. Dalam minda sudah mula berfikir alasan apa yang harus diberikan pada Azaharil Anuar.

--------------------------------------------------------------------

“Assalamualaikum abang.” Fadhila Imani menelefon Runi Naqiu setelah lama tidak mendengar suara jejaka itu pada malam itu. Dia tahu Runi Naqiu masih belum tidur. Jika ada sesiapa dapat berbual degan Runi Naqiu waktu siang, itu adalah bonus dan pada hari itu Rabiatul Syafiqah dan Ellis Elliza cukup bertuah dapat berbual dengan Runi Naqiu pada waktu siang.

“Waalaikumussalam. Aih, Dhila tak tidur-tidur lagi?” Runi Naqiu sebenarnya malas hendak berbual dengan Fadhila Imani tetapi digagahkan jua diri kerana Fadhila Imani mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Manalah tahu boleh dapat yang dihajati untuk kali kedua.

“Belum. Dhila baru saja tamatkan bab 45 novel terbaru Dhila. Abang, dah lama kita tak jumpa. Dhila rindu sangat dengan abang. Kita jumpa nak?” Fadhila Imani sedikit merengek hendak berjumpa dengan Runi Naqiu.

Alah, lecehlah dia ni. Kacau kari sungguh. Aku baru cadang nak jumpa El. Nampaknya apa yang ada dalam kepala aku kena tahan dulu. “Boleh. Kita jumpa dengan Kak Ellis sekali. Dah lama abang tak jumpa dia juga. Sabtu ni di Killeney.” Terus Runi Naqiu memberikan nama tempat pertemuan mereka bertiga.

“Cantik. Dhila pun dah lama tak makan di sana. Nanti Dhila teks Kak Ellis. Selamat malam abang.” Fadhila Imani segera menamatkan perbualannya apabila kedengaran rengekkan anaknya yang kedua.

“Selamat malam. Mimpikan abang ya?” Runi Naqiu mengayat.

Kedengaran ketawa kecil terbit dari mulut Fadhila Imani. “Ada-ada sajalah abang ni. Okey, jumpa lagi. Assalamualaikum.” Fadhila Imani menamatkan bicara.

“Waalaikumussalam.” Runi Naqiu menjawab salam sebelum menjelajah lagi wanita-wanita maya yang masih berjaga.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.