Home Novel Seram/Misteri NOVELIS
NOVELIS
Ebriza Aminnudin
18/3/2020 11:42:10
13,021
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Senarai Bab
Bab 2
BILIK penginapan masing-masing telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Banglo di Pulau Chenta Aroma mempunyai tiga tingkat dan setiap tingkat mempunyai beberapa buah bilik yang cukup besar dan selesa. Tingkat satu akan dihuni oleh novelis lelaki dan peminatnya. Abang ZZ dan Saidee sebilik. Anuar dan Hasrudi berkongsi bilik. Eqbal pula dipasangkan dengan Andi di sebuah bilik. Yang terakhir, Helmi dan Sufi akan duduk sebilik. Shahaneem menyerahkan kunci bilik kepada novelis lelaki setelah pembahagian penghuni bilik dijelaskan oleh pihak penganjur. 


“Tingkat dua pulak akan dihuni oleh para editor kita. Encik Ali dan Zuhaili. Manakala Carl Aizat dan Hasrul sebilik. Shahida, Anis dan Suraya sebilik. Bilik bertiga adalah master bedroom di tingkat dua,” ujar Shahaneem sebelum menyerahkan kunci bilik kepada para editor. 

“Tingkat yang terakhir, iaitu tingkat tiga akan dihuni oleh novelis dan peminat wanita. Zyra dengan Roziyanti. Kak Maria dengan Rohayah. Ebriza dengan Roszita.

 Ninie dengan Balqis. Julie dengan Nur Jama. Syasya dan Atie. Fatehah dengan Ashikin. Nurul Ain dengan Nurul Syakilla dan yang terakhir ialah Paulina dan Busyra. Ini kunci bilik masing-masing. Semoga selesa dan selamat menjalani aktiviti yang telah disediakan oleh pihak penganjur,” ujar Shahaneem sambil menutup fail yang mengandungi senarai nama-nama peserta. Tugasnya yang terakhir sudah selesai sebelum beredar ke dapur untuk menyediakan makan malam buat kesemua tetamunya.

 “WOW! Cantiknya bilik kita, Nuar! Aku puas hati betul,” ujar Hasrudi teruja sambil meletakkan beg pakaian dan beg mekap di atas meja solek.

 “Aku setuju. Tak pernah lagi aku menginap kat bilik resort secantik ni. Besar pulak tu. Bilik kat tingkat dua dan tiga pun mesti lawa jugak macam bilik kita. Jom, kita buat lawatan nak?” Anuar teruja dengan hiasan dan dekorasi bilik di banglo resort ini.

 “Jom! Aku pun nak tengok jugak dekorasi bilikbilik lain. Tapi tak acilah perempuan ditempatkan kat tingkat atas. Mesti bilik kat tingkat atas lebih menarik. Banglo resort ni pun aku tengok dah macam banglo lama orang Inggeris zaman dulu kala. Cantik sangat!” Hasrudi juga sebagaimana Anuar, sangat mengagumi ilham dekorasi pemilik banglo dan resort ini. 

“Aku yakin, resort setingkat yang berdekatan pasti tak secantik dan semewah banglo resort ni. Jomlah, nanti nak mandi dan makan lagi. Kalau dah banyak aktiviti, tak sempat pulak kita nak melawat,” gesa Anuar sambil memandang Hasrudi yang masih membelekbelek wajah sebelum keluar.

 “Abang ZZ!” laung Anuar menyentak lamunan Zaifuzaman Ahmad atau lebih mesra dipanggil Abang ZZ. “Allahuakbar! Terkejut abang. Kau ni Nuar, nasib baik abang tak ada lemah jantung,” ujar Abang ZZ sambil mengurut-urut dada mengundang ketawa kecil Anuar dan Hasrudi.

 “Saidee mana?” soal Hasrudi apabila kelibat Saidee tidak kelihatan. “Ada kat dalam bilik termenung. Nak mandi katanya. Melekit satu badan,” jawab Abang ZZ sambil memuncungkan bibir ke arah bilik air. 

“Cantiknya deko bilik ni. Nampaknya, setiap bilik berlainan dekorasi. Sungguh menarik. Besar dan selesa. Tentu harganya mahal. Beruntungnya kita dapat rasa penginapan yang ditaja,” ujar Anuar tersengih. 

“Alhamdulillah, dapat jugak merasa duduk kat banglo mewah,” ucap Abang ZZ ikut tersengih. 

“Kami nak ke bilik lain pulak. Nanti jumpa kat ruang makan ya, Abang ZZ. Assalamualaikum,” ucap Hasrudi lantas menarik tangan Anuar untuk beredar. 

Takut tidak sempat pula mereka hendak membuat sesi lawatan ke bilik yang lain. Bilik-bilik di tingkat bawah cantik-cantik belaka dekorasi dan susun aturnya. Setiap bilik berbeza dan ada keistimewaan tersendiri. Sungguh mengujakan. Kemudian, mereka terus bergerak ke tingkat tiga tanpa singgah di tingkat dua. Tidak mungkin mereka hendak mengganggu para editor pula. Kena pelangkung nanti, aniaya sahaja.

Kedua-dua mereka mendaki anak tangga dengan perlahan-lahan dan senyap. Terdetik secara tidak sengaja dalam minda untuk mengusik para novelis wanita. Huh! Kalau sudah dasar lelaki, sifat mengusik memang tidak pernah luntur dalam diri. Bilik pertama yang menerjah di ruang mata mereka berdua adalah bilik yang berhampiran dengan tangga. Setiap bilik ada tertulis nama penghuni masing-masing. Sekali pandang, seakan-akan bilik wad perseorangan dan bilik wad kelas kedua yang ada di hospital. Keduadua mereka menahan ketawa. Bilik yang ingin mereka terjah adalah bilik yang dihuni oleh Ebriza dan Roszita. Perlahan-lahan mereka membuat bunyi suara nenek tua.

 “Cu Ebriza... nenek datang ni nak melawat!” Berkali-kali mereka menyeru nama Ebriza. Ebriza yang sedang bersantai sambil berehat di atas katil tersentak apabila mendengar suara mendayu-dayu menyeru namanya. Tertelan air liurnya. 

Siapa pulak tu? Takkan nenek kubur bernyawa muncul siang-siang hari macam ni? Ke ada orang nak main-mainkan aku? Soal Ebriza dalam hati.

 “Sis, you dengar tak suara mendayu-dayu seru nama you?” soal Roszita yang baru keluar dari bilik air. Ebriza berkerut dahi memandang Roszita. 

“Dengar jugak. Tapi... I musykil. Takkan siangsiang hari pun hantu boleh muncul kut? I rasa mesti ada orang nak main-main dengan I ni,” ujar Ebriza, tidak puas hati. Dia bangun dari perbaringan dan mencapai tudung yang disangkut di atas kerusi, lalu disarung di kepala. Perlahan-lahan dia menghampiri pintu lantas melekapkan telinga di situ.

“Ebriza... bukalah pintu, nenek datang ni. Nenek bawa kepah...” Suara yang menyeru kedengaran mendayu-dayu. Roszita yang menghampiri Ebriza melagakan pandangan dengan novelis kesayangannya itu. Hanya isyarat mata yang bertukar kata. Bibir masing-masing bagaikan terkunci. Lalu, Roszita membisikkan sesuatu di telinga Ebriza.

 “Sis, I rasa baik you buka pintu luas-luas. Kalau tak ada sesiapa, memang ada benda yang nak kacau you. Tapi kalau ada yang jatuh tergolek, memang ada yang nak pedajalkan you,” ujar Roszita. Ebriza mengangguk. Lalu dengan lafaz bismillah, Ebriza pantas menarik pintu dengan kuat dan tergoleklah tubuh dua makhluk yang meniru suara nenek Kubur Bernyawa sebentar tadi. 

“Oh, nilah nenek Kubur Bernyawa? Kepah mana? Tak bawa ke? Ni kepahnya!” dengus Ebriza lantas mengambil bantal peluk berbentuk penyu yang dibawanya dari rumah dan terus dihenyak ke wajah Anuar dan Hasrudi. Puas hatinya. Anuar dan Hasrudi ketawa terbahak-bahak sehingga bertakung air mata. Manakala Roszita pula melepaskan ketawanya. Terasa lucu dengan perangai gila-gila novelis-novelis di hadapannya.

 “Seronok kenakan orang? Tu yang rasa pelik, siangsiang mana ada nenek nak muncul. Rupa-rupanya nenek jantan. Ada apa hal datang sini?” soal Ebriza sambil bercekak pinggang. Geram sungguh dia. Patutlah sekejap dengar suara perempuan garau, sekejap suara jantan. Eee... geramnya! Macam hendak hempuk sahaja kedua-duanya dengan meja.

“Uii... garangnya! Sentap sungguh ni.” Hasrudi pula ketawa mengekek. 

“Mana tak sentap kalau main-main macam tu. Haa... eloklah buat perangai, nanti dia datang betul-betul baru tak cukup tanah kau orang lari!” Kemarahan Ebriza masih belum surut. 

“Maaf, Eb. Kami gurau aje. Sebenarnya, kami nak tengok dekorasi bilik ni. Lawa bilik Eb, macam bilik rumah orang Inggeris lama. Agaknya, memang setiap tingkat sengaja dicipta suasana mewah ala-ala istana Inggeris dahulu kala,” ujar Anuar.

 “Bilik kat tingkat bawah pun cantik macam bilik ni jugak ke? Kami memang teruja masa mula-mula masuk. Betul tak sis apa yang I kata kat you tadi? Konsepnya bagaikan istana lama Inggeris zaman dulu kala. Cukup menimbulkan suasana seram. Tambahan pulak penulis seram yang menghuni di sini, memang kena sangat,” ujar Ebriza sambil memandang Roszita. 

“I setuju tu, sis. I pun rasa bertuah dapat menginap kat sini. Memang jarang ada banglo resort yang berkonsepkan ala Inggeris macam ni,” luah Roszita. 

“Tingkat bawah pun sama konsepnya. Paling best, setiap bilik besar dan luas. Memang tak rugi kita terpilih menyertai program ni,” ujar Anuar. Tiba-tiba Ebriza berdehem menyebabkan Anuar dan Hasrudi saling berpandangan.

 “Kenapa?” soal Anuar, musykil. “Nak lawat bilik Paulina ke, Nuar?” Sengihan Ebriza semakin melebar dan menyeramkan. Wajah Anuar menjadi merah. Ke situ pula. Mana ada! Anuar memang tidak suka dikaitkan dengan Paulina.

“Mana ada. Jomlah Rudi, kita turun. Kejap lagi dah nak makan malam,” gesa Anuar sebelum dirinya terus dijadikan bahan usikan. Ebriza menghamburkan ketawa. Tadi, bukan main kenakan orang. Tetapi bila terkena batang hidung sendiri, tahu pula hendak mengelak. 

Selepas Anuar dan Hasrudi beredar, Ebriza dengan senang hati menutup pintu dan terus mencapai baju salinan sebelum ke bilik air. Roszita menggeleng melihat kenakalan Ebriza. Boleh tahan juga kalau sudah di dalam mood mengusik. Ha... ha... ha... 


MAKAN malam mereka pada malam itu dihidangkan dengan masakan Terengganu. Konsep makanan yang disediakan oleh pihak resort adalah berkonsepkan makanan dari pelbagai negeri. Ebriza memandang Roszita. Kedua-dua mereka sedang berdiet, maka agak sukar jika dihidangkan dengan makanan sebegini. Habis diet mereka nanti. Tetapi hidangan yang terhidang di hadapan mata ini sungguh menggugat selera. Aduh! Macam mana ni?

 “Sis, macam mana ni? Semua makanan tak lulus untuk kita,” ujar Ebriza, sedikit ralat. Dia baru sahaja berjaya menurunkan berat badan sebanyak 10 kilogram. Tidak mungkin hendak menambah berat badan pula. 

“Hmm... macam nilah. Kita buat fasa empat atau suku-suku separuh. Kita pun tak rasa berdosa sangat,” putus Roszita 

“Hmm... good idea. Jomlah kita isi perut. Tak boleh tahanlah tengok makanan yang sedap-sedap ni,” ujar Ebriza, lalu tanpa ragu-ragu mencedok beberapa masakan yang kena dengan selera tekaknya. 

Mereka menikmati makanan sambil berbual-bual. Meriah dan riuh ruang makan dengan kehadiran 13 novelis bersama peminat masing-masing. Anuar mencadangkan supaya novelis wanita menyampaikan sketsa dari novel masing-masing. Sekadar drama pendek. Boleh diambil situasi lucu atau apa sahaja. 

Manakala novelis lelaki pula akan menyanyi untuk menghiburkan peminat masing-masing. Peminat mereka pula sudah menyediakan rancangan tersendiri untuk menghiburkan novelisnovelis kesayangan mereka. Selesai menjamu selera, mereka terus ke aktiviti seterusnya. Tidak mahu membuang masa kerana malam semakin larut. Mereka mahu cepat-cepat menamatkan aktiviti. Masing-masing sudah kepenatan dan ingin melelapkan mata.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.