Bab 7: Aduh! Sakitnya Jiwa

Rabiatul Syafiqah menerokai tempat-tempat menjual gadget yang berada di sekitar Kuala Lumpur. Hajat di hatinya hendak membeli headphone untuk memenuhi permintaan Runi Naqiu yang telah berpesan beberapa kali sehingga naik kematu lubang telinganya. Huh! Selagi tidak dibeli, selagi itulah Runi Naqiu akan menitipkan pesanan berulang kali. Dia tidak suka pesanan ulangan bagaikan rancangan Astro sahaja lagaknya. Dia tahu bila hendak memilikinya.

Sesudah beberapa tempat diterokai, akhirnya Rabiatul Syafiqah memilih satu headphoneyang agak trendy tetapi sedap dipakai sesudah ditekapkan ke telinga. Harganya tidak sampai RM40 ringgit. Cukup berbaloi. Tidak sia-sia dia mengajak kakinya untuk berpusing di sekitar kota raya ini.

Sesudah memiliki, hatinya bagai digaru hendak diletakkan di dalam laman muka buku beserta dengan secarik senyuman.

“Hmm ... biar dia rasa kembang sikit bila tengok headphone ni. Barulah nanti dia akan berhenti dari menyanyi headphone di lubang telinga aku. Huh! Bosan! Suka memaksa jugak si Runi ni tanpa sedar.” Rabiatul Syafiqah segera mengambil gambar headphonedengan telefon pintarnya lalu terus diletakkan di laman muka buku dengan judul,

Buah hatiku. ^_^

“Aku yakin, dia pasti akan senyum sampai ke telinga bila melihat headphone dan judulnya. Walhal, aku bukan bermaksud pun dengan apa yang aku paparkan. Saja suka cari penyakit. He he he ...” Rabiatul Syafiqah tersengih sendiri sesudah agendanya selamat dijalankan.

Kini dia sedang bersenang-lenang di atas katil bagi merehatkan kakinya yang banyak berjalan sambil berbaring seketika. Tanpa sedar, dia terus terlelap akibat keletihan.

-------------------------------------------------------------------------------------

Runi Naqiu membuka laman muka buku dan terus tersenyum memandang gambar yang baru diletakkan oleh Rabiatul Syafiqah.

“Akhirnya, dia beli pun headphone. Bukan main susah lagi nak suruh dia beli. Banyak sangat alasan. Tengok kakilah siapa yang pujuk. Perempuan ni di hujung jari aku saja. Ayat lebih kurang, cairlah mereka dan terus melekat pada aku.” Runi Naqiu tergelak besar sesudah dapat menundukkan wanita-wanita maya. Dia boleh berbangga diri dengan kebolehan yang dimiliki, semua wanita yang dikenalinya mudah sahaja mengikut telunjuknya tanpa dipaksa. Begitu mudah Runi Naqiu menguasai wanita. Entah ilmu apa yang dia guna?

“Hmm, rindu pula dengan El. Telefon dialah sekejap guna Viber.” Runi Naqiu terus mengambil telefon pintarnya dan mendail nombor Ellis Elliza. Beberapa saat kemudian, kedengaran suara merdu Ellis Elliza di hujung talian.

“Assalamualaikum abang.”

Aduh! Merdu sungguh, buat aku gila bayang. Sayang kau milik orang. Kalau kau masih solo seperti Rabiatul Syafiqah, sudah pasti kau sudah dalam genggaman. “Waalaikumussalam. El buat apa tu?” tanya Runi Naqiu sebagaimana biasa.

“Lipat baju. Abang ada mana?”

“Abang ada di rumah. Hmm ... macam mana El? Sudah ada keputusan rasmi? I’m still waiting sayang.” Lunak suara Runi Naqiu menggoda hati Ellis Elliza.

Ellis Elliza diam. Sesaat. Dua saat dan seterusnya.

"Kenapa diam? Abang tanya hal ni saja, mesti El hilang suara." Runi Naqiu sudah mula bosan kerana Ellis Elliza tidak mengendahkan usulnya untuk menuntut fasakh.

“Maaf abang. Bukan mudah untuk mengambil satu keputusan. Banyak hati yang kena jaga. El masih ada mak bapa, ibu dan bapa mertua. Apa kata adik beradik El nanti. Selama ni semua orang pandang El baik. El tak pernah menyusahkan orang. Kalau El menuntut cerai seperti yang abang kehendaki, apa pandangan keluarga El nanti, abang? Apa kata adik beradik El?" Sayu suara Ellis Elliza. Dia sememangnya anak kesayangan dalam keluarga. Kerap menjadi contoh kepada adik beradiknya. Seorang yang lemah lembut, agak pendiam, murah hati dan tidak pernah menyusahkan sesiapa. Bak kata orang, sejuk perut ibu mengandungkannya.

“El, sampai bila abang nak tunggu? El risaukan adik beradik El, mak bapa, sampai mertua pun El risau. Syurga El bukan terletak kat dia orang pun. Bila kita dah kahwin nanti, syurga El pada abang. Bukan pada dia orang, buat apa El nak risau. El ni lembik tau tak? Weak! Kata cinta.. . liar! Fake love! Kalau El tak boleh buat keputusan, ada ramai lagi yang sedang beratur tau. Tu, Rabiatul Syafiqah. Abang suruh dia beli headphone, dia dah pun beli. Tahu apa katanya di facebook? Buah hatiku. Tahu apa maknanya?” Runi Naqiu sengaja memperhangat Ellis Elliza agar memenuhi kehendaknya.

“El tahu abang. Cukup tahu. Abang pergilah pada Rabiatul Syafiqah, kalau itu yang abang nak. Dia solo. Jadi, tiada masalah bagi abang. Bukan macam El. El dah berkeluarga. Susah hendak penuhi kehendak abang.” Akhirnya Ellis Elliza terpaksa bertutur sayu kerana sudah tidak tahan dipaksa lagi oleh Runi Naqiu. Jiwanya cukup tertekan kini. Runi Naqiu semakin hari semakin suka mendesaknya sehingga dia cukup sukar untuk bernafas walau sesaat. Ellis Elliza tahu, haram seorang isteri menuntut cerai daripada suami. Tidak mencium bau syurga jika isteri melakukannya.

“El dah berubah sekarang. El dah tak macam dulu lagi. El dah tak cemburu pada abang lagi. Kalau dulu sebut nama perempuan je El akan melenting. Pantang sungguh kalau abang sebut nama perempuan. Sekarang El dah pandai melawan abang. Suami El yang ajar semua ni kan?” Runi Naqiu melenting geram dengan sikap Ellis Elliza sejak kebelakangan ini yang banyak membantah dari mengikut telunjuknya. Dia tidak suka dengan perubahan Ellis Elliza sekarang.

“Suami El tak pernah ajar El jadi begini tapi abang yang ajar El jadi begini. Abang terlalu memaksa El sedangkan abang tahu El sudah bersuami. Awal-awal perkenalan dulu El sudah bagitahu abang, El ada suami, ada anak. I love them very much. Tapi abang dekati El juga hingga El balas perasaan abang. Semuanya berpunca dari abang." Ellis Elliza terpaksa berkeras walaupun air matanya sudah berambu turun dari kelopak mata. Benteng takungan pecah jua walaupun ditahan sedari tadi.

“Iyalah, yang buruk-buruk semuanya dari abang. Yang baik-baik semuanya dari suami El. Ya... advantage memang ada pada suami El. Dia kan bussinessman yang berjaya. Tidak hairanlah kalau El memperlekehkan abang sebegini. Kalau dulu zaman kegemilangan abang, mesti El tak akan ragu-ragu pilih abang." Cucuk Runi Naqiu lagi. Dia tidak betah jika tidak merembeskan air mata Ellis Elliza. Perempuan.

“Abang jangan cakap begitu. El tak pernah membeza-bezakan abang dan suami El. Bukan El minta untuk dijodohkan dengannya tapi sudah tertulis jodoh kami.” Ellis Elliza semakin berang dengan sikap Runi Naqiu yang membuatkan sabarnya semakin hilang.

“Alah, El memang banyak alasan. El, jangan salahkan abang jika Rabiatul Syafiqah menjadi galang gantinya. Dia nampak polos, sudah pasti dia tak ada masalah untuk mendampingi abang. Lagipun, dia dah lanjut usia, abang yakin jika abang masuk meminang, pasti dia akan terima kerana dia sudah terdesak dan tak ada siapa yang nak. El jangan menyesal. Jangan kata abang tak ingatkan El." Runi Naqiu masih statik dalam kandang bicara. Tiada tanda-tanda untuk dia keluar dari kandang yang menyakitkan hati dan telinga Ellis Elliza.

“Pergilah pada dia, jika itu yang abang mahukan. El rela demi sayang El pada abang. El nak abang bahagia. Kalau itu yang abang nak, El boleh buat apa? Maaf, abang. El hendak ambik anak-anak El dari mengaji. El stop sini ya. Assalamualaikum abang.” Ellis Elliza tidak mahu memanjangkan lagi perbualannya dengan Runi Naqiu. Hatinya terlalu sakit untuk mendengar butir bicara Runi Naqiu.

“Waalaikumussalam. Tapi ingat El, jangan cuba kacau daun. Kalau El cuba bagitahu orang di maya tentang abang dan kalau El menghalang niat abang, abang akan beritahu satu maya yang El terlalu cintakan abang dan tergila-gilakan abang hingga El sanggup buat cerita mengenai abang supaya tiada perempuan yang sudi dekati abang. El cemburu untuk melihat mana-mana perempuan rapat dengan abang. Remember that sweetheart.” Pesan Runi Naqiu sebelum dia melepaskan Ellis Elliza dari talian.

------------------------------------------------------------------------------------

Sebaik sahaja tamat perbualannya dengan Runi Naqiu, Ellis Elliza menangis teresak-esak. Dia tidak menyangka begitu nekadnya Runi Naqiu memburukkan dirinya hanya kerana dia tidak mahu menuruti kehendak lelaki itu.

“Ya ALLAH, Kau berikanlah aku kekuatan. Kau berikanlah aku kesabaran. Kau tabahkanlah hatiku menerima dugaan-Mu. Hanya Kau saja yang mengerti di dalam hatiku ini. Andai ini ujian dari-Mu, janganlah Kau uji aku dengan ujian yang tiada daya untuk aku menghadapinya." Ellis Elliza bersujud di atas tikar sejadah.

Sebenarnya dia baru sahaja usai solat Asar. Sengaja dia membohongi Runi Naqiu dengan menyatakan dia melipat baju kerana dia tidak mahu lelaki itu memintanya mendoakan jodoh mereka. Dia masih sayangkan Azaharil Anuar. Dia keliru kerana dia juga sayangkan Runi Naqiu. Entah kenapa perasaan itu ada, walau dia tahu akan dosa seorang isteri mencintai lelaki lain.

“Kasihan Rabiatul Syafiqah andai dia juga terjatuh ke tangan Runi. Mudah-mudahan Rabiatul Syafiqah bukan gadis yang mudah tergoda dengan kata-kata manis lelaki. Ya ALLAH, Kau lindungilah mereka yang tak bersalah. Apa yang harus aku lakukan? Kau beri aku petunjuk Ya ALLAH.” Ellis Elliza sempat berdoa apabila mendengar rancangan Runi Naqiu terhadap Rabiatul Syafiqah. Dia cukup kasihan pada Rabiatul Syafiqah jika terlepas ke tangan Runi Naqiu sedangkan gadis itu mampu mendapat teman yang lebih baik daripada Runi Naqiu.

“Aku akan melihat dahulu bagaimana orangnya Rabiatul Syafiqah ni. Sebelum ni pun tegur kat komen saja dalam grup di Facebook." Ellis Elliza tergerak hatinya untuk mengenali Rabiatul Syafiqah. Ada masa nanti dia akan masuk grup dalam Facebook yang dicipta oleh Runi Naqiu. Grup yang menempatkan penulis, peminat-peminat bidang penulisan, insan seni dan sebagainya. Seronok juga bersantai di situ. Ramai juga kenalan baru.

Ellis Elliza mengukir sedikit senyum.

Dalam hati berkata-kata.. "Sejauh mana aku pergi... Sekuat mana pun aku lari... Aku tidak akan dapat menghindari realiti dan aku akan temui juga diriku sendiri. Ya ALLAH, kau berikanlah aku kekuatan dan ketenangan."

----------------------------------------------------------------------------------

Nazira sedang rancak menaip huruf-huruf yang terdapat di dalam telefon pintarnya. Sesekali bibirnya merekah dengan senyuman bahagia. Dia semakin terhibur dengan sikap Runi Naqiu yang baru dikenalinya. Lelaki itu cukup pandai mengambil hatinya. Aduh, sesunguhnya seluruh jiwa raganya sedang berdebar dan jantungnya dipam dengan hebat sekali. Perasaan apakah ini? Adakah ia dinamakan cinta? Hai, entahlah hati, dia sendiri tidak dapat mentafsirkannya.

Nur Syarida menjeling ke arah Nazira yang cukup leka dengan telefon di tangan. Dahulu, Nazira sering memarahi dirinya yang asyik dengan telefon pintar tetapi kini gadis itu pula yang telah berjangkit dengan dirinya. Bahana telefon pintar memang seperti virus HIV yang cepat menular dan berjangkit. Nur Syarida tidak senang melihat Nazira tersengih-sengih begitu. Dia takut gadis itu lebih hebat daripadanya bermaya.

“Dengan siapa kau chattu, Naz? Dulu, bukan main lagi kau hamun aku setiap kali aku bermaya. Sekarang ni dah berjangkit ke?” tanya Nur Syarida ingin tahu. Jolokkan perasaannya semakin membuak-buak minta Nazira memberitahu jejaka manakah yang telah berjaya mencuri hati gadis itu.

Terangkat kening Nazira menari Kpop. Huh! Suka hati saja menabur fitnah si Syar ni. Ada ke pula dikatakan aku hamun dia. Bila masa? “Eh, Syar... bila masa aku hamun kau? Selalu tu aku bagi nasihat saja, kan? Pandai-pandai buat cerita. Fitnah namanya tu.” Nazira mula melontar vokal retak seribunya membuatkan Nur Syarida menarik sengih.

“Maaflah. Aku gurau.” Pandai pula Nur Syarida memusing fakta.

“Gurau atuk kau.” Haa ... kan dah betul-betul kena hamun. Nak sangat aku hamun, kan? “Aku tak suka kau ada-adakan cerita yang aku tak ucap.” Nazira memandang ketat pada Nur Syarida yang masih lagi tersengih.

“Okey .... okey .... Maaf. Kau dah jumpa dengan buah hati ke?” Nur Syarida masih lagi ingin tahu.

“Aku tak tahulah sama ada boleh dikategorikan buah hati ke tidak. Aku baru saja kenal dengan mamat ni. Aku kenal dia masa Majlis Perlancaran Novel Fadhilah Imani hari tu. Sejak tu, kami sering Whatsapp dan Skype. Dia ni kelakarlah. Aku suka bual dengan dia. Untuk meramal lain-lain tu, aku rasa masih jauh lagi perjalanan kami. Ni baru peringkat perkenalan.” Jujur Nazira memberitahu Nur Syarida.

Nur Syarida mengangguk-anggukkan kepalanya. Sebiji macam Runi. Runikah? Nur Syarida mula tidak sedap hati kerana sejak kebelakangan ini, Runi Naqiu sering lewat membalas mesej-mesejnya di aplikasi Whatsapp.

“Apa namanya?” Nur Syarida masih ingin korek rahsia Nazira dan jejaka maya itu.

“Rahsia. Nanti kau rampas. Aku nak keluar solat ni. Kau nak ikut?” tanya Nazira untuk menamatkan perbualannya dengan Nur Syarida.

Nur Syarida mencebir bibirnya tanda tidak puas hati. “Kedekut. Aku cuti hari ni. Kau pergilah sorang.”

“Aih, halau nampak? Tak puas hatilah tu.” Nazira mengekek melihat wajah kelat Nur Syarida sebelum berlalu ke surau yang disediakan untuk staf seperti mereka.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.