Home Novelet Seram/Misteri PENA
PENA
Ebriza Aminnudin
22/7/2015 21:58:50
15,558
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Bab 4: Vila kembali disumpah

“Ira, tolong akak Ira. Tolong Kak Emmelyn Ira. Jangan abaikan Kak Emmelyn.”

Mata Farra Fauzana terbuka luas setelah mendengar nada rayuan yang selalu berlagu di cuping telinganya sejak kebelakangan ini. Dia tidak faham kenapa dirinya yang terpilih.

“Kak Emmelyn? Macam pernah dengar nama tu?” Farra Fauzana mula berfikir siapakah yang empunya sebaris nama.

“Farra Amalina. Emmelyn? Ya, dia kakak aku. Tapi ... diakan dah meninggal? Kenapa boleh wujud balik di muka bumi ni? Tak mungkin rohnya tak aman sedangkan ....” minda Farra Fauzana terus berfikir.

“Argh! Semuanya dah berakhir, kan? Apa lagi yang tak kena ni?” Dada Farra Fauzana berasa sesak secara tiba-tiba. Dia ingin memegang dadanya tetapi tidak mampu berbuat demikian apabila ada sesuatu yang menghalang. Dia melihat akar-akar kayu semalam muncul kembali dan mula hendak membelit tubuhnya.

Kali ini Farra Fauzana tidak memberi peluang pada akar-akar kayu puaka itu lalu dia segera bangun dari terus terbaring lalu turun dari katil tempat peraduannya.

Tajam mata Farra Fauzana melihat akar-akar kayu gergasi dan berpuaka itu seolah-olah marah kerana tidak dapat dirinya untuk dijadikan bahan makanan mungkin. Akar-akar kayu itu menegak seolah-olah sedang mencari di manakah arah duduk dirinya. Tiba-tiba sahaja bagaikan ular akar-akar kayu itu menyerbu dirinya membuatkan Farra Fauzana menjerit lantang lalu terus turun ke bawah. Tidak sanggup lagi untuk dia terus berada di dalam biliknya. Ngeri rasanya melihat akar-akar kayu yang entah datang daripada mana.

Sebaik sahaja Farra Fauzana turun ke bawah, sekali dia terkesima memandang di sekeliling vilanya itu. Air liur yang menuruni rengkungnya bagaikan berbatu. Amat perit sekali dirasakannya. Matanya meliar di sekeliling rumahnya dengan rasa tidak percaya.

“Ya ALLAH, apa dah jadi dengan vila aku ni?” Farra Fauzana menekup mulutnya. Air matanya berderai lagi. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Perkara seumpama ini tidak pernah terjadi sebelum ini tetapi kenapa setelah berpuluh tahun ia kembali menghantui dirinya.

Farra Fauzana melihat daun-daun gergasi seolah-olah hidup mula melingkari dinding-dinding vilanya. Daun-daun itu seakan-akan membesar dan terus membesar membuatkan hati wanita itu sedikit kecut.

“Tidak! Tidak! Ini semua mimpi. Ia bukan kenyataan.” Dalam tidak disedari Farra Fauzana telah berundur ke belakang sehingga tubuhnya bertemu dengan dinding di ruang tamu.

Sebaik sahaja tubuh Farra Fauzana terkena daun-daun gergasi yang tumbuh meliar di merata-rata dinding, ia seakan-akan mengejutkan pertumbuhan daun-daun itu dan terus membelit tubuhnya. Farra Fauzana terkejut dan terus menjerit dan menjerit.

“Abanggggg!!!” Kali ini lebih kuat Farra Fauzana menjerit apabila daun-daun gergasi itu mengangkat tubuhnya yang dicengkam kuat.

Aizir yang sedang enak diulit mimpi terjaga apabila cuping telinganya seolah-olah mendengar satu jeritan yang maha hebat. Terkebil-kebil mata Aizir memandang siling bilik tidurnya.

“Abangggg!!!”

Sekali lagi Aizir mendengar jeritan yang datangnya dari bawah. Kali ini pantas Aizir memandang di tepinya dan alangkah terkejutnya dia apabila Farra Fauzana sudah tiada ada lagi di sisinya.

“Sayang!” Aizir jadi tidak tentu arah apabila dia mendapati Farra Fauzana tidak ada di dalam bilik mereka. Tertanya-tanya sendiri ke manakah isterinya itu menghilang.

“Abangggg!!!” kali ini jeritan Farra Fauzana lebih kuat dari tadi membuatkan Aizir terus tersedar sepenuhnya dan melompat turun dari katil terus berlari ke bawah.

“Farra!!!” Terbeliak mata Aizir melihat isterinya sedang dibelit oleh daun-daun gergasi yang seakan hidup itu. Apa yang mengejutkan Aizir lagi, vila mereka seolah-olah telah dikepung oleh daun-daun gergasi yang masih lagi melingkari dinding-dinding dan membesar.

“Abang, apa dah jadi dengan vila kita?” Mata Farra Fauzana berair memandang Aizir.

Aizir terkedu tanpa sebarang bicara. Dia masih lagi tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku di dalam vila mereka.

“Abang, Farra tak tipu abang. Akar-akar kayu tu memang wujud semalam dan membelit tubuh Farra. Malam ni abang sendiri tengok, muncul pula daun-daun gergasi ni. Takkan abang tak percaya lagi?” Air mata Farra Fauzana sudah berhamburan keluar. Sesekali kelihatan wanita itu menghisap air hidungnya.

“Abang .... tak tahu nak cakap apa. Abang tak boleh terima apa yang berlaku pada vila kita.” Aizir masih terkaku dan kakinya terpasak di dada lantai.

“Abang, vila kita seolah-olah disumpah. Tapi siapa yang punya angkara? Kita tak pernah usik orang, bang.” Farra Fauzana mengajak Aizir berbual walaupun dirinya masih lagi tergantung di dinding. Sesekali dia mengerang apabila daun-daun gergasi itu mengeratkan lagi cengkaman ke atas tubuhnya.

“Abang tak tahu. Abang sendiri pelik, bukankah vila dan kampung ini telah aman? Kenapa mesti dilanda musibah semula.” Aizir masih lagi tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku kepada diri mereka.

“Abang, tolong Farra bang. Tolong turunkan Farra. Daun-daun ni mampu membunuh Farra.” Farra Fauzana merayu pada Aizir untuk membantu dirinya melepaskan cengkaman dari terus menjadi tahanan daun-daun gergasi itu.

“Astagfirulahalazim. Maafkan abang. Abang terleka.” Aizir mula hendak menghampiri isterinya tetapi tidak jadi berbuat demikian apabila kedua-dua mereka terdengar jeritan Adzam dan Adzim secara serentak. Terkejut bukan kepalang kedua-dua suami isteri itu.

“Abang, anak kita bang. Tolong mereka bang. Farra takut akar-akar kayu tu membelit mereka. Pergi bang, pergi.” Farra Fauzana menggesa suaminya untuk ke bilik anak-anak mereka. Dia yakin anak-anak kembarnya sedang mengalami musibah sebagaimana dirinya juga di kala ini.

Aizir tidak membuang masa lagi lalu berlari ke atas dan terus membuka pintu bilik anak-anak kembarnya. Sekali lagi dia terkejut apabila melihat akar-akar kayu gergasi sedang enak membelit tubuh anak-anak kembarnya.

“Astagfirulahalazim. Apa dah jadi ni? Adzam. Adzim.” Laung Aizir kepada anak-anak kembarnya itu.

“Abah! Tolong kami bah. Dari mana akar-akar kayu ni datang?” Adzam memandang Aizir dengan penuh pengharapan kerana dia tidak mampu langsung untuk bergerak di saat itu.

“Abah!!! Sakit bah ... Zim tak boleh bernafas bah ...” Adzim kelihatan tercungap-cungap untuk bernafas dek kerana lilitan akar-akar kayu itu yang cukup kuat mencengkam diri mereka berdua.

“Aku takkan biarkan kau setan, apa-apakan anak aku.” Lalu Aizir mendapat semangatnya semula dan mula melaungkan azan dengan bersungguh-sungguh.

Sebaik sahaja mendengar laungan azan daripada Aizir, akar-akar kayu itu mula mengendur dan mula menghilang dari terus membelit tubuh Adzam dan Adzim. Adzam dan Adzim berlari turun dari katil apabila diri mereka bebas dari cengkaman akar-akar kayu itu.

“Zim takut bah. Apa dah jadi dengan vila kita bah?” Adzim terus memeluk Aizir. Begitu juga dengan Adzam. Sesungguhnya kedua-dua kembar itu berasa amat takut sekali dengan apa yang berlaku.

“Jangan takut, ALLAH kan sentiasa ada bersama-sama kita. Tiada yang lebih berkuasa dari ALLAH. Ingat tu.” Aizir meniupkan semangat pada kedua-dua anak kembarnya agar lebih takut kepada ALLAH SWT daripada syaitan durjana.

Setibanya mereka di ruang tamu, Farra Fauzana masih lagi tergantung di dinding membuatkan Adzam dan Adzim kembali menjerit apabila melihat mama mereka dalam keadaan lemah sekali.

“Bang, Farra dah tak tahan lagi. Daun-daun ni seolah-olah menghisap tenaga Farra.” Suara Farra Fauzana semakin lemah.

Aizir tidak membuang masa lalu melaungkan azan sekali lagi. Azan yang keluar dari bibir Aizir begitu lunak dan merdu membuatkan daun-daun gergasi itu berasa gerun dan melepaskan Farra Fauzana dari terus berada di dalam cengkamannya.

Farra Fauzana tercampak jatuh ke lantai. Adzam dan Adzim terus mendapatkan mama mereka dan memapah wanita itu untuk ke sisi Aizir.

“Abah, jom kita keluar dari sini.” Adzam memberi cadangan.

“Vila kita dah tak selamat abah. Zim takut.” Adzim memandang wajah Aizir dengan penuh pengharapan. Dia berharap agar Aizir akan membawa mereka keluar dari situ seberapa segera. Dia tidak sanggup lagi untuk berada lebih lama di dalam vila mereka yang bagaikan vila berhantu itu.

“Abang, kita pergi ke rumah ibu. Farra dah tak berdaya lagi bang. Vila kita dah tak aman untuk didiami. Tolong bang sebelum keadaan lebih buruk berlaku.” Farra Fauzana memadang sayu pada suaminya.

Aizir menarik nafas sebelum mengangguk kepalanya. Ya, mereka harus keluar dari vila ini. Mereka akan kembali semula setelah dapat mencari puncanya kenapa vila ini kembali berpuaka semula sesudah berkurun lama didiami dengan aman. Sudah pasti ada yang tidak kena. Dia akan mencari jawapannya kelak. Apa yang pasti kini, dia harus menyelamatkan isteri dan anak-anaknya.

Aizir dan keluarga terus keluar dari Vila Amira Syakila sehelai sepinggang menuju ke rumah Siti Hairani dan Imran Haneef. Tidak sanggup lagi melihat mereka menderita di dalam vila sendiri. Entah siapa yang punya angkara sehingga vila mereka kembali berpuaka.

“Bang, Farra yakin ada sesuatu yang masih tertinggal menyebabkan vila kita kembali berpuaka. Mungkin ibu terlupa hendak memberitahu kita sesuatu. Farra yakin ada yang tidak kena dengan vila kita.” Farra Fauzana memandang suaminya dengan penuh kasih.

“Tak apa. Jangan bimbang, kita akan dapatkan jawapannya daripada ibu nanti. Abang sendiri tak tahu apa lagi yang masih tertinggal sedangkan kami dah berusaha untuk memenuhi setiap permintaan arwah Amira Syakila. Buntu abang memikirkannya.” Aizir sendiri tidak pasti apa lagi intipati cerita Amira Syakila yang masih tertinggal.

Sesekali Farra Fauzana memandang ke belakang melihat anak-anak kembarnya kembali lena setelah melalui fasa malam yang begitu teruk buat mereka. Sudah pasti semangat mereka lemah dengan apa yang berlaku.

“Bang ...” Farra Fauzana kembali memandang Aizir yang sedang memandu.

“Ya sayang. Ada apa?”

“Apa yang terjadi pada anak-anak kembar kita tadi?” Farra Fauzana ingin tahu apakah fasa yang telah mereka berdua alami.

“Mereka dibelit oleh akar-akar kayu gergasi. Apa yang sayang alami semalam rupanya bukan mimpi cuma abang saja yang tak percaya. Maafkan abang.” Aizir segera memohon maaf diatas kesilapannya kerana tidak mempercayai isterinya itu.

“Iyalah, siapa akan percaya jika tak alami sendiri. Pertama kali penulis novel seram berasa amat takut sekali dengan situasi yang tidak terjangka dek akalnya.” Farra Fauzana masih boleh bergurau untuk menghilangkan tekanan yang memenuhi ruangan hatinya.

Aizir hanya tersenyum memandang gelagat isterinya itu. Benar sebagaimana yang dikatakan oleh Farra Fauzana, selama dia mengarang novel seram tidak pernah sekali pun dia berasa seram kecuali pada dua malam ini.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.