“Weh kerek. Awak memang
sengaja nak kenakan saya kan?” tanya Natasha geram. Dia memeluk tubuhnya
merenung tajam anak mata Faiz. Manakala Faiz pula hanya membuat muka tenang
sahaja di hadapannya.
“Ini dia pelekat tangan Encik dan girlfriend Encik.”
Hulur gadis yang berada di kaunter bayaran itu. Natasha membalas senyuman gadis
berusia belasan tahun itu. Sementara Faiz hanya beredar dari situ tanpa
mengucap atau membalas senyuman gadis tersebut.
“Saya bukan makwe dia.” Terang Natasha lalu berlalu
mendapatkan Faiz yang sedang menunggunya di hadapan pintu masuk Taman Permainan
di dalam Times Square itu. Dia kemudian memberi pelekat itu kepada Natasha lalu
berlalu masuk tanpa sekali lagi menghiraukan nasib gadis itu yang terkial-kial
memakai pelakat itu di pergelangan tangannya.
“Selamat Datang ke Cosmo World Berjaya Times Square” ucap
Pekerja tersebut sebaik sahaja Natasha melangkahkan kakinya masuk ke taman tema
itu. Dirinya terpegun sebentar keadaan di dalam taman tema itu. Dia benar-benar
tidak menyangka Faiz akan membawanya kesini. Awalnya dia ingat Faiz hanya mahu
dia menemankannya membeli belah, namun, selepas sahaja mereka menunaikan solat
maghrib, Faiz terus membawanya kesini. Walaupun hakikatnya dia terpaksa
mengejar sedikit langkah kakinya mengejar langkah Faiz yang laju itu.
“Nenek. jalan tu tengok sekeliling boleh tak?” tegur Faiz
dari belakangnya. Eh? Sejak bila dia ada dekat belakang aku?
Mereka kemudian berhenti di hadapan salah satu loker yang
terdapat di situ. Faiz menghulurkan dua keping duit syiling token untuk Natasha
menyimpan beg tangannya. “kenapa awak bawa saya ke sini.?” Tanya Natasha lagi
sambil menyimpan beg tangannya.
“Bosan” hanya sepatah perkataan sahaja Faiz ucap. Apabila
dia melihat sahaja Natasha selesai menyimpan khazanah miliknya, dia memegang erat
tangan Natasha lalu membawanya ke salah satu permainan yang ada di situ.
Natasha yang awalnya cuba menepis tangannya dari digenggam hanya menurut
apabila usahanya gagal.
Faiz membawa Natasha menaiki permainan Roller Coaster.
Natasha hanya menurut dengan wajah yang masam mencuka. Sewaktu menunggu
permainan itu mula kerana pekerja permainan itu ingin memenuhi kuota tempat
duduk, Faiz akhirnya bersuara. “Ceria la sikit. Kata nak lupakan Luqman” ucap
Faiz tanpa menoleh ke arah Natasha.
“Are you spying on me?” Tanya Natasha sedikit tidak
percaya dengan apa yang dikata Faiz. Ada riak terkejut pada wajah Natasha. Tak
mungkin la dia dengar apa yang aku cakap dekat pejabat tadi? Tak mungkin!
Faiz tidak menjawab. Dia hanya mengangkat kedua-dua belah
bahunya. Natasha menjeling tajam wajah tampan Faiz. Geram pula dengan mat kerek
ni!
“Kerek! Jawab la!” desak Natasha dengan nada tidak puas
hati.
Faiz menoleh merenung wajah tidak puas hati Natasha.
“Awak ni bising kan? Hari itu awak juga cakap nak lupakan dia? Tak hendak
meratap selama-lamanya. Kenapa? Dah berubah fikiran ke nenek?”
“Awak
ingat lagi?” tanya Natasha. Tidak menyangka Faiz ingat lagi peristiwa mereka di
Titiwangsa itu. Faiz hanya membuat tidak tahu sahaja. Natasha tersenyum. Jadi
ini la sebab dia bawa aku kesini. Dia ingin aku gembira.
“Saya nak menjerit la nanti! Hehehe…” ucap Natasha
kembali bersemangat. Faiz hanya tersenyum. Pekerja yang bertugas di permainan
Roller Coaster itu menutup pintu masuk ke permainan itu. Nampaknya dah nak mula
ni! Monolog Natasha lalu genggam erat penghadang badan permainan itu.
Sepanjang permainan itu, Natasha akhirnya tersenyum
semula. Dia benar-benar terhibur dengan permainan yang terdapat disitu. Begitu
juga dengan Faiz. Kerana buat kali keduanya, wajah itu tersenyum lagi.
“Awak. Terima kasih.” Ucap Natasha sewaktu mereka menaiki
Fantasy Trail yang terdapat di bahagian kanak-kanak. Faiz mengangguk sambil
melihat pemandangan yang ada di sekelilingnya.
“Saya tahu, saya selalu fikirkan perkara yang tak pasti
sampaikan perasaan ni tak tertanggung lagi. Terima kasih.” Luah Natasha. Dia
amat berterima kasih kepada Faiz kerana sedikit sebanyak dia dapat melupakan
sebentar masalah perasaannya yang enggan melupakan Luqman.
“Awak kena bersemangat semula. Jika tidak, awak akan
bersedih seumur hidup awak. Nanti dari nenek kebayan jadi mayat hidup pula.”
Ucap Faiz lalu ketawa kecil. Natasha mencubit manja lengan Faiz berlapiskan
lengan baju Faiz. Mereka seperti sudah rapat walaupun sebelum ini bagai anjing
dan kucing. Pantang bertemu pasti bergaduh.
Faiz menghalang cubitan Natasha dengan menggenggam tangan
Natasha. Kedua-dua mereka saling berpandangan. Merenung anak mata. tidak sedar
bahawa perjalanan permainan itu sudah pun tamat. Jantung Natasha berdegub
kencang. Rasanya boleh tercabut sahaja jantungnya kini. Wajah kacukan british
milik Faiz direnungnya. Entah kenapa, ada kedamaian di situ. Keresahan yang ada
di dalam hatinya berubah menjadi tenang sahaja apabila berada disisi lelaki
itu. Terasa sedikit bahagia jauh di sudut hatinya.
Bunyi tangisan kanak-kanak berusia
satu tahun yang tidak jauh dari mereka membuatkan pandangan mereka beralih
ketempat lain lalu beredar meninggalkan permainan itu. Mereka jalan beriringan
melalui satu per satu permainan yang terdapat di situ. Wajah Natasha merona
merah. Jantungnya berdegub kencang apabila berjalan sahaja tangan mereka pasti
bersentuhan. Kenapa dengan aku ni?? Ish! Tak boleh! Tak boleh! Ucapnya dalam
hati lalu mengelengkan kepalanya sendirian.