Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
239,300
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24
QISYA tidak dapat menumpukan perhatian pada novel Jika Bukan Kerana Bintang yang sedang dibacanya. Semuanya kerana sikap Dzaquan dan Aneesa yang agak pelik pada pandangannya. 

Kebiasaannya mereka suka mengadakan ‘perbahasan’ walaupun disebabkan hal-hal kecil. Tapi lain pula yang berlaku pada hari ini. Masing-masing lebih suka mengambil sikap mendiamkan diri.

Meskipun begitu dia perasan anak mata Dzaquan yang kadangkala menjeling pada Aneesa. Jika suara Dzaquan kedengaran, Aneesa pasti mendiamkan diri. Dan begitu juga sebaliknya. Yang pastinya keadaan ini benar-benar sunyi seperti ada perang dingin yang sedang dilancarkan.

Qisya terus menutup novel Jika Bukan Kerana Bintang yang dibacanya sebentar tadi. Dia memandang abangnya yang kelihatan begitu ralit menonton cerita yang sedang ditayangkan di kaca televisyen. Kemudian dia menoleh pada Aneesa yang berada di sebelah kanannya. Seperti abangnya, Aneesa begitu ralit melihat cerita yang sedang ditayangkan itu.

“Apa sebenarnya yang berlaku?” soal Qisya dengan tiba-tiba. Dia benar-benar rimas dengan keadaan yang sedang berlaku di hadapan matanya itu.

“Hah? Apa? Qis nak apa?” soal Aneesa yang separuh melatah dengan soalan Qisya yang tiba-tiba itu. Langsung dia tidak mendengar dengan jelas soalan yang diajukan Qisya sebentar tadi.

“Err... tak ada apa-apa yang berlaku. Betul! Tak ada!”sahut Dzaquan pula. Jawapannya hampir serentak dengan jawapan Aneesa sebentar tadi. Beria-ria dia menggeleng-geleng pada Qisya. Dia mahu Qisya percaya pada kata-katanya meskipun dia sedikit gugup.

Qisya yang mendengar jawapan Aneesa dan Dzaquan itu hanya mampu mengerutkan keningnya. Kemudian, dia memandang Dzaquan dan Aneesa bersilih ganti. Kedua-dua mereka kelihatan gugup, seperti cuba menyembunyikan sesuatu. Malah, wajah mereka pula kelihatan resah.

Seketika kemudian dia tersenyum lebar. Mahu mengusik abang dan bakal kakak iparnya. Siapa tahu jika salah seorang daripada mereka terlepas cakap dan aku jugak yang untung, fikir Qisya nakal.

“Hah! Kenapa gugup ni? Ingat Qis tak tahu ke? Qis tahulah,” usik Qisya. Seraya dengan itu dia mengenyit mata kanan pada Dzaquan dan menghadiahkan senyuman nakal pada Aneesa.

Dzaquan yang melihatnya terasa seperti ada benda yang terlekat di tekaknya. Begitu juga dengan Aneesa. Yang nyata jawapan Qisya itu benar-benar memeranjatkan mereka. Mereka langsung tidak menduga yang Qisya turut mengetahui kejadian yang berlaku semalam. 

Seraya dengan itu, Aneesa memandang tajam pada Dzaquan. Marahnya tiba-tiba membara pada lelaki itu. Semuanya disebabkan Dzaquan yang tiba-tiba bertindak luar biasa. Ataupun mungkin juga lelaki itu yang memberitahu pada Qisya. Jika tidak pasti perkara yang memalukan itu tidak diketahui orang lain. 

Kemudian dia mengalihkan pandangan pada Qisya yang sedang tersenyum-senyum ke arahnya. Tapi betul ke perkara itu sudah diketahui Qisya? Argh! Malunya aku. Mana aku nak sorokkan muka ni?

“Aaa...apa yang Qis tahu?” soal Aneesa teragak-agak. Entah mengapa dia berasa gementar dengan jawapan yang akan diberikan Qisya sebentar lagi. Apa yang harus dilakukan jika benar Qisya mengetahuinya?

“Tahu yang abang dengan akak...” Sengaja dia melambat-lambatkan kata-
katanya. Mahu melihat reaksi Dzaquan dan Aneesa. 

Walhal dia tidak pasti apa yang telah berlaku di antara mereka berdua. Namun dia tetap meneruskan lakonannya. Kerana dia yakin sebentar lagi salah seorang daripada mereka berdua pasti akan membocorkan rahsia. Itulah lumrah manusia, tidak akan lari daripada melakukan kesilapan.

Bulat anak mata Aneesa yang mendengarnya. Seraya dengan itu dia memandang pada Dzaquan. Dia dapat melihat dengan jelas reaksi terkejut yang terlukis di wajah Dzaquan dengan kata-kata Qisya itu. Atau mungkin juga lelaki itu hanya berlakon saja. Sedangkan dia sendiri yang memberitahu semuanya pada Qisya. Dasar jantan tak guna!

“Kau cakap pada Qis fasal semalam?” soal Aneesa terus pada Dzaquan. Sudah tidak peduli pada Qisya yang turut berada di sisi mereka. Sedangkan Qisya sebenarnya masih lagi tidak tahu apa sebenarnya yang sudah berlaku.

Dzaquan segera menggeleng-geleng. Seingatnya dia tidak menceritakan apa-apa pada sesiapa pun. Padanya, itu rahsia dirinya. Dan tak mungkin dia akan memberitahu pada orang lain meskipun pada adiknya sendiri.

“Tak! Aku tak cakap,” nafi Dzaquan. Seraya dengan itu dia menoleh pada Qisya.

Fasal semalam? Soal Qisya sendirian. Hatinya benar-benar ingin mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku antara abangnya dan Aneesa. 

Adakah mereka...? Ah, tak mungkin! Mereka kan saling benci-membenci? Tapi apa sebenarnya yang sudah berlaku? Sehinggakan mereka cemas sebegitu rupa. Terdetik pertanyaan demi pertanyaan di benak Qisya.

“Qis, apa yang Qis tahu?” soal Dzaquan pula pada Qisya. Senyuman nakal yang menghiasi wajah adiknya itu, benar-benar membuatkan dia terasa sesak nafas.

Seolah-olah adiknya itu benar-benar mengetahui fasal semalam. Tetapi bagaimana perkara itu boleh diketahui Qisya? Atau adiknya itu sekadar meneka saja?

Qisya hanya tergelak perlahan dengan reaksi kalut yang ditunjukkan abangnya itu. Sengaja dia pamerkan reaksi sebegitu. Walhal jauh di sudut hatinya dia turut tertanya-tanya sendirian.

Seketika kemudian dia bangkit dari tempat duduknya. Belum pun sempat dia mengatur langkah, tangannya sudah pun dipegang Aneesa. Terus dia menoleh pada Aneesa.

“Qis nak ke mana ni?” soal Aneesa cemas. Dia bukan berasa cemas kerana Qisya sudah mengetahui hal semalam.

Tetapi dia berasa cemas kerana Qisya mahu meninggalkan dia berdua dengan Dzaquan. Dan dia tidak betah ditinggalkan berdua-duaan dengan lelaki itu. Dia takut kejadian semalam akan berulang lagi. Cukuplah sekali dia tewas pada renungan Dzaquan. Dan dia tidak mahu tewas buat kali kedua.

Kerut di wajah Qisya semakin tebal dengan reaksi Aneesa yang tidak diduga itu. Kemudian dia menjeling sekilas pada abangnya itu. Dilihatnya abangnya itu tidak memberikan sebarang reaksi.

Walaupun Dzaquan cuba berlagak selamba, tetapi pada dasarnya dia juga seperti Aneesa. Perasaan resah turut dirasai sekiranya Qisya meninggalkan dia berdua dengan Aneesa.

Dia takut kejadian semalam berulang lagi. Meskipun dia sendiri tidak pasti mengapa dia bertindak begitu. Yang dia tahu, dia benar-benar tidak mahu melihat wajah itu dibasahi dengan air mata. Dan sama sekali dia tidak menyangka yang dia akan bertindak jauh dengan mengelus lembut wajah itu.

“Qis nak ke dapur. Haus. Kenapa, kak?”

Jawapan yang diberikan Qisya benar-benar melegakan hati Aneesa. Setidak-tidaknya Qisya pasti tidak akan meninggalkan dia berdua dengan Dzaquan untuk jangka waktu yang lama.

“Okey, Qis jangan pergi lama sangat tau.” Sempat Aneesa berpesan pada Qisya. Seraya dengan itu dia tersenyum lega.

“Tapi kenapa?” soal Qisya pelik dengan reaksi yang ditunjukkan Aneesa itu. Tadi seperti cemas dan sekarang tersenyum pula. Betul-betul pelik.

“Erk! Tak ada apa.” Spontan Aneesa memberikan jawapannya.

Sempat dia menjeling sekilas pada Dzaquan, yang pastinya pelik dengan sikapnya itu. Dia tidak peduli dengan pandangan lelaki itu. Yang dia tahu, Qisya tak boleh tinggalkan dia lama-lama dengan Dzaquan.

“Cepat tau,” ujar Aneesa lagi pada Qisya.

Nak tak nak Qisya hanya mengangguk. Meskipun jauh di sudut hati dia tertanya-tanya dengan sikap pelik yang ditunjukkan Aneesa.

Hilang saja Qisya daripada pandangan, Aneesa terus menjeling pada Dzaquan.

“Apa?” soal Dzaquan apabila menyedari anak mata Aneesa tajam ke arahnya. Dia yakin yang gadis itu mahu menuntut jawapan daripadanya setelah melihat reaksi yang ditunjukkan Qisya sebentar tadi.

“Kau yang beritahu pada Qis, kan?” duga Aneesa lagi.

“Tak! Aku tak beritahu pada sesiapa pun.” Cepat saja Dzaquan menafikan tuduhan Qisya itu.

Dia terdiam seketika. Sementara akalnya sedang berfikir sesuatu. Jari-jemarinya juga rancak bermain-main di dagunya. Kemudian dia mengalihkan pandangannya pada Aneesa.

“Jangan-jangan kau yang beritahu pada Qis, kan? Sengaja nak kenakan aku balik,” tuduh Dzaquan pula.

Dia pasti perkara semalam hanya diketahui mereka berdua sahaja. Dan dia tidak pernah memberitahu perkara itu kepada Qisya, jadi sudah tentulah ia angkara Aneesa.

Bulat anak mata Aneesa apabila mendengar tuduhan Dzaquan itu. Tuduhan Dzaquan itu betul-betul tak masuk akal. Kalau benar dia yang bocorkan kejadian semalam pada Qisya, kenapa pula dia menyoal Dzaquan?

“Kau jangan nak reka cerita ya! Apa untungnya aku kalau aku bongkarkan perkara yang memalukan aku pada Qis?” sanggah Aneesa pula.

Masing-masing bertelagah sesama sendiri sambil cuba mempertahankan diri. Sehinggakan terlupa untuk mengawal suara agar tidak didengari Qisya yang berada di dapur.

“Memalukan kau? Kau jangan nak buat drama kat sini ya. Yang jadi mangsa kat sini ialah aku. Kau yang ceroboh masuk bilik aku tau!” bentak Dzaquan pula.

Hatinya benar-benar panas dengan kata-kata yang diucapkan Aneesa sebentar tadi. Seperti gadis itu sengaja mahu mencari salah dirinya. Dan dia akui, separuh kesilapan itu berpunca daripadanya juga. Entah apa yang merasuknya sehinggakan dia bertindak seperti itu. Dengan Aneesa pula tu.

Ah, dia memang sudah dirasuk syaitan durjana! Dan itulah sebab utama mengapa Islam melarang keras orang yang bukan muhrim duduk berdua-duaan. Kerana syaitan durjana pasti akan menjadi yang ketiga di antara mereka.

“Salah aku ke kalau kau yang mendorong aku untuk melakukannya?”

“Memang salah! Sebab semuanya berpunca daripada kau! Kalau kau tak sakitkan hati aku, pasti aku tak kan menjejakkan kaki dalam bilik kau. Dan pasti perkara tu tak kan berlaku!” jerit Aneesa kuat.

Marahnya pada Dzaquan kembali membara apabila ingatannya kembali melayarkan kejadian yang baru berlaku semalam. Seperti baru sahaja ia berlaku. Dan ditambah pula dengan jawapan yang diberikan Dzaquan semalam. Benar-benar membuatkan dia terluka. Siapa dia hingga sanggup mempermainkan aku sebegini rupa?

“Memang salah sebab kau cakap yang kau tak sengaja...tak sengaja belai aku...”

Kata-kata Aneesa terhenti di situ. Tak sanggup dia untuk meneruskan kata-
katanya itu kerana secara tak langsung akan terkena dirinya sendiri.

Kenapa dia membiarkan Dzaquan melakukan semua itu? Senang-senang sahaja membiarkan Dzaquan mengambil kesempatan ke atas dirinya. Wajah Dzaquan dipandang lagi.

“Kau ingat aku ni apa? Perempuan murahan ke?”

Dzaquan tersentak apabila mendengar kata-kata Aneesa itu. Dia sedar memang itu adalah salahnya. Dan dia tidak seharusnya mengikut kata hati sehinggakan sekali lagi dia membuatkan Aneesa terluka dengan perbuatannya itu.

“Aku...”

“Aku benci kau!” jerit Aneesa lagi sebelum melangkah meninggalkan Dzaquan sendirian di situ.

Hatinya benar-benar terluka setiap kali melihatkan wajah Dzaquan yang kelihatan tenang. Malah, kejadian semalam langsung tidak memberikan kesan pada lelaki itu.

Sedangkan dia? Hampir setiap saat dia berasa kesal dengan apa yang telah berlaku. Kesal kerana dialah yang memberikan peluang pada Dzaquan untuk bertindak seperti itu. Kesal kerana dia telah melanggar janji setianya pada Amsyar.

Dzaquan hanya mampu memandang Aneesa yang melangkah meninggalkan dirinya. Perasaan bersalah mengetuk pintu hatinya. Tapi entah mengapa bibirnya bagaikan terkunci untuk mengakui kesilapannya itu.

Air mata Qisya tiba-tiba mengalir membasahi wajahnya. Setiap butir bicara di antara Dzaquan dan Aneesa, didengarinya dengan jelas. Dia sendiri tidak mengerti, untuk apa dia menangis.

Apa yang dia tahu, Dzaquan semakin jauh daripadanya. Dan dia belum bersedia untuk melepaskan abangnya itu pergi daripada sisinya.




ps: DUKACITA dimaklumkan, DTA! tak sempat masuk pbakl 2013. Apa-apa berita mengenai DTA akan dimaklumkan kemudian. Yang pastinya, DTA untuk terbitan bulan JUN 2013

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.