Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
115,796
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 22
Bab 22

Pagi itu aku menunggu Fir di lobi hotel. Namun setelah hampir satu jam menunggu, kelibatnya langsung tidak muncul. Memang kami tidak berjanji untuk bertemu di sini. Dia juga tidak tahu yang aku menunggunya di sini. Tapi bila semalam dia berjanji untuk menemaniku lagi ke Taman Botani Kings Park, aku rasa tentunya kami akan keluar di sebelah pagi. Aku perasan yang dia nampak lain waktu kami pulang dari kediaman Azrai malam tadi. Aku tidak pasti mengapa? Tapi takkanlah pula itu sebabnya dia terlupa pada janji. Sebelum naik ke biliknya malam tadi, dia langsung tidak berkata apa-apa padaku. Setelah bersalaman dengan Azrai dia terus naik ke biliknya tanpa mengajak aku untuk naik bersama. Mempelawa aku untuk menaiki lif yang sama dengannya juga tidak. Agak tercengang-cengang juga aku dan Azrai buat seketika. Tapi bila memikirkan mungkin dia kepenatan sehingga bereaksi begitu membuatkan kami tidak memberatkan kepala untuk memikirkan halnya. Persoalan tentang itu juga terus kami abaikan saja.

“Macam tak nak temankan aje,” omelku sendiri setelah merasa jemu menunggu.

Memikirkan yang aku boleh pergi ke tempat itu bersendirian, maka aku bercadang untuk pergi sendiri saja. Mungkin Fir masih kepenatan sehingga terlajak tidurnya. Mungkin juga dia kurang sihat. Kalau begitu lebih baiklah jika dia berehat saja. Aku juga tidak kisah jika tidak ditemani olehnya. Bukan hal yang besar bagiku untuk pergi sendirian. Tambah-tambah bila aku berasa yakin untuk pergi sendiri. Ketika kaki mahu melangkah keluar meninggalkan hotel, aku teringatkan kameraku. Mencari-cari di dalam beg, memang sah tiada. Mungkin tertinggal di bilik hotel. Disebabkan itu, terpaksalah aku naik ke atas semula. Dengan langkah malas aku berpatah balik naik ke bilik. Sambil berjalan aku mengutuk diri. Orang cuai sepertiku memang selalunya kena buat kerja dua kali. Sangat membuang masa.

Keluar saja dari lif aku terpandangkan kelibat Fir yang sedang mengetuk pintu bilikku. Dari jauh aku sudah tersenyum sendiri. Entah mengapa, kelibatnya saja sudah menyenangkan hatiku. Rasa seronok bila sebenarnya dia masih sudi menemani. Lebih seronok bila dia tidak lupa pada janji. Aku memberi salam bila menghampirinya. Salamku dijawab perlahan.

“Zaira dari mana?” Tegurnya.

Bagi menjawab soalannya, aku memberitahunya yang aku dari bawah. Aku turut memaklumkan yang sudah hampir satu jam aku menunggunya. Hal itu memang sengaja mahu aku sampaikan untuk pengetahuannya. Teringin mahu tahu bagaimana reaksinya dengan makluman itu. Ada sedikit riak ralat terlukis di wajahnya. Namun tidak pula dia nampak bersalah. Tiada juga ucapan maaf yang dituturkan. Senyuman juga tidak kelihatan di wajahnya. Nampak pelik bila reaksinya tidak mesra seperti selalu. Tapi, apa juga keperluan untuk dia mahu sentiasa mesra denganku? Bila sudah begitu, aku tidak mahu menyerabutkan fikiran untuk memikirkan apa yang mengganggu moodnya. Untuk bertanya juga terasa tiada keperluan. Masalahku sendiri sudah terlalu sarat memenuhi kepala.

“Ingatkan tak nak temankan.” Ungkitku dengan nada mengusik.

Dia menggeleng-geleng saja.

“Dah janji, kenalah tunaikan.” Balasnya hambar.

Aku membalas kata-katanya dengan senyuman. Tiada balasan pula darinya. Wajahnya kekal selamba. Sudahnya aku menunduk. Terasa malu sendiri bila senyumanku tidak berbalas.

“Jomlah kita pergi sekarang.” Ajaknya sambil terus berjalan menuju ke lif.

“Tunggu sekejap, boleh? Zaira nak masuk bilik ambil kamera. Tertinggal tadi.” Maklumku.

Pastilah dengan maksud mahu dia menungguku sebentar.

“Abang tunggu Zaira kat lobi ajelah.” Sambutnya sambil meneruskan langkah tanpa menunggu balasan kata dariku.

Terasa tidak senang juga dengan tindakannya. Iyalah, aku sudahpun berada di hadapan pintu bilik. Sekadar membuka pintu bilik dan mengambil kamera pastinya tidak akan memakan masa yang lama sehinggakan dia tidak boleh menunggu di situ. Rasa macam pelik. Tapi seperti biasa, dengan orang yang tidak penting bagiku, perkara-perkara seperti itu tidak berada lama dalam fikiranku. Lebih-lebih lagi bila saja aku turun ke bawah, reaksinya sudah seperti sediakala. Sudah kembali ramah, mesra dan ceria. Jadinya reaksi sebelumnya mudah saja aku lupakan. Malah terus rancak pula aku berborak dengannya sepanjang perjalanan.

Waktu kami keluar, kelihatan ramai orang tempatan yang mahu keluar ke tempat kerja. Keadaan itu membuatkan aku terfikir untuk bertanyakan tentang pekerjaannya. Sengaja mahu berbasa basi tentang perkara yang terlintas di kepala saat itu.

“Fir kerja apa ya?” Soalku menyibuk hendak tahu pekerjaan orang.

Takut-takut juga untuk aku mengajukan soalan. Mengambil tahu hal orang bukan perkara yang biasa bagiku. Bila sesekali mahu buat perangai penyibuk memang terasa canggung. Tapi dah namanya pun berkawan. Dalam sesi berkenalan, tak salah rasanya hendak ambil tahu perkara-perkara yang dirasakan penting untuk diketahui. Lebih-lebih lagi bila ada banyak perkara yang sudah diketahui olehnya tentang diriku. Mana aci perkenalan satu hala saja kan? Daripada aku meneka-neka sendiri, lebih baiklah aku terus bertanya. Fir menyengih panjang dengan soalan berupa wawancara dariku.

“Kenapa Zaira nak tahu?” Soalnya spontan.

“Saja.” Balasku selamba.

“Yang pastinya abang bukanlah Tuan Majistret ataupun lawyer.” Jawabnya sambil tergelak-gelak perlahan.

Aku ikut tergelak sama mendengar jawapannya.

“Oh ya ke? Kalau macam tu haruslah kena reject oleh bakal mak mentua nanti.” Usik aku mengaitkan dengan jawapannya tadi. Fir tergelak-gelak lagi sambil mengiyakan kata-kataku.

“Itulah… kesian abang. Tapi kalau bakal mentua yang macam tu, sebelum dia reject abang, abang akan reject dia dulu. Sebab pilihan bukan di tangan mereka saja. Kalau bakal mentua boleh memilih menantu yang berkerjaya bagus, bakal menantu pun boleh memilih mentua yang berfikiran bagus. Yang tak menilai seseorang berdasarkan bidang pekerjaannya semata. Kalau semua orang nak bermenantukan majistret atau lawyer, siapa pula nak terima tukang masak atau tukang kayu sebagai menantu.” Ulasnya.

Betul juga tu. Aku sangat bersetuju dengan kata-katanya.

“Tapi kalau ahli muzik, laku juga sekarang ni orang nak buat menantu.” Tambahnya lagi mengaitkan dengan isu semasa. Aku mengiyakan kata-katanya. Sesudah itu kami berdua sama-sama ketawa. Boleh pula gosip pasal artis termasuk dalam perbualan kami.

So, Fir kerja apa?” Soalku mengulang soalan sebenar.

Rasa bertambah ingin tahu tentang pekerjaannya setelah mendengar ulasan-ulasan darinya.

“Abang kerja kat restoran. No office attire macam mereka-mereka tu.”

Fir menjawab soalanku sambil memandang mereka-mereka yang berjalan di sekitar kami dengan berpakaian pejabat. Bila dia menyebut restoran, terus saja aku terfikirkan yang dia ini seorang tukang masak. Lebih-lebih lagi bila tadi ada juga dia menyebut tentang tukang masak ketika bercakap tentang menantu dan mentua pilihan.

“Oh, mesti Fir ni chef kan? Tak hairanlah boleh memasak. Sangat pandai memasak lagi. Masakannya sedap pulak tu. Tentu besar gaji tukang masak ni kan. Sebab itulah boleh selalu pergi jalan-jalan ke merata tempat. Travel all around the world. Best bangat tu. Hmm… patutlah ramai orang yang nak jadi tukang masak sekarang ni. Tengok macam rancangan Mastercheftu, berlumba-lumba orang nak masuk. Rancangan masakan pun makin bertambah-tambah sekarang ni. Lepas ni, tukang masak pun mesti masuk senarai bakal mentua yang jenis memilih tu. Beruntunglah Fir.” Ujarku.

Dalam pada mengagak pekerjaan Fir, panjang pula rumusanku mengenainya. Fir tersenyum panjang dengan kata-kataku. Sepanjang masa aku berkata-kata, matanya tidak beralih dari memandangku. Ceritanya sebelum ini tentang negara-negara lain yang sudah dilawati membuatkan aku terfikir yang tentulah besar gaji tukang masak sehingga dia berkemampuan untuk selalu pergi melancong. Sebelum ini aku ada bertanyakan tempat-tempat menarik yang boleh aku lawati di lain kali. Memang dia memberikan beberapa tempat menarik berdasarkan pengalamannya ke tempat-tempat yang pernah dikunjungi. Ada banyak tempat yang diceritakan. Bukanlah dia saja-saja mahu bercerita. Rasanya kalau aku tidak bertanya, memang perkara itu tidak akan aku ketahui. Ini kerana Fir bukanlah lelaki yang suka membuka cerita tentang diri sendiri. Rasanya kalau boleh disimpan, memang dia akan simpan sendiri. Kalau aku tak bertanya memang takkan keluarlah cerita tentang itu.

“Zaira ni kan, kalau menangis macam tak nak berhenti. Kalau bercakap pun macam tu jugak. Petah betul mulut dia.” Kutuk Fir selamba.

Aku menyengih dengan kutukan Fir. Tidak langsung mengambil hati kerana itulah kebenarannya.

“Sebenarnya kalau kena ‘gu’ memang Zaira kuat bercakap. Kalau dapat bercakap jadi susah nak berhenti pulak. Err… membebel pun kuat juga tau. Lepas tu tak boleh berhenti jugak. Itu yang Ikmal pun naik bosan dan cari lain. Waktu sedih jadi senyaplah kejap.Macam sekarang ni lah. Menghayati wataklah katakan.”

Beria aku menerangkan. Sempat juga aku buat lawak di hujungnya. Dalam melawak ada kebenaran di dalamnya. Lebih-lebih lagi tentang hal berkaitan Ikmal. Fir nampak tidak senang bila aku mengungkit tentang perkara itu. Cepat-cepat saja dia kembali pada persoalan kami yang sebenar. Tentulah mahu mengelak aku kembali terserong mengenang kisah duka.

“Abang bukannya chef. Gaji pun taklah besar mana. Sebab itulah pergi berjalan seorang diri. Kalau nak bawak orang lain manalah mampu.” Balasnya merendah diri.

Tapi, mungkin itulah hakikatnya. Entah. Aku tak pasti. Takkan pula aku mahu menyelidik tentang berapa banyak pendapatannya. Tentang gaji ni memang sensitif sikit bagi sesetengah orang. Ramai orang yang mahu berahsia. Di slip gaji pun selalu bertulis private & confidential. Nampaknya dia juga tidak mahu berterus terang tentang pekerjaannya. Hanya menafikan pekerjaannya sebagai tukang masak tapi tidak pula menyebut pekerjaannya yang sebenar. Takpelah. Aku bukannya terdesak sangat mahu tahu. Lagipun, tak kiralah banyak atau tidak gaji seseorang tu. Tak kisahlah ternama atau terpinggir jawatan seseorang itu. Semua orang mempunyai peluang yang sama untuk memperbaiki diri mengikut rezeki masing-masing. Tak gitu?

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.