Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
115,791
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

Bab 12

Di stesen Fremantle, kami disambut mesra oleh Azrai dan 4 orang rakannya. Semuanya pelajar dari Malaysia. Azimuddin, Elisa, Maira dan Shanaz. Cukup peramah dan berbudi bahasa kesemuanya. Aku begitu seronok dapat berkenalan dengan mereka.

“Alamak! tadi I bayangkan, auntie dengan uncle yang you cakap nak datang tu dah berumur. Rupanya masih muda lagi orangnya. Kalau tengok dari rupa nampak macam student macam kita. Muka muda macam baya-baya kita aje.” Ujar Elisa.

Sambil ketawa Elisa berkata-kata sebaik kami bersalaman dan berkenalan. Aku dan Fir sama-sama mengangkat kening bila mendengar kata-kata yang berupa pujian itu. Tentulah seronok bila perbezaan jarak umur yang hampir 10 tahun itu tidak kelihatan di mata mereka.

“Jadinya, you all semua kena panggil Kak Zaira dengan Abang Fir ya. I seorang saja yang boleh panggil Acu dengan Uncle.” Sahut Azrai.

Kesemua teman-teman Azrai mencebik mendengarnya sambil menyelitkan kutukan buat Azrai yang nampak kedekut kerana tidak mahu berkongsi mak cik dan pak ciknya dengan orang lain. Azrai hanya menyeringai menerima cebikan dan kutukan itu.

“Ke sini untuk honeymoon eh, Kak Zaira dengan Abang Fir ni?” Soal Maira mesra dengan nada mengusik.

Aku dan Fir sama-sama mengangkat kening bila pandangan kami bertemu. Sebelum sempat aku mahupun Fir menjawab, Azrai sudah terlebih dahulu berdeham beberapa kali mencuri tumpuan semua.

“Eh, Acu dengan Uncle Fir I ni bukan suami isterilah. You all jangan salah faham pulak.” Jelas Azrai. Cepat-cepat dia menidakkan apa yang disangka oleh rakannya.

“Oh, jadinya adik beradiklah ya. Patutlah tak nampak pun jalan pimpin-pimpin tangan tadi.” Sambut Maira.

Tersengih-sengih pula dia menghabiskan kata. Memang Maira yang nampak paling ingin tahu tentang hubungan kami. Sekali lagi, lebih dulu Azrai memberikan maklum balasnya.

“Hmm, dah betullah tu. Abang dengan adik.” Balas Azrai sambil mengerling nakal kepada kami berdua.

“Kan?” Sambung Azrai lagi.

Matanya memandang pada aku dan Fir.

“Kan??” Ulangnya lagi bila nampak tiada reaksi dari kami berdua.

Bagaikan memaksa, Azrai meminta kepastian kami berdua sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. Seperti berjanji, kami berdua ikut mengangguk. Sesudah itu aku dan Fir saling berpandangan dan menyengih dengan kenyataan Azrai tanpa sedikit pun mahu menafikan apatah lagi menjelaskan perkara yang sebenar.

“Ohhhhhh.. “ Sambut semuanya panjang bagaikan serentak.

Aku, Azrai dan Fir sama-sama tersenyum selepas mendengar reaksi mereka yang tidak sedikit pun menunjukkan rasa ragu dengan perhubungan yang direka itu. Abang dan adik. Aku suka begitu. Ianya membuatkan aku terus rasa selesa untuk berada disamping Fir. Pastinya Azrai dan Fir juga mahu aku rasa begitu sepanjang percutian ini.

“Zaira okey ke dengan kaitan abang dan adik tu?” Soal Fir ketika kami mengekor Azrai dan rakan-rakannya keluar dari Stesen Keretapi yang waktu itu sedang padat di pintu keluarnya.

Aku mengangguk sambil tersenyum senang tanda aku tiada masalah dengan kaitan yang direka oleh Azrai itu. Fir nampak senang dengan reaksiku.

“Kalau adik, kena panggil abangnya ‘abang’ tau.” Tutur Fir perlahan dengan gaya mengiat.

Aku menggeleng perlahan sambil tersengih dengan kata-katanya. Walaupun berupa usikan, namun aku dapat rasakan yang dia memang benar-benar memaksudkannya.

“Tak semestinya kena panggil macam tu. Lagipun Zaira tak selesa. Zaira nak panggil Fir saja.” Aku memberitahunya secara berterus terang.

Tanpa jawapan, Fir sekadar mengangkat kening dan bahunya tanda tidak mahu menggesa atau memaksa. Namun entah mengapa ada riak lain di wajahnya. Reaksinya bagaikan panggilan abang itu terlalu bermakna untuknya.

“Tapi walau tak panggil abang pun, si abang tetap kena jaga adiknya baik-baik juga kan? Lebih-lebih lagi sebab adiknya ini isteri dan ibu orang yang seorang diri saja kat tempat orang ni.” Kataku dengan nada mengusik.

Dalam pada mengusik itu aku cuba menanamkan peringatan agar dia sentiasa ingat dan sedar tentang status yang aku pegang. Juga batasan yang perlu ada di antara kami berdua. Fir mengangguk-angguk tanda faham.

“Itu sudah semestinya. You can count on me, Zaira.” Balas Fir.

Begitu yakin pula dia memberikan jawapannya. Sambil itu dia memberikan laluan untuk aku berjalan mendahuluinya mengekori yang lain agar aku tidak terus ketinggalan di belakang. Ketika aku mengerlingnya, aku dapat lihat air mukanya masih tidak seceria sebelum ini. Oleh kerana dia bukanlah sesiapa yang istimewa untukku, maka perubahan air mukanya itu tidak lama berada dalam pemikiranku. Juga tidak menjadi perkara yang memberatkan kepalaku.

ZAIRA sedang berangan atau sedang merindu ni?” Tegur Fir. Meleret suaranya.

Pastinya dia perasan yang aku lebih banyak meminggirkan diri dari menyertai kemeriahan Azrai dan teman-temannya. Juga lebih suka menjauhkan diri dari berada dekat dengannya. Aku yang tersentak dengan tegurannya menghela nafas panjang sebelum dengan susah payah mengukir senyuman tawar. Terbang melayang ingatanku pada Zaril, Zarif dan Ikmal ketika itu.

“Zaira tak pernah berpisah dengan mereka lama-lama macam ni. Dah tentulah Zaira sedang merindu. I missed them so much.

Aku menjawab persoalannya secara jujur. Air mata yang bergenang di tubir mata cepat-cepat aku kuis dengan hujung jari agar ianya tidak terus meleleh ke pipi. Memang aku sedang merindu. Terlalu rindu sebenarnya walaupun baru dua hari aku berjauhan dari mereka. Sehingga jadi sebak dadaku mengingati mereka yang jauh di mata. Fir yang menyedarinya memandangku tenang. Senyuman tawar tersungging di bibirnya.

“Mereka yang dirindui tu, anak-anak saja atau…?” Soal Fir setelah seketika berlalu.

Aku tahu Fir sengaja membiarkan soalannya tergantung begitu. Dari riak wajahnya yang sedang mengajukan soalan, aku tahu dia sedang mendugaku dengan soalannya. Tentunya dia mahu cuba menceriakan suasana yang kelihatan suram di matanya. Aku tersenyum mendengar pertanyaannya itu. Lebih manis senyumanku bila wajah-wajah kesayangan kembali terbayang di depan mata. Nafas yang tadinya bagaikan tersekat-sekat aku hela panjang.

“Sudah tentulah kesemuanya sekali. Zarif, Zaril dan Ikmal.” Nama-nama insan kesayangan itu aku sebut satu per satu bagi memperkenalkan mereka kepada Fir.

“Zarif, Zaril, Ikmal.” Ulang Fir perlahan.

Gayanya seolah-olah cuba menghafal. Reaksinya bagaikan mahu nama-nama itu melekat di fikirannya.

“Tak perlu nak hafal. Mereka bukannya orang penting pun untuk Fir. Lainlah untuk Zaira.” Selaku.

Fir sekadar mengetap bibir sambil mengangkat keningnya. Langsung tiada komen darinya mengenai perkara itu.

“Walaupun Ikmal dah ada orang lain, tapi dia tetap orang yang Zaira rindui bila berjauhan begini. Terus terang Zaira cakap, dia lelaki pertama yang buatkan Zaira mengenal erti rindu. Walaupun sudah ada orang lain selain Zaira di hatinya tapi dia masih satu-satunya lelaki yang paling istimewa di hati Zaira. Sudah tentulah dia tetap menjadi insan yang akan Zaira selalu rindui.” Luahku.

Memang itulah kenyataannya. Sampai saat ini, Ikmal masih lagi lelaki yang satu di hatiku. Amat sukar untuk aku meminggirkan dia dari hatiku bila cintanya sudah aku paterikan di dalam hatiku sejak kami mula bercinta dulu. Terlalu istimewa diri Ikmal untukku. Atas sebab itulah aku masih kuat mempertahankan mahligai cinta dan kasih sayang kami walaupun gelombang besar yang menganas sedang merempuh ikatan kebahagiaan itu. Masih utuh pautan cintaku padanya sedangkan mungkin pautannya padaku sudah tidak sekukuh dulu. Alang-alang Fir sudah mengetahui tentang kisah aku dan Ikmal malam tadi secara kebetulan, maka terasa tiada perlunya aku berselindung menyembunyikan perasaanku. Juga apa yang sedang aku rasa saat ini. Kebelakangan ini, bercerita masalah dengan orang lain sedikit sebanyak memberikan aku kelegaan. Dapat juga meringankan fikiranku buat seketika waktu. Sebelum ianya kembali memberat bila masalah itu menerjah ke fikiranku lagi tanpa diundang.

“Jika kita sayangkan seseorang, memanglah dia sentiasa ada di dalam hati kita. Kerana di situlah tempat istimewa dia dalam diri kita.” Ujar Fir.

Aku mengangguk tanda mengiakan kata-katanya. Buat seketika matanya merenungku.

He is so lucky to have you, Zaira.” Ulas Fir.

Matanya sudah merenung jauh ketika dia mengucapkan kata-kata itu. Tidak lagi tertumpah padaku seperti tadi. Aku menarik nafas panjang mendengar kata-katanya.

“Itu kata Fir. Tapi tidak pada Ikmal. Sebab itulah ada insan bertuah lain di hatinya,” balasku.

Terselit rajuk dalam ayat itu. Kata-kataku membuatkan Fir berpaling. Mungkin cuba mempamerkan wajah yang dia bersimpati padaku. Wajah Ikmal dan insan bertuah itu tergambar di mata. Dengan kadar segera aku menutup mataku rapat-rapat. Berharap agar gambaran itu segera menghilang dari terus terlayar di ingatan.

“Betullah kan, Zaira. Orang yang memiliki sesuatu yang bernilai itu tidak merasakan diri mereka bertuah. Orang yang tidak mendapatnya yang melihat mereka itu bertuah. Sebab itu mereka tidak menghargai apa yang mereka miliki yang di mata orang lain sangat berharga. Sebab itu jugalah mereka selalu melepaskan sesuatu yang berharga itu kerana mereka tidak sedar yang tuah itu sudah dimiliki oleh mereka. Kalaulah tuah itu dimiliki oleh orang yang sepatutnya, alangkah bagusnya.” Ujar Fir.

Buat seketika, aku agak terpegun mendengar kata-katanya yang bagaikan meluahkan rasa hati. Bagaikan dia juga turut mengalami perkara yang sama. Bunyinya bagaikan dia sedang berjauh hati. Mungkin dirinya juga terdiri dari golongan insan-insan yang tidak dapat memiliki sesuatu yang bertuah itu. Kami senasib agaknya. Tidak sebertuah orang lain. Mungkin sebab itulah dia masih lagi bersendirian.

“Nilai sesuatu perkara itu tidak sama bagi setiap orang Fir. Nilai itu juga ada turun naiknya mengikut waktu dan keadaan. Begitu juga dengan nilai Zaira pada Ikmal sekarang. Dulu mungkin Zaira amat berharga dan adalah segalanya buat Ikmal. Tapi sekarang, pastinya sudah tidak begitu lagi.” Balasku perlahan.

Fir sekadar menghela nafas panjang mendengarnya. Seketika dia memandangku dan terangguk-angguk perlahan. Tentunya sebagai tanda memahami keadaanku sekarang. Tiada lagi komen yang keluar dari mulutnya selepas itu. 

Sehingga kini, aku masih terasa bagaikan gurauan bila Ikmal mengakui yang ada wanita lain yang sedang mengisi hatinya. Setiap hari aku berharap agar gurauan itu akan segera berakhir. Namun gurauan yang tidak kelakar dan tidak mampu membuatkan aku tertawa riang itu tetap mengisi hidupku. Gurauan itu tidak langsung dapat menceriakan hatiku. Sebaliknya hanya mengundah gulanakan hati dan perasaanku saja sehingga kini.


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.