Bab
5
Rambut yang masih lembab aku
sikat berulang kali. Selepas itu aku menyapukan krim malam ke muka. Disambung
pula dengan krim yang perlu aku sapukan
di bawah mata. Kemudian krim tangan dan badan aku lumurkan di seluruh tangan
dan kaki. Itulah rutinku setiap malam sebelum tidur. Sememangnya aku begitu
menitik beratkan penjagaan wajah dan kulit. Ini kerana aku tidak mahu menjadi
tua sebelum waktunya. Terasa rugi mahu mensia-siakan anugerah kurniaan ALLAH
ini tanpa penjagaan yang rapi. Dari cermin solek yang sedang ku tatap, aku
dapat melihat kelibat Ikmal memasuki bilik. Melalui cermin itu kami saling bertatapan. Dia dengan wajah
kosongnya. Aku pula dengan wajah polosku. Aku dapat lihat dia mendekat. Tanpa
kata bahu dan tengkukku diurut penuh lembut dan perlahan. Namun cukup melegakan
lagi menenangkan.
“Dah solat?” Soalnya.
Tidak lembut. Namun tidak juga
kasar. Santai saja bunyinya. Aku mengangguk. Dia ikut mengangguk-angguk
mendengar jawapanku.
“Jom tidur,” ajaknya.
Kali ini nadanya lembut. Sekali
lagi aku mengangguk. Selepas kembali menyikat rambutku berkali-kali barulah aku
bangun meninggalkan almari cermin.
“Kenapa berangin sangat tadi
tu?” Soal Ikmal.
Ketika itu kepalaku sudah
mendapat keselesaan bertemu dengan bantal yang lembut di atas tilam empuk. Tilam
yang menjadi lapik tidur kami sejak hari pertama kami bergelar suami isteri 9
tahun yang lalu. Bersama keluhan panjang, berkali-kali aku menggeleng. Malas
mahu mengulang bercerita kisah yang hampir sama setiap kali. Dia yang sejak
tadi memandang ke siling membalikkan tubuhnya mengadap padaku. Tangannya sudah
mendarat di pinggangku. Mata kami bertentangan.
“Mama?” Soalnya lembut.
Tanpa menjawab soalannya aku
mengetap bibir. Nafasnya dihela panjang menerima reaksiku.
“Janganlah ikutkan sangat
perasaan tu. Lain kali tak perlu nak ambil kisah tentang sikap mama. Lagipun awak
dah memang masak benar dengan perangai mama. Jadi tak perlulah nak terasa hati
sangat. Tak baiklah ada rasa sakit hati dengan mama sendiri.” Pujuknya penuh
pengertian.
Sememangnya Ikmal benar-benar
arif dengan masalah yang aku hadapi bersama mama. Sudah terlalu kerap aku
bercerita dan mengadu padanya. Cerita yang tidak pernah aku luahkan mahupun aku
kongsikan bersama orang lain. Namun tidak sekali pun dia mahu aku membalas
kekasaran mama terhadapku. Tidak pernah juga dia menyokong sikap tidak puas
hatiku kepada mama terus berterusan. Mahunya, aku tetap menghormati ibuku
sepenuh hati. Tanpa ada perasaan dendam dan tidak puas hati. Dia tidak mahu aku
menjadi anak yang tidak tahu diri. Anak yang tidak menghormati mama yang wajib
ditaati. Apa yang penting, dia mahu
mengelak aku dari menjadi anak yang derhaka kepada ibu kandungnya sendiri.
“Zaira dah cuba. Tapi masih
macam tak menampakkan hasil.” Aduku pada Ikmal.
“Cubalah lagi.” Balasnya dengan
nada memujuk.
Ikmal memang lelaki yang baik buatku. Juga menantu yang
baik untuk mamaku. Pujukannya yang penuh lembut selalu saja mampu membuatkan
rasa amarah yang aku simpan terhadap mama pudar dengan sendirinya. Mudah saja
kata-katanya meresap ke dalam hatiku lantas menyejukkan. Malah kerana dia
jugaklah aku jarang berkasar mahupun membentak-bentak di hadapan mama bagi
menunjukkan protesku. Dengan bimbingannya sebagai suami, dia mampu membuatkan
isterinya ini menjadi anak yang baik dan patuh kepada mamanya.
“Takkanlah dengan mama pun nak dibuat musuh. Tak eloklah
macam tu.” Nasihat Ikmal.
Sungguh, dia lelaki dan suami yang baik. Apalagi yang aku
perlukan selain mendapat suami yang menyayangi dan menghormati ibuku setanding
dengan ibunya sendiri. Walau bagaimanapun rajukku pada mama, walau apa pun
aduanku tentang mama, tetap juga dia mahukan aku mentaati mamaku sebagaimana
dia mahu aku mentaatinya sebagai suami.
Aku bersyukur kerana memiliki suami sepertinya. Lama aku memeluknya
tanda aku menghargainya. Namun pelukanku mula mengendur setelah mendengar
tegurannya.
“Saya tak sukalah awak lepaskan
kemarahan awak pada anak-anak macam petang tadi.”
Aku terdiam sebentar sebelum
mula mempertahanku diriku. Disamping mahu dia tahu apa yang ada di dalam hatiku
ketika itu. Juga tentang apa yang menyemarakkan api kemarahanku petang tadi.
“Okey, Zaira mengaku yang Zaira rasa tak puas hati dengan
mama. Tapi kemarahan Zaira pada Zarif dan Zaril petang tadi bukannya sebab Zaira
nak lepaskan kemarahan Zaira pada mereka. Tak terniat langsung nak jadikan
mereka sasaran Zaira untuk lepaskan geram.” Aku cuba membela diri.
“Habis tu, yang puting beliung petang tadi tu sebab apa?”
Soalnya bagaikan tidak mempercayai kata-kataku.
“Iyalah, siapa yang tak naik
angin. Rumah dah jadi macam tongkang pecah berseleraknya. Sedangkan masa Zaira
keluar tadi semuanya elok teratur. Penat tau Zaira kemas. Dah bersih Zaira
siapkan semua. Tapi bila balik semuanya jadi tunggang terbalik. Siapa yang tak
melenting?” Balasku.
“Biasalah tu. Budak-budak kan. Kalau nak rumah sentiasa bersih,
sentiasa kemas, baik tak payah ada anak.” Kata-katanya membuatkan darahku
mengelegak.
Berdesing telingaku mendengarnya.
Aku jadi tercabar.
“Kenapa Ikmal cakap macam tu
pulak?” Soalku bengang.
“Iyalah, bila rumah
bersepah, awak nak
marah-marah. Bila rumah tak bersih, awak naik angin. Bosanlah saya. Takpelah kalau
rumah kita tak sentiasa kemas. Bukannya ada orang dari Majalah Impiana nak
datang buat liputan pun.” Bidasnya.
Semakin mendidih darahku dibuatnya.
“Ikmal…” suaraku sudah mengigil
menahan geram.
“Zaira bukannya nak rumah kita
sentiasa bersih dan sentiasa kemas setiap masa. Zaira faham, anak-anak kita
kecil lagi. Masing-masing tengah naik. Lelaki pulak tu. Lasak bukan main. Tapi
biarlah rumah ni sentiasa sedap mata memandang. Kalau nak main, mainlah. Lepas
main kemaslah balik. Sudahlah semuanya Zaira kena buat sendiri. Ikmal bukannya
nak tolong. Sudahlah susah sangat nak tolong kemas dan nak tolong buat kerja
rumah. Minta tolong tengokkan anak-anak biar jangan bagi buat kecah pun susah
sangat.” Omelku berserta rungutan buatnya.
“Maknanya awak lepaskan marah kat budak-budak tu sebab sayalah
ya?” Duganya.
Aku terdiam. Nak kata ya, tidak
sepenuhnya kemarahanku yang mahu aku luahkan terhadapnya aku hamburkan kepada
anak-anak. Ini kerana anak-anak juga punya tanggungjawab untuk sama-sama
menjaga kebersihan rumah. Maka sebab itulah aku rasa mereka patut dimarahi. Nak
kata tidak pula, sememangnya ada juga niat di hati mahu dia sedar yang dia
bertanggungjawab di atas segala yang berlaku. Sudahnya aku diamkan saja. Ikmal
juga turut terdiam sama. Tentulah dia tidak puas hati bila anak-anaknya menjadi
mangsa kemarahanku hanya kerana sebab yang bagi dirinya amat tidak penting.
“Kalau Ikmal nak sama-sama
ambil peranan tentang hal ehwal dalam rumah ni, tentu Zaira tak selalu
marah-marah macam tu.” Ungkitku.
“Isteri orang lain pun buat
kerja rumah sendiri. Takde pun kecoh-kecoh macam awak.” Balas Ikmal dengan nada
bosan.
Sejak berkahwin, segala tugas
di rumah aku lakukan sendiri. Memasak, membasuh, mengemas, melipat, menyusun
dan segala hal ehwal rumah tangga terletak di bahuku. Jika dahulu takpelah juga
kerana hanya kami berdua. Waktu itu aku masih berkemampuan melakukan segalanya
sendiri. Maka dengan penuh keikhlasan aku merelakan hatiku untuk melakukan
segalanya dengan senang hati. Tanpa mengharapkan bantuan apatah lagi
meminta-minta bantuan darinya. Ikmal tidak pernah tahu apa-apa tentang
kepenatanku melakukan tugas di rumah. Aku juga tidak pernah mengeluh di
hadapannya. Tapi itu bukanlah bermakna aku akan terus mampu melakukan segalanya
tanpa ada yang mahu sama-sama menjaganya. Ya, sekadar ‘menjaganya’. Bukannya aku
mahukan dia melakukannya pun. Aku tahu tanggungjawabku. Aku boleh melakukannya
sendiri.
“Saya penatlah awak.” Itulah yang selalu keluar dari
mulutnya.
Macamkan aku ini tidak tahu penat. Ikmal bekerja. Aku
juga bekerja. Kami sama-sama memandu sendiri ke tempat kerja. Pulang ke rumah
pada waktu yang hampir senja selepas seharian keluar dari rumah sejak matahari
belum menampakkan cahayanya. Kalau dia penat di pejabat, aku juga begitu. Tiada
bezanya antara kami berdua. Pulang dari pejabat, bolehlah dia berkubang di
katil. Berbaring di sofa sambil mengulit akhbar yang tidak sempat dihabiskan
bacaannya semasa di pejabat. Aku pula perlu berkejar ke dapur. Mengulit periuk belanga di atas dapur sambil
melakukan tugas lain yang tidak pernah ada tarikh luputnya. Siap yang ini, yang
itu pula sudah sedia menunggu. Siap yang itu masih ada juga yang mengamit
perhatianku tanpa suara meminta aku menguruskannya pula.
Anak-anak juga perlu aku
tengok-tengokkan kerja sekolah mereka. Kena juga aku tumpukan perhatianku bila
mereka mahu mengaji di rumah. Namun, walau bagaimana sibuknya aku menguruskan rumah
tangga, bagaimana pentingnya semua tugas itu bagiku, juga betapa penatnya
tubuhku melakukan tugas-tugas itu, bagi Ikmal semua itu langsung tidak
penting. Bagaimanalah aku tidak selalu
naik angin? Memang Ikmal lelaki dan suami yang baik untukku. Namun dalam baik
itu tetap ada juga buruknya. Lumrah manusia. Ada lebih juga ada kurangnya. Begitulah juga
dengan Ikmal. Bab kerja rumah memang tak pernah menjadi tanggungjawab bersama.
Pada aku, itulah kekurangannya.