“SURIA balik beraya di mana tahun ni?”
Soalan dari Irma yang baru beberapa
bulan menyertai syarikat itu membuatkan Suria tersenyum sendiri.
“Suria tu kau tak payah tanya, Irma.
Dia tu isteri dan menantu yang bertuah. Setiap tahun, tak payah bergaduh nak
cabut undi pun dapat balik beraya di kampung sendiri.” Sampuk Hasni dengan nada
cemburu.
Semakin melebar senyuman Suria mendengar
sampukan dari Hasni. Untuk seketika Suria lebih seronok menjadi pendengar dari ikut
serta dalam perbualan tersebut.
“Iya ke? Tapi mentua Suria masih ada
lagi, kan?”
Seperti
tadi, Hasni juga yang lebih dulu memberikan jawapan untuk soalan yang Irma ajukan kepada Suria.
“Kalau masih ada lagi, kenapa boleh
balik ke kampung Suria saja tiap-tiap tahun?” Sanggah Irma selepas menerima
jawapan dari Hasni.
“Kan aku dah kata tadi, Suria ni beruntung.
Suami dia langsung tak kisah kalau kena balik beraya di kampung Suria setiap
tahun. Mentua dia pun tak banyak cerita. Takde nak kisah kalau tak balik beraya
dengan mereka. Jangan suami dan keluarga mentua kita. Pantang kita terlupa
giliran, dia orang dulu yang kelam kabut tolong ingatkan.”
Pada ketika itu, Hasni dan Suria sudah
berkongsi tawa. Wajah Suria juga sudah mempamerkan rasa bahagia bagi
menunjukkan betapa bertuah dan beruntungnya dia.
“Kau rasa, kau memang betul-betul
beruntung ke Suria?” Tegur Irma selepas
Hasni berlalu untuk menyiapkan tugasannya.
“Eh, mestilah aku rasa beruntung. Bukan
semua orang dapat peluang macam aku ni. Dahlah dapat suami yang boleh bertolak
ansur. Lebih bertuah bila aku dapat mentua yang sangat memahami.”
Kali ini, Suria sendiri yang menjawab
persoalan Irma dengan penuh bangga. Sudah biasa benar Suria mendengar soalan
seperti tu. Menerima soalan dari orang yang rasa cemburu dan tidak berpuas hati
dengan nasibnya yang cukup baik.
“Aku tak nafikan yang kau memang beruntung,
Suria. Aku juga mengaku yang aku cemburu dengan tuah kau. Tapi aku rasa, kau
dah salah gunakan sifat bertolak ansur suami kau. Kau juga terlupa untuk menghargai
mentua kau yang sangat memahami tu dengan sebaiknya. Pernah tak kau dan Hanif
fikirkan tentang perasaan mereka? Minta maaflah kalau kau terasa. Tapi sebagai
kawan, aku rasa aku patut menegur.” Penuh lembut Irma bersuara.
Tersentak Suria dengan teguran itu. Sebelum
ini, tiada siapa yang pernah mempertikaikan tentang perkara itu. Semua orang
seperti meraikan dan menyokongnya. Tanpa ada sesiapa yang mengambil kisah untuk
menyedarkan Suria tentang perkara itu.
“TAHUN ni kita balik beraya di kampung abang
ya.” Beritahu Suria kepada Hanif.
“Eh, kenapa pulak? Nanti tak meriahlah
raya kita tahun ni. Anak-anak pun tentu akan rasa bosan kalau balik beraya di
kampung abang. Maklumlah, keluarga abang tak besar macam keluarga Su.” Penuh
bertolak ansur Hanif terus memberi peluang untuk Suria dapat beraya bersama keluarganya
sendiri.
“Dah tujuh tahun kita tak pernah balik
beraya bersama keluarga abang. Su rasa, tahun ni biarlah kita beraya dengan
emak dan abah abang pulak. Dapat juga kita sambut raya bersama adik abang dan
keluarganya. Tentu anak-anak Mira seronok bila dapat beraya dengan sepupu
mereka.”
“Kalau dah Su kata macam tu, abang ikut
saja. Biar abang beritahu pada emak dan
abah.”
Tak bertangguh, Hanif mengambil telefon
dan menghubungi orang tuanya. Wajah
Hanif nampak cukup gembira ketika memaklumkan berita yang pastinya selama ini
ditunggu-tunggu oleh ibunya. Selama ini kerana sifat bertolak ansur, wajah
Hanif tetap berseri bila berterusan terpaksa beraya bersama keluarga Suria.
Tapi bila Suria pula yang bertolak ansur, wajah Hanif nampak lebih berseri dan
cukup ceria. Saat itu, Suria terasa cukup berdosa kerana telah begitu lama
mementingkan diri dan mengambil
kesempatan di atas kebaikan suami dan mentuanya.
“Su,
mak kirim salam. Mak juga ucapkan terima kasih pada Su.” Ujar Hanif lembut.
Sebak hati Suria ketika menerima salam
dan ucapan yang disampaikan oleh Hanif. Suria sedar, dia memang sangat beruntung
kerana mempunyai mentua dan suami yang sangat bertimbang rasa. Tidak pernah
mereka melahirkan rasa tidak puas hati di depan atau di belakangnya. Mereka
juga tidak pernah mengungkit tentang keburukan sikapnya.
“ASSALAMUALAIKUMWARAHMATULLAH…”
Alhamdulillah,
tahun ini dapat juga Suria bersama-sama dengan suami dan anak-anaknya untuk
menunaikan solat sunat hari raya di masjid. Selalunya setiap tahun pada waktu
ini, dia masih di rumah. Jika tidak sibuk di dapur, tentunya sedang menunggu
giliran untuk masuk ke bilik mandi. Keluarganya besar. Untuk makan keluarga
saja, persiapannya bagaikan mahu mengadakan kenduri. Untuk masuk ke bilik air
perlu beratur dan menunggu giliran. Di rumah keluarga Hanif, keadaannya agak
lapang. Sejak malam tadi, juadah untuk pagi ini sudah siap disediakan. Tanpa
perlu beratur dan mengambil giliran, pagi-pagi lagi dia sudah dapat mandi dan
bersiap.
“Lepas ni kita nak ke rumah siapa lagi?”
Penuh ceria Suria bertanya.
“Su dengan anak-anak tak penat ke?” Soal Hanif perihatin.
“Mana ada penat. Seronok tu adalah.”
Balas Suria dengan lembut sambil mengerling anak-anaknya yang langsung tidak
mengeluh.
Memang Suria dan anak-anak rasa teruja
dan berasa cukup seronok dapat ikut sama pergi menziarah ke rumah saudara mara
dan jiran-jiran. Jika beraya bersama keluarga Suria, aktiviti utama mereka
hanyalah berkumpul dan berbual-bual sambil melepak di depan televisyen.
Aktiviti ziarah dan menziarahi memang jarang menjadi agenda.
“Terima kasih Su, kerana sudi beraya
dengan keluarga abang. Terima kasih juga kerana memberi peluang dan
mengingatkan abang untuk menjadi anak yang lebih baik untuk emak dan abah.”
“Su
yang sepatutnya ucapkan terima kasih pada abang sebab dah banyak bertolak ansur
dengan Su. Su juga nak minta maaf sebab dah mengambil kesempatan di atas
kebaikan abang. Su jadi leka dan bangga diri dengan sikap tolak ansur abang.
Sebelum ni, Su ingat meriahnya raya ialah dimana kita akan beraya. Tapi
rupa-rupanya, meriahnya raya itu lebih besar pengertiannya. Bagaimana kita meraikan dan siapa yang kita
mahu raikan juga dapat memeriahkan raya
kita.”
Hanif tersenyum senang mendengar
kata-kata dari isterinya.
“Kenapa abang tak kisah bila terpaksa
beraya bersama keluarga Su setiap tahun?” Soal Suria.
“Semuanya kerana sayang, Su. Abang
sayangkan Su. Abang juga sayangkan keluarga Su sama macam mana abang sayangkan
keluarga abang sendiri. Sebab tu abang tak kisah walau di mana pun kita beraya.”
“Itulah juga sebabnya mengapa Su mahu kita
beraya dengan keluarga abang pula tahun ni. Su juga sayangkan abang dan
keluarga abang sama macam Su sayangkan keluarga Su sendiri. Su harap kita dapat
sama-sama menjadi anak yang lebih baik dan bertanggungjawab. Juga akan lebih mengambil berat dan perihatin
dengan perasaan orang tua kita.” Ujar Suria.
Semuanya memang kerana sayang. Pastinya
kerana sayang juga Irma menegur untuk menyedarkan sahabatnya yang sudah terleka
dan terlupa.