Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
115,790
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23

Bab 23

Pagi ini aku akan bertolak pulang. Pulang menemui insan-insan tersayang. Pulang ke tempat di mana seharusnya aku sentiasa berada. Cuti untukku mengubati hati yang luka nestapa sudah berakhir hari ini. Makanya, aku harus pulang untuk mengambil semula tanggungjawabku sebagai isteri dan ibu. Waktu berkemas, terdetik juga rasa tidak mahu pulang dek rajuk yang masih bersisa. Tapi kerinduan yang mendalam buat buah-buah hatiku membuatkan rajuk yang menyinggah segera aku kuis jauh ke tepi. Biar rasa tidak enak dan tidak patut itu pergi. Biar hatiku lapang untuk pulang. Bila rajuk sudah menghilang, rasa seronok untuk pulang mula menguasai diri. Namun dalam seronok, masih ada juga rasa takut yang bersulam di hati. Takut untuk menyandang jawatan baru sekembalinya aku ke sana nanti. Jawatan baru sebagai isteri pertama yang tidak pernah aku pohon. Mampu atau tidak, jawatan itu harus aku sandang juga.

Waktu mahu kesini, hatiku bagaikan tertinggal di sana. Waktu mahu kembali, terasa bagaikan hatiku tertinggal di sini pula. Wahai perasaan, janganlah kau terus bercelaru sebegini. Berkali-kali aku ingatkan diri sendiri. Aku ini seorang isteri. Aku ini juga seorang ibu. Aku ada tanggungjawab di sana. Janganlah kerana melayani perasaan menjadikan aku seorang wanita yang mengabaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadaku. Tak henti-henti hati ini berdoa agar aku tidak terikut-ikut dengan perasaan.

“Abang temankan Zaira ya.” Tawar Fir ketika kami bertemu di lobi hotel.

Tanpa dipinta, Fir menawarkan untuk menemani aku ke lapangan terbang. Aku menyambutnya dengan rasa berbesar hati. Azrai dan teman-temannya akan terus ke sana nanti selepas kelas. Dalam perjalanan, keinginanberceritaku mula susut. Waktu di lapangan terbang, terus hilang rasa untuk aku berbual. Setelah menguruskan segalanya kami mengambil tempat duduk sementara menunggu Azrai dan teman-temannya tiba. Aku diam. Fir juga ikut berdiam. Dia nampak begitu memahami keenggananku untuk berbual. Setelah kebisuan berlarutan aku lihat Fir bangun. Aku memandangnya namun tidak bertanya. Seketika Fir menghilang meninggalkan aku bersendirian. Tidak lama kemudian dia muncul kembali. Kali ini dia duduk di kerusi bersebelahan denganku. Rasanya inilah kali pertama dia duduk betul-betul di sebelahku. Sebelum ini tidak penah duduknya sedekat ini. Di dalam teksi untuk ke sini tadi pun, dia masih duduk di tempat duduk hadapan dan aku di belakang. Sama seperti beberapa hari yang lalu.

"Ini untuk Zaira." Tuturnya lembut.

Tangannya bagaikan menghulurkan sesuatu buatku. Sesuatu yang seperti dipegang. Tetapi tangannya kosong. Dahiku berkerut dengan pemberian yang tidak terlihat di mata. Aku jadi keliru seketika. Tertanya-tanya juga sendiri, bagaimana aku mahu menerimanya? Bagaimana aku boleh mengambilnya?

"Ini untuk Zaira. Tapi abang mahu menyimpannya. Sebab itu Zaira tak nampak dan tak boleh nak ambil.”

Fir menjawab persoalan yang tidak aku ajukan kepadanya. Tentunya dia dapat mengagak yang aku sedang tertanya-tanya. Dalam keliru, aku masih terangguk-angguk juga. Pemberiannya untukku, tapi mahu di simpan sendiri pula.

"Apa ni?” Soalku.

Sebelum menerima dan mengambil sesuatu, perlulah aku ambil tahu juga. Tak bolehlah hendak main terima dan ambil saja. Lebih-lebih lagi pemberian yang tidak kelihatan seperti itu. Jadinya aku bertanya.

"Ini kotak." Balasnya.

"Kotak?” Gumamku sambil memandang kotak yang tidak kelihatan itu.

Fir mengangguk. Kemudian dia tersenyum tawar sambil memandangku.

"Tinggalkan semua kesedihan dan ketakutan Zaira di dalamnya. Nanti abang tolong simpankan. Zaira cuma perlu bawa pulang rasa gembira, bahagia, cinta, kasih dan rindu Zaira untuk mereka saja. Yang lain biarlah Zaira tinggalkan di sini." Arahnya.

“Beg Zaira dahlah berat. Perasaan pun berat jugak. Tapi takkanlah Zaira nak tinggalkan barang-barang Zaira tu kan. Jadinya tinggalkan saja separuh perasaan Zaira yang memberat tu. Takkanlah Zaira nak angkut semuanya. Nanti tak larat pulak nak angkat.” Sambungnya lagi.

Beria dia mahu aku tinggalkan kesedihanku di sini. Aku tersentuh dengan keprihatinannya akan perasaanku. Jadi terharu dengan sikap mengambil beratnya. Mataku mula berkaca bila mengenang kepekaannya.

"Air mata yang nak keluar tu pun Zaira tinggalkan juga di dalamnya." Arah Fir lembut.

Aku tergelak kecil dengan arahannya. Macam tahu-tahu saja dia yang aku mahu menangis. Air mata sedih yang mahu keluar terus mengalir ke pipi. Aku menangis. Tapi bukan kerana kesedihan. Air mata kegembiraanku gugur. Gembira kerana terharu bila ada yang mahu mengambil berat soalku. Dalam menangis aku tetap ketawa dengan gelagatnya. Macam-macam ideanya untuk menceriakan hatiku.

"Zaira ada tanggungjawab besar di sana. Sebagai isteri dan ibu, Zaira tak boleh nak terus melayan kesedihan Zaira. Jadinya abang tak mahu Zaira bawa balik perasaan yang tak baik untuk kehidupan Zaira di sana. Cukup-cukuplah bersedih untuk perkara yang dah pun berlaku. Perkara yang Zaira tak mampu mengubahnya. Simpan kesedihan tu untuk hal-hal yang lain pulak. Zaira perlu kuat. Kuat demi anak-anak Zaira. Kuat untuk terus mempertahankan ikatan yang Zaira sendiri tidak mahu ianya berakhir. Zaira perlu kuat untuk terus membaja cinta bersama orang yang sangat Zaira cintai. Orang kuat barulah boleh menang. Takkanlah Zaira mahu kalah dalam perjuangan yang sudah sebelah kaki Zaira masuk ke gelangangnya. Zaira perlu ingat, bukan Zaira seorang yang ada masalah. Orang lain juga punya masalah. Yang membezakannya bukan apa masalah itu? Tapi bagaimana masalah itu ditangani.”

Panjang lebar Fir memberikan semangatnya kepadaku. Ada betulnya juga kata-katanya.

"Terima kasih Fir." Serak suaraku mengucapkan ucapan itu.

Aku perlu berterima kasih kepadanya bila dia berjaya mengembalikan mood sedihku kepada mood yang lebih ceria. Juga kerana semangat yang diberikan untuk aku menjalani kehidupanku dengan lebih baik lagi. Fir menjawab ucapanku perlahan sambil mengangguk-angguk. Mendung wajahnya memandangku.

“Dah penuh dah kasih Zaira yang abang terima. Tapi kalau Zaira nak bagi lagi memang abang tak tolak.” Sambutnya sambil tersenyum tawar.

Aku membalas senyumannya itu. Suka benar dia menjawab begitu setiap kali aku berterima kasih kepadanya.

“Sampai bila Fir nak pegang kotak tu?” Soalku menunujukkan sikap mengambil berat bila aku lihat tangannya masih seperti memegang kotak yang tidak kelihatan itu.

“Zaira dah tinggalkan semua kesedihan Zaira di dalamnya ke?” Soalnya semula.

Sambil tersenyum tawar aku mengangguk. Harap-harapnya begitulah. Ini kerana aku juga tidak mahu membawa pulang kesedihanku. Kalau diberikan peluang memang aku tidak mahu.

“Air mata?” Tambahnya lagi.

“Dah.” Balasku panjang sambil tersenyum malu.

“Fuh.. lega. Dah lengguh jugak tangan abang pegang kotak ni.” Fir meluahkan kelegaannya dalam ayat melawak.

Aku ketawa kecil mendengarnya. Dia juga begitu. Seperti biasa, dia tahu bagaimana mahu menceriakan hatiku.

“Kotak tu nanti Fir nak simpan di mana? Takkan nak terus pegangkan macam tu saja.” Perihal kotak yang tidak kelihatan itu masih mengganggu hatiku.

Fir memandangku lama sambil mengetap bibirnya.

“Abang nak tanam kotak ni di Kings Park. Kan Zaira kata nak tinggalkan kesedihan Zaira di sana. Lagipun, Zaira kan sukakan tempat tu. Jadinya setiap kali Zaira nak ingat tentang sedih, Zaira akan teringatkan tempat yang indah tu. Mana tahu, kesedihan akan berganti dengan keindahan dan kebahagiaan nanti.” Balas Fir.

Aku jadi terharu dengan jawapannya bila dia menggunakan kata-kata yang aku ucapkan semasa kami berada di Taman Botani itu semalam.

“Kalaulah Zaira dapat tinggalkan rasa sedih ni di sini, alangkah bagusnya…”

Terimbau pula impianku untuk meninggalkan kesedihanku di sana. Tidak sangka, Fir mahu menunaikannya walaupun ianya hanyalah sebagai simbolik saja.

“Kenapa Fir nak susah payah sebab Zaira?” Soalku.

Seperti biasa, jawapannya tentulah kerana aku adiknya. Katanya dia menunaikan tanggungjawabnya sebagai abang kepadaku. Kalaulah dia benar-benar abangku, pastinya aku sudah memeluknya tanda aku menghargai dirinya. Tapi dia cuma abangku di atas nama saja. Menjadi kesalahan untuk aku melakukan sebegitu bila dia bukan muhrimku. Pastinya semua itu tidak mungkin akan berlaku.

Kami terus berbual sehinggalah Azrai dan rakan-rakannya sampai. Bila dah ramai, perbualan menjadi semakin rancak. Dengan mereka-mereka ini, setiap perbualan akan jadi menarik. Pastinya nanti aku akan merindui mereka semua. Ada rasa sedih saat mahu berpisah. Maklumlah beberapa hari ini kami semua amat mesra bersama. Namun aku akur dengan adat bertemu dan berpisah. Panjang umur dapatlah kami berjumpa lagi.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.