Beberapa
buah Hospital Kerajaan dan Pusat Perubatan Swasta telah kami pergi untuk
mendapatkan rawatan. Segala bentuk ujian dan rawatan yang dicadangkan telah
dijalankan. Namun hasil keputusannya, tiada apa yang tidak kena dengan
kesihatan Khalif. Walaupun ada yang mengatakan ianya mungkin kanser, tapi
kesahihanya tidak dapat disahkan oleh pakar. Kami sekeluarga jadi buntu
dibuatnya. Setelah rawatan moden tidak berjaya, kami mencuba rawatan alternatif
islam pula. Hampir tidak terkira entah berapa rawatan yang telah kami cuba.
Namun sehingga kini, segala usaha masih tidak menunjukkan sebarang hasil yang memberangsangkan. ALLAH masih
belum beri keizinan untuk Khalif sembuh. Keadaan kesihatan Khalif terus merudum
dan semakin merosot dari hari ke hari. Sudahnya kami usahakan kembali dengan
rawatan di hospital.
“Naura...”
Panggil Khalif.
Aku yang
sedang membaca Al-quran di sisinya memberhentikan bacaanku untuk menyahut
panggilan darinya.
“Abang nak
minum?” Soalku lembut.
Khalif
menggeleng lemah.
“Abang rasa
tak selesa di mana? Nanti Naura cuba betulkan kedudukan abang ya.”
Khalif
tetap menggeleng sambil cuba memaniskan wajahnya. Wajah cengkung itu aku
pandang dengan penuh rasa sayang. Masih tidak hilang kacaknya dia di mataku
walaupun kini dia sudah tidak seperti dulu.
“Abang tak
apa-apa Naura. Naura tak perlu sentiasa berada di sisi abang. Abang okey.”
Rupa-rupanya
perkara itu yang membuatkan Khalif berasa tidak selesa.
“Abang tak
suka ya bila Naura sentiasa ada dengan abang?”
Sengaja aku
berpura-pura merajuk dengannya. Terketar-ketar tangannya cuba mencari tanganku.
Tentulah dia berniat untuk memujukku. Melihat dia begitu aku segera mendekatkan
diri padanya.
“Nauralah
kekuatan abang. Takkanlah abang tak suka bila Naura ada dengan abang. Tapi...
Naura juga patut teruskan kehidupan Naura. Abang faham kalau sesekali Naura
perlu uruskan perkara lain dan berada jauh dari abang.”
Suaranya
lemah, tapi semangatnya untuk berbicara tetap kuat. Dalam kebanyakan waktu,
memang semangatnya yang menjadi kekuatan buatnya sekarang.
“Abang
jangan risau. Naura sedang teruskan kehidupan Naura dengan baik sekarang ini.
Sentiasa berada di sisi abang adalah perkara yang terbaik untuk Naura teruskan
hidup. Abang tak perlu susah hati. Perkara ini tidak sedikit pun membebankan
Naura.”
“Thank you, sayang. Semoga Allah membalas
semua kebaikan Naura. Abang minta maaf, abang tak mampu nak membalasnya.”
“Siapa kata
abang tak boleh balas?” Persoalku.
“Dengan
apalah abang nak balas, Naura.” Luahnya lemah dengan riak ralat yang tidak
tersorok.
Aku
tersenyum tawar menyambutnya.
“Abang
boleh balas dengan membiarkan Naura selalu berada di sisi abang. Itu pun dah
cukup untuk Naura. Naura tak perlukan yang lain. Naura juga tak perlukan
kerisauan abang.”
Khalif
tersenyum memandangku. Tentunya dia sangat senang dengan kata-kataku. Namun,
senyuman orang yang sedang sakit pastinya tidak seceria mana. Namun manisnya
tetap dapat aku rasa. Ini kerana dialah gula hatiku.
HAMPIR sebulan aku menemani Khalif berkampung di
Hospital. Namun perkembangan kesihatannya tidak menunjukkan sebarang
peningkatan. Khalif juga sudah berasa tidak selesa dengan wayar-wayar yang
berselirat di tubuhnya. Akhirnya, kata sepakat diambil. Khalif dibawa pulang
kerumah setelah ujian dan rawatan mula memberi kesan yang lebih menyakitkan
tubuhnya. Kami sekeluarga
bertanggungjawab sepenuhnya jika apa-apa berlaku kepada Khalif. Itulah antara
perakuan yang ditandatangani oleh kami sebelum pihak hospital membenarkan
Khalif untuk dibawa pulang. Seorang jururawat juga diambil untuk membantu
merawat dan memantau kesihatan Khalif di rumah.
Sejak
pulang ke rumah, Khalif hanya terlantar di katil. Sudah tiada dayanya untuk
bangun. Aku pula masih sepenuh masa menjaganya dengan bantuan jururawat yang
diupah. Sekarang ini hanya susu yang masuk melalui tiub saja yang memberikan
sedikit tenaga kepadanya. Tiada makanan yang dapat ditelan. Simpati pada
suamiku tidak terluah dengan kata-kata. Disebabkan itu, aku mahu terus selalu
berada disisinya pada setiap waktu. Hanya itu yang mampu aku berikan kepada dia
yang aku sayang.
“Naura..”
Terpisat-pisat
aku bangun bila dikejutkan. Pandanganku pastinya akan terlekat pada Khalif yang
berada di hadapanku terlebih dahulu. Walaupun bukan dia yang bersuara
memanggilku. Sesudah itu barulah pandanganku beralih kepada Izran yang
mengejutkan. Berada bersama Khalif yang tidurnya lebih lama dan panjang dari
dia terjaga membuatkan tidurku juga lena. Khalif sangat lemah sekarang ini. Keadaannya
sangat mengusarkan aku dan kami semua. Disebabkan itu, waktu tidurku juga sudah
lari waktunya. Menunggu dia sedar kadang-kala membuatkan aku berasa cukup
letih. Bila sudah benar-benar keletihan aku juga akan ikut tertidur akhirnya.
“Bangun,
Naura. Dah lewat petang ni. Mama kata, sejak pagi Naura tak makan lagi.
Pergilah makan. Biar saya pulak yang jagakan abang.” Suruh Izran dengan nada
suara yang bersungguh.
Tentunya
dia mula risau akan keadaan dan rutinku yang tidak menentu sekarang ini. Aku faham akan kerisauannya dan semua orang.
Namun aku masih tidak sampai hati mahu
meninggalkan Khalif.
“Naura
perlu kuat dan sihat untuk jaga abang. Naura mesti makan dan lebih jaga
kesihatan untuk dapat jaga abang dengan baik. Pergi makan dulu ya.” Pujuk Izran
bila aku masih enggan berganjak.
Kata-kata Izran
ada benarnya. Tapi pada saat ini, aku tiada rasa untuk makan. Perutku juga
tidak sedikit pun berasa lapar. Bagaikan
memahami, Izran memberikan cadangannya.
“Pergi
segarkan diri dulu. Selepas itu barulah selera makan tu datang. Pergi mandi,
rehat sekejap kemudian makan.”
Izran mula
bertegas. Lambat-lambat, dengan rasa berat hati aku bangun juga untuk
meninggalkan Khalif.
“Jangan
risau, saya masih boleh diharap untuk jaga abang sebaik Naura.” Ujar Izran sedikit sinis
bila aku terus berada di situ.
Tentunya Izran
sengaja mahu membuatkan aku berasa serba salah. Aku mengetap bibir mendengar
kata-katanya. Dia juga begitu. Sejak Khalif sakit, kami tidak lagi saling
berlawan cakap. Dengan apa yang perlu aku hadapi, mungkin Izran tidak sampai
hati untuk mengenakan aku seperti dulu. Ketika aku sedang makan, Izran muncul
di dapur. Aku mula rasa tidak senang kerana risau jika Khalif ditinggalkan
bersendirian. Lebih-lebih lagi bila jururawat yang membantu juga sudah pulang.
“Mama nak
duduk bersendirian dengan abang.” Beritahu Izran yang sedar akan kerisauanku.
Penjelasannya
melegakan. Tanpa dipelawa, dia terus duduk untuk makan bersamaku.
“Ini lauk
kesukaan abang, kan?”
Tangannya
yang mahu menyeduk lauk di hadapannya tiba-tiba saja terhenti. Bergenang air
matanya bila melihat lauk kesukaan Khalif. Pastinya Khalif tidak dapat menjamah
makanan itu kerana dia tidak berupaya untuk menelan makanan. Air mataku sendiri
sudah menitis mengenangkan Khalif dan melihat Izran begitu. Untuk seketika kami
saling berpandangan sebelum sama-sama menyapu mata yang basah. Sejak
akhir-akhir ini air mata ahli di dalam rumah ini menjadi terlalu murah
harganya. Bila di hadapan Khalif, seboleh mungkin kami menahannya. Namun di
belakang Khalif, air mata kami kerap benar mengalir kerananya.
Seterusnya, kami cuba untuk makan tanpa ada sesiapa pun
yang mahu bersuara. Seperti aku, Izran juga nampak tidak berselera untuk
menghabiskan makanannya. Selera makan kami turut hilang seperti matinya selera
makan Khalif. Bila sudah tidak dapat meneruskan makan, yang berada di fikiranku
adalah mahu cepat-cepat kembali menemani
Khalif. Dalam pada mahu cepat-cepat meninggalkan dapur, aku terlanggar bakul
surat yang mama letakkan di sudut meja. Beberapa keping surat dan kad yang
terisi di dalamnya berterabur di lantai. Izran membantuku mengutip surat-surat
dan kad-kad itu. Ketika tangannya mahu menyentuh kad yang terakhir,
pergerakannya terhenti. Air mukanya berubah. Lambat-lambat kad undangan
perkahwinan Sofinas yang berada di lantai di ambil olehnya. Setelah seketika
membeleknya, kad itu disatukan kembali dengan kad dan surat-surat yang lain.