Bab
13
Sekejap tadi Fir yang datang menghampiriku. Duduk
seketika, berbual dan melayani aku meluahkan rasa hati. Kali ini giliran Azrai
pula. Nampaknya, takut benar mereka berdua andainya aku bersendirian melayani
kesedihanku. Sehinggakan tiada ruang untuk aku berlama-lama mengenang kisah
duka. Sudahnya, bagaikan menjadi tugas mereka pula untuk sentiasa bergilir menemani.
Aku memang tidak mengharapkan mereka menjadi peneman yang sentiasa ada untukku.
Namun bila mereka menunjukkan kesudian menemani wanita yang berhati walang ini,
pastinya aku begitu menghargai perhatian yang diberikan.
“Best tak naik
keretapi tadi?” Soal Azrai ceria.
Azrai
yang sangat arif tentang diriku tentulah maklum yang aku tidak pernah menaiki
keretapi sebelum ini. Penuh mesra gaya dia mengajukan soalan itu. Aku
mengangguk dan tersenyum kecil bagi menjawab soalannya.
“Azrai tahu, Acu tak pernah
naik keretapi. Kalau kat KL memang kita akan naik kereta ke mana-mana. Langsung
tak berpeluang nak naik keretapi. Sebab itulah Azrai minta Uncle Fir temankan Acu untuk datang ke sini naik keretapi tadi.”
Jelas Azrai.
Bagus betul anak saudaraku ini.
Cukup peka tentang diriku. Patutlah Fir tidak terkejut bila aku khabarkan
padanya tentang pengalaman pertamaku tadi. Dia sudah dapat makluman lebih awal
rupanya.
“Acu datang jauh-jauh nak bercuti di sini. Kata nak
lapang-lapangkan fikiran. Nak senangkan hati dan nak lupakan masalah dengan Uncle Ikmal untuk seketika. Tapi Acu masih
suka nak bawa diri jugak.” Ungkit Azrai.
Begitulah sikap Azrai. Dia
memang suka berterus terang. Sinis kedengarannya kata-kata itu walaupun nadanya
cukup berhemah. Namun menyedari yang Azrai tentunya tiada niat untuk menyindirku
membuatkan aku tolak ke tepi perasaan terasa hati itu. Hanya senyuman tawar
yang mampu aku berikan padanya bagi membalas kata-kata berupa ungkitan itu. Jika tadi Fir mengambil tempat di bangku
panjang yang bersetentang, Azrai pula memilih untuk berkongsi bangku
denganku. Aku berganjak sedikit ke
tepi. Memberi ruang untuk Azrai mengambil
tempat di sebelahku.
“Acu tak suka ya bila Azrai minta
Uncle Fir jemput Acu semalam dan
temankan Acu ke Fremantle hari ini? Acu tak selesa dengan Uncle Fir ke?” Duga Azrai padaku.
Dari soalannya dapat aku
rumuskan yang Azrai begitu prihatin dengan keselesaanku. Bagaikan dia bertanggungjawab
sepenuhnya untuk menjaga kebajikanku di sini. Mungkin Azrai merasakan soal itu
menjadi penyebab kepada sikapku yang lebih banyak mengasingkan diri. Cepat-cepat
aku menggeleng menidakkan sangkaannya.
“Eh, takdelah Azrai. Acu takde
masalah dengan Fir. Dia sangat okey. Nice
and friendly. Acu pun selesa dengan dia.” Balasku. Jujur dan ikhlas
melahirkan apa yang aku rasa.
“Azrai minta maaf sebab hari
ini pun Azrai tak dapat nak temankan Acu. Masih terpaksa minta tolong dari Uncle Fir untuk temankan Acu lagi.” Luah
Azrai.
“Serius, Acu takde masalah
tentang soal tu. Azrai jangan risaulah.” Tekanku.
Memang aku mahu Azrai tahu yang
perkara itu tidak menjadi hal untukku.
“Cumanya… Acu takut Fir yang rasa
tak selesa sebab kita terpaksa ‘libatkan’ dirinya juga.” Sambungku lagi, meluahkan
kegusaran andainya aku pula yang telah menyusahkan Fir.
“Soal itu Acu jangan risau. Waktu
Uncle Fir sampai sehari sebelum Acu
sampai, Azrai ada maklumkan yang Acu juga nak datang ke sini. Waktu Azrai
cerita pasal jadual Azrai yang padat sekarang ini, Uncle Fir yang beria-ia kata dia tak kisah kalau Azrai nak minta
tolong apa-apa darinya. Katanya dia pun tiba-tiba saja terfikir nak datang ke
sini dan takde apa-apa rancangan sendiri. Lagipun Uncle Fir memang pernah datang ke sini sebelum ini. Cumanya baru
ini Azrai dapat berjumpa dengannya.” Tambah Azrai lagi. Menceritakan kisah di sebalik
kesudian Fir.
Kesudian Fir menemaniku di saat
Azrai sibuk waktu ini adalah cukup bagus untukku. Sedangkan boleh saja andai
dia tidak mengambil kisah tentang diriku. Dia juga memang tidak memerlukan
Azrai untuk menemaninya di sini. Maka, sudah pastilah aku amat berbesar hati
dengan kebaikannya. Yang bukan saja sudi menemani malah dia juga nampak begitu mengambil
berat soal diriku.
“Kalau Azrai tak sibuk tentu
Azrai dapat temankan Acu sepanjang masa di sini tanpa perlu nak minta tolong
dari orang lain untuk temankan Acu.” Penuh kesal Azrai meluahkan rasa
ralatnya.
“Eh takpelah Azrai. Acu faham keadaan Azrai
sekarang. Final year kan? Mestilah sibuk
dengan macam-macam tugasan. Tentu ada
banyak hal. Acu faham sangat. Acu pun pernah melaluinya dulu. Acu yang silap
masa datang ke sini waktu Azrai tengah sibuk-sibuk ni. Menyibuk aje Acu ni.”
Balasku.
“Bukan Acu yang silap masa datang ke sini. Tapi Uncle Ikmal yang bodoh tu yang silap
masa nak buat perangai. Patutnya tak payah buat perangai langsung.” Sanggah
Azrai. Penuh kebencian bila nama Ikmal
disebut.
“Azrai…” Selaku panjang.
Azrai hanya menghela nafas panjang dan mengangkat bahunya
bagi membalas reaksiku yang nampaknya beria mempertahankan Ikmal. Lambat-lambat
kata maaf dipohon.
“Azrai minta maaf. Tapi itulah apa yang Azrai rasa.” Ujarnya perlahan.
Sekali lagi Azrai berterus
terang bagi meluahkan rasa yang dia
tidak kesal dengan kata-katanya tadi. Aku mengangguk tanda aku faham dan akur
dengan reaksi yang diberi. Tentulah Azrai turut rasa sakit hati bila ibu
saudara kesayangannya ini diduakan oleh lelaki itu. Aku masih beruntung
sebenarnya. Ini kerana masih ramai lagi yang menyayangi dan mengambil berat
tentangku di saat kasih sayang Ikmal sudah sedikit luntur buat diriku.
“Hari ni Azrai ajak kawan ramai-ramai biar suasana jadi
riuh dan ceria. Biar Acu tak fikirkan sangat hal yang sedih-sedih tu. Tapi Acu
tak suka rupanya.” Luah Azrai.
Kata-katanya membuatkan aku
rasa bersalah kerana lebih banyak mengasingkan diri ketika ada ramai orang yang
berada di sekelilingku. Tentulah cara aku itu menimbulkan tanda tanya dan riak tidak senang di hati Azrai. Mungkin
teman-temannya yang lain juga merasakan perkara yang sama.
“Eh, mana ada Acu tak suka. Acu seronok bila dia orang
ada sekali dengan kita. Seronok bila riuh dan kecoh macam ni,” sanggahku.
Kata maaf juga aku pohon agar
Azrai tidak tersalah tafsir. Juga sebagai tanda yang aku bersalah kerana nampak
seperti tidak menghargai rancangan sebenar Azrai untukku. Aku cuba menceriakan
wajah dan melemparkan pandanganku pada keriuhan teman-teman Azrai yang baru
disertai oleh Fir. Nampak gayanya seperti begitu menarik topik bicara mereka.
Sehinggakan riuh benar bunyinya. Kedengaran sedikit pelik bila Fir membahasakan
dirinya ‘Abang Fir’ ketika berbual dengan mereka. Sedangkan bila denganku,
hanya ‘abang’ saja yang digunakan sebagai ganti nama dirinya. Bagaikan gelaran
nama ‘abang’ itu khusus buat diriku seorang. Terasa aku begitu istimewa pula.
Mungkin kerana aku sedang menghadapi masalah membuatkan layanannya untukku menjadi sedikit istimewa berbanding
yang lain.
Aku memberikan senyumanku kepada Fir dan
teman-teman Azrai yang pada waktu yang sama berpaling membalas pandangan yang
aku lemparkan kepada mereka. Kepelikan yang aku rasakan tentang cara Fir membahasakan
dirinya segera hilang dari pemikiranku bila aku memberikan tumpuan sepenuhnya
pada perbualanku yang seterusnya bersama Azrai.