Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
115,807
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

Bab 21

Makan malam yang dirancang sambil lewa berlangsung dengan cukup sempurna. Makanan yang disediakan oleh Fir mendapat pujian dari semua. Termasuklah aku juga. Sangkaku, kami semua akan memasak bersama. Namun sebaik kami sampai tadi, Fir terus menyinsing lengan menyediakan segalanya. Tidak sangka pula yang Fir mahu memasak untuk kami semua. Lebih tidak sangka bila Fir pandai memasak. Malah sangat mahir memasak. Bantuan yang mahu dihulurkan oleh aku dan teman-teman Azrai ditolak dengan baik. Selepas sekejapan kelentung kelentang bersendirian dia keluar dengan juadah yang cukup istimewa. Kami menikmati makanan yang enak sambil rancak berbual-bual. Setelah seketika Fir kembali semula ke dapur. Kemudian dia keluar membawa hidangan pencuci mulut pula. Bertambah-tambah lagi pujian dan penghargaan buat Fir.

“Hebatlah Abang Fir ni. Kagum Elisa. Lelaki pandai masak ni nampak seksi tau.” Puji Elisa.

Nampak begitu teruja sekali dia memberikan pandangannya. Fir tersenyum kecil menerima pujian itu. Tiada langsung riak berlagak yang ditunjukkan. Wajahnya kekal biasa saja. Di mataku, dia nampak begitu merendah diri. Kami yang lain ketawa menyambut kata-kata Elisa. Namun Azimuddin menyambutnya dengan dehaman yang berkali-kali pula. Dehaman yang membuatkan Elisa terus menyambung komen seterusnya untuk menyelamatkan dirinya.

“Err.. tapi lelaki yang tak pandai masak lagilah seksi.” Tambah Elisa.

Tentulah kata-kata tambahan itu untuk mengelakkan Azimuddin dari berkecil hati. Kata-kata Elisa yang seterusnya cepat saja dipersetujui oleh Azimuddin dan Azrai.

“Betul, betul,” Sahut keduanya lantas melagakan telapak tangan sesama sendiri.

Sah-sah mereka berdua nia geng lelaki tak pandai memasak. Teman lelaki Maira yang kelihatan termangu kerana tidak memahami topik bicara dan bahasa yang kami gunakan nampak sedikit tercengang-cengang. Nampak besar sengihannya bila hal tersebut diketahui sesudah diterangkan oleh Maira.

High Five too.” Soraknya sambil melakukan perkara yang sama dengan Azrai dan Azimuddin. Masuk geng juga rupanya dia.

“Hmm.. kalau macam tu, maknanya Abang Fir yang paling tak seksilah malam ni sebab abang Fir pandai masak.” Sampuk Fir yang tiada geng.

“Alamak, macam mana nak jawab ni?” Sambut Elisa dengan aksi serba salah yang sengaja dibuat-buat.

Siap dengan gaya garu-garu kepala lagi. Kelihatan comel sangat. Kami yang lain tergelak-gelak dengan aksinya. Dia yang membuka topik itu tadi. Jadi, biar dialah yang menghabiskannya saja.

“Nak kata ya, macam tak best pulak sebab Abang Fir dah tolong masakkan makanan yang sedap-sedap malam ni. Nak kata tidak, nanti boyfriendElisa pulak terasa hati.”

Kata-katanya membuatkan orang lain turut berfikir sebelum mengiya mahupun menidakkan. Ini kerana, apa pun jawapannya tentulah mahu menjaga hati semua pihak.

So, apa kata kita biar Kak Zaira yang jawab.” Ujar Elisa cuba melepaskan diri.

Tak pasal-pasal, aku pula yang disabitkan untuk memberikan jawapan pada persoalan itu. Semua mata sudah tertumpu padaku. Fir memandangku tenang bersama senyumannya sambil menunggu jawapanku.

“Err…” Seketika aku berjeda.

Mahu memilih kata-kata yang sesuai dan paling tepat.

“Ini pendapat Kak Zaira ya. Ianya tak semestinya betul. Bagi Kak Zaira, seksi atau tidak bukannya kriteria yang penting mahupun yang utama untuk melengkapkan ciri-ciri lelaki pilihan. Pada Kak Zaira, setia dalam berkasih paling utama selepas memilih lelaki yang beriman. Seksi tu sekadar bonus. Ada pun okey. Takde pun takpe. Lagipun kalau sekadar seksi mahupun lebih seksi kalau setianya tak ada, tak guna jugak.” Begitulah jawapanku yang disebaliknya ada kaitan tentang Ikmal di dalamnya.

Fir mengangkat keningnya menerima jawapanku. Begitu juga Azrai. Pastilah keduanya maklum tentang kaitan yang tersirat itu.

“Jadinya kalau macam tu, antara lelaki pandai masak dengan lelaki seksi, yang mana satu pilihan terbaik pada Kak Zaira?” Soal Shanaz pula.

“Hmm.. yang itu terpulang pada keadaan. Kalau rasa nak perut sentiasa kenyang, mestilah lelaki pandai masak jadi pilihan. Tapi kalau nak mata kenyang, dah tentu-tentulah lelaki seksi yang jadi pilihan.” Balasku cuba berlucu.

Juga mahu melepaskan diri kerana aku sendiri tiada pilihan jawapan yang tepat.

So, malam ni, siapa yang nampak paling seksi di mata Acu?” Tanya Azrai.

Aku menyengih menyambut soalan membunuh dari Azrai. Tentunya dia mahu aku memberikan jawapan pada persoalan sebenar.

“Hmm.. Fir memang nampak seksi malam ni sebab dia menghidangkan makanan yang sangat lazat.” Fir mengangkat keningnya mendengar pujian dariku.

“Azrai juga memang selalu nampak seksi di mata Acu sebab Azrai kan anak buah kesayangan Acu.” Azrai tersenyum panjang menerima komen dariku. Aku perasan, pandangan Shanaz dan Azrai bertemu sebelum keduanya cepat-cepat mengalihkan pandangan ke arah lain. Ada rasa terkilan mencuit hatiku bila kasih antara mereka tidak berpanjangan.

“Azim, tentunya seksi jugak. Kalau tidak takkanlah Elisa susah nak pilih siapa yang paling seksi malam ni kan.” Sambungku lagi.

Tergelak-gelak Elisa dan Azimuddin mendengar kata-kataku.

“Albert pulak… “ seketika aku berjeda sambil memandang teman lelaki Maira itu.

Albert memandangku sambil memberikan senyumannya. Menunggu aku memberikan komen tentang dirinya. Maira juga nampak teruja untuk tahu pandanganku mengenai teman lelakinya.

“Mungkin Albert paling seksi kut. Sebab, ramai yang kata lelaki melayu kurang romantik berbanding lelaki mat saleh. Jadinya, kalau dah romantik tentunya lebih seksi.” Ulasku berdasarkan kata-kata yang selalu aku dengar mengenai perkara itu.

Juga selepas menilai layanan Albert yang memang nampak cukup bagus pada Maira. Maira tersenyum-senyum mendengarnya sebelum memberitahu pada Albert tentang pandanganku. Untuk memilih salah seorang daripada tiga pemuda melayu yang ada di hadapanku untuk gelaran yang paling seksi pastilah amat sukar. Jadinya, memilih mat salleh yang seorang itu adalah pilihan yang lebih mudah dan selamat buatku.

“Tapi Maira, seksi ke, romantik ke, tak perlu nak teroka waktu bercinta ni. Semua itu untuk selepas berkahwin ya. Bila kalian berdua dah ada hubungan yang sah disisi agama.”

Sambil itu aku tetap mahu memberikan peringatan. Agar mereka tidak terleka. Lebih-lebih lagi bila Albert masih tidak seagama dan tentunya tidak tahu apa yang boleh dan tidak boleh dalam agama islam. Maira mengangguk-angguk menerima peringatan itu.

“Insya-ALLAH, Kak Zaira. Terima kasih sebab ambil berat untuk ingatkan Maira. Mama dan papa pun selalu ingatkan perkara yang sama.” Balas Maira sambil memegang tanganku.

Aku rasa lega dengan penerimaan Maira yang positif itu. Walaupun sebelum menuturkan peringatan itu tadi aku rasa risau juga andai Maira menerimanya dengan pandangan aku mahu menjaga tepi kainnya.

Maira turut menceritakan serba sedikit tentang Albert yang sedang mendalami agama islam. Kali ini aku dan yang lain serentak mengucapkan rasa syukur mendengar berita yang sangat bagus itu. Semoga hidayah-NYA sentiasa ada untuk Albert.

“Apa yang penting, semua orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kira okeylah tu.” Tambah Shanaz neutral. Tidak berpihak pada sesiapa.

“Betullah tu. Tak kiralah seksi ke tidak. Romantik atau tidak. Yang penting, perhubungan yang terjalin mestilah dijaga dengan baik. Lebih-lebih lagi perhubungan sebelum berkahwin ini. Sebab kalau tak berjaga-jaga dan melanggar batasannya, tentu lebih banyak buruk dari baiknya. Nak menjawab dengan mak dan ayah satu hal. Nak menjawab dengan ALLAH macam mana pulak? Jadinya tak kiralah ada pasangan orang melayu seksi atau pun mat salleh romantik dan seksi, semuanya kena sentiasa beringat.” Tambah Fir.

Tentunya mahu mengingatkan diri sendiri dan kami semua. Seharusnya begitulah bila bergaul dengan mereka-mereka yang masih muda remaja. Kami yang sudah dewasa ini tentulah mempunyai tanggungjawab untuk sama-sama saling mengingatkan tentang perkara yang sudah mereka sendiri maklumi. Juga tentang perkara yang kami sendiri perlu menjaganya sebaik mungkin.

AZRAI menemani aku dan Fir pulang ke hotel. Walaupun agak menyusahkannya namun ianya menjadi satu kelegaan buatku. Untuk berjalan berduaan saja dengan Fir pada waktu lewat malam begitu terasa tidak wajar pula. Bila Azrai memang ada hal, aku tidak terasa apa untuk berjalan dengan Fir saja. Tapi bila Azrai berkelapangan, memang aku mahu Azrai sentiasa ada bersama kami. Jadinya bila Azrai mempelawa untuk menemani kami, cepat saja aku menyambutnya. Langsung tiada penolakan dari pihakku.

“Sekejap aje kan. Rasa macam Acu baru aje sampai sini. Lusa dah nak balik dah. Tak bestnya.” Keluh Azrai.

“Hah, lusa Zaira dah nak balik eh? Cepatnya.” Sampuk Fir.

“Iyalah, Uncle Fir pun akan balik sehari selepas Acu balik kan?” Ujar Azrai untuk mendapatkan kepastian dari Fir.

“Haahlah… Uncle akan balik juga.” Jawab Fir sambil tergelak-gelak.

Tentunya dia terlupa tentang itu.

“Amboi! sampai terlupa ya. Seronok sangat nampaknya bercuti di sini. Mungkin sebab ada Acu kut.” Usik Azrai.

Jelas di mataku yang Fir tersenyum malu menyambut usikan dari Azrai itu. Dia juga tidak langsung menafikan usikan Azrai. Mungkin, betullah tanggapan Azrai itu.

“Tipulah kalau Uncle Fir kata yang bukan itu sebabnya.” Jelas Fir membuat pengesahan.

Kata-katanya membuatkan aku berasa sedikit teruja. Manakan tidak, aku ke sini membawa kedukaanku. Tidak sangka pula bila dalam kedukaan, aku masih dapat memberikan kegembiraan buat orang lain pula.

“Betullah, Uncle Fir nampak serasi dengan Acu. Macam dah kenal lama. Cepat betul mesranya.” Komen Azrai.

“Mama kata, Uncle Fir dengan Acu memang dah kenal. Tapi Acu kata dia tak kenal pun dengan Uncle Fir sebelum ni. Mama tersilap kut.” Sambungnya membuka cerita tentang perkara itu kepada Fir.

Aduhai.. terasa tidak senang bila Azrai membuka cerita tentang perkara itu kepada Fir. Sedangkan aku memang sudah bercadang untuk bertanyakan hal tersebut kepada Kak Mar saja selepas pulang nanti. Aku memandang Fir untuk melihat reaksinya. Memang sedikit berubah wajahnya. Agak lama pandangan Fir tertuntas padaku.

“Patutlah….” Desisnya perlahan.

Namun aku dan Azrai masih mampu mendengarnya. Serentak pula aku dan Azrai bertanyakan apa yang ‘patutnya’ itu. Fir nampak seperti enggan menjawabnya. Dia menggeleng-geleng tanda tiada apa-apa sambil matanya terus memandangku. Aku membalas pandangannya bersama kerutan di dahi menagih penjelasan. Tapi dia hanya terus berdiam dan mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Sudahnya aku terus melupakan saja tentang perkara itu. Takkan pula aku mahu memaksanya menerangkan segala-galanya padaku. Dia sendiri nampak keliru. Mungkin benar tanggapan Azrai yang Kak Mar mungkin tersilap.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.