Bab
21
Makan malam yang dirancang sambil lewa berlangsung dengan
cukup sempurna. Makanan yang disediakan oleh Fir mendapat pujian dari semua.
Termasuklah aku juga. Sangkaku, kami semua akan memasak bersama. Namun sebaik
kami sampai tadi, Fir terus menyinsing lengan menyediakan segalanya. Tidak
sangka pula yang Fir mahu memasak untuk kami semua. Lebih tidak sangka bila Fir
pandai memasak. Malah sangat mahir memasak. Bantuan yang mahu dihulurkan oleh
aku dan teman-teman Azrai ditolak dengan baik. Selepas sekejapan kelentung
kelentang bersendirian dia keluar dengan juadah yang cukup istimewa. Kami
menikmati makanan yang enak sambil rancak berbual-bual. Setelah seketika Fir
kembali semula ke dapur. Kemudian dia keluar membawa hidangan pencuci mulut
pula. Bertambah-tambah lagi pujian dan penghargaan buat Fir.
“Hebatlah Abang Fir ni. Kagum Elisa. Lelaki pandai masak
ni nampak seksi tau.” Puji Elisa.
Nampak begitu teruja sekali dia
memberikan pandangannya. Fir tersenyum
kecil menerima pujian itu. Tiada langsung riak berlagak yang ditunjukkan. Wajahnya
kekal biasa saja. Di mataku, dia nampak begitu merendah diri. Kami yang lain
ketawa menyambut kata-kata Elisa. Namun Azimuddin menyambutnya dengan dehaman
yang berkali-kali pula. Dehaman yang membuatkan Elisa terus menyambung komen
seterusnya untuk menyelamatkan dirinya.
“Err.. tapi lelaki yang tak pandai masak lagilah seksi.”
Tambah Elisa.
Tentulah kata-kata tambahan itu untuk mengelakkan
Azimuddin dari berkecil hati. Kata-kata Elisa yang seterusnya cepat saja
dipersetujui oleh Azimuddin dan Azrai.
“Betul, betul,” Sahut keduanya lantas melagakan telapak tangan sesama sendiri.
Sah-sah mereka berdua nia geng
lelaki tak pandai memasak. Teman lelaki Maira yang kelihatan termangu kerana
tidak memahami topik bicara dan bahasa yang kami gunakan nampak sedikit tercengang-cengang.
Nampak besar sengihannya bila hal tersebut diketahui sesudah diterangkan oleh Maira.
“High Five too.” Soraknya sambil
melakukan perkara yang sama dengan Azrai dan Azimuddin. Masuk geng juga
rupanya dia.
“Hmm.. kalau macam tu, maknanya Abang Fir yang paling tak
seksilah malam ni sebab abang Fir pandai masak.” Sampuk Fir yang tiada geng.
“Alamak, macam mana nak jawab ni?” Sambut Elisa dengan
aksi serba salah yang sengaja dibuat-buat.
Siap dengan gaya garu-garu
kepala lagi. Kelihatan comel sangat. Kami yang lain tergelak-gelak dengan
aksinya. Dia yang membuka topik itu tadi. Jadi, biar dialah yang
menghabiskannya saja.
“Nak kata ya, macam tak best pulak
sebab Abang Fir dah tolong masakkan makanan yang sedap-sedap malam ni. Nak kata
tidak, nanti boyfriendElisa pulak terasa hati.”
Kata-katanya membuatkan orang
lain turut berfikir sebelum mengiya mahupun menidakkan. Ini kerana, apa pun
jawapannya tentulah mahu menjaga hati semua pihak.
“So, apa kata
kita biar Kak Zaira yang jawab.” Ujar Elisa cuba melepaskan diri.
Tak pasal-pasal, aku pula yang disabitkan untuk memberikan jawapan
pada persoalan itu. Semua mata
sudah tertumpu padaku. Fir memandangku tenang bersama senyumannya sambil menunggu
jawapanku.
“Err…” Seketika aku berjeda.
Mahu memilih kata-kata yang
sesuai dan paling tepat.
“Ini pendapat Kak Zaira ya. Ianya tak semestinya betul.
Bagi Kak Zaira, seksi atau tidak bukannya kriteria yang penting mahupun yang
utama untuk melengkapkan ciri-ciri lelaki pilihan. Pada Kak Zaira, setia dalam
berkasih paling utama selepas memilih lelaki yang beriman. Seksi tu sekadar
bonus. Ada pun okey. Takde pun takpe. Lagipun kalau sekadar seksi mahupun lebih
seksi kalau setianya tak ada, tak guna jugak.” Begitulah jawapanku yang
disebaliknya ada kaitan tentang Ikmal di dalamnya.
Fir mengangkat keningnya
menerima jawapanku. Begitu juga Azrai. Pastilah keduanya maklum tentang kaitan
yang tersirat itu.
“Jadinya kalau macam tu, antara
lelaki pandai masak dengan lelaki seksi, yang mana satu pilihan terbaik pada
Kak Zaira?” Soal Shanaz pula.
“Hmm.. yang itu terpulang pada
keadaan. Kalau rasa nak perut sentiasa kenyang, mestilah lelaki pandai masak
jadi pilihan. Tapi kalau nak mata kenyang, dah tentu-tentulah lelaki seksi yang
jadi pilihan.” Balasku cuba berlucu.
Juga mahu melepaskan diri kerana
aku sendiri tiada pilihan jawapan yang tepat.
“So, malam ni, siapa yang nampak paling seksi di mata Acu?” Tanya
Azrai.
Aku menyengih menyambut soalan
membunuh dari Azrai. Tentunya dia mahu aku memberikan jawapan pada persoalan
sebenar.
“Hmm.. Fir memang nampak seksi malam
ni sebab dia menghidangkan makanan yang sangat lazat.” Fir mengangkat keningnya
mendengar pujian dariku.
“Azrai juga memang selalu
nampak seksi di mata Acu sebab Azrai kan anak buah kesayangan Acu.” Azrai
tersenyum panjang menerima komen dariku. Aku perasan, pandangan Shanaz dan
Azrai bertemu sebelum keduanya cepat-cepat mengalihkan pandangan ke arah lain. Ada
rasa terkilan mencuit hatiku bila kasih antara mereka tidak berpanjangan.
“Azim, tentunya seksi jugak.
Kalau tidak takkanlah Elisa susah nak pilih siapa yang paling seksi malam ni kan.”
Sambungku lagi.
Tergelak-gelak Elisa dan
Azimuddin mendengar kata-kataku.
“Albert pulak… “ seketika aku
berjeda sambil memandang teman lelaki Maira itu.
Albert memandangku sambil
memberikan senyumannya. Menunggu aku memberikan komen tentang dirinya. Maira
juga nampak teruja untuk tahu pandanganku mengenai teman lelakinya.
“Mungkin Albert paling seksi
kut. Sebab, ramai yang kata lelaki melayu kurang romantik berbanding lelaki mat
saleh. Jadinya, kalau dah romantik tentunya lebih seksi.” Ulasku berdasarkan
kata-kata yang selalu aku dengar mengenai perkara itu.
Juga selepas menilai layanan
Albert yang memang nampak cukup bagus pada Maira. Maira tersenyum-senyum
mendengarnya sebelum memberitahu pada Albert tentang pandanganku. Untuk memilih
salah seorang daripada tiga pemuda melayu yang ada di hadapanku untuk gelaran
yang paling seksi pastilah amat sukar. Jadinya, memilih mat salleh yang seorang
itu adalah pilihan yang lebih mudah dan selamat buatku.
“Tapi Maira, seksi ke, romantik
ke, tak perlu nak teroka waktu bercinta ni. Semua itu untuk selepas berkahwin
ya. Bila kalian berdua dah ada hubungan yang sah disisi agama.”
Sambil itu aku tetap mahu
memberikan peringatan. Agar mereka tidak terleka. Lebih-lebih lagi bila Albert
masih tidak seagama dan tentunya tidak tahu apa yang boleh dan tidak boleh
dalam agama islam. Maira mengangguk-angguk menerima peringatan itu.
“Insya-ALLAH, Kak Zaira. Terima
kasih sebab ambil berat untuk ingatkan Maira. Mama dan papa pun selalu ingatkan
perkara yang sama.” Balas Maira sambil memegang tanganku.
Aku rasa lega dengan penerimaan
Maira yang positif itu. Walaupun sebelum menuturkan peringatan itu tadi aku
rasa risau juga andai Maira menerimanya dengan pandangan aku mahu menjaga tepi
kainnya.
Maira turut menceritakan serba
sedikit tentang Albert yang sedang mendalami agama islam. Kali ini aku dan yang lain serentak mengucapkan rasa syukur
mendengar berita yang sangat bagus itu. Semoga hidayah-NYA sentiasa ada untuk
Albert.
“Apa yang penting, semua orang ada kelebihan
dan kekurangan masing-masing. Kira okeylah tu.” Tambah Shanaz neutral. Tidak
berpihak pada sesiapa.
“Betullah tu. Tak kiralah seksi
ke tidak. Romantik atau tidak. Yang penting, perhubungan yang terjalin mestilah
dijaga dengan baik. Lebih-lebih lagi perhubungan sebelum berkahwin ini. Sebab kalau tak berjaga-jaga dan melanggar
batasannya, tentu lebih banyak buruk dari baiknya. Nak menjawab dengan mak dan
ayah satu hal. Nak menjawab dengan ALLAH macam mana pulak? Jadinya tak kiralah
ada pasangan orang melayu seksi atau pun mat salleh romantik dan seksi, semuanya kena sentiasa beringat.” Tambah Fir.
Tentunya mahu mengingatkan diri
sendiri dan kami semua. Seharusnya
begitulah bila bergaul dengan mereka-mereka yang masih muda remaja. Kami yang
sudah dewasa ini tentulah mempunyai tanggungjawab untuk sama-sama saling
mengingatkan tentang perkara yang sudah mereka sendiri maklumi. Juga tentang
perkara yang kami sendiri perlu menjaganya sebaik mungkin.
AZRAI menemani
aku dan Fir pulang ke hotel. Walaupun agak menyusahkannya namun ianya menjadi
satu kelegaan buatku. Untuk berjalan berduaan saja dengan Fir pada waktu lewat malam begitu terasa tidak wajar
pula. Bila Azrai memang ada hal, aku tidak terasa apa untuk berjalan dengan Fir
saja. Tapi bila Azrai berkelapangan, memang aku mahu Azrai sentiasa ada bersama
kami. Jadinya bila Azrai mempelawa untuk menemani kami, cepat saja aku
menyambutnya. Langsung tiada penolakan dari pihakku.
“Sekejap aje kan. Rasa macam Acu baru aje sampai sini.
Lusa dah nak balik dah. Tak bestnya.”
Keluh Azrai.
“Hah, lusa Zaira dah nak balik eh? Cepatnya.” Sampuk Fir.
“Iyalah, Uncle Fir
pun akan balik sehari selepas Acu balik kan?” Ujar Azrai untuk mendapatkan
kepastian dari Fir.
“Haahlah… Uncle
akan balik juga.” Jawab Fir sambil tergelak-gelak.
Tentunya dia terlupa tentang
itu.
“Amboi! sampai terlupa ya. Seronok sangat nampaknya
bercuti di sini. Mungkin sebab ada Acu kut.” Usik Azrai.
Jelas di mataku yang Fir tersenyum malu menyambut usikan
dari Azrai itu. Dia juga tidak langsung menafikan usikan Azrai. Mungkin,
betullah tanggapan Azrai itu.
“Tipulah kalau Uncle Fir kata yang bukan itu sebabnya.”
Jelas Fir membuat pengesahan.
Kata-katanya membuatkan aku
berasa sedikit teruja. Manakan tidak, aku ke sini membawa kedukaanku. Tidak
sangka pula bila dalam kedukaan, aku masih dapat memberikan kegembiraan buat orang lain pula.
“Betullah, Uncle
Fir nampak serasi dengan Acu. Macam dah kenal lama. Cepat betul mesranya.”
Komen Azrai.
“Mama kata, Uncle Fir dengan Acu memang dah kenal.
Tapi Acu kata dia tak kenal pun dengan Uncle
Fir sebelum ni. Mama tersilap kut.” Sambungnya membuka cerita tentang
perkara itu kepada Fir.
Aduhai.. terasa tidak senang
bila Azrai membuka cerita tentang perkara itu kepada Fir. Sedangkan aku memang sudah
bercadang untuk bertanyakan hal tersebut kepada Kak Mar saja selepas pulang
nanti. Aku memandang Fir untuk melihat reaksinya. Memang sedikit berubah
wajahnya. Agak lama pandangan Fir tertuntas padaku.
“Patutlah….” Desisnya perlahan.
Namun aku dan Azrai masih mampu
mendengarnya. Serentak pula aku dan Azrai bertanyakan apa yang ‘patutnya’ itu. Fir
nampak seperti enggan menjawabnya. Dia menggeleng-geleng tanda tiada apa-apa
sambil matanya terus memandangku. Aku membalas pandangannya bersama kerutan di
dahi menagih penjelasan. Tapi dia hanya terus berdiam dan mengalihkan
pandangannya ke tempat lain. Sudahnya aku terus melupakan saja tentang perkara
itu. Takkan pula aku mahu memaksanya menerangkan segala-galanya padaku. Dia
sendiri nampak keliru. Mungkin benar tanggapan Azrai yang Kak Mar mungkin
tersilap.