Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
128,605
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

Bab 8

Penerbangan yang mengambil masa selama lima jam itu tiba juga ke destinasinya dengan selamat. Barisannya agak panjang ketika beratur di imigresen. Ini kerana ada dua atau tiga penerbangan yang mendarat pada waktu yang hampir sama. Mujur aku tidak membawa apa-apa barangan yang tidak di benarkan seperti makanan tertentu ataupun produk tenusu. Itupun setelah dimaklumkan awal-awal oleh Kak Mar dan along. Maka tanpa perlu beratur lagi untuk pemeriksaan kastam aku terus saja keluar dari dewan pemeriksaan tanpa perlu Pegawai Imigresen memeriksa bagasiku.

Ketika aku tertoleh-toleh mencari kelibat Azrai, telefon bimbitku menerima pesanan ringkas darinya. Azrai memohon maaf kerana tidak dapat datang menjemputku dengan alasan kuliahnya telah dipanjangkan masanya hari itu sebagai mengantikan kelas yang terlepas beberapa hari sudah. Menurutnya lagi Uncle Fir yang akan datang mengambilku.

Uncle Fir mana pulak ni? Siapa pulaklah yang Azrai minta tolong ambilkan aku di sini?’

Dalam pada tertanya-tanya dan bermonolog sendiri, tanpa sedar troli yang aku tolak telah melanggar seseorang yang sedang membelakangiku. Bila berjalan sambil berangan, begitulah jadinya. Sampaikan orang pun aku boleh langgar. Tanpa menunggu orang itu berpaling, aku sudah terlebih dahulu mengucapkan kata maaf. Ini kerana memang aku amat menyesali akan kecuaianku. Aku juga bimbang sebenarnya andai kecuaianku boleh menaikkan api kemarahan orang tersebut. Tambah-tambah lagi di tempat orang dan aku pula bersendirian. Siapa pula yang akan mempertahankan aku nanti.

‘Ish.. kalutnya aku ni.’ Omelku di dalam hati memarahi diri sendiri.

Dia yang bagaikan sedang mencari-cari seseorang hanya menoleh sekilas padaku sambil mengangkat sedikit tangannya tanda tidak mengapa. Aku lega walaupun agak tersentak juga kerana dalam ramai-ramai orang berkulit putih di lapangan terbang ini, boleh pula aku terlanggar dengan pemuda melayu. Dalam tersentak aku terus menolak troli sambil mata ini terus mencari insan yang bernama Fir yang aku sendiri tidak kenali.

“Minta maaf, ini Zaira kan?” Tegur satu suara yang aku pasti milik pemuda yang telah aku langgar tadi.

Aku dapat mengagaknya kerana dia berbahasa melayu. Lembut nadanya menyapaku. Laju aku berpaling kepadanya dan mengangguk dengan wajah penuh kejutan kerana dia mengenaliku. Dia tersenyum membalas reaksiku. Senyumannya manis sekali. Orangnya nampak sedap mata memandang walaupun pakaiannya tidak sekemas mana dan cukup santai. Hanya jeans lusuh dan t-shirt yang diluarnya disarung kemeja kotak-kotak berlengan panjang yang sudah dilipat hingga ke siku masih membuatkan dia nampak kacak. Entah kenapa, aku tidak menyedarinya sejak tadi. Mungkin kerana tadi aku tidak mengamati dirinya seperti mana aku mengamati dirinya kini. Mengamatinya dengan kerutan di dahi sambil berteka teki sendiri. 

'Siapa mamat ni eh?'

“Fir.” Lelaki itu menyebut namanya memperkenalkan dirinya.

Tentunya dia mahu cuba memberi klu kepada teka teki yang cuba aku selesaikan. Kedengaran sedikit teragak-agak dan janggal untuk dia mengenalkan dirinya dengan nama itu kepadaku. Namun nadanya mesra. Mungkin reaksiku yang mengamati dirinya membuatkan dia terpanggil untuk mengenalkan dirinya. Namun dari namanya saja memang aku tidak mengenali siapa dirinya. Bila dia tidak menghulurkan tangannya untuk bersalaman, makanya aku juga ikut tidak berbuat begitu.

“Fir?” Soalku dengan wajah penuh tanda tanya.

Sambil itu kepala ini ligat berpusing untuk mengingati siapakah pemuda di hadapanku ini. Di manakah kami pernah bertemu? Ini kerana namanya seperti pernah ku dengar.

“Ya, Fir. Azrai minta abang tolong jemput Zaira di sini.” Tuturnya mesra dan ramah membalas soalan dan kerutan di wajahku.

Nadanya kedengaran begitu santai dan mesra bagaikan kami saling mengenali. Bersahaja pula dia membahasakan dirinya ‘abang’ kepadaku

“Oh, Uncle Fir…” Meleret suaraku.

Semerta ingatanku terbawa kepada sms kiriman Azrai tadi. Dalam keadaan fikiran yang tidak menentu kini, mudah benar aku menjadi seorang yang pelupa. Serentak dengan itu kiriman MMS yang mengandungi gambar lelaki itu pula dikirim oleh Azrai kepadaku. Katanya takut-takut aku tersalah orang. Setelah meneliti gambar yang dikirim oleh Azrai, barulah aku mengangkat muka memandangnya. Di dalam gambar nampak biasa, tapi di luar ini dia nampak begitu segak. Lelaki itu sedang tersenyum manis memandangku.

Uncle Fir tu untuk Azrai. Fir atau abang saja untuk Zaira tentu lebih baik.” Balasnya memberi respon pada kata-kataku tadi sambil tersenyum kecil.

Sekadar untuk mengambil hatinya aku tersenyum juga menyambut kata-kata yang aku anggap sebagai gurauan. Sedangkan sebetulnya aku merasa begitu kekok dan tidak selesa bila dia membahasakan dirinya abang kepadaku. Lebih kekok untuk aku pula memanggilnya abang. Ikmal sendiri tidak pernah membahasakan dirinya abang padaku. Jadinya, tentulah janggal jika ada orang lain yang membahasakan dirinya abang sahaja tanpa diikuti namanya kepadaku. Tidak kisahlah walaupun hakikatnya dia lebih berusia dariku. Mungkin bagi orang lain perkara itu biasa saja. Tapi bagiku ia bagaikan sesuatu yang luar biasa. Ini kerana aku tidak biasa. Untuk seketika tiada perbualan yang berlaku di antara kami. Untuk beberapa minit kemudiannya, tanpa suara kami hanya saling pandang memandang. Cuba mencari keserasian untuk memulakan perbualan. Canggung juga rasanya untuk berbual dengan seseorang yang nampak seperti begitu mengenali, namun aku langsung tidak mengenali dirinya. Dia pula nampak teragak-agak untuk bersuara bila reaksiku nampak seperti serba tidak kena.

“Err…” Bagaikan berjanji serentak kami bersuara menggunakan patah perkataan yang sama sebelum saling memaniskan muka. Dengan isyarat mata dia memberikan laluan untukku bersuara terlebih dahulu.

“Kita ada nak tunggu sesiapa lagi ke?” Soalku.

“Mana yang lain?” Soalnya kembali.

“Yang lain?” Soalku semula. Tidak memahami siapa yang dimaksudkan dengan yang lain itu.

“Iyalah. Mana suami dan anak-anak Zaira? Takkanlah Zaira datang bercuti ke sini seorang diri pulak.” Balasnya bagaikan aku terlupa tentang keluargaku.

Kelat senyuman di wajahku mendengar kata-katanya. Perasaan hampa dan sedih yang aku bawa sejak meninggalkan tanah air sebentar tadi kembali bertamu di hati. Gaya soalannya bagaikan dia mengetahui segalanya tentang diriku. Siapa sebenarnya pemuda ini?

“Sebenarnya memang Zaira datang ke sini seorang. Mereka semua tak ikut.” Suara yang bergetar cuba aku sembunyikan sebaik mungkin agar tidak kedengaran di telinganya juga di telingaku sendiri.

“Oh…” balasnya pendek sambil terangguk-angguk.

Itu saja yang mampu dibalas olehnya. Terkesan riak tidak percaya bercampur hairan di wajahnya. Melihat dari gayanya bagaikan dia ingin bertanyakan sesuatu. Namun tentunya wajah keruhku membuatkan dia tidak meneruskan niatnya. Bila tiada siapa lagi yang mahu ditunggu, maka terus saja dia mengajakku menaiki teksi menuju ke hotel yang telah ditempah oleh Azrai untukku. Sepanjang perjalanan aku leka memerhati keadaan sekeliling tempat yang baru pertama kali aku sampai. Sesekali aku memasang telinga pada perbualan Fir yang duduk bersama pemandu teksi di tempat duduk hadapan. Untuk menyampuk jauh sekali. Dari perbualan yang berlangsung di antara dia dan pemandu teksi, aku dapat tahu yang Fir juga baru kelmarin sampai di sini. Tapi bukan dari Malaysia. Dengarnya dia dari Singapura. Entah kenapa dia dari Singapura tidak pula aku ketahui. Untuk kepastian, biarlah aku tanyakan saja kepada Azrai. Duduk berseorangan di tempat duduk belakang memudahkan aku untuk bebas berbalas pesanan ringkas dengan Azrai tanpa lelaki itu menyedarinya.

Uncle Fir ni siapa?

Pesanan pertama yang aku hantar kepada Azrai terus bertanyakan soalan yang ingin aku tahu jawapannya saat ini.

Sepupu mama. Aikk.. Acu tak kenal ke??? Mama kata Acu pun kenal dia. Azrai confuse dah ni.

Balasan dari Azrai membuatkan dahiku berkerut seketika.

Tak kenal, tak tahu dan tak ingat. Blank sungguh ni.

Begitulah balasanku kepada Azrai. Keluarga Kak Mar memang besar ahlinya. Sepupunya saja mencecah ke puluhan orang. Jadinya memang agak sukar untuk aku mengingati satu per satu sepupunya. Maklumlah bukan sepupu sendiri. Yang aku tak kenal pun masih ramai juga walaupun aku begitu rapat dengan keluarganya. Kalau Kak Mar kata aku pun mengenali lelaki ini, mungkin sepupu Kak Mar yang seorang ni memang aku yang terlupa tentangnya.

Sebelum ni Azrai pernah jumpa Uncle Fir sekali. It was a long time ago. Dia baik dan boleh dipercayai. Mama pun kata begitu. So, don’t you worry. You’ll be fine with him.

Balas Azrai. Kata-kata Azrai menambahkan keyakinanku yang aku akan selamat bersama lelaki tersebut. Azrai ni bagaikan tahu-tahu saja apa yang aku sedang rasa. Berada disamping orang yang kita tidak kenali pastinya bukan satu perkara yang boleh buatkan kita rasa senang hati. Itulah yang aku sedang rasa saat ini. Namun keyakinan yang diberikan oleh Azrai membuatkan aku berasa sedikit lega. Sebelum sempat aku membalas pesanan ringkas yang panjang dari Azrai, pesanan ringkas seterusnya sudah memasuki peti simpanan pesananku.

Have to go. Dalam kelas lagi ni hu..hu.. see you then Acu.. Can’t wait to see you. . Bye.

Pesanan ringkas terakhir dari Azrai menyedarkan aku tentang perkara itu Tak teringat langsung yang anak saudaraku itu sedang berada di dalam kuliahnya. Pastinya pesanan-pesanan ringkas dariku tadi menganggunya. Sungguh tidak peka mak ciknya ini. Kesian Azrai. Namun tidak pula aku rasa bersalah. Mungkin rasa lega bila jawapan yang ingin aku tahu sudah aku perolehi membuatkan rasa bersalah itu tidak ketara aku rasakan. Nasib Azrailah punya ibu saudara bermasalah sepertiku.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.