Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
128,608
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

Bab 16

Bila jiwa sedang kacau dan hati pula diselimuti sengsara, mood juga boleh berubah-ubah tak kira masa. Begitulah dengan diriku saat ini. Keceriaan yang dapat aku pamerkan hanya seketika cuma. Bila kesedihan bertamu, pastinya aku akan kembali melayani rajukku dengan seluruh perasaan. Kemuraman tak tersorok. Kesedihan juga tak terbendung. Azrai yang prihatin pastinya dapat mengesan perubahanku lantas menegur. Dia menggeleng perlahan. Pandangan tidak senangnya dilemparkan padaku. Nafasnya dihela panjang.

Again. Ingatkan tadi Acu akan terus okey.” Rungut Azrai.

Waktu itu kami dalam perjalanan pulang dari Fremantle ke bandar Perth pada lewat petang. Kesuraman petang yang gerimis menguasai emosiku saat itu. Aku menoleh, memandangnya dengan pandangan yang kosong. Namun tidak kuasa mahu bersuara. Untuk mengukir senyuman juga aku tidak mampu. Rungutan Azrai bagaikan tidak terkesan di hati.

“Azrai rasa tak seronoklah bila tengok Acu asyik bermuram macam ni. Acu tak nampak macam Acu Azrai yang dulu. Yang selalu ceria dan gembira. Azrai peliklah, Acu nampak teruk sangat sekarang ni. Nampak macam tak boleh terima nak bagi perempuan tu kongsi Uncle Ikmal dengan Acu. Tapi kenapa Acu tetap izinkan jugak?” Azrai meluahkan apa yang dirasa.

Persoalan yang mungkin memenuhi kepalanya waktu itu diajukan padaku. Aku mengeluh panjang. Tidak pasti sama ada mahu bercerita perihal yang sebenar pada Azrai atau tidak. Kalau boleh, aku memang mahu mengelak dari bercerita penyebab keizinanku untuk Ikmal bersama dengan Sufi. Sebolehnya aku tidak mahu ceritaku nanti menjadikan Azrai lebih membenci suamiku. Ini kerana aku sendiri merasa cukup meluat dengan cara Ikmal yang licik sehingga akhirnya keizinanku menjadi miliknya. Namun untuk berselindung kisah sebenar dari pengetahuan Azrai terasa tiada gunanya juga. Pastinya nanti keadaan itu akan membuatkan Azrai langsung tidak akan dapat memahamiku. Tentunya dia tidak akan tahu mengapa aku terus-terusan berduka. Bagaimana Azrai boleh memahamiku andai cerita sebenar terus aku sorokkan darinya? Makanya, setelah berfikir panjang, aku ceritakan juga segalanya kepada Azrai.

“Acu terpaksa Azrai. Terpaksa..” Luahku.

MASIH segar dalam ingatan bagaimana aku yang pada malam itu begitu prihatin bila beg Sufi tertinggal di rumah kami selepas Ikmal menghantarkan guru tuisyen anak-anakku itu pulang selepas sesi mengajar anak-anak kami selesai. Ubat-ubatan yang terkandung di dalam beg itu membuatkan aku rasa terpanggil untuk menghantarkannya kepada Sufi malam itu juga. Ini kerana bagiku, pastinya ubat-ubatan itu sangat perlu buat Sufi yang pernah diceritakan oleh Ikmal mempunyai penyakit. Tidak tahu mengapa Sufi tidak pernah bercerita tentang penyakitnya padaku. Pada fikiranku, mungkin kakak Sufi yang bercerita. Maka dari situlah Ikmal mengetahuinya. Bukan Sufi sendiri yang membuka cerita pada Ikmal.

“Mengantuklah mummy.” Gerutu Zarif dan Zaril.

Anak-anak yang sudak mengantuk aku heret sama ke dalam kereta setelah talian Ikmal yang cuba aku hubungi tidak berjawab. Tiada yang menyusahkan untukku kerana jarak rumah Sufi dengan rumah kami tidaklah sejauh mana. Hanya kawasan perumahan yang bersebelahan saja. Tambahan pula aku memang tahu di mana tempat tinggalnya kerana aku pernah juga mengambil dan menghantar Sufi di rumahnya pada waktu Ikmal terpaksa bekerja di luar daerah.

Ketika kereta melintasi kawasan kedai-kedai makan di kawasan perumahan kami, Zaril yang tadinya nampak begitu mengantuk memaklumkan padaku yang dia ternampak kereta Ikmal ada di situ. Bersungguh dia menunjuk. Dalam pada mamai-mamai itu masih peka lagi penglihatannya. Kalau diikutkan masa Ikmal keluar dari rumah tadi, memang mustahil untuk Ikmal berpatah balik dari kawasan rumah Sufi ke kawasan kedai itu. Pastinya Ikmal terus ke situ tanpa menghantarkan Sufi pulang terlebih dahulu. Tanda tanya mula berlegar di kepalaku. Tanda tanya itu juga cuba aku menjawabnya sendiri dengan pemikiran yang baik-baik saja. Tiada yang negatif. Berbagai kemungkinan yang baik muncul di fikiran. Mungkin Sufi lapar, lalu diminta Ikmal berhenti sebentar untuk membelikan makanan untuknya. Mungkin ada kiriman dari kakak Sufi sehingga Sufi terpaksa meminta Ikmal singgah di kedai makan itu terlebih dahulu. Mungkin itu, mungkin ini, dan berbagai kemungkinan yang aku fikirkan. Namun memang yang baik-baik saja yang berada di fikiranku ketika itu. Tiada langsung yang buruk. Ini kerana aku tidak pernah mencurigai suamiku. Apatah lagi mencurigai perempuan sebaik Sufi yang nampak cukup berhemah perwatakannya di mataku.

Selepas berpatah balik ke kawasan depan kedai, aku memarkir kereta selang 3 buah kereta dari kereta Ikmal. Anak-anak yang sudah nampak layu aku bawa keluar sama dari kereta. Panjang muncung keduanya. Malam-malam begitu, meninggalkan anak-anak sendirian di dalam kereta memang tidak menjadi pilihanku. Bahaya ada di mana-mana. Aku perlu beringat.

“Lepas mummy hantarkan beg Cikgu Sufi ni kita balik rumah dan tidur ya.” Pujukku pada anak-anak yang nampak liat untuk ikut turun.

Beg Sufi yang tertinggal tadi aku jinjing keluar bersama. Langkah kaki aku atur ke kereta Ikmal. Ini kerana dalam fikiranku, tentunya Ikmal sedang menunggu di dalam kereta pada waktu Sufi membuat apa juga urusannya. Namun kelibat Ikmal tiada di tempat duduk pemandu. Pada waktu itu dadaku sudah terasa padat. Fikiran yang baik-baik tadi mula menghilang. Buat seketika aku kembali bersoal jawab sendiri. Muncul pula fikiran yang tidak enak untuk aku fikirkan. Timbul juga persoalan yang tidak menyenangkan di dalam hati. Apakah? Kenapakah? Buat apakah? Sudahnya aku terus keliru sendiri dengan pelbagai pertanyaan yang memenuhi ruang kepala. Untuk melepaskan lelah di dada, aku duduk di tembok yang berhampiran dengan kereta Ikmal. Loya dan mual datang tiba-tiba. Datang terus lintasan dalam fikiranku yang ada kalanya memang Ikmal akan mengambil masa yang lama setelah keluar untuk menghantarkan Sufi pulang. Tapi selama ini perkara itu tidak pernah menjadi persoalan untuk diriku.

“Mummy, itu daddy dengan Cikgu Sufi.”

Pada saat aku sedang keliru, Zaril memberikan jawapannya padaku. Segar matanya memandang guru yang kini termasuk dalam senarai insan kesayangannya. Tundingan jari yang terhala pada Ikmal dan Sufi di kedai makan itu membuatkan aku seakan mahu pitam di tempat aku berdiri. Manakan tidak, mereka nampak begitu mesra. Sedangkan di hadapanku mereka kelihatan bagaikan langsung tidak serasi untuk berbual. Yang selalu terpamer di mataku ialah riak ketidakselesaan mereka. Rupa-rupanya ketidakselesaan itu hanyalah di hadapan mataku sahaja. Di belakangku, ketidakselesaan itu bertukar mesra. Saat ini mereka kelihatannya cukup serasi bersama.

“Kita nak makan sekali dengan daddy dan Cikgu Sufi ya mummy?” Tanya Zaril penuh teruja. 

Pertanyaan itu tidak langsung mendapat perhatianku. Perhatianku lebih tertumpu pada Ikmal dan Sufi. Nampak beria-ia kedua-duanya berbual. Sempat lagi aku lihat Sufi tertawa manja. Ikmal pula membalasnya dengan pandangan penuh mesra. Tak beralih tumpuan Ikmal kepada Sufi. Pandanganku sedikit terhalang bila pelayan menghantarkan makanan. Namun terlihat juga di mataku tingkah Sufi yang nampak penuh sopan santun. Dengan cermat Sufi mengambil pinggan yang ingin diletakkan oleh pelayan kedai di hadapan Ikmal untuk diletakkannya sendiri. Begitu juga dengan air minuman Ikmal. Semuanya mahu diletakkan sendiri. Menyirap darahku. Cukup bagus layanan Sufi kepada suamiku. Lebih menyirap bila aku lihat Sufi dengan selamba menyedut minuman Ikmal terlebih dahulu sebelum dia menyedut air minumannya sendiri. Tidakkah perlakuan itu menunjukkan betapa intim dan mesranya perhubungan mereka? Aku beristighfar berkali-kali dan mengucap di dalam hati. Aku boleh jadi gila dengan apa yang aku lihat ini. Tetapi aku tidak mahu menjadi orang gila. Orang yang tidak waras dan lupa diri hanya kerana ujian ini. Maruah dan air mukaku boleh aku tolak tepi andai aku mahu menunjukkan ‘kegilaanku’ di situ. Namun maruah anak-anak yang masih kecil itu cukup perlu untuk aku jaga. Agar anak-anak tidak menyesali perlakuan yang aku tonjolkan di hadapan mereka saat ini sepanjang hidup mereka. Tentunya bukan kenangan yang indah buat mereka bila aku mempamerkan ‘kegilaanku’ di hadapan mereka.

“Astaghfirullahalazim.. Astaghfirullahalazim.” Ucapku berkali-kali.

Demi anak-anak, aku rela mengalah. Alhamdulillah, istighfar yang aku ulang-ulang sebut sejak tadi cukup berkesan untuk meredakan kepanasan hati. Walaupun perasaannya masih membara, namun ianya tidak terus marak. Cukup berhasil untuk buatkan aku terus mempertahankan kesabaranku saat ini. Saat aku ditikam dari belakang oleh orang yang benar-benar rapat denganku.

Aku tidak pernah ditikam oleh senjata tajam. Apatah lagi ditikam dari arah belakang. Jadinya, aku tidak tahu bagaimana rasanya sakit bila ditikam. Namun saat ini, aku sudah dapat merasakan kesakitan itu. Aku dapat rasakan bagai organ-organ dalamanku terkoyak. Terasa darah membuak-buak keluar sehingga alirannya dapat aku rasakan sehingga ke seluruh tubuhku. Peritnya terasa sungguh menyiksa. Sungguh tajam tikaman dari senjata yang tidak kelihatan ini. Senjata yang tidak aku ketahui tahap ketajamannya. Juga bagaimana bentuk rupanya. Yang aku tahu ianya menyakitkan. Pedih, sakit dan ngilu. Ianya melukakanku dengan kelukaan yang cukup parah.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.