Bab
4
Serabut. Setiap kali pulang dari rumah mama, itulah perkara
yang memenuhi kepalaku. Tidak hilang dari melayan perasaan bengang sepanjang
perjalanan pulang, kepulanganku disambut pula dengan rumah yang berkecah tanpa
ada yang sudi mengemasnya. Baranku tanpa lengah datang menyinggah.
“Zarif! Zaril! Kenapa mainan dari tingkat atas boleh
berterabur di sini? Macam mana kusyen-kusyen mummy boleh ada kat semua tempat ni?” Tempikku dengan nada paling
nyaring. Juga dengan kekuatan suara yang paling maksima.
Kesabaran yang sejak tadi aku
pertahankan terluah juga di pintu rumahku ini.
Dengan wajah takut-takut, kelam kabut kedua anak lelakiku mengutip
segalanya dengan kadar segera. Sekejapan ruangan yang bagaikan tongkang pecah
itu menjadi seperti asalnya. Walaupun tidak sekemas sewaktu aku meninggalkan
rumah tadi, namun segalanya sudah berada di tempat yang sepatutnya. Bila
segalanya telah berada di tempat yang sepatutnya, mataku terpandangkan pula
lantai yang bercapok di sini sana.
Kelihatan kesan sisa makanan dan cebisan-cebisan kertas yang bertaburan. Aduh,
kemarahanku kembali memuncak. Sekali lagi dengan nada yang sama nyaring seperti
tadi, dengan kekuatan suara yang tidak kurang sama maksimanya seperti tadi nama
keduanya kembali aku jeritkan. Terus bergema bunyi suaraku dihening petang itu.
Seperti tadi, laju juga keduanya membersihkan apa yang sepatutnya sejak tadi
mereka lakukan. Bukannya selepas aku memekik bagaikan tarzan barulah segalanya
dilaksanakan.
“Mummy penat
tau asyik nak kemas rumah.” Rungutku keras.
Tanpa sempat duduk melepaskan lelah, juga dengan bebelan
yang masih bersisa aku berkejar membersihkan rumah terlebih dahulu. Tanpa menghiraukan
badan yang letih dan perasaan yang bergelora dengan kerenah mama, aku melakukan
tugasku agar mataku tidak sakit melihat rumah yang berkecah. Dari muka pintu
hingga ke dapur aku melakukan tugas pembersihan.
Sebagaimana ruang tamu dan
ruang makan, dapur juga tidak kurang bersepahnya. Malah tiada bezanya. Singki
di dapur sudah penuh isinya. Sisa-sisa makanan yang sepatutnya dimasukkan terus
ke dalam tong sampah turut berada di situ. Gelas-gelas kosong yang melekit
dengan kesan minuman turut bercampur aduk dengan pinggan mangkuk yang
berminyak. Melihatnya saja sudah membuatkan aku jadi penat. Inikan pula mahu
membersihkan segalanya. Botol-botol
kosong bergelimpangan tidak tersusun di rak yang sepatutnya. Air-air yang
tumpah tidak dilap kelihatan di atas kabinet dapur. Bakul baju kotor yang tidak
penuh isinya nampak selekeh dengan pakaian kotor yang tidak sempurna dimasukkan
ke dalamnya. Di sekelilingnya juga kelihatan tiga empat helai lagi pakaian
kotor yang bergumpalan di situ.
Sakit mataku melihat semua itu. Sakit di hati lebihlah
lagi. Rumah yang aku tinggalkan dengan kekemasan dan kebersihan yang
menyenangkan hati bertukar menjadi pandangan yang menyakitkan hati. Menjadi
pandangan yang menyerabutkan mata juga fikiran. Malas mahu terus membebel aku
melakukan segalanya sepantas yang mungkin. Menyiapkan kerja yang memenatkan ini
dengan badan dan otak yang sedang letih. Tidak seperti tadi nama keduanya tidak
lagi kulaungkan. Tidak kuasa lagi mahu menyakitkan tekakku mengulang perkara
yang sama setiap masa. Maka adalah lebih baik andai aku menguruskan segalanya
sendiri.
Letih dan bengang saling bersatu. Namun perut anak yang
akan minta diisi untuk makan malam perlu aku ambil kira juga. Dalam keletihan
yang masih tidak surut, aku menyediakan
juadah untuk makan malam pula. Mujur nasi dan lauk untuk siang tadi masih lagi
berbaki. Maka, sekadar menambah dua lagi hidangan maka akan lengkaplah makanan
seimbang untuk keluargaku malam ini. Dengan pantas aku mendadar telur dan
mengoreng sayur. Nasi di periuk automatik aku tekan punatnya untuk memanaskan
nasi. Sedikit air masak aku renjiskan di atasnya. Inilah petua yang aku amalkan
sejak dulu bila memanaskan nasi agar ianya tidak menjadi terlalu kering dan
keras. Sesudah itu aku panaskan kari ayam yang masih ada beberapa ketul lagi
isinya. Cukuplah untuk juadah kami anak beranak malam ini. Selepas
menghidangkan segalanya di atas meja barulah aku mendaki tangga untuk ke
tingkat atas.
AZAN maghrib sudah lama kedengaran.
Namun Ikmal tetap tidak berganjak dari mengadap komputer ribanya. Tidak kuasa
aku mahu menegur. Biarlah kesedarannya datang sendiri. Anak-anak sudah lengkap
berkain pelikat. Senget benget rupa ikatannya. Keduanya setia menunggu di bilik
untuk berjemaah bersama Ikmal sambil sesekali bertempuk bertampar bergurau
berdua. Sorotan mataku membuatkan keduanya mematungkan diri buat seketika.
“Zaril dengan Zarif tengah tunggu Ikmal tu.” Tegurku bila
Ikmal terus tidak berganjak.
Terasa sejuk hatiku melihat
permata-permata hatiku yang setakat ini nampak begitu bersemangat mahu
menunaikan solat. Tanpa perlu diarah mahupun dipaksa. Juga tanpa perlu dijerkah
mahupun dirotan terlebih dahulu. Rasa syukur aku panjatkan kepada ALLAH kerana
nur hidayah yang dinikmati oleh kami sekeluarga. Mudah-mudahan berkekalanlah
hendaknya hingga ke akhir hayat dan bersambung pula pada keturunan mereka. Hati
yang hangat juga otot yang berselirat kembali menjadi normal semula setelah air
mengenai tubuh di serata badan. Titisan
air dari pancuran membasahi tubuhku dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
Sungguh melegakan. Benarlah yang air itu menyejukkan. Hati yang sejak tadi
panas dan membara, mudah saja menjadi sejuk dek kerananya. Selesai berwuduk barulah aku melangkah
keluar dari bilik mandi. Ikmal dan anak-anak sedang menunaikan solat maghrib
berjemaah ketika itu. Tanpa sedikit pun mengajak mahupun menungguku terlebih
dahulu. Aku tidak berkecil hati kerana sudah lama benar mereka menunggu tadi.
Dengan pantas aku menunaikan solat yang sudah lama masuk waktunya.
Di meja makan suasananya terus
sunyi sepi. Semuanya kusyuk menghadap makanan yang di hidangkan. Anak-anak
makan dengan penuh tertib. Langsung tidak menoleh ke kiri kanan. Tiada siapa
yang mahu bersuara. Manakan tidak, sang singanya baru sekejap tadi mengaum
dengan penuh garang. Maka mengelak dari diterkam, tiada siapa yang berani
membuat angkara.
“Zarif dengan Zaril nak lauk
apa?” Soalku mesra.
Terasa tidak sampai hati pula
bila melihat kedua-duanya terkulat-kulat begitu. Dengan penuh kasih sayang aku
menyendukkan lauk yang sudah susut dari pinggan keduanya. Dengan wajah yang takut-takut berani mereka
tersengih malu padaku. Tentunya mereka faham mengapa aku bereaksi seperti tadi.
Tentunya mereka sudah sedia maklum mengapa anginku menjadi puting beliung. Ikmal
yang memerhati gelagat kami bertiga turut
menghadiahkan senyuman sinisnya. Dengan senyuman yang masih bersisa Ikmal
meneruskan makannya dengan penuh selera. Tanpa sedar, aku juga turut tersenyum
sendiri melihat tingkahnya itu.
Selepas makan mereka bertiga menolong
aku mengemas meja makan. Tanpa disuruh mahupun dipaksa, pandai pula melakukan
segalanya. Beginilah selalu. Bila aku sudah naik hantu, barulah mereka ada
keinginan untuk membantu. Kalau tidak memang segalanya menjadi tugas yang
teruntuk buatku. Melihat kerajinan mereka membuatkan aku melakukan tugasku
dengan senang hati. Bersama senyuman yang tersungging di bibir tanda berpuas
hati. Biarlah tidak sebersih seperti mana yang aku lakukan. Biarlah tidak
sekemas mana pun. Yang penting bersungguh mahu turut membantu dan tahu
memainkan peranan masing-masing. Itu saja yang aku mahukan dari mereka. Susah sangat ke? Aku faham akan kemampuan mereka, tetapi
susah sangatkan untuk mereka memahami aku?
TANGAN-tangan comel itu dihulurkan
padaku sebagai tanda mahu bersalaman. Fikirku, tentunya mereka mahu memohon
kemaafan di atas kesalahan yang sudah berulang kali berulang. Kesalahan yang
sekali lagi berjaya menaikkan darahku
petang tadi.
“Nak minta maaf dengan mummy ke?” Soalku lembut.
“Taklah. Dah ngantuk. Nak
tidur.” Balas keduanya.
Dengan selamba, penuh jujur
mereka menerangkan penyebab sebenar. Jawapan mereka membuatkan aku tersenyum
sendiri. Budak-budak sebaya ini memang
tidak pandai menipu. Mereka juga tidak
tahu bagaimana mahu menjaga hati si ibu.
Sebenarnya begitulah rutin Zarif dan Zaril sebelum masuk tidur setiap malam.
Tidak kira walau bagaimana mengantuk pun mereka, pastinya tangan aku dan Ikmal akan
dicari terlebih dahulu sebelum tidur.
“Mummy minta maaf pasal marah-marah tadi.” Kataku sambil mencium
dahi dan kedua pipi anak-anakku dengan penuh kasih sayang.
Aku tidak pernah malu untuk
meluahkan kata maaf kepada anak-anak. Selepas setiap kesalahan mendapat hukuman,
pastinya aku akan meminta maaf semula kepada mereka. Mendengar kata-kataku,
keduanya membalas dengan ucapan yang serupa.
“Sorry mummy.” Balas
keduanya hampir serentak.
Tanpa lengah aku memeluk
keduanya dan menciumi mereka sepuas-puasnya lagi.
“I love you.” Bisikku.
“I love you too mummy. Good
night.” Suara-suara comel itu membalas ucapanku dengan penuh manja sambil
berlumba-lumba mendaki tangga ke tingkat atas. Mendengarnya, penatku terasa
hilang. Marahku terasa terus reda.