Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
115,786
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

Good Earth Hotel. Itulah nama tempat penginapanku di Perth. Hotelnya menghadap sungai besar yang kelihatannya seperti laut yang dikenali dengan nama Swan River. Kebetulan pula Fir yang baru semalam sampai di sini juga menginap di hotel yang sama. Setelah menemani aku dengan urusan di kaunter dan menolong membawakan beg pakaianku sehingga ke hadapan pintu bilik, kami berpamitan.

“Zaira ada nak keluar minum atau makan ke? Kalau nak abang boleh temankan dulu.” Pelawa Fir sebelum berlalu.

Aku menggeleng tanda tidak mahu. Saat ini, aku memerlukan rehat lebih dari mahukan makan dan minum. Mendengar jawapanku Fir langsung ke biliknya yang aku tidak tahu di belah mana dan di tingkat berapa. Terasa tidak perlu untuk aku ambil tahu tentang semua itu membuatkan aku langsung tidak bertanya.

Suhu 18 darjah celcius dengan cuaca yang cerah dan berangin mungkin bagi sesetengah orang adalah biasa. Namun bagi diriku, suhu seperti itu sudah cukup untuk membuatkan aku mengigil dengan hanya sehelai kemeja yang tidak setebal mana. Setelah mandi dengan kadar yang lebih cepat dari biasa aku bersolat sebelum berselubung di bawah selimut. Niat di hati ingin tidur buat seketika. Namun tidak terlelap mata ini sedangkan badan dan mataku terasa letih benar. Banyak benar perkara yang berlegar di dalam kepala sehingga membuatkan aku rasa resah gelisah tidak menentu. Namanya saja aku di sini. Namun otak dan pemikiranku masih lagi tertinggal di Malaysia. Tempat di mana aku meninggalkan anak-anak kesayanganku dan suami yang dikasihi. Juga wanita yang saat ini mungkin sudah menjadi maduku!

Mengenang semua itu membuatkan hatiku kembali rawan. Rasa sedih mula bertandang. Air mata kekecewaan turun mencurah-curah. Bagaikan tidak cukup-cukup lagi untuk aku menangisi nasib diri sebelum ini. Bukan pintaku untuk dimadukan. Bukan mahuku mengizinkan suamiku menambah cawangan. Tapi itulah suratan dan kenyataan yang perlu aku hadapi kini dan hari-hari seterusnya. Mahu tidak mahu, terpaksa juga aku menerima orang baru yang amat tidak aku perlukan tetapi begitu didambakan oleh si suami. Anak-anak juga turut merestui lantaran ibu baru mereka itu adalah guru mereka sendiri. Guru kesukaan dan kesayangan mereka. Makanya, tiada alasan langsung untuk anak-anak yang masih mentah dalam soal kehidupan menolak wanita itu dalam hidup mereka. Wanita yang menjadi kesukaan dan kesayangan bapa mereka juga kini. Rasa mual untuk memikirkan tentang perkara itu. Tapi, perkara itu masih terlekat kuat di kepala untuk aku terus memikirkannya. Ah.. bencinya.

“Saya perlukan dia sebagaimana saya perlukan awak.” Ungkapan itulah yang Ikmal sering ulang-ulang sebut sehinggakan keizinanku menjadi miliknya.

Bukanlah aku terus diketepikan lantaran itu aku membawa diri ke sini. Aku sendiri yang tidak tegar untuk berada di sana, disaat insan paling istimewa dalam hidupku dimiliki oleh wanita lain. Anak-anak pula bukan sengaja aku tinggalkan. Aku meninggalkan permata hatiku untuk seketika juga kerana terpaksa. Aku terpaksa akur dengan permintaan Ikmal yang mahukan anak-anaknya berada disampingnya bagi meraikan saat bahagia kali kedua untuk dirinya. Seterusnya mahu anak-anak ada bersamanya untuk menyambut kedatangan ahli baru dalam hidup mereka. Dengan keakuranku itu jugalah maka aku mendapat keizinan darinya untuk bercuti ke sini. Penerbanganku ke sini juga atas ehsan dari Ikmal. Aku tidak pernah meminta tapi dia sendiri yang menawarkan tiket untuk aku ke sini. Mungkin juga sebagai cenderahati buatku yang sudi memberi keizinan untuk dia memakna impiannya bersama pilihan hatinya yang baru.

Di sebalik kesibukannya mahu mengejar masa sebelum majlis untuknya sekali lagi mengengam tangan tok kadi, pemergianku ke lapangan terbang pagi tadi masih dihantar olehnya. Anak-anak turut dibawa sama untuk memberikan lambaian buat ibu kandung mereka. Mungkin keterujaan mahu menyambut ibu baru membuatkan anak-anak tidak sedikit pun berkeinginan mahu mengikut aku ke sini. Dalam sedih, aku pasrah. Untuk merajuk, terasa tiada keperluan kerana aku tahu anak-anak masih mentah. Tentunya tidak memahami kelukaan yang aku rasai dengan penerimaan mereka terhadap keadaan ini.

“Hati-hati dan jaga diri di tempat orang. Jangan pernah lupa yang saya tak pernah mahu kehilangan awak.” Pesan Ikmal.

Lirih hatiku mendengar kata-katanya. Saat perpisahan tadi, seperti lazimnya, tubuhku masih dipeluk erat. Dahiku masih dikucup hangat. Perbuatan itu masih tidak lupa dilakukan untukku. Sebelum malam nanti akan ada tubuh dan dahi wanita lain yang akan menerima perbuatan yang sama darinya. Wanita yang akan berkongsi dirinya denganku selepas ini. Wanita yang cukup aku kenali. Teringat lagi bagaimana aku begitu gembira ketika mengenali wanita itu untuk pertama kali. Insan yang tidak pernah terlintas di benakku akan merampas kebahagiaanku bersama Ikmal. Juga insan yang tidak pernah ada secalit pun rasa curigaku padanya yang dia akan mengisi hati suamiku yang sudah terisi dengan cinta, kasih dan sayangku. Kalau pernah ada pun rasa curiga andai diriku diduakan, memang wanita itu tidak pernah tersenarai dalam nama-nama orang yang aku fikirkan akan diduakan oleh Ikmal. Kejamnya Ikmal kerana tergamak menduakan. Kejamnya wanita itu kerana sanggup diduakan. Sampainya hati mereka.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.