Bab
7
“Awak nak bercuti ke mana?”
Soal Ikmal.
Aku terdiam. Memang tadi,
lancar benar mulutku meminta keizinannya untuk pergi bercuti. Bercuti yang
membawa maksud mahu mengubati lara yang sedang mencengkam hati dan perasaan.
Bercuti yang tujuannya mahu memuhasabah diri yang serba kekurangan. Bercuti yang matlamat sebenarnya mahu lari seketika dari saat sang suami mahu dikongsi
oleh wanita lain.
“Errr..” Untuk seketika aku
berjeda. Memang tidak terfikir di fikiranku destinasinya. Yang aku tahu, aku mahu
bercuti.
“Awak tak tahu nak ke mana lagi
ke?” Soalnya terus lembut.
Sejak mendapat keizinan dariku,
memang tuturnya lebih lembut dari kebiasaannya. Tanpa disedari, kelembutannya
bukannya menyenangkan hatiku. Tapi hatiku jadi mual dengan kelembutan yang
dipamerkan. Namun rasa mual itu tidak pernah aku pamerkan di hadapannya. Rasa
mual itu selalu aku telan kembali. Sehingga pahit, masam dan busuknya itu hanya
aku yang rasai sendiri.
“Errr..” Sekali lagi aku
berjeda sebelum akhirnya menggeleng.
Aku masih tidak dapat
memikirkan tempat yang sesuai untuk aku pergi bercuti. Maklumlah, kalau perancangannya
menjadi, maka inilah percutian pertama buatku seorang diri. Tentu saja aku
mahukan tempat yang aku selesa bila bersendirian tanpa ditemani rasa takut. Namun
tiada pilihan tempat yang terbaik untuk aku pilih saat ini.
“Zaira tak tahu nak ke mana,
tapi kalau boleh, Zaira nak pergi tempat yang Zaira tak pernah pergi.” Begitu pula
jawapan yang keluar dari mulutku.
Jawapan yang tiba-tiba saja
terpacul di fikiranku saat pilihan destinasi yang sesuai tiada satu pun yang
menjelma di kepala.
“Kalau awak takde pilihan lagi, apa kata kalau
saya cadangkan awak bercuti ke Perth.
Sekurang-kurangnya di sana
ada Azrai. Nanti, takdelah awak bersendirian di tempat yang awak tak pernah
pergi.” Cadang Ikmal.
Jauh benar destinasi yang dicadangkan.
Tentulah dia mahu aku pergi jauh darinya buat sementara waktu disaat dia mahu
memulakan episod baru dengan wanita lain. Walaupun hatiku berduka dengan
cadangannya, namun mendengar nama destinasi yang dicadangkan membuatkan hatiku
jadi berbunga juga. Memang tempat yang disebut itu tempat yang aku teringin
benar mahu pergi. Bukan kerana keindahan tempatnya. Bukan juga kerana teruja
untuk melihat apa-apa yang menarik di situ. Ini kerana, sejujurnya aku tidak
tahu apa-apa tentang tempat itu. Aku teringin benar mahu ke sana
hanya kerana ada insan yang aku rindui berada di sana. Azrai.
“Kalau Ikmal izinkan Zaira
untuk ke sana, Zaira ikut saja cadangan dari Ikmal tu.” Sahutku.
Bagusnya bila dapat pergi
menemui Azrai nanti. Sebelum ini hanya melalui telefon aku dapat bercerita
tentang konflik yang sedang aku lalui saat ini. Itupun sudah memberikan aku
sedikit kekuatan. Andainya dapat bertemu muka dan bercerita dengannya lagi,
tentu saja kekuatan yang amat aku perlukan saat ini jadi berganda.
“ACU nak datang sini? Betul ke? Wah
bagus tu.” Begitu teruja Azrai menerima berita dariku.
Azrai merupakan anak sulung kepada
abangku, along. Sebagaimana aku rapat dengan along dan isterinya Kak Mar,
begitu jugalah rapatnya Azrai denganku. Adiknya Faqirah, juga begitu. Selepas
arwah abah meninggal dunia, aku lebih banyak menghabiskan masaku di rumah along.
Tambah-tambah lagi bila aku dan mama selalu tidak sebulu. Walaupun aku dan along
berlainan ibu, tapi kami tetap rapat kerana along dan adiknya Kak Mila tinggal
sekali bersama kami selepas kematian ibu mereka. Ketika along dan isterinya Kak
Mar terpaksa bekerja di luar daerah, akulah orang kepercayaan along untuk
menemani anak-anak mereka. Kalau anak-anak mereka mahu keluar dengan teman sebaya,
akulah orangnya yang dipertanggungjawabkan untuk berada bersama-sama anak-anak itu
sebagai peneman. Anak-anak along juga sangat selesa denganku kerana kami boleh
berkongsi banyak perkara.
“Nanti Azrai tunggu Acu di airport ya. Lepas tu Azrai temankan Acu
jalan-jalan di sini.” Janji Azrai.
Aku dan anak-anak along
bagaikan kawan baik. Walaupun jarak usia kami agak jauh, tapi kami masih sekepala.
Manakan tidak, sejak kecil mereka rapat denganku. Aku boleh masuk dengan
aktiviti mereka. Mereka pula boleh masuk dengan apa saja programku. Anak-anak
aku pula bagaikan adik-adik mereka sendiri. Itu yang membuatkan hubungan kami
jadi tambah mesra dan rapat. Sejak Azrai melanjutkan pelajaran ke Australia,
memang sudah lama aku tidak berjumpa
dengan anak saudara kesayanganku itu. Jadinya, bila keluar cadangan dari mulut Ikmal,
memang aku tidak teragak-agak untuk menerimanya. Dengan apa yang perlu aku
lalui selepas ini, sememangnya aku perlukan kata-kata perangsang dari orang
yang mengenali aku dengan sebenar-benarnya.