Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
115,799
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

Bab 17

Segalanya aku ceritakan kepada Azrai. Biar dia tahu dan faham akan keadaanku. Bukan aku suka-suka mahu memberikan keizinan. Bukan aku saja-saja mahu terus berduka lara. Bergerak-gerak tulang pipi Azrai mendengar ceritaku. Lama juga dia menggeleng bagaikan tidak mempercayainya. Kalau mahu diikutkan, aku juga mungkin tidak akan mempercayainya andai aku tidak melaluinya sendiri. Sebelum ini aku hanya mendengar luahan perasaan orang. Membaca kisah kemelut rumah tangga orang lain. Bila aku melaluinya sendiri, barulah aku tahu beban dan tekanan yang mereka tanggung selama ini. Mereka yang senasib denganku bila suami berlaku curang dengan perempuan lain.

“Lepas tu, Acu pulangkan juga beg perempuan tu atau Acu balik saja ke rumah?” Tanya Azrai.

Dalam pada rasa tidak puas hati itu, mahu juga dia mengetahui keseluruhan ceritaku.

“Kalau ikutkan hati, memang Acu rasa nak terus balik. Tapi dalam waktu yang sama Acu mahu Uncle Ikmal tahu yang tembelangnya sudah pecah. Jadinya, dengan langkah yang cukup berat Acu melangkah juga masuk ke dalam kedai makan tu. Heret Zarif dan Zaril yang sudah bulat matanya bila nampak Cikgu Sufi mereka. Waktu itu, Acu rasa macam nak campak saja beg perempuan itu ke mukanya. Terasa macam nak siramkan air minuman yang di atas meja ke muka mereka berdua. Tapi Acu tak terbuat semua itu. Acu tak mahu Zarif dan Zaril malu dengan kelakuan Acu. Acu tak nak aibkan mereka di hadapan orang. Acu tak sampai hati nak buat semua itu. Acu juga tak mahu malukan diri sendiri dengan tindakan yang bodoh macam tu.” Ceritaku.

Reaksi anak-anak turut aku selitkan untuk mengambarkan keadaan aku kepada Azrai ketika itu di saat anak-anak juga nampak tidak berpihak kepadaku. Sekali lagi Azrai menggeleng.

“Bagusnya Acu Azrai ni. Masih boleh terus tenang dalam keadaan yang macam tu.” 

Pujian dari Azrai tidak berbekas langsung di hatiku. Sambil mencebik aku sekadar tersenyum pahit dan meneruskan cerita.

“Sudahnya, Acu letakkan beg Sufi di hadapan mereka dengan penuh sopan dan cakap elok-elok yang beg tu tertinggal di rumah. Lepas tu Acu terus berlalu dengan susah payah sebab nak heret Zarif dan Zaril yang waktu itu dah merajuk sebab permintaan mereka untuk menyertai Uncle Ikmal dan cikgu kesayangan mereka itu Acu tolak.” Nadaku yang bergetar sudah menceritakan kepayahanku melalui saat itu.

Aku tersenyum tawar mengingati kisah itu. Tidak tahu dari mana datangnya kekuatan untuk aku menang melawan kehendak rasa amarahku.

“Perempuan yang bijak tidak akan mengikut nafsunya membabi buta. Tapi bertindak mengikut akalnya. Azrai puji tindakan yang Acu ambil tu. Azrai kagum.” Puji Azrai lagi.

“Azrai kagum?” Soalku kepada Azrai dengan nada yang sedikit sinis.

Azrai mengangguk.

“Tapi Uncle Ikmal langsung tak kagum. Mungkin tak perasan pun mengenai semua tu. Sedangkan Acu memang mahu dia rasa kagum dan rasa bersalah pada Acu sebab tak melenting dan tunjuk perangai di hadapan orang.” Aduku.

Uncle Ikmal tu kan besar egonya. Dah buta hati pulak tu. Sebab itulah dia tak perasan semua tu. Kalau dia perasan sekali pun, mana mungkin dia nak tunjukkan rasa kagum tu.” Bidas Azrai.

Tentu saja kata-kata itu terlahir dari rasa hatinya yang sarat dengan kebencian. Maka agak kasar kata-kata yang keluar dari mulutnya.

“Cinta itukan buta Azrai. Sehingga yang baik dan yang buruk tak terlihat di mata.” Sahutku. Masih mahu mempertahankan Ikmal lagi.

“Memang cinta itu buta. Sebab itulah juga Acu masih boleh terus setia bila Uncle Ikmal dah berlaku curang. Senang-senang pulak nak bagi orang lain ambil hak Acu. Tentunya perkara itu Acu lakukan kerana cinta yang buta juga.” Sindir Azrai penuh sinis.

Sindirannya terkena tepat di batang hidungku.

“Betullah tu Azrai. Sebab cinta, Acu masih lagi bertahan. Sebab cinta juga Acu mengizinkan. Lagipun Uncle Ikmal tu bijak. Egonya selalu memastikan dia dapat apa yang dia mahu. Dia tahu sangat apa kekurangan Acu. Jadinya, tidak susah untuk dia mendapatkan keizinan dari Acu.” Akuiku.

BILA kecurangan Ikmal terbongkar, buat seketika waktu Ikmal menjadi dirinya yang sebenar. Sikap mesra dan penyayang yang ditonjolkan memang berlebihan dari biasa. Aku dilayan dengan layanan yang cukup baik. Tuturnya lebih lembut. Sikapnya lebih terbuka. Caranya lebih membahagiakan. Kederatnya juga semakin ringan. Perlakuan-perlakuan itu membuatkan aku berusaha untuk melupakan kecurangannya. Namun bila aku sudah mula melupakan kecurangannya, Ikmal mula menjalankan misinya. Bila hubungan kami sudah kembali seperti asalnya, Ikmal pula berterus terang tentang niatnya yang mahu meneruskan hubungannya dengan Sufi. Sufi yang sudah aku haramkan untuknya menjejakkan kaki ke rumahku untuk mengajar anak-anakku sebaik aku disedarkan tentang hubungan yang berlaku di antara dia dan Ikmal di belakangku.

“Siapa yang boleh terima kalau pasangannya membanding-bandingkan dirinya dengan orang lain. Acu tahu Acu ini banyak sangat kurangnya. Acu jenis yang pentingkan kesempurnaan. Semunya nak selalu teratur. Acu tak suka sepah-sepah. Bila rumah bersepah Acu tak boleh tengok. Kalau penat sekali pun, Acu mesti nak mengemas juga. Bila dan mengemas tu, badan tentulah rasa penat. Bila dah penat mulalah mulut Acu ni bising. Lebih-lebih lagi bila dia sikit pun takde rasa nak menolong.” Luahku.

Kekurangan yang terlihat di mata Ikmal aku maklumkan pada Azrai.

“Lepas tu mulalah nak membebel dan bersungut.” Sampuk Azrai.

Aku mengangguk. Benar dan tepat sekali. Aku akan membebel. Azrai faham sangat dengan sikapku yang satu itu.

“Lelaki manalah yang suka dengan bebelan dan rungutan. Kata Uncel Ikmal, dia selalu tak tenang bila di rumah sebab Acu ini kuat sangat membebel. Tak sudah-sudah nak merungut dan selalu nak kisahkan perkara-perkara yang tak penting. Tetapi bila dia bersama Sufi, hatinya selalu tenang sebab sifat Sufi berlawanan dengan Acu dan begitu mendamaikan baginya. Katanya, bila bersama Sufi dia selalu berasa aman dan tenteram,” sambungku lagi meminjam luahan hati Ikmal.

Memang satu persatu aku hafal ayat-ayatnya. Kekurangan lain tentang diriku dan rumah tangga kami yang Ikmal turut ungkitkan tidak terluah pula untuk aku ceritakan. Terasa bagaikan membuka pekung di dada pula bila kekurangan diri yang terlihat di mata Ikmal mahu aku ceritakan kesemuanya. Tidak sampai hati mahu terus menjatuhkan diriku sendiri di hadapan orang lain. Sambil berpandangan, aku dan Azrai sama-sama menghela nafas panjang.

“Acu boleh berubah kalau itu sebabnya kan? Kekurangan itu bukan ke boleh diperbaiki. Kenapa Acu tak minta Uncle Ikmal berikan peluang untuk Acu berubah?” Soal Azrai.

“Memang Acu dah minta peluang itu. Tapi katanya, dah banyak sangat peluang yang dia beri untuk Acu sebelum ini. Dia kata Acu memang dah tak boleh berubah.” Balasku.

Sekali lagi aku meminjam kata-kata Ikmal yang sehingga saat ini susah benar untuk aku melupakannya.

“Langsung tak nak bagi peluang?” Soal Ikmal meminta kepastian.

Aku menggeleng kerana itulah hakikatnya. Memang aku jadi sedih dan terasa sangat bila Ikmal menolak permintaanku untuk diberikan peluang untuk aku memperbaiki diri dengan alasan yang sebegitu.

“Bila dia tidak mahu memberi peluang, Acu pula membalasnya dengan terus mengeraskan hati untuk tidak memberikan keizinan. Tapi Uncle Ikmal bijak. Kekerasan hati Acu dibalas pula dengan sikapnya yang mendera perasaan Acu setiap hari. Siapa boleh tahan Azrai, kalau dilayan dengan kebisuan setiap hari. His silent treament is killing me. Kalau sehari dua mungkin Acu boleh bertahan. Ini sampai berbulan juga dia sanggup berdiam. Tak mahu dia bercakap dengan Acu. Ada takde pun sepatah dua sebagai syarat. Bagaimana kami boleh berkomunikasi kalau sudah begitu caranya. Dengan anak-anak dan orang lain boleh aje dia berbual macam biasa.” Keluhku.

Azrai membalas kata-kataku dengan mimik muka tidak puas hatinya. Kebisuan Ikmal memang begitu mendera hati dan perasaanku. Diamnya membuatkan aku jadi hilang punca. Diamnya yang berbulan-bulan itu juga yang membuatkan aku mengalah akhirnya.

“Bila sudah begitu, apalah kekuatan Acu untuk menolak permintaannya. Dalam tak mahu, terpaksa juga Acu bersetuju.”

Azrai terus terdiam tanpa komen. Pastinya dia tahu, sudah habis usahaku untuk menghalang Ikmal. Wajah simpati terpamer di wajahnya.

“Azrai doakan, Acu mendapat ganjaran yang sebaiknya untuk pengorbanan ini.” Doanya.

Memang semua orang bersimpati padaku. Aku dilihat bagaikan seorang wanita yang cukup kuat. Aku dilihat bagaikan seorang wira yang pastinya akan menerima ganjaran yang besar di atas kebaikanku. Namun aku sendiri tidak pasti. Adakah aku ini cukup layak untuk menerima ganjaran tersebut? Kata orang, wanita yang mengizinkan suaminya berkahwin lagi dijanjikan dengan payung emas. Itu kata-kata orang yang aku pernah dengar. Kebenarannya tidak aku ketahui. Menurut penjelasan ustaz yang aku dengar di rancangan agama di televisyen, payung emas itu sebenarnya sebagai simbolik saja. Simbolik bagi wanita yang dengan ikhlas memberi keizinan akan diberikan ganjaran yang baik nanti.

Tapi ganjaran yang baik itu tentulah buat wanita yang benar-benar ikhlas memberikan keizinan. Dalam kes aku, keikhlasan memang terlihat di mata orang lain. Namun untuk diriku sendiri, keikhlasan dalam memberi keizinan untuk Ikmal itu sebenarnya tidak pernah wujud. Ini kerana dalam memberi keizinan, aku tetap mengharapkan sesuatu. Aku cukup berharap agar Ikmal akan rasa bersalah dan menyesal suatu hari nanti kerana melukaiku. Aku juga amat mengharapkan agar tiada kebahagiaan buat mereka kerana mereka membina kebahagiaan di atas kelukaan hatiku. Ikhlaskah keizinanku andai di dalam hatiku ada doa-doa yang tidak baik untuk suamiku sendiri? Layakkah aku untuk menerima ganjaran yang baik andai hatiku sendiri tidak bersih sebenarnya?

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.