Bab
22
Pagi itu aku menunggu Fir di lobi hotel. Namun
setelah hampir satu jam menunggu, kelibatnya langsung tidak muncul. Memang kami
tidak berjanji untuk bertemu di sini. Dia juga tidak tahu yang aku menunggunya
di sini. Tapi bila semalam dia berjanji untuk menemaniku lagi ke Taman Botani
Kings Park, aku rasa tentunya kami akan keluar di sebelah pagi. Aku perasan yang dia nampak lain waktu kami
pulang dari kediaman Azrai malam tadi. Aku
tidak pasti mengapa? Tapi takkanlah pula itu sebabnya dia terlupa pada janji. Sebelum naik ke biliknya malam tadi, dia langsung
tidak berkata apa-apa padaku. Setelah bersalaman dengan Azrai dia terus naik ke
biliknya tanpa mengajak aku untuk naik bersama. Mempelawa aku untuk menaiki lif
yang sama dengannya juga tidak. Agak tercengang-cengang juga aku dan Azrai buat
seketika. Tapi bila memikirkan mungkin dia kepenatan sehingga bereaksi begitu
membuatkan kami tidak memberatkan kepala untuk memikirkan halnya. Persoalan
tentang itu juga terus kami abaikan saja.
“Macam tak nak temankan aje,” omelku sendiri setelah merasa
jemu menunggu.
Memikirkan yang aku boleh pergi ke tempat itu
bersendirian, maka aku bercadang untuk pergi sendiri saja. Mungkin Fir masih kepenatan sehingga terlajak
tidurnya. Mungkin juga dia kurang sihat. Kalau begitu lebih baiklah jika dia
berehat saja. Aku juga tidak kisah jika tidak ditemani olehnya. Bukan hal yang
besar bagiku untuk pergi sendirian. Tambah-tambah bila aku berasa yakin untuk
pergi sendiri. Ketika kaki mahu
melangkah keluar meninggalkan hotel, aku teringatkan kameraku. Mencari-cari di
dalam beg, memang sah tiada. Mungkin tertinggal di bilik hotel. Disebabkan itu,
terpaksalah aku naik ke atas semula. Dengan langkah malas aku berpatah balik
naik ke bilik. Sambil berjalan aku mengutuk diri. Orang cuai sepertiku memang
selalunya kena buat kerja dua kali. Sangat membuang masa.
Keluar saja dari lif aku terpandangkan kelibat Fir yang
sedang mengetuk pintu bilikku. Dari jauh aku sudah tersenyum sendiri. Entah
mengapa, kelibatnya saja sudah menyenangkan hatiku. Rasa seronok bila
sebenarnya dia masih sudi menemani. Lebih seronok bila dia tidak lupa pada
janji. Aku memberi salam bila menghampirinya. Salamku dijawab perlahan.
“Zaira dari mana?” Tegurnya.
Bagi menjawab soalannya, aku memberitahunya yang aku dari
bawah. Aku turut memaklumkan yang sudah hampir satu jam aku menunggunya. Hal
itu memang sengaja mahu aku sampaikan untuk pengetahuannya. Teringin mahu tahu
bagaimana reaksinya dengan makluman itu. Ada sedikit riak ralat terlukis di
wajahnya. Namun tidak pula dia nampak bersalah. Tiada juga ucapan maaf yang
dituturkan. Senyuman juga tidak kelihatan di wajahnya. Nampak pelik bila
reaksinya tidak mesra seperti selalu. Tapi, apa juga keperluan untuk dia mahu
sentiasa mesra denganku? Bila sudah begitu, aku tidak mahu menyerabutkan fikiran untuk
memikirkan apa yang mengganggu moodnya.
Untuk bertanya juga terasa tiada keperluan. Masalahku sendiri sudah terlalu sarat
memenuhi kepala.
“Ingatkan tak nak temankan.” Ungkitku
dengan nada mengusik.
Dia menggeleng-geleng saja.
“Dah janji, kenalah tunaikan.” Balasnya hambar.
Aku membalas kata-katanya
dengan senyuman. Tiada balasan pula darinya. Wajahnya kekal selamba. Sudahnya
aku menunduk. Terasa malu sendiri bila senyumanku tidak berbalas.
“Jomlah kita pergi sekarang.” Ajaknya sambil terus berjalan
menuju ke lif.
“Tunggu sekejap, boleh? Zaira nak masuk bilik ambil
kamera. Tertinggal tadi.” Maklumku.
Pastilah dengan maksud mahu dia
menungguku sebentar.
“Abang tunggu Zaira kat lobi ajelah.” Sambutnya sambil
meneruskan langkah tanpa menunggu balasan kata dariku.
Terasa tidak senang juga dengan
tindakannya. Iyalah, aku sudahpun berada di hadapan pintu bilik. Sekadar membuka
pintu bilik dan mengambil kamera pastinya tidak akan memakan masa yang lama
sehinggakan dia tidak boleh menunggu di situ. Rasa macam pelik. Tapi seperti
biasa, dengan orang yang tidak penting bagiku, perkara-perkara seperti itu
tidak berada lama dalam fikiranku. Lebih-lebih lagi bila saja aku turun ke
bawah, reaksinya sudah seperti sediakala. Sudah kembali ramah, mesra dan ceria.
Jadinya reaksi sebelumnya mudah saja aku lupakan. Malah terus rancak pula aku
berborak dengannya sepanjang perjalanan.
Waktu kami keluar, kelihatan ramai
orang tempatan yang mahu keluar ke tempat kerja. Keadaan itu membuatkan aku terfikir
untuk bertanyakan tentang pekerjaannya. Sengaja mahu berbasa basi tentang perkara
yang terlintas di kepala saat itu.
“Fir kerja apa ya?” Soalku menyibuk hendak tahu pekerjaan
orang.
Takut-takut juga untuk aku
mengajukan soalan. Mengambil tahu hal orang bukan perkara yang biasa bagiku. Bila
sesekali mahu buat perangai penyibuk memang terasa canggung. Tapi dah namanya
pun berkawan. Dalam sesi berkenalan, tak salah rasanya hendak ambil tahu
perkara-perkara yang dirasakan penting untuk diketahui. Lebih-lebih lagi bila ada
banyak perkara yang sudah diketahui olehnya tentang diriku. Mana aci perkenalan
satu hala saja kan? Daripada aku meneka-neka sendiri, lebih baiklah aku terus
bertanya. Fir menyengih panjang dengan soalan berupa wawancara dariku.
“Kenapa Zaira nak tahu?” Soalnya spontan.
“Saja.” Balasku selamba.
“Yang pastinya abang bukanlah Tuan Majistret ataupun lawyer.” Jawabnya sambil tergelak-gelak
perlahan.
Aku ikut tergelak sama
mendengar jawapannya.
“Oh ya ke? Kalau macam tu haruslah kena reject
oleh bakal mak mentua nanti.” Usik aku mengaitkan dengan jawapannya tadi. Fir
tergelak-gelak lagi sambil mengiyakan kata-kataku.
“Itulah… kesian abang. Tapi kalau bakal mentua yang macam
tu, sebelum dia reject abang, abang akan
reject dia dulu. Sebab pilihan bukan
di tangan mereka saja. Kalau bakal mentua boleh memilih menantu yang berkerjaya
bagus, bakal menantu pun boleh memilih mentua yang berfikiran bagus. Yang tak
menilai seseorang berdasarkan bidang pekerjaannya semata. Kalau
semua orang nak bermenantukan majistret atau lawyer, siapa pula nak terima tukang masak atau tukang kayu sebagai menantu.”
Ulasnya.
Betul juga tu. Aku sangat bersetuju
dengan kata-katanya.
“Tapi kalau ahli muzik, laku juga sekarang ni orang nak buat menantu.” Tambahnya lagi
mengaitkan dengan isu semasa. Aku mengiyakan kata-katanya. Sesudah itu kami
berdua sama-sama ketawa. Boleh pula gosip
pasal artis termasuk dalam perbualan kami.
“So, Fir kerja
apa?” Soalku mengulang soalan sebenar.
Rasa bertambah ingin tahu
tentang pekerjaannya setelah mendengar ulasan-ulasan darinya.
“Abang kerja kat restoran. No office attire macam mereka-mereka tu.”
Fir menjawab soalanku sambil
memandang mereka-mereka yang berjalan di sekitar kami dengan berpakaian
pejabat. Bila dia menyebut restoran, terus
saja aku terfikirkan yang dia ini seorang tukang masak. Lebih-lebih lagi bila
tadi ada juga dia menyebut tentang tukang masak ketika bercakap tentang
menantu dan mentua pilihan.
“Oh, mesti Fir ni chef kan? Tak hairanlah boleh memasak. Sangat
pandai memasak lagi. Masakannya sedap pulak tu. Tentu besar gaji tukang masak ni kan. Sebab itulah boleh selalu
pergi jalan-jalan ke merata tempat. Travel
all around the world. Best bangat
tu. Hmm… patutlah ramai orang yang nak jadi tukang masak sekarang ni. Tengok
macam rancangan Mastercheftu,
berlumba-lumba orang nak masuk. Rancangan masakan pun makin bertambah-tambah
sekarang ni. Lepas ni, tukang masak pun mesti masuk senarai bakal mentua yang jenis
memilih tu. Beruntunglah Fir.” Ujarku.
Dalam pada mengagak pekerjaan Fir,
panjang pula rumusanku mengenainya. Fir tersenyum panjang dengan kata-kataku. Sepanjang
masa aku berkata-kata, matanya tidak beralih dari memandangku. Ceritanya
sebelum ini tentang negara-negara lain yang sudah dilawati membuatkan aku
terfikir yang tentulah besar gaji tukang masak sehingga dia berkemampuan untuk
selalu pergi melancong. Sebelum ini aku ada bertanyakan tempat-tempat menarik
yang boleh aku lawati di lain kali. Memang dia memberikan beberapa tempat
menarik berdasarkan pengalamannya ke tempat-tempat yang pernah dikunjungi. Ada
banyak tempat yang diceritakan. Bukanlah dia saja-saja mahu bercerita. Rasanya
kalau aku tidak bertanya, memang perkara itu tidak akan aku ketahui. Ini kerana
Fir bukanlah lelaki yang suka membuka cerita tentang diri sendiri. Rasanya
kalau boleh disimpan, memang dia akan simpan sendiri. Kalau aku tak bertanya memang takkan
keluarlah cerita tentang itu.
“Zaira ni kan, kalau menangis macam tak nak berhenti.
Kalau bercakap pun macam tu jugak. Petah betul mulut dia.” Kutuk Fir selamba.
Aku menyengih dengan kutukan Fir.
Tidak langsung mengambil hati kerana itulah kebenarannya.
“Sebenarnya kalau kena ‘gu’ memang
Zaira kuat bercakap. Kalau dapat bercakap jadi susah nak berhenti pulak. Err…
membebel pun kuat juga tau. Lepas tu tak boleh berhenti jugak. Itu yang Ikmal
pun naik bosan dan cari lain. Waktu sedih jadi senyaplah kejap.Macam sekarang ni lah. Menghayati
wataklah katakan.”
Beria aku menerangkan. Sempat
juga aku buat lawak di hujungnya. Dalam melawak ada kebenaran di dalamnya.
Lebih-lebih lagi tentang hal berkaitan Ikmal. Fir nampak tidak senang bila aku
mengungkit tentang perkara itu. Cepat-cepat saja dia kembali pada persoalan
kami yang sebenar. Tentulah mahu mengelak aku kembali terserong mengenang kisah
duka.
“Abang bukannya chef.
Gaji pun taklah besar mana. Sebab itulah pergi berjalan seorang diri. Kalau nak
bawak orang lain manalah mampu.” Balasnya merendah diri.
Tapi, mungkin itulah
hakikatnya. Entah. Aku tak pasti. Takkan pula aku mahu menyelidik tentang berapa
banyak pendapatannya. Tentang gaji ni memang sensitif sikit bagi sesetengah
orang. Ramai orang yang mahu berahsia. Di slip gaji pun selalu bertulis private & confidential. Nampaknya
dia juga tidak mahu berterus terang tentang pekerjaannya. Hanya menafikan
pekerjaannya sebagai tukang masak tapi tidak pula menyebut pekerjaannya yang
sebenar. Takpelah. Aku bukannya terdesak sangat mahu tahu. Lagipun, tak
kiralah banyak atau tidak gaji seseorang tu. Tak kisahlah ternama atau
terpinggir jawatan seseorang itu. Semua orang mempunyai peluang yang sama untuk
memperbaiki diri mengikut rezeki masing-masing. Tak gitu?