Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
128,599
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Bab 3

“Lain kali tak payah belikanlah kalau susah sangat nak jaga-jaga macam ni. Mama bukannya rajin nak sangkut elok-elok macam tu. Lagi pun mana ada tempat nak gantung dalam almari ni.” Aku terdiam mendengar nada tinggi yang keluar dari mulut mama.

Salahkah kalau aku mengajarkan cara penyimpanan dan cara menjaga tudung yang baru aku hadiahkan kepadanya itu? Niatku hanyalah mahu mengelakkan tudung yang cantik itu dari menjadi tidak sempurna bentuknya bila mama memakainya nanti. Bukannya untuk aku, tetapi untuk dirinya juga. Aku mahu mama sentiasa kelihatan cantik bila memakai tudung yang ikhlas aku belikan untuknya dengan harga yang mahal itu. Salah ke?

“Takpelah mama, nanti Zaira carikan ruangan kosong untuk mama gantungkan tudung tu.” Pujukku.

Sebolehnya aku cuba menahan diri untuk terus bersabar dengan kemarahan mama yang tiba-tiba. Ruangan dalam almari yang masih punya kekosongan ruang itu aku pandang dengan ekor mata bersama perasaan tidak puas hati. Sudah lapan tahun aku mendirikan rumah tangga bersama Ikmal. Sejak itu mama tinggal berseorangan di rumah ini. Kalau benar pun almari itu dirasakan sudah penuh oleh mama, ada banyak lagi almari lain di rumah mama yang boleh diisi dengan dua helai tudung pemberianku ini. Tapi bila soal itu menjadi alasan, aku terasa kecil hati pula.

“Ambillah balik tudung ni. Lain kali kalau banyak sangat ceritanya, tak payah nak belikan apa-apa untuk mama. Belikan aje untuk orang lain. Kan ramai lagi orang yang lebih penting dalam hidup Zaira selain mama.” Omel mama keras.

Mama mula mengungkit sikapku yang dirasakan selalu melebihkan orang lain. Aku terus termangu bila tudung yang aku belikan dipulangkan ke ribaanku semula. Setelah itu dengan wajah yang masam mencuka mama terus berlalu meninggalkanku. Gedegang! Kedengaran bunyi pintu bilik air. Walaupun tidak sekuat mana, tapi aku tahu pintu bilik air itu sememangnya ditutup dengan lebih kuat dari kadar yang biasa.

“Zaira dah sangkutkan tudung tu dalam almari mama.” Beritahuku pada mama yang baru keluar dari bilik air.

Besar hatiku mahu berbaik dengan mama. Namun, tanpa sepatah kata, mama langsung tidak menghiraukan kata-kataku. Apatah lagi menghiraukan aku yang berdiri di hadapannya. Rasanya baru sekejapan tadi kami saling bergelak ketawa. Aksi mama mencuba tudung barunya dengan wajah yang cukup ceria masih lagi terbayang di mata. Sempat pula tudung yang aku hadiahkan itu dipadan-padankan dengan baju-bajunya dengan gaya yang teruja. Kini segalanya berubah dalam hanya selang waktu yang seketika. Bagaimanalah aku boleh menolak perasaan terasa hati bila menerima perubahan sikapnya yang sebegitu. Berulang kali pula aku terpaksa menghadapinya. Pantang tersilap kata atau perbuatan, pastinya mama akan tersentap memanjang. Kata-kata dan tingkahku yang memang aku jaga dan rasakan tiada apa yang tidak kena selalu saja membuatkan mama naik berang denganku.

Mama selalu menjadi dirinya sendiri bila berhadapan denganku, satu-satunya anak kandungnya sendiri. Sedangkan dengan orang lain, mama selalu lebih berhemah dan menjaga tingkahnya. Malah dengan anak tirinya, along dan Kak Mila, layanan mama sangat baik. Setiap kali aku mahu berbaik dengan mama, sikap yang beginilah yang aku selalu terima darinya. Entah mengapa, kebaikanku selalu saja membuatkan darah mama mengelegak. Setiap kali aku berkunjung melawat mama dengan hati yang sarat dengan perasaan rindu padanya, sikap baran dan angin tidak baiknya yang aku terima diakhirnya. Juga kata-kata kasar yang begitu menyakitkan hati dan omelan kelat yang tidak berhenti menyakitkan telingaku untuk mendengarnya.

“Cukuplah tu mama. Sebab itulah Zaira selalu melebihkan orang lain. Sebab itulah juga Zaira tak mahu selalu mengajak Ikmal dan anak-anak ikut sekali ke sini.” Luahku.

Tapi luahan itu hanya sekadar di dalam hatiku saja. Terasa tidak sanggup untuk aku terus melayan sikap dan kerenah mama. Aku benci mendengar kekasaran kata-kata mama. Tapi siapalah aku untuk menjerkah mama. Untuk menjerit padanya supaya menghentikan segala perlakuan buruknya terhadapku. Ini kerana, dia ibuku. Ibu yang melahirkan aku dari rahimnya. Ibu yang bersusah payah meneran aku keluar dari rahimnya dengan sepenuh kudrat untuk aku melihat dunia. Insan yang sanggup bertarung nyawanya untuk membolehkan aku bernafas di dunia ini. Aku tidak mahu menjadi anak yang derhaka. Maka dengan hati yang sebal, segalanya hanya aku pendamkan lagi. Aku terima dengan susah payah dan menyimpannya di dalam hati. Rasa sakit, pedih, geram, kecewa dan bermacam-macam perasaan yang tidak enak itu hanya dapat terus berkumpul di dalam hatiku saja.

Perbualan aku dengan mama selepas itu hanyalah perbualan satu hala. Mama leka memandang skrin televisyen. Pertanyaanku bagaikan disambut angin lalu. Kalau menjawab pun asyiklah dengan jawapan ‘entah’ atau ‘tak tahu’ saja. Nadanya semestinyalah agak keras dan mahu tak mahu saja. Tidak lembut dan penuh perhatian seperti diawal kedatanganku tadi.

“Jom mama, kita keluar sekejap cari kuih untuk minum petang.” Ajakku cuba untuk memperbaiki keadaan. Namun pelawaanku tidak mendapat sambutan.

“Kalau mama tak nak keluar pun takpelah. Tapi mama nak kuih apa? Boleh Zaira belikan.” Ujarku.

“Mama tak mahu apa-apa. Tak payah belikan apa-apa.” Balas mama dengan nada yang tegas.

Sudahnya aku keluar sendirian. Mencari kuih apam balik dan kuih lopis kegemaran mama. Namun sehingga aku mahu melangkah pulang, kuih-muih yang sudah aku hidangkan langsung tidak bersentuh. Aku pula tiada selera mahu menjamahnya seorang diri.

“Zaira balik dulu mama.” Maklumku.

Tangan yang dihulur untuk bersalaman dengan mama tidak dibalas dengan gengaman erat. Hajat di hati mahu membawa pulang sedikit lauk kegemaran yang dimasak oleh mama untukku tengah hari tadi. Namun melihat reaksinya yang bagaikan tidak peduli padaku, aku jadi malu sendiri untuk meminta-minta. Biarlah, kalau ada rezeki, tentu aku dapat menikmatinya di lain kali. Itu pun andainya mama masih sudi memasakkan lauk itu untukku. Petang itu, aku keluar dari rumah mama tanpa ditemani olehnya. Memang selalunya begitu. Sejak aku berkahwin, hanya sekali sekali saja mama menemaniku sehingga ke kereta. Itu pun bila Ikmal, Zarif dan Zaril datang sekali. Pastinya kerana mama mahu merai cucu dan menantunya. Bukan semata-mata mahu meraiku.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.