Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
128,601
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

Bab 11

Baru dua hari. Hari ini dan semalam. Namun, aku sudah merasa selesa dengannya. Walaupun tanpa Azrai, aku langsung tidak berasa kekok ditemani olehnya. Hanya kami berdua tidak langsung membuatkan aku berasa canggung untuk berbual dan berjalan bersama. Caranya membuatkan aku rasa selesa. Dia tidak banyak bertanya tentangku. Soalan peribadi langsung tidak keluar dari mulutnya. Mungkin banyak yang sudah dia ketahui dari ceritaku bersama Azrai malam tadi. Bercerita tentang dirinya juga kurang. Perbualan kami lebih banyak berkisar tentang isu semasa, cuaca dan keadaan keliling di tempat orang ini.

Aku senang memanggilnya Fir saja tanpa abang di pangkal. Bagiku panggilan itu lebih santai. Namun dia pula bagaikan selesa untuk terus membahasakan dirinya abang saja padaku. Apa-apa sajalah. Asalkan saja kami boleh berkomunikasi dengan baik. Ikutlah nama apa yang mahu dipanggil ataupun digunakan. Dia nampak begitu menghormati aku sebagai isteri orang. Dia juga amat prihatin dengan status ibu yang aku pegang. Tingkahnya sangat sopan. Gayanya mesra namun langsung tidak berlebihan. Sentiasa ada jarak yang diambil di antara kami. Walaupun ada kerusi atau ruang kosong di sebelahku, dia akan memilih kerusi atau ruangan yang berselang ataupun memilih untuk duduk mengadapku dengan jarak yang aku tahu sengaja diambil untuk membuatkan aku rasa selesa. Pastinya juga untuk menjaga batasan yang sepatutnya ada di antara kami.

Dia tersenyum ketika aku berpaling.

“Sejuk sangat ke Zaira?” Soalnya bila dilihat aku terlalu kerap mengosok-gosokkan kedua belah tapak tanganku.

Aku mengangguk mengiakan sambil membalas senyumannya. Sebenarnya aku ada membawa sarung tangan untuk melindungi kesejukan. Tapi bila melihat orang-orang tempatan selamba saja berskirt singkat dan berlengan pendek di sekelilingku, membuatkan aku berasa segan pula untuk menunjukkan yang aku sedang sangat kesejukkan. Cukuplah aku sekadar berjaket saja buat setakat ini. Malu yang tidak bertempat. Keadaan yang sengaja menyiksa diri sendiri sebenarnya.

Come,” ucapnya.

Terdengar lembut kata-kata itu di telingaku. Untuk seketika aku jadi terpaku dan terkedu. Kalau bersama Ikmal, dalam keadaan dan situasi sebegini, pastinya maksud ‘come’ itu ialah mahu menarik aku ke dalam pelukannya. Atau paling kurang pun mengambil tanganku ke dalam gengamannya. Aku terbawa kembali dalam kenangan mesra bersama Ikmal. Kemesraan Ikmal padaku suatu waktu dulu terbayang di mata. Namun bila teringatkan yang kini bukan hanya aku wanita yang dimesrai begitu, membuatkan aku cepat-cepat mengusir bayangan itu pergi. Bila bayangan itu pergi, persoalan pula datang menghampiri. Takkanlah pula Fir memaksudkan perkara yang sama? Lupakah dia yang aku ini isteri orang? Perlakuan seperti itu memang tidak wajar dan harus dielakkan oleh kami berdua.

“Kita singgah minum dululah.” Pelawa Fir menghabiskan kata-kata yang berupa ajakan yang telah aku tersilap tafsir sebentar tadi.

Sambil itu haluan kakinya sudah mendahuluiku mengarah ke sebuah restoran di tengah bandar Perth itu. Pelawaannya memberikan aku penjelasan yang bukan perkara yang aku fikirkan tadi yang dimaksudkan olehnya. Aku menyimpan senyuman kerana termalu sendiri akibat tersalah sangka. Boleh pula terfikirkan perkara yang tidak-tidak. Keprihatinannya benar-benar mencuit rasa. Sebenarnya penat berjalan memang tidak terasa. Namun kesejukan ini membuatkan aku terlalu mahu untuk memanaskan diri di dalam bangunan pula. Berehat seketika untuk minum adalah perkara yang menjadi keperluan untukku saat ini. Memang tadi Fir ada mencadangkan agar kami menaiki bas saja. Menaiki bas awam yang sememangnya disediakan secara percuma untuk semua laluan di dalam bandar Perth ini. Perhentian basnya juga terletak betul-betul di kawasan depan hotel. Namun memandangkan jarak stesen keretapi itu tidak sejauh mana membuatkan aku pula yang beria-ia mahu berjalan kaki saja. Ini kerana waktu tadi faktor sejuk tidak termasuk langsung dalam perkiraanku. Juga kerana di dalam peta yang aku belek di awal tadi, jaraknya nampak dekat.

Aku juga sudah termakan kata-kata petugas di kaunter hotel dan orang awan yang lalu lalang yang membayangkan tempat itu bagaikan begitu dekat. Setiap kali aku bertanyakan arah dan jarak, pastinya jawapan yang diterima ‘it is just around the corner’. Kalau tidak pun ‘it is only a walking distance’. Fir juga turut mengiakannya. Tidak ke jawapan sebegitu kedengaran seperti dekat benar jaraknya? Sesuai sangatlah bagi kebanyakan mereka di tempat ini yang menjadikan berjalan kaki itu satu pengangkutan. Makanya jarak bukanlah ukuran buat mereka. Sekarang ini, ingin saja aku mengajak Fir untuk menaiki bas. Tetapi, terasa malu pula untuk meluahkannya. Lebih-lebih lagi setelah tadi aku yang beria-ia mahu berjalan kaki saja.

One hot chocolate for her and one black coffee for me.” Aku hanya memandang ketika Fir membuat pesanan.

Minuman dipesan setelah ditanya apa mahuku. Selepas menghabiskan minuman dan seketika merehatkan diri kami keluar dari kedai dan menuju ke Stesen Keretapi. Sebaikkakiku menjejaki kawasan Stesen Keretapi, tidak sedar aku sudah tersenyum sendiri. Mujur Fir tidak perasan. Bukannya apa, di tempat sendiri pun aku tidak pernah menaiki keretapi. Menaiki kenderaan awam yang lain juga sudah lama aku tinggalkan. Tidak sangka pula di tempat orang ini aku dapat menaiki keretapi untuk kali pertama. Juga menaiki bas awam di sini untuk ke sana sini. Tiket dibeli melalui mesin yang disediakan. Rasanya sama seperti sistem di Malaysia juga. Walaupun aku tidak pernah menggunakan perkhidmatan keretapi di Malaysia, namun aku tetap tahu yang di tempat kita juga menggunakan mesin sebegini untuk membeli tiket dari cerita teman-teman. Apa yang bagusnya di sini, mesin untuk penukaran wang juga disediakan bersebelahan dengan mesin tiket. Makanya, tidak menjadi masalah untuk penumpang yang tidak mempunyai duit tukar atau wang kecil untuk menggunakan perkhidmatan mesin tiket itu. Kemudahan yang bagiku sangat mesra pengguna.

Telefon bimbit Fir berdering. Anak mataku mengekor gerak geri Fir yang mengagau mencari telefon di poket seluar jeansnya.

“Azrai.” Maklumnya kepadaku sebelum panggilan dijawab.

Uncle baru beli tiket.” Aku mendengar dia memberitahu begitu kepada Azrai.

“Turun di stesen Fremantle kan?” Soalnya kepada Azrai pula.

Pastinya sekadar untuk kepastian kerana tiket sudah dibeli sebentar tadi dan kini sudah pun berada di tangannya.

Untuk seketika dia terangguk-angguk. Kemudian dia terangguk-angguk lagi. Entah mengapa aku perlu memberikan sepenuh tumpuan kepada perbualannya bersama Azrai itu. Walaupun perhatianku tidak sepenuhnya terarah pada Fir, namun aku masih tidak berganjak dari menjauhi dirinya. Mungkin suaranya yang sedap didengar itu membuatkan aku lebih mahu memakukan diriku di situ. Sedangkan boleh saja andai aku berlegar-legar di bangunan Stesen Keretapi yang nampak sudah berusia itu. Tetapi tetap terjaga dan nampak bersih persekitarannya.

“Okey-okey. Takde masalah. She’s fine. Jangan risaulah, Acu kesayangan Azrai ni selamat dengan uncle,” bicara Fir membalas apa jua kata-kata Azrai di talian yang pastinya berkisar tentang diriku. Matanya sempat mengerlingku berserta senyuman kecil.

My pleasure,” tambahnya lagi kepada Azrai.

Entah apa yang dikatakan oleh Azrai. Tapi Fir menjawabnya begitu. Selepas memberi salam dia memutuskan panggilan. Pandangan kami bertemu. Senyuman berbalas untuk seketika.

“Jom Zaira,” ajak Fir.

Langkahnya sudah mendahuluiku. Memang kebanyakan masa, kami tidak berjalan beriringan. Aku mengekor laju agar tidak tertinggal terlalu jauh di belakang. Di tempat orang ini aku perlu berhati-hati agar aku tidak kehilangan jejaknya. Menangis tak berlagulah aku kalau ditinggalkan di sini nanti.

PERTAMA kalilah katakan. Walaupun pengalamannya biasa-biasa saja, namun aku tetap rasa teruja dan seronok. Mataku meliar ke seluruh koc. Melalui pandangan mata, semua ruangan aku tinjau dengan beria. Fir yang duduk di kerusi yang berhadapan denganku tersenyum memandangku. Mungkin aneh dengan reaksiku. Ataupun dia sekadar mahu menghulurkan senyumannya untukku. Biarlah walau apa pun sebabnya. Yang penting pengalaman pertama ini tidak mahu aku sia-siakan begitu saja. Keretapi agak penuh. Namun semua orang masih mempunyai tempat duduk. Rasanya hanya aku dan Fir saja orang luar. Yang lain semuanya orang tempatan. Aku menilainya begitu dari warna rambut dan warna kulit mereka. Sempat juga aku dan Fir membalas sapaan penumpang di kiri dan kanan kami yang nampak peramah mahu menegur mesra.

“Pengalaman pertama Zaira naik keretapi.” Maklumku setelah seketika.

Fir yang pada ketika itu sedang mengeluarkan buku dari dalam beg galasnya memandang padaku sekilas. Dia terangguk-angguk mendengarnya. Tiada pula riak terkejut yang kelihatan di wajahnya mendengar pengakuanku. Mungkin perkara biasa baginya orang yang tidak pernah naik keretapi. Jadinya tiada apa yang perlu dipelikkan olehnya. Reaksinya yang tidak sedikit pun nampak seperti mahu mengejekku sudah cukup baik untuk aku terima.

Enjoy your experience.” Ucapnya sambil tersenyum.

Aku membalas senyuman itu seadanya. Fir kemudiannya membuka bukunya dan memulakan pembacaan. Mataku kembali meneroka sekitar gerabak. Setelah puas meninjau keadaan sekitar koc, aku menghalakan pandangan ke luar pula. Meninjau pemandangan pertama di tempat orang. Tidak jemu mata ini memandang alam indah ciptaan ALLAH. Sepanjang perjalanan, tiada langsung perbualan antara aku dan Fir. Pastinya dia memberikan aku sepenuh ruang untuk menikmati pengalaman pertamaku ini. Dia pula nampak terus kusyuk membaca. Kaki buku agaknya mamat ni. Keadaan keliling terus tidak dihiraukan bila telinganya disumbat pula dengan earphone yang disambung dari I-phonenya.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.