Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
128,601
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

Bab 20

“Jom Zaira,” ajak Fir.

“Kita nak ke mana?” Soalku.

Setelah puas berjalan sejak tadi, aku terasa tidak mahu ke mana-mana lagi. Waktu ini kami sedang berada di kawasan yang cukup strategik bagiku. Kedudukannya sudah sangat selesa. Pemandangannya sangat indah. Aku lebih seronok untuk menghabiskan masa dengan duduk melepak di sini. Walaupun berjalan-jalan juga seronok, namun kepenatan mula terasa. Jadinya berjalan ke tempat lain tidak lagi menjadi pilihanku.

“Kita nak baliklah. Takkan Zaira nak tidur kat sini pulak kut.” Sambut Fir lembut.

“Kalau boleh, Zaira nak aje. Seronok sangat duduk kat sini. Rasa macam tak nak balik.” Luahku.

“Seronok sebab abang ada dengan Zaira kan?” Duga Fir cuba mengusik.

Aku menyengih menyambut usikannya. Walaupun bukan itu sebab sebenarnya, namun faktor itu memang turut menyumbang kepada keseronokanku di sini.

“Entah, iya ke?” Sengaja aku menimbulkan tanda tanya pula.

“Iya… abang tahu.” Sambut Fir penuh yakin.

“Kalau Fir dah kata macam tu, agaknya iyalah kut.” Balasku lembut.

Menjaga hati orang lain adalah sangat perlu. Lebih-lebih lagi hati orang yang baik budi dan cukup mengambil berat tentang kita. Makanya aku memilih untuk menjaga hatinya dengan mengiyakan saja. Lagi pun tiada kerugian langsung di pihakku andai aku mengakuinya. Aku memandangnya sambil tersenyum. Fir juga ikut tersenyum senang menerima kata-kataku.

“Kalau macam tu, jom kita balik dulu. Esok abang boleh temankan Zaira ke sini lagi kalau Zaira takde hajat nak pergi ke tempat lain.” Ajak Fir sambil berjanji.

Ceria wajahku menerimanya. Rasa sungguh teruja dengan kesudian dan pelawaannya untuk menemaniku esok. Untuk mengelakkan keterujaan itu begitu menyerlah, aku sengaja mengusiknya kembali.

“Ohhh… Fir nak ajak Zaira keluar date esok eh,” usik aku.

Fir tersenyum lebar menerima usikanku. Sengaja ditonjolkan mimik wajah malu-malu.

“Eh, mana Zaira tahu ni?” Fir terus melayan usikanku.

“Eeii.. mana boleh date dengan isteri orang.” Kutukku berpura-pura tidak berkenan.

Berubah seketika wajah Fir. Namun seketika kemudian wajahnya kembali cerah.

“Eh, taklah, abang bukan nak dating dengan isteri orang. Tapi abang nak dating dengan adik abang.” Balasnya bersahaja.

Cuba memperbetulkan kenyataanku. Pendiriannya yang tetap dan masih tidak berubah menganggap hubungan ini seperti abang dan adik membuatkan aku terus rasa selesa.

“Malam ni pun abang ingat nak ajak ‘adinda’ abang…” Matanya memandangku ketika perkatan adinda itu disebut sebelum menyempurnakan ayatnya yang seterusnya.

A.k.a adik abang ni makan malam.” Sambung Fir menghabiskan kata.

“Amboi! siap ada a.k.a lagi.”

Perkataan also known as yang digunakan menarik minatku untuk mengusiknya.

“Iyelah, adinda kan biasanya membawa maksud kekasih. Juga membawa maksud adik. Jadinya abang kenalah buat penerangan yang betul agar maksud ayat tu tidak disalah erti. Sebab kalau tersalah erti takut Zaira menolak pulak. Kalau tersilap panggil dengan maksud yang berbeza takut-takut boleh lebam biji mata juga.” Terang Fir sambil menyengih di hujung kata.

Aku juga ikut menyengih.

“Hmm.. kalau kat sini tak lebam biji mata kut, sebab Ikmal jauh. Tapi kalau kat Malaysia, agaknya memang mahu seminggu Fir makan nasi bubur kalau panggil Zaira macam tu dengan maksud yang lain tu.” Balasku beria-ia.

Penuh yakin aku berkata-kata. Sedangkan, entah ada lagikah perasaan cemburu Ikmal untukku. Segala urusanku di sini memang aku maklumkan semuanya pada Ikmal di sana. Fir yang tidak pernah dia kenali juga aku kenalkan melalui ceritaku kepadanya. Mahu juga aku dengar luahan rasa cemburunya. Kata orang cemburu itu tandanya sayang. Namun, entah dia menyembunyikannya atau memang langsung tiada rasa cemburu sehinggakan dia nampak tidak kisah bila aku meminta izin untuk ditemani Fir di sini. Sudah tidak sayang ke Ikmal padaku lagi? Tidak bertangguh rasa sedih mula terasa.

“Baguslah ada orang yang boleh temankan awak di sana. Takdelah saya risau sangat.”

Begitulah reaksi yang aku terima dari Ikmal. Bunyinya macam tidak kisah saja. Masih adakah kerisauan di hatinya bila hatinya sedang diisi dengan kebahagiaan yang baru? Hmm… entahlah.

So, kita nak makan kat mana malam ni?” Soalku.

Cuba mengalih perhatian diri sendiri dari terus memikir perkara yang tidak menyenangkan hati. Memesongkan fikiran dari terus menjawab persoalan yang jawapannya tidak aku ketahui.

“Eh, abang baru ajak-ajak ayam, Zaira dah setuju pulak.” Giat Fir sambil mengangkat keningnya.

Aku membuat muka geram membalas kata-katanya itu. Nampak macam aku pula yang terhegeh-hegeh mahu keluar dengannya. Ada sedikit rasa malu menerima kata-katanya walaupun aku tahu Fir hanya mahu mengusik.

“Zaira menangis lagi karang baru tahu.” Ugutku bagi menutup rasa malu.

Fir tergelak perlahan. Kemudian dia tersenyum panjang. Lelaki ini terlalu murah dengan senyuman. Senyumannya pula manis sekali. Nampak penuh dengan keikhlasan.

“Eh, takdelah. Dah cakap nak ajak, tentulah betul-betul ajak. Takkanlah nak ajak main-main. Tapi bila Zaira terus bersetuju abang rasa macam ‘terkesima’ pulak. Sebelum ni abang ingat tentunya Zaira akan menolak. Zaira jangan nangis ya.” Kalut Fir memujukku dan memberikan penjelasan.

Aku mencebik mendengar penjelasannya. Bukannya benar-benar terasa hati pun. Cuma tersentap sikit dengan kenyataannya tadi. Oleh sebab itu, sengaja aku buat-buat tidak berminat dengan pujukannya.

“Tak naklah kawan dengan Fir.” Rajukku spontan.

Sesudah itu aku tergelak sendiri kerana tersedar yang aku sudah bereaksi kebudak-budakan. Juga mempamerkan sikap mengada-ngada yang tidak kena tempat. Aku sendiri berasa geli sebenarnya. Ish.. ish.. nak merajuk konon. Nak minta orang pujuklah tu. Tak malu betul aku ni.

“Eh, janganlah tak nak kawan dengan abang. Abang suka kawan dengan Zaira. Okey, malam ni abang masakkan untuk Zaira ya. Kita makan ramai-ramai kat rumah Azrai. Boleh ajak kawan-kawan dia sekali.” Pujuk Fir.

Fir juga turut memaklumkan yang memang dia dan Azrai sudah merancangnya sejak semalam.

“Alahai, ingatkan Fir nak ajak Zaira makan malam berdua aje.” Usik aku.

Sebenarnya aku sendiri dalam kelegaan. Lebih eloklah makan beramai-ramai daripada keluar makan berdua. Jadinya tidaklah aku merasa kekok. Tentunya aku akan merasa lebih selesa.

“Kalau makan malam dengan adinda kekasih bolehlah makan berdua aje. Sebab tak romantiklah kalau ada orang lain. Tapi sebab nak makan dengan adinda adik, kenalah ajak orang lain sama. Takdelah nanti kita ada rasa yang lain. Mesti banyak cerita yang boleh dikongsi dengan Azrai dan kawan-kawan dia. Macam tu lagi seronok dan lebih baik kan. Takdelah menimbulkan fitnah nanti.” Balasnya tenang.

Aku mengangguk-angguk tanda bersetuju dengan kata-katanya. Dalam pada itu aku terus menyukai caranya yang begitu berjaga-jaga. Dalam pada mahu rapat, dia tetap menjaga batasan sepatutnya. Dalam pada mahu mesra, dia bagaikan sudah tetapkan hadnya. Jadinya dia melayanku pada kadar yang sepatutnya. Tiada yang berlebih-lebihan melainkan seadanya. Serba sederhana yang lebih banyak yang kurang dari terlebih. Memang itulah yang sepatutnya. Sama-sama menjaga.

“Err.., terkesima tadi tu apa ya?” Soalku menguji.

Teringat pula perkataan yang digunakan tadi.

“Hmm.. entah ya. Abang pernah terbaca perkataan tu. Rasanya ayat abang tadi macam sesuai untuk masukkan perkataan tu. Nampak cool kan?” Balas Fir sambil tergelak-gelak.

Siap boleh bangga lagi kerana dapat menggunakan perkataan ‘terkesima’ tu.

“Banyaklah dia punya terkesima. Tak cool mana pun.” Ejekku.

“Tak cool eh? Alamak, beria aje abang gunakan perkataan tu tadi.” Balasnya sambil tergelak-gelak.

Aku juga ikut tergelak dengan telatahnya yang menghiburkan. Sangat bijak dia menceriakan suasana.

FIR menghulurkan telefon bimbitnya kepadaku ketika kami dalam perjalanan pulang ke hotel. Dalam terpinga-pinga aku menyambutnya. Kedengaran suara Azrai menyapaku di talian. Sambil menyapa Azrai di talian, aku mengagau telefon bimbit di poket beg. Telefon bimbitku sudah kehabisan bateri rupanya. Patutlah tidak berbunyi. Aku tadahkan saja telingaku dengan bebelan Azrai yang meluahkan kerisauannya kerana aku lambat pulang. Juga kerana tidak dapat dihubungi. Kerana kerisauan, Azrai menghubungi Fir. Waktu itu barulah dia tahu yang Fir sudah menemaniku sejak tadi.

“Acu dah on the way baliklah ni.” Maklumku dengan lembut sambil memintanya menungguku di hotel saja.

Sesudah selesai berbicara dengan Azrai, dengan selamba aku memasukkan telefon milik Fir terus ke dalam begku. Langsung aku terlupa yang telefon bimbit itu bukan milikku. Aku hanya mengangkat kening bila Fir memandangku semacam.

“Apa?” Soalku bila dia terus memandang.

“Telefon abang.” Jelasnya memberi klu.

“Oh..,” Balasku mula sedar apa yang tidak kena. 

Sambil menepuk dahi aku meminta maaf. Aku mengeluarkan telefon dari dalam beg dan menghulurkan kepadanya. Dia terus memandangku semacam seperti tadi.

“Apa?” Rasa tidak puas hati dengan pandangannya, aku menyoalnya sama seperti tadi.

“Telefon abang.” Tekannya lagi.

“Itu, Zaira dah pulangkan.” Balasku sambil menunding jari pada telefon bimbit yang didalam gengamannya. 

Ketika itu barulah aku terperasan yang telefon bimbit di tangannya itu adalah telefon bimbit milikku. Aduhai. Tak perasan betul tadi. Macam manalah aku boleh terambil telefonku sendiri. Fir hanya menyengih sambil menggeleng-gelengkan kepalanya dengan aksi mengejek.

“Kut iya pun suka dengan phone abang tu, tak payahlah nak ambil terus. Suka-suka hati aje nak tukar dengan phone dia.” Usiknya.

Sambil membuat muka geram, cepat-cepat aku keluarkan telefon bimbit miliknya dari dalam beg dan memulangkan semula kepadanya. Fir mengambilnya lalu terus dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Sekali dengan telefon bimbit miliku juga. Kali ini giliran aku pula memandangnya semacam.

“Apa?” Soalnya.

“Kut iya pun nak jaga Zaira, tak payahlah handphone Zaira pun Fir nak jaga jugak. Suka-suka hati aje nak jaga phone orang.” Usik aku memulangkan paku buah keras.

Fir tersengih panjang sebelum memulangkan semula telefon bimbitku dengan wajah selamba.

PANJANG muka Azrai menyambut aku dan Fir di lobi hotel. Namun melihat wajah ceriaku, terus hilang wajah kerisauannya. Telefon bimbitku yang sudah kehabisan bateri aku suakan kepada Azrai dengan wajah kesian. Sengaja buat muka sepuluh sen untuk mencari simpati. Juga supaya Azrai lebih memahami mengapa aku tidak boleh dihubungi tadi.

“Acu tak boleh nak cas telefon sebab soket plaknya lain. Wayar charger yang Acu bawa tak boleh

nak cucuk pada plak kat hotel ni. Tak boleh masuk. Macam mana Acu nak cas bateri telefon Acu?” Aduku.

Azrai dan Fir saling berpandangan menerima aduanku.

“Memanglah lain Acu. Soket plak di sini tak sama dengan soket plak kita di sana. Jadinya memang kena guna plak yang berbeza. Acu boleh minta pinjam daripada pihak hotel untuk soket tambahan yang ada pin plak seperti yang biasa kita gunakan.” Beritahu Azrai panjang lebar.

“Plak dan soket elektrik berbeza di setiap negara mengikut bentuk, saiz serta jenis penyambungnya, Zaira. Jenis yang digunakan di setiap negara ditetapkan oleh badan penguatkuasa piawaian kebangsaan masing-masing, misalnya SIRIM di Malaysia.” Tambah Fir pula.

Penerangan Azrai dan Fir menambahkan pengetahuanku tentang perkara itu. Maklumlah, inilah kali pertama aku menjejakkan kaki ke luar negara. Sangkaku, di mana-mana tempat pun kita menggunakan plak dan soket yang serupa. Rupa-rupanya tidak. Berbeza soket dan plaknya di sini. Aku memang tidak tahu menahu langsung. Di sini lubang soketnya bulat-bulat. Manalah boleh hendak dimasukkan dengan pin plak kita yang berbentuk empat segi. Bila tidak tahu mengenainya, jadinya tidaklah aku terfikir yang tentunya pihak hotel ada menyediakan plak tambahan yang boleh digunakan oleh pelanggannya. Tapi okeylah juga. Dapat juga aku tahu seseuatu yang baru sebagai ilmu.

“Abang ada plak tambahan tu. Nanti abang bagi Zaira pinjam.” Usul Fir.

Azrai mempelawa untuk tolong caskan bateri telefon bimbitku di bilik Fir saja. Setelah mendapat keizinanku, Azrai mengikut Fir ke biliknya. Aku pula terus ke bilikku untuk mandi dan bersiap sebelum mengikut Azrai ke tempat tinggalnya untuk jamuan makan malam yang telah dirancang di luar pengetahuanku malam nanti.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.