Bab 24
“UHUK… uhuk!” Raihan terbatuk campur tersedak. Mana tidaknya, ketika dia
sedang minum air, tiba-tiba dia ternampak gerak tubuh Thia yang berlari macam
puting beliung!
“Kenapa? Macam nampak jembalang tanah aje kau ni?” teka
Farris apabila melihat Raihan tersedak dengan mata terbuntang besar memandang
ke suatu sudut. Agak buruk mukanya ketika itu.
“Memang pun,” jawab Raihan selamba namun matanya masih
tidak lepas memandang Thia. Mukanya sarat dengan tanda tanya.
“Kau tunggu sini kejap. Aku nak pergi tangkap
jembalang tanah tu.” Raihan terus meninggalkan Farris terpinga-pinga sebelum
dia menyuakan soalan.
THIA
sedang lari pecut ketika Raihan menunggunya di hadapan. Dia terkejut namun
untuk berhenti, tidak sesekali. ‘Singa kelaparan’ ada di belakang!
Apabila makin menghampiri, Thia memperlahankan langkah
kakinya. Yakin dengan keselamatan dirinya apabila berhadapan dengan Raihan. Ya,
dia yakin sekali!
Akhirnya Thia berhenti betul-betul mengadap Raihan
yang sedang bercekak pinggang ala-ala Sivaji The Boss! Dia
termengah-mengah di hadapan Raihan. Tangannya mengurut dada yang berombak
kencang.
“Aku… aku…” Thia tercungap-cungap tetapi masih ingin
berkata-kata. Dia membongkok namun tiba-tiba dia mengangkat tangannya dan…
Pang!!! Thia melempang Raihan. Berpusing 360 darjah
kepala Raihan tak semena-mena. Pedih juga tangannya kerana tamparan tadi. Ah!
Puas hatinya sekarang.
Raihan memegang pipinya. Perit! Terasa seperti pipinya
baru terkena seterika panas. Dia tidak bohong. Memang sakit sangat-sangat!
“Kau… kau apa hal lempang aku?!” herdik Raihan nyaring
sekali. Dia masih memegang pipi kirinya. Mukanya macam mahu menangis pun ada.
“Sebab apa aku lempang kau? Sebab kau kurang ajar!”
tempelak Thia kembali sambil menuding jari ke muka Raihan. Nasib baik ketika
itu tapak perkhemahan jauh sikit dari mereka. Kalau tidak mahunya orang ramai
letak kamera dekat kiri dan kanannya.
“Aku kurang ajar? Apa yang aku dah buat dekat kau
sampai kau tak pasal-pasal nak lempang aku??” soalnya lantang seperti tadi.
Mencerlang matanya memandang Thia.
Thia ketawa angkuh. “Sebab kawan kau yang kasanova tu!
Kau memang buat silap besar, Raihan. Kau tahu tak apa kawan kau buat pada aku
dalam hutan tadi? Dia ugut aku! Semua salah kau! Kalau kau tak bagi dia ambil
alih tempat kau pagi tadi, dia takkan berani nak dekat dengan aku, nak ugut
aku! Dan aku takkan tahu isi hati kau!” Thia meninggikan suara melepaskan segala
amarah yang terbuku.
“Dia ugut kau? A… apa isi hati aku? Aku tak faham,” suara
Raihan mula kendur. Dia sebenarnya terperanjat dengan apa yang dia dengar dari
mulut Thia. ‘Hafiz mengugut Thia? Kenapa?’ Tiba-tiba dia berasa kasihan pada Thia.
Secebis cuma kerana masih tidak tahu perkara sebenar yang berlaku. Dia masih
kabur.
“Kau tak payah nak berdrama dekat sini. Ni bukan Slot
Akasia ke... atau apa pun. Aku tak suka kau dan kawan kau yang kasanova tu. Aku
meluat dengan kau orang berdua! Kau dengan dia sama aje. Aku bukan anak patung
yang kau boleh sorong sana sini. Aku ada perasaan. Tapi buat apa aku nak cakap
semua ni pada kau. Kau bukannya manusia yang ada perasaan pun, kan?” berani Thia
berkata-kata.
“Kau cakap depan cermin ke? Aku tak rasa perempuan
macam kau ni ada perasaan. Tengoklah cara kau bercakap dengan aku. Kasar! You
are such a heartless woman that I have ever met. Entah apa ubat pengasih
yang kau bagi dekat Hafiz sampai dia tergila-gi…”
Pang!!! Sekali lagi pipi Raihan menjadi mangsa tangan Thia
biarpun belum sempat Raihan menghabiskan ayat. Mata Thia sudah berkaca-kaca.
Raihan dapat melihat mata Thia yang sudah bergenang.
Dia terkedu campur rasa sakit di pipinya.
“Memang kau cipta perang dengan aku… Muhammad Akif
Raihan,” perlahan Thia berkata. Dia menolak tubuh Raihan ke belakang. Dia
segera berpaling dan berlari masuk ke hutan semula. Tangannya menyeka air mata
yang semakin deras mengalir. Dia berlari dan terus berlari. Kakinya hanya
melangkah walaupun tiada destinasi yang pasti ingin dituju.
Setelah penat berlari, Thia berteleku lama di suatu
tempat yang dia sendiri tidak tahu di mana. Dia terduduk lesu. Kedua-dua belah
tapak tangannya menangkup di muka. Dia rasa seperti maruahnya di hujung kaki
Raihan… yang bila-bila masa akan disepak dan diterajang.
‘Patut ke dia tuduh aku bagi ubat pengasih pada Hafiz?
Bentuk ubat pengasih pun aku tak pernah tahu. Argh! Tergamak dia tuduh aku
macam tu? Biarlah... aku tak nak tengok muka dia lagi. Dia boleh berambus dari
hidup aku!’ nekad hati Thia terhadap perasaannya sekarang.
MALAM tiba. Raihan, Hafiz dan Farris keluar dari khemah apabila ada siren
berbunyi. Pelik! Selama ini mana ada pakai siren. Fikir Farris. Sejurus itu dia
mengusik bahu Raihan.
“Kenapa tiba-tiba pakai siren ni? Ada cabutan bertuah ke?”
Raihan menjeling tajam ke arah Farris yang sudah
tersengih-sengih. “Taklah. Ada konsert Amy Search kejap lagi dekat sini,” balas
Raihan selamba. Giliran Farris pula menjelingnya tajam.
“Mana Thia ni...” Suara halus menyapanya membuatkan Raihan
menoleh. Telinganya menangkap nama Thia di bibir Hafiz sangat jelas.
Kelihatan Hafiz melilau pandangan seolah-olah mencari
seseorang yang mungkin tidak menjelma sejak tadi. Kemudian dia bertanya.
“Cari Thia?”
“Yes.” Hafiz masih meliarkan pandangan.
Raihan menarik nafas panjang dan menghembus pantas. “Kau
ugut apa kat dia petang tadi?” soalnya pula. Dia marah pada Thia yang menampar
pipinya sebanyak dua kali namun dia lebih marah pada Hafiz yang mengugut Thia
di dalam hutan.
Hafiz berpaling memandang Raihan. Pelik kerana Raihan
tahu apa yang dia telah lakukan kepada Thia. Namun air mukanya cuba mengawal
rasa terkejut.
“Ugut apa pulak ni? Kau jangan nak merepeklah. Buat
apa aku nak ugut bakal bini aku tu. Aku belai dia lagi adalah,” jawab Hafiz
mudah. Sungguh tenang riak mukanya.
Raihan mengecilkan anak matanya seraya memandang Hafiz
yang sudah berangan jauh.
“Assalamualaikum. Kami minta anda semua jangan panik
dan berdiri di tempat masing-masing. Sekarang, kami telah menerima aduan
tentang kehilangan seorang pelajar perempuan yang bernama Rana Fathiah binti
Muhammad Adam. Sesiapa yang berjumpa dengan pelajar tersebut buat kali
terakhir, sila tampil ke hadapan. Jangan bimbang, kami hanya mahu tahu dan
menyiasat. Kerjasama anda amat diperlukan untuk menyelamatkan satu nyawa.
Insya-ALLAH,” suara Encik Mokhtar lantang menggunakan siren.
Raihan sudah tergamam, Hafiz sudah kaku dan Farris
pula… menguap besar!
Kemudiannya, Raihan dan Hafiz saling berpandangan.
Mereka seperti ingin mengatakan sesuatu tetapi lidah mereka kelu untuk berkata
yang benar.
“Fiz, aku nak pergi cari Thia. Aku yang bersalah. Dia
lari sebab aku.” Raihan berterus-terang. Tanpa menunggu sebarang komen daripada
Hafiz, dia terus berlalu pergi dan masuk ke khemah untuk mengambil lampu suluh,
begnya, telefon bimbit dan beberapa barang penting yang perlu dibawa. Ketika
dia keluar dari khemah, Hafiz pantas menahannya.
“Kau nak buat apa cari dia? Biarkan aje pihak bomba
yang cari,” ujar Hafiz tanpa rasa bersalah. Entah kenapa, Raihan terasa seperti
mahu menumbuk muka Hafiz yang terpacak di depannya.
“Kau tak nak cari, itu kau punya pasal. Aku dah
bersalah pada dia, jadi aku nak pergi cari dia sekarang.” Raihan terus
melangkah namun Hafiz segera menahannya kembali.
“Kenapa kau pulak yang rasa bersalah?” tanya Hafiz.
Sungguh dia pelik melihat Raihan beria-ia mahu mencari Thia. Farris pula
terkejut melihat Raihan kelam-kabut dengan beg sebesar alam diangkutnya sekali.
“Kau nak pergi mana ni?” soal Farris dengan keningnya
sedikit terangkat.
Raihan memandang Hafiz dan Farris.
“Nanti aku cerita. Aku pergi dulu. Assalamualaikum,” balas
Raihan cepat-cepat. Farris dan Hafiz berpandangan sesama sendiri.
Raihan secara senyap-senyap menuju ke dalam hutan.
Bukan tidak mahu memaklumkan kepada pensyarah-pensyarah yang ada tetapi dia
amat pasti, jika dia memaklumkannya mustahil dia dibenarkan masuk ke dalam
hutan. Silap-silap mereka yang ada akan disuruh pulang ke rumah masing-masing.
Ternyata Raihan rasa bersalah kerana disebabkan dialah
Thia menangis dan masuk ke dalam hutan sebelum berita kehilangan gadis itu
diterima.
‘Ya ALLAH… Kau selamatkan Thia walau di mana pun dia
berada sekarang,’ bisik hatinya ikhlas.
THIA
kalut. Sudah berbaldi-baldi air matanya mengalir namun dia masih lagi tidak
menemukan jalan keluar. Hari sudah pun gelap. Rasa takut makin menyentap
tangkai hatinya. Mulutnya terkumat-kamit membisikkan kalimah ALLAH dan surah-surah
yang dihafal. Sungguh dia buntu! Telefon bimbitnya pula tiada liputan!
“Tolong!! Tolong!! Tolong!!!” jerit Thia buat sekian
kalinya. Dia menangis lagi kerana selain menangis, berlari dan menjerit, dia sudah
tidak tahu mahu berbuat apa lagi di situ.
‘Ya ALLAH…bantu aku. Aku takut… Ya ALLAH,’ bisiknya
lemah. Dia meneruskan perjalanan walaupun tidak pasti dengan destinasi yang
dituju. Hanya gelap sahaja matanya. Kiri dan kanan sudah tidak membezakannya
lagi.
Thia tidak mahu berterusan di dalam hutan. Dia tidak
mahu berputus asa lantas dia berlari dan terus berlari sehingga satu saat, dia
terjatuh teruk kerana keadaan tanah yang sedikit curam ketika itu. Dia tergolek
beberapa meter dan terhenti apabila lututnya terhentak kuat pada batu! Tersiat
kulitnya.
“Ya ALLAH!” rintihnya kesakitan. Matanya terpejam
seketika. Perit sungguh apa yang dirasa ketika itu. Dia mengerekot sambil
memegang lututnya. Air matanya merembes keluar tanpa henti. Kesakitan yang
dialami menyulitkan lagi keadaan.
“Ibu! Sakit!” Thia mengerang kesakitan. Dengan perlahan
dia menarik kaki seluarnya. Dia dapat lihat cecair merah yang mengalir di
lututnya dalam kesamaran cahaya malam. Serentak itu dia meraung sekuat hatinya.
Sudahlah terperangkap di dalam hutan keseorangan, keadaan dirinya pula sudah
tidak stabil. Lututnya terasa berdenyut pedih.
‘Ya ALLAH… Ya Tuhanku. Kau selamatkanlah aku, Ya ALLAH.
Aku tahu ini semua balasan daripada Kau di atas dosa-dosaku selama ini.
Tolonglah, Ya ALLAH. Aku mohon. Tunjukkan aku jalan keluar,’ doanya tidak putus
dari tadi.
Serta-merta wajah ibunya hadir. Kenangan indah bersama
ibunya menjelma.
‘Ibu… Thia takut, ibu. Thia takut tak dapat jumpa ibu lagi.
Dekat sini gelap sangat. Thia tak nampak apa-apa. Thia keseorangan sekarang… Thia
rasa sejuk sangat. Ibu peluklah Thia… Thia
perlukan ibu,’ rintihnya pilu. Matanya makin kuyu. Badannya makin lemah dan akhirnya
dia rebah ke tanah. Dia ingin tidur.
“Thia!” Tiba-tiba ada suara memanggilnya. Thia membuka
matanya pantas. Dia seperti mendengar seseorang melaungkan namanya. Dia duduk
dan menoleh laju. Ingin mendengar sekali lagi. Betulkah ada seseorang yang
memanggil namanya?
“Thia!!!” Sekali lagi Thia mendengar ada orang
memanggilnya. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Dia cuba bangun tapi lututnya
terasa sangat pedih dan ngilu.
“Thia!!!” Kali ketiga namanya diseru.
“Tolong!!! Tolong!!!” balasnya dengan lantang sekali.
Dia mahu orang itu segera mendapatkannya. Air mata semakin laju mengalir.
Terharu kerana akhirnya ada seseorang yang sudi menghulurkan bantuan kepadanya
pada saat yang genting sebegini.
Perasaan takut bertukar menjadi teruja. Thia mendengar
derap kaki seseorang makin dekat di telinga seakan menghampirinya. Dia makin tidak
sabar. Cahaya lampu suluh yang digunakan makin terarah menuju ke tempat dia
sedang duduk sekarang ini.
“Thia?” Lampu disuluh tepat ke arah mukanya. Dia
memejamkan mata seketika. Silau. Orang itu datang melutut di depannya. Tepat
bersemuka sehingga haruman wangian yang dipakai oleh orang itu menusuk ke deria
baunya. Tanpa menunggu sesaat, Thia pantas memeluk tubuh di hadapannya sekuat
hati.
“Thia takut,” adu Thia. Dia mengongoi dalam pelukan
orang itu. Dia tenggelam bersama air mata yang semakin deras keluar dari tubir
matanya. Kepalanya rebah di dada orang itu walaupun dia sendiri tidak tahu
siapa yang membantunya kini.
Yang pasti, dia rasa selamat sekarang. Yang lain
tidak dipedulikan. Hangat sedikit tubuhnya berbanding tadi. Dia semakin
mengukuhkan dakapan apabila orang itu turut membalas dakapannya. Ternyata dia
rasa lebih selamat dan tidak takut lagi.
“Syukur alhamdulillah,” suara itu berkata.
Thia kaku seketika apabila suara garau seorang lelaki
yang kedengaran. Perlahan-lahan dia melonggarkan pelukan. Takut sedikit kerana
dia telah memeluk apa yang tidak patut dipeluk. Darurat? Dia mengangkat
wajahnya untuk melihat siapakah hamba ALLAH yang berjaya menemuinya.
Raihan mengambil lampu suluh dan diletakkan ke sisinya
menjadikan Thia dapat melihat wajahnya yang sebenar. Dia pamer senyum namun
sedikit takut-takut. Mungkin dia membayangkan apa reaksi Thia setelah melihat
dirinya yang berjaya mencari gadis itu.
Mulut Thia terketar-ketar untuk menyebut nama Raihan.
Matanya bersabung dengan mata Raihan yang indah memukau. Dia tergamam.
“K… kau?
Ma… macam mana kau yang… kau boleh pulak ke sini?” Ayatnya sedikit tunggang-terbalik
dek terkejut yang teramat sangat. Matanya tidak lepas memandang Raihan.
“Aku rasa bersalah pada kau. Sebab tu aku cari kau
sampai ke sini. Syukurlah aku jumpa kau akhirnya,” luah Raihan. Dia melirik lagi
senyuman manis kepada Thia dengan mata yang bercahaya.
Tersentap! Lalu Thia pantas mengalihkan pandangan. Dia
meraup mukanya yang basah dengan air mata dan mula memalingkan tubuhnya
kembali. Dia ingin bingkas bangun. Menggelabah.
“Auw!” Lututnya masih pedih dan sakit.
“Kenapa?” tegur Raihan. Dia segera bangun dan melutut
di depan Thia pula.
Senyap. Thia mula resah berdua-duaan di situ. Langsung
tidak menyangka bahawa Raihan yang berjaya mencarinya. Walaupun Raihan penyebab
dia sampai ke sini namun dia langsung tiada rasa marah walau sebesar kuman pun terhadap
Raihan. Dia sendiri tidak pasti mengapa.
“Lu… lutut aku sakit,” adu Thia tersekat-sekat. Dia
malu sebenarnya kerana tidak sangka dalam ramai-ramai manusia, Raihan yang
berjaya menemuinya. Adakah ini dinamakan jodoh? Kalau benar, Thia bersyukur
sangat.
“Sakit? Kau terjatuh, ya?” soal Raihan. Lelaki itu
terus memegang kakinya. Segera Thia melarikan kakinya sedikit. Tidak mahu
bersentuhan dengan Raihan.
“Aku nak tengok luka kau aje. Teruk atau tak,” jelasnya
apabila Thia seakan tidak membenarkan dia melihat luka tersebut. Akhirnya Thia
mendiamkan diri dan matanya dipejamkan apabila Raihan membelek lukanya. Hatinya
berdetak kencang seolah-olah dadanya diserang ribut taufan!
“Teruk ni luka kau. Sorry aku tak bawa first
aid pula. Tapi tak apa. Aku ikat kaki kau ni, ya? Nanti taklah kaki kau
keluar darah lagi,” ujar Raihan untuk menenangkan Thia.
Thia hanya membisu namun tidak menolak. Dia rela
dilakukan apa saja asalkan tidak memudaratkan dirinya. Namun rasa debaran
kencang itu masih belum reda. Melihat Raihan yang membantunya ketika ini,
sangat mengganggu ketenteraman dirinya. Kenapa Raihan? Kenapa bukan orang lain
yang menemuinya?
Prakkk! Raihan mengoyakkan bajunya yang dibawa di dalam
beg galas. Selamba namun hatinya meraung juga kerana baju itu baju
kegemarannya. Nipis dan sejuk. Tapi tak apalah. Dia terus membalut luka Thia
dan ikat sedikit kuat bagi memberhentikan darah keluar.
“Aaa…” Thia menyeringai kesakitan.
“Tahan sikit,” pujuk Raihan lembut. Dia menjeling ke
arah Thia sekali lalu.
Tersentap lagi. Thia terpana mendengar suara Raihan
yang lembut memujuknya. Tidak pernah dia mendengar suara Raihan yang begitu
lembut sebelum ini. Air liurnya ditelan berkali-kali bagi mengawal getaran yang
semakin menyentak hati wanitanya. Dia menerawang seketika. Berkhayal.
“Thia, kau boleh bangun tak?” tanya Raihan apabila
selesai membalut luka Thia namun Thia senyap sahaja. Lalu dia membawa anak
matanya menentang wajah gadis itu.“Thia?” tegur Raihan apabila Thia hanya
membisu dan tidak menjawab pertanyaannya tadi.
Gadis itu diam dan mematung. “Haa… ya, ya aku tak
kisah pun,” jawab Thia tergagap-gagap. Gelabah tak tentu hala menjadikan Raihan
mengerutkan dahinya serta-merta.
“Apa yang kau tak kisah? Aku tanya kau boleh bangun
tak? Apa yang tak kisahnya?” soal Raihan sedikit aneh. Dia tahu Thia mengelamun
tadi dan dia nampak mata Thia yang memandang tepat di satu sudut.
“Err… aku tak kisah nak bangun,” balas Thia kalut. Dia
menggigit bibir bawahnya. Cuba mengurung rasa malu. ‘Kalaulah budak ni tahu aku
berangan dia ajak couple dengan aku, mampus dia gelakkan aku tertonggeng-tonggeng
kat sini,’ keluh hatinya.
“Okey… sekarang kau cuba bangun perlahan-lahan,” arah
Raihan. Dia menggenggam tangan Thia dan sekali lagi Thia tergamam namun untuk
melepaskan tangan Raihan, tidak sesekali. Dia malah tersenyum nipis pula. Nakal
dan agak miang.
“Aaa… sakitlah. Lutut aku macam nak tercabut rasanya,”
spontan Thia berkata.
“Cubalah. Habis tu takkan kau nak duduk sini sampai
luka dekat lutut kau tu kering?” soal Raihan. Berlipat dahinya memandang Thia.
“Biarlah. Lutut aku memang sakit. Aku nak buat macam
mana?” balas Thia dengan suara yang tinggi. Tidak pasal-pasal dia hendak marah
pada Raihan pula. Lupa diri agaknya siapa yang membantunya sekarang.
Raihan menggaru pipinya. Dia seolah-olah memikirkan
jalan keluar bagi segala kekusutan yang sedang bersimpul. Jari telunjuknya
bermain-main di bibir pula. Berfikir dengan lebih serius mengenai masalah Thia
kini. Kasihan otaknya terpaksa diperah semata-mata gadis yang sering ajak
bertumbuk dengannya.
“Kalau kau dah berdiri, kau boleh jalan?”
Thia memuncungkan mulutnya. “Boleh kut,” balasnya
pendek.
Raihan menganggukkan kepala, tanda berjaya memikirkan
jalan penyelesaian. “So, aku kena angkat kaulah supaya kau dapat
berdiri,” selamba saja Raihan melontarkan pendapatnya tanpa memikirkan apa-apa.
Niatnya memang mahu membantu saja.
“Apa?!” Otak Thia bagaikan kena godam dengan
Transformer. Dia tercengang dengan idea
itu namun rasa teruja bukan kepalang. Benarkah apa yang dia dengar sebentar
tadi?
“Aku angkat kau!” Sengaja Raihan menekan suaranya. Bimbang
Thia tidak dengar sekali lagi. Dia melihat Thia tercengang sambil memandangnya
seolah-olah dia tidak memakai seluar.
“Selamba kau aje nak angkat-angkat aku. Aku tak suka!”
Lain pula mulut Thia berkata. Dia memalingkan mukanya ke arah lain kerana ingin
membungkus rasa malu yang kian mencengkam.
“Ala… relaks ajelah. Aku nak tolong aje. Kalau kau
dapat berjalan, bolehlah kita balik. Kau tak nak balik? Nak duduk sini sampai
sebulan? Tak sampai sebulan pun aku rasa kau dah bertukar jadi orang utan dekat
sini,” lahirnya berbaur ugutan. Sengaja ingin menakut-nakutkan Thia.
Dia juga
tidak sanggup lagi mahu duduk bertapa di sini. Kalau bertapa dapat menambah
ilmu bolehlah dipertimbangkan lagi. Ini, mengadap perempuan yang dia sendiri
tidak yakin sama ada Thia benar-benar seorang perempuan atau makhluk asing dari
planet batu yang mana entah tempatnya.
Thia terdiam. Dia juga mahu balik. Badannya rasa tidak
selesa. “Okeylah tapi jangan nak melebih-lebih, ya!” pesan Thia dengan penuh ketegasan.
Raihan ketawa lucu. “Apa yang melebih-lebihnya? Aku
nak tolong kau. Tak ada niat lain pun. Jangan nak perasan heroin dekat sini,
boleh tak?” sindir Raihan geli hati. Dia menggelengkan kepalanya.
“Dahlah. Cepat angkat!” bentaknya sambil tangan sudah
mendepa luas. Mukanya berpaling ke tepi. Tergugat imannya kalau memandang ke
dalam mata Raihan. Ha… ha…
Raihan akur dan mula berdiri di sisi Thia. Dia membongkokkan
badannya dan meletakkan tangan kanannya di belakang Thia. Tangan kirinya pula
di bawah kedua-dua lutut Thia. Dengan perlahan-lahan dia bangun bersama tubuh
Thia. Mencempung. Matanya enggan memandang apa-apa kerana tubuh Thia begitu
dekat dengan matanya.
Lemah nadi seketika. Thia menutup mata tatkala dia
terasa badannya sudah terangkat dengan sendirinya tanpa kakinya memijak ke
tanah. Dia tidak pernah serapat begini dengan mana-mana lelaki sebelum ini. Bau
minyak wangi yang digunakan oleh Raihan begitu harum sekali. Adakah dirinya
sedang digoda? Atau dia saja yang tergoda?
‘Ya ALLAH… kuatkan benteng keimanan aku,’ mohon Thia
sepenuh jiwa dan raga. Dia sendiri tidak yakin sampai bila dia mampu bertahan
sebegini. Berada dekat dengan orang yang dicintai di dalam hutan dan jauh dari
orang ramai, bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dia yang imannya pun tidak
menentu.
Tiba di atas tanah yang rata, Raihan menurunkan Thia
berhati-hati. “Cuba tahan kaki kau. Tegakkan badan kau sikit.” Raihan mengajar Thia
dan perlahan-lahan Thia memijakkan kakinya ke tanah. Matanya terpejam menahan
sakit. Akhirnya dia dapat berdiri.
“Ha… boleh pun berdiri. Kau tunggu sini kejap. Aku nak
ambil beg aku dengan beg kau dekat bawah,” ujar Raihan. Dia berpusing lalu
meninggalkan Thia sebentar.
Tidak sampai seminit Raihan muncul dengan dua buah
beg. “Biarlah aku bawak beg kau ni. Kau
boleh berjalan?” tanya Raihan. Thia pula sudah tersenyum kerana dia seronok
Raihan mahu bawakan begnya.
“Aku cuba. Yalah…. takkan aku nak berdiri dekat sini
sampai sebulan,” Thia memulangkan paku buah keras. Raihan sekadar gelak saja.
“Jadi, sekarang kau cuba melangkah ke depan,” arah
Raihan lagi. Thia terkial-kial menggerakkan kaki kirinya yang luka.
“ALLAHUAKBAR! Menggigil kepala lutut aku nak bergerak.”
Thia marah dengan lututnya sendiri yang masih berdenyut-denyut pedih. Sekitar
lututnya dirasakan sudah membengkak kerana hentakkan yang kuat tadi.
Raihan tiba-tiba memaut tubuh Thia. Sekali lagi Thia
terkedu.
“Cuba bergerak sekarang.”
Thia cuba menggerakkan kaki kirinya semula mengikut
apa yang Raihan ajar dan keajaiban berlaku apabila kakinya boleh melangkah. ‘Eh,
laju pulak kaki aku ni ke depan? Tadi macam dah nazak sangat?’ desisnya.
“Boleh pun. Nak aku juga yang tolong,” ujar Raihan
bernada bangga.
Thia mencemikkan mukanya yang sudah merah padam. Dalam
diam, dia gembira kerana Raihan sudi membantunya yang ditimpa kecelakaan.
Hatinya sudah berbunga-bunga.
Raihan ketawa melihat wajah Thia yang sudah berona
merah.“Hmm… jom kita jalan sekarang. Nanti lambat pulak keluar dari sini,” kata
Raihan sambil menyembunyikan senyum.
***