Home Novel Cinta Ops! Dia Buah Hatiku
Bab 13

Bab 13


ADREENA menyapu sedikit pemerah pipi di kedua-dua belah pipinya yang bersih. Dia mencalitkan gincu pada bibir dan mengetap bibirnya bagi meratakan gincu agar tidak kelihatan comot. Dia melihat dirinya di dalam cermin. Rambutnya yang panjang mengurai disanggul tinggi. Memang dia lebih gemar mengandam sendiri kerana dia begitu sensitif jika dia merasakan ada yang tidak kena pada wajahnya. Setelah berpuas hati dengan penampilan diri, dia keluar dari kamarnya menuju ke tingkat bawah.

Perlahan-lahan dia menuruni anak tangga. Kebaya ketat yang tersarung pada tubuhnya bagaikan menyekat kakinya untuk melangkah lebih besar. Dia menuju ke dapur untuk memastikan segala persediaan sudah tersedia rapi. Kemudiannya, dia mengambil beberapa gelas lalu diletak ke atas dulang.

“Reena berdiri kat sini lagi buat apa? Keluarga Rizqi dah nak sampai tu. Pergi duduk kat depan sana. Biar Mak Som aje yang buat.” Mak Som menolak tangan Adreena. Sebagai orang gaji, dia tidak mahu majikannya yang buat kerja di dapur.

“Tak apalah Mak Som. Sikit aje ni,” Adreena berdegil. Dia tetap mahu menolong.

“Isy! Mak Som kata tak payah. Tetamu dah nak sampai tu. Nanti marah pulak Mak Engku tengok Reena buat kerja dapur.” Mak Som mengambil gelas dari tangan Adreena lalu disusun di atas dulang. Adreena mengalah apabila Mak Som membawa lari dulang itu ke tempat lain.

“Reena! Keluarga Rizqi dah sampai ni!” jerit Tengku Safura dari ruang tamu. Adreena yang mendengar pekikan ibunya terus kecut perut. Dia sempat menilik dirinya di cermin dapur. Dia ingin kelihatan cantik di depan Rizqi.

“Dah cantik dah. Abang sayang tengok mesti tak sabar nak terkam. Aum!” Mak Som mengusik Adreena. Dia buat gaya harimau nak mengawan pula di situ. Kemudian, tangannya pantas mencedok lauk-pauk.

Adreena menggigit bibir. Malu diusik begitu. “Mak Som ni sibuk aje skodengReena, kan? Geletek perut bulat Mak Som tu nanti, tahulah,” sakat Adreena sambil membeliakkan mata memandang perut Mak Som yang membulat. Bukan mengandung tapi memang macam itu bulatnya dari dulu.

“Mak Som gurau aje. Pergilah depan. Karang Mak Engku menjerit lagi, pecah semua tingkap dalam rumah ni,” Mak Som mengejek majikan sendiri.

Adreena tergelak mendengar sindiran Mak Som itu. Memang tidak dinafikan bahawa ibunya menjerit boleh berdarah telinga dibuatnya.

Rizqi serta keluarganya sudah duduk bersila sementara Adreena masih menyembunyikan diri di sebalik ruang tengah rumahnya. Dia jadi gemuruh pula apabila melihat Rizqi kacak bersut putih dan kemeja dalamnya berwarna biru gelap. Jantungnya sudah melambung-lambung daripada tadi. Perut pula sudah terasa sebu.

Kehadiran Rizqi sedikit sebanyak mengusik hati wanitanya yang sememangnya sudah menempatkan nama Rizqi. Selain Rizqi sekeluarga, turut hadir adalah beberapa orang kenalan keluarga pihak lelaki dan perempuan. Ya, memang ada kejutan buat Rizqi!

Berdebar-debar. Rizqi kian gelisah di kedudukannya. Punggungnya terasa membahang seperti duduk di bawah seterika panas. Dahinya yang licin mula mengeluarkan peluh jantan. Dia jadi tidak senang duduk tatkala mendengar butir bicara dari mulut Tuan Razak.

Keluarganya kini sedang merisik Adreena??? Tiba-tiba pihak lelaki sudah memulakan.

Bukan lemang sebarang lemang,

Lemang dibakar kayu berapi,

Bukan datang sebarang datang,

Datang membawa hajat di hati

Tidak lama kemudian dibalas pula oleh pihak perempuan.

Baju kurung kain pelekat,

Coraknya indah tambah seri,

Orang di sana membawa hajat,

Sila luahkan kami dengari

Rizqi sudah pening mendengar semua itu. Rasa macam hendak cabut saja telinganya dan dicampak ke dalam laut. Otaknya membeku. Fikirannya berkecamuk. Matanya berpinar-pinar dan serasa mahu pitam mendengar segala pantun berbaur risikan.

Dia tahu, tidak sepatutnya dia menyesal sekarang. Dia yang sengaja mencari nahas. Dia seharusnya memberitahu kedua ibu bapanya tentang soal hati dan perasaannya yang sebenar tanpa ditangguh-tangguh. Kini dia sudah tersepit.

Bayangan Adreena bertindih dengan wajah Thia. Kepalanya terasa berpusing lebih laju. Dia yang sengaja membuat dirinya terperangkap dengan cinta Thia. Dia kini seolah-olah tidak mendengar apa yang dibincangkan. Apa yang dia mahukan ialah… ghaib saja dari situ.

Tiba-tiba Adreena menunjukkan diri lalu duduk bersimpuh berhadapan dengan Rizqi. Gadis itu hanya menundukkan wajah dan Rizqi memandang Adreena sepintas lalu. Dia mengakui Adreena kelihatan sungguh cantik pada malam itu tetapi kenapa hatinya tidak bergetar? Kenapa hatinya tidak berdegup kencang seperti mana dilakukan oleh Thia? Ah! Thia juga yang sedang difikirkan.

Tuan Razak sedar akan perubahan Rizqi yang resah semacam namun dia hanya mendiamkan diri. Dia ingin menegur sikap Rizqi yang bermasam muka sedangkan malam ini sepatutnya menjadi malam yang paling bahagia buat anaknya.

Namun reaksi Rizqi menunjukkan malam ini merupakan suatu malam yang penuh kedukaan. Hambar dan kosong. Andai kata salah seorang dari pihak perempuan yang menyedari wajah mendung anak terunanya itu, dia pasti mendapat malu.

Rizqi hanya membisu sepanjang waktu. Dia cuba menyabarkan gelora hatinya yang bagaikan melonjak-lonjak untuk melenyapkan diri. Dia tertawa apabila semua orang tertawa tapi ketawanya tidak ceria bahkan seperti terpaksa saja. Kemelut hatinya kian terserlah sehingga dapat dihidu oleh Adreena yang dalam diam memerhatikannya.

Mereka saling berpandangan. Rizqi memandang tepat anak mata Adreena manakala Adreena cuba untuk menyelami isi hati Rizqi. Adreena tahu, Rizqi tidak mencintainya malah tidak mengangkat status dirinya sebagai calon isteri.

Dia cuba mengawal perasaan yang sedang bergelodak hebat. Dia pasrah seandainya Rizqi tidak boleh menerimanya sebagai bakal isteri kerana dia juga tidak mampu hidup dan membina syurga cinta bersama orang yang langsung tidak mencintainya malah tidak cuba membuka jalan untuk menyayanginya.

Kesudahannya, Adreena memperlihatkan wajah redup seraya melontarkan senyuman kepada Rizqi seolah-olah dapat memahami gejolak perasaan yang bersarang di dada Rizqi. Hatinya dipagut rasa pilu. Sakitnya hanya tuhan saja yang tahu. Perit sungguh dirasakan.


USAI majlis, Rizqi dan keluarganya berangkat pulang. Sebaik sampai di rumah, Rizqi mahu naik ke biliknya namun segera dihalang oleh Tuan Razak.

“Rizqi, papa ada hal nak cakap sikit. Lepas papa habis cakap, baru papa izinkan Rizqi naik ke atas.” Tegas Tuan Razak dengan muka serius.

Puan Kamelia turut bersama suaminya walaupun hatinya tertanya-tanya hujung pangkal hal yang ingin dibincangkan oleh dua anak beranak itu. Dia menempatkan diri di sebelah suaminya manakala Rizqi bertentangan dengan papa dan mamanya.

Tuan Razak merenung tajam ke arah Rizqi. Muka Puan Kamelia pula sarat dengan tanda tanya. Sekejap memandang anaknya, sekejap beralih pada suaminya di sisi. Lama-lama begitu, mahu longgar lehernya.

Rizqi masih menunggu papanya membuka mulut namun papanya langsung mendiamkan diri. Dia jadi pelik. Mahu dimulakan, dia sendiri tidak tahu hendak bertanya apa. Lebih-lebih lagi papanya bermuka tegang. Rasa kecut perut mengekang dia untuk bersuara. Sudahnya, dia membungkam diri.

“Sebelum papa tanya sesuatu pada Rizqi, papa nak Rizqi jawab jujur dengan kami.” Akhirnya masa yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Rizqi bersikap tenang di depan kedua-dua ibu bapanya walaupun hatinya berdebar-debar menanti soalan yang bakal diajukan oleh Tuan Razak. Dia mematah-matah jari-jemarinya. Suasana semakin tegang.

“Rizqi suka Adreena jadi isteri Rizqi?” tanya Tuan Razak.

Rizqi terkejut dengan soalan lurus daripada papanya. Langsung tidak berkias ataupun bengkang-bengkok membuatkan lututnya bergoyang. Takut!

“Kenapa pa… papa tanya macam tu pulak?” Gugup Rizqi menyoal kembali. Terbelit rasa lidahnya untuk berkata-kata. Dia melontarkan senyuman palsu. Cukup sekadar mengaburi mata mama dan papanya.

“Suka atau tidak?” Tuan Razak menekankan suaranya namun tidak meninggikan.

Rizqi menelan air liur. Dia perlu menjawab jujur atau bohong. Mana satu pilihannya? “Rizqi tak sedia nak kahwin lagi,” jawab Rizqi lambat-lambat.

“Bohong!” suara Tuan Razak mula menginjak tinggi. Rizqi tergamam memandang papanya. Dia kaget melihat papanya sudah berubah riak muka.

“Abang, janganlah bising-bising. Takut budak tu nak jawab. Bincanglah elok-elok,” suara Puan Kamelia mencelah lembut. Bimbang jika suaminya tiba-tiba mengamuk pula.

“Rizqi tak nak kahwin lagi buat masa sekarang,” jawab Rizqi sekali lagi memberi maksud yang sama seperti jawapannya sebelum ini.

“Sedia atau tak bukan persoalannya. Suka atau tak itu yang menjadi persoalan. Nak kata Rizqi tak bersedia, dari segi apa yang Rizqi tak sedia? Papa yakin, kalau Rizqi suka pada Adreena, muka Rizqi tak murung memanjang. Jangan Rizqi ingat papa tak tahu.”

Rizqi tersentak. Dia tercengang mendengar kata-kata papanya yang bijak menangkap riak wajahnya yang tidak senang duduk sepanjang berada di rumah Adreena malam tadi. Dia tahu, dia tidak berupaya lagi untuk berbohong. Inilah masa yang sesuai untuk dia berterus-terang dan dia mula menarik nafas bagi mengumpul sedikit kekuatan.

“Baiklah! Rizqi mengaku. Rizqi mengaku yang Rizqi… Rizqi sebenarnya ada pilihan sendiri dan perempuan tu bukan Adreena. Tapi itu tak bermaksud yang Rizqi tak suka Adreena cuma hati Rizqi dah berkenan pada perempuan lain. Rizqi pun tak tahu kenapa boleh jadi macam ni. Hal ni berlaku dengan mendadak sampai Rizqi pun tak tahu macam mana nak terangkan pada papa dan mama. Rizqi minta maaf,” jelas Rizqi seraya menundukkan wajah. Dia takut untuk melihat reaksi selanjutnya daripada kedua-dua orang tuanya.

“Rizqi, kenapa Rizqi tak cakap awal-awal pada kami sebelum kami hantar rombongan merisik? Sekarang baru nak beritahu?” Puan Kamelia mula menyoal. Kekesalan jelas terpancar di raut wajahnya yang tua. Tubuhnya yang menyandar sebentar tadi terus menegak.

“Rizqi tak tahu pun mama dengan papa pergi rumah Uncle Razif sebab nak merisik. Kalau Rizqi tahu, tak mungkin Rizqi nak biarkan,” Rizqi membela diri. Sememangnya dia turut menyesali dengan apa yang telah berlaku. Dia tidak tahu sama ada dia yang bersalah kerana lewat berterus terang ataupun keluarganya yang bersalah kerana merahsiakan rombongan merisik itu daripada pengetahuannya. Dia buntu dengan situasi yang sedang berlaku ketika ini.

“Papa kecewa dengan Rizqi. Papa tak kisah kalau Rizqi dah berkenan pada perempuan lain sekalipun tapi kenapa tak berterus-terang lebih awal? Padahal Rizqi dah tahu lama memang niat kami nak jodohkan Rizqi dengan Adreena. So, what’s the problem to tell the truth? You purposely ashamed us, didn't you?” Tuan Razak serkap jarang. Dia memandang Rizqi tajam.

Rizqi tersentak dengan tuduhan melulu oleh papanya. “For God sake, no! I didn’t. I do want to tell the truth but I’m not so sure whether this is the right time for me to be frank about my feelings. Rizqi takut papa dengan mama kecewa dengan Rizqi. Yalah… both of you’ve planned for me to marry Adreena for a long time but suddenly, I want to refuse it. Little or many, it bringsdisappointment for both of you, right?” Rizqi menerangkan duduk perkara dan mengapa dia menyembunyikan hal sebenar.

“Habis tu Rizqi ingat sekarang ni kami berdua tak kecewa? Lagi kami malu tahu tak. Apa kami nak cakap pada keluarga Adreena? Kita sekarang dah merisik Adreena untuk Rizqi. Don’t you think the matter now become even worse than before?” Tuan Razak memukul Rizqi dengan kata-katanya yang berbisa. Dia tidak faham cara pemikiran anak muda sekarang. Suka berahsia jika buat sesuatu perkara namun bila perkara menjadi lebih buruk, baru terhegeh-hegeh mahu berterus-terang.

Kelihatan Rizqi terkulat-kulat mencari jawapan.

“Rizqi tahu tapi salah ke kalau Rizqi suka pada seseorang? Salah ke kalau Rizqi fikir perasaan mak ayah Rizqi sebelum Rizqi bercakap sesuatu yang boleh menghancurkan hati mereka? Rizqi ingat memang Adreena pilihan terakhir buat Rizqi dan Rizqi setuju dengan cadangan mama dan papa untuk jodohkan Adreena dengan Rizqi sebab Rizqi fikir pilihan parents Rizqi mestilah yang terbaik. Tapi bila dah jumpa dia, hati Rizqi terus berubah. Rizqi tak pernah suka pada perempuan lain macam mana Rizqi boleh suka pada dia,” luah Rizqi tanpa segan silu lagi. Dia tidak mahu menyimpan perasaan yang akhirnya menjeruk hati sendiri.

Rizqi melihat kedua ibu bapanya terdiam. Mungkin memikirkan soalan seterusnya untuk ‘menghentam’ dirinya sekali lagi. Akhirnya dia pasrah kepada ALLAH SWT. Meski kedua ibu bapanya tetap bertegas mahu menjodohkan dia dengan Adreena, dia berserah. 

Dia tidak mahu menjadi anak derhaka walaupun Thia yang menjadi taruhan. Dia maklum, tanpa mama dan papanya, tidak mungkin dia lahir ke dunia ini. Tanpa didikan yang baik daripada mereka, mustahil dia dapat menjadi seorang peguam yang dihormati.

Suasana menjadi sunyi. Masing-masing dengan dunia sendiri. Rizqi berdoa dalam hati semoga papanya tidak lagi menyoal apa-apa.

“Papa nak Rizqi kahwin juga,” Tuan Razak berkeras.

Rizqi menggelengkan kepalanya. Dia memicit dahinya seolah-olah meredakan sakit yang menghimpit kepalanya sekarang. Wajah Thia yang semakin menjauh terapung di awangan. Dia harus melepaskan Thia. Jodohnya bukan milik Thia sebaliknya milik Adreena.

“Kalau itu keputusan papa, Rizqi ikut saja. Rizqi tak kisah bila papa dengan mama nak Rizqi kahwin tapi jangan sekarang. Rizqi penat. Nak tidur. Badan Rizqi letih sangat. Good night,” jawab Rizqi malas. Dia sebak mengenangkan jodohnya bukan bersama Thia. Gadis itu perlu dilupakan. Hatinya menangis pilu biarpun wajahnya tenang.

“Nanti dulu Rizqi,” halang Tuan Razak apabila dia melihat Rizqi sudah mengangkat punggung untuk gerak ke bilik. Anaknya terduduk semula. Matanya memandang tepat ke hadapan.

“Papa nak Rizqi bawa bakal menantu papa tu secepat yang mungkin ke rumah kita. Teringin papa nak tengok macam mana rupa bakal menantu papa tu.” Tiba-tiba Tuan Razak berkata seperti tidak pernah tengok muka Adreena sepanjang hayatnya.

“Apa?” Rizqi mengerutkan dahinya. Masakan papanya tidak cam muka Adreena?

“Tak faham? Hai, kata peguam hebat. Takkan bahasa-bahasa kias macam ni pun tak faham?” Tuan Razak sengaja menduga anak bujangnya.

Rizqi semakin berkerut. Sejenak, dia segera memahami maksud papanya sebentar tadi apabila Tuan Razak mengukir senyuman nakal. Puan Kamelia juga sudah tersenyum-senyum di situ.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanani Bahadin