Bab 25
PERTENGKARANPuan Alia dan Encik Harun menganggu fikiran Hakimi. Tetapi jika
difikirkan sangat, boleh tersekat akal warasnya. Lebih baik diabaikan sahaja.
Lagipun mamanya masih belum pulih untuk menjelaskan segalanya. Papanya pula
tidak mahu bercerita, membeku bagaikan batu bata yang disimen.
Setiap kali mereka bertentang mata, ada sahaja
alasan dicipta untuk mengelakkan diri. Buat sementara waktu, dia akan memberi
tumpuan kepada masalah kerjanya yang masih belum selesai.
Hakimi memandu masuk ke perkarangan Maniera
dengan muka serius. Ila yang dari tadi bagaikan patung cendana, ditoleh
sekilas. Bisu seribu bahasa. Asyik sangat membuang pandangan ke luar tingkap.
‘Marah lagilah tu,’ gumam Hakimi. Itu lagi satu masalah yang perlu
diselesaikan.
Ila mengalih pandangan ke depan. Bosan dari tadi
suasana dalam kereta itu bagaikan dalam tanah. Radio pun tidak dibuka. Mulalah
dia geram. Bila sudah geram perangai bukan-bukan Hakimi semalam kembali bermain
dalam mindanya.
‘Tak pasal aje semalam aku kena jalan kaki,’
gerutu Ila.
Dia menjeling Hakimi dengan ekor mata. Ila sedar
Hakimi tersinggung dengan hal semalam, tetapi paling kurang mintalah maaf.
‘Tapi apasal
pulak Hakimi nak marah? Patutnya akulah yang marah,’ gumam Ila. ‘Tapi itu
cerita semalam. Hari ni aku dah okey sikit. Boleh aje gelak kalau Hakimi buat
lawak bagang macam selalu.’ Ila mencuri pandang Hakimi lagi.
‘Perlu ke aku tegur mamat ni dulu? Semalam dia
yang sengaja cari pasal. Begitu luas alam boleh dinikmati untuk terapi minda
yang memberat dengan masalah, kenapa kelab hiburan juga yang dipilih?’ Ila
berkira-kira dalam hati. Antara mereka salah seorang mesti beralah.
‘Eleh, biarlah. Hakimi lelaki, dialah yang kena
minta maaf dulu,’ putus Ila dengan muka tidak berperasaan.
Hakimi memberhentikan Harriernya. “Awak turun
dulu. Saya ada benda nak buat. Mungkin saya tak masuk pejabat hari ni. Tapi
petang nanti saya akan jemput awak,” beritahu Hakimi.
Ila mengukir senyuman malas. Boleh pun bercakap
mamat ni. Ingat dah bisu!’ omelnya dalam hati. Tali pinggang keselamatan
ditanggalkan. “Kalau menyusahkan awak, tak apalah. Saya boleh balik sendiri,”
ujar Ila. Tiada niat pun mahu mencari pasal tetapi lebih kepada tidak mahu
menyusahkan.
Hakimi menoleh dengan renungan tajam.
Faham dengan renungan beramaran itu, Ila buat
muka begang. Kemudian dia mengangguk sebagai tanda akan menunggu Hakimi
menjemputnya nanti.
Setelah Ila turun, Hakimi memecut laju ke jalan
utama. Dia harus menemui seseorang yang mungkin boleh mengantikan tempat model
yang membuat seisi fotografi gaun Pasio yang tertunda itu.
Harrier diberhentikan sebaik lampu isyarat
berwarna merah. Dia mengeluh. Hatinya serba salah. Mahukah gadis itu
menolongnya? Sedangkan selama ini dia memandang rendah pekerjaan gadis itu.
Masalah yang dihadapi buat dia sedar. Apapun keburukkan yang dilakukan orang
lain, dia tidak layak mencerca, kecuali menasihat.
Kenapa dia tidak mendidik diri untuk selalu
bersangka baik? Mungkin gadis itu di situ kerana terpaksa, dan mungkin juga
gadis itu menunggu takdirnya berubah dan meninggalkan pekerjaan itu. Selama
mereka berkenalan, belum sekalipun dia melihat gadis itu melebihi batas tugasnya.
15 minit kemudian, Hakimi duduk di Alana
Kafe, berhadapan seorang gadis. Gadis itu memandangnya sambil tangan diletakkan
ke dagu, memikirkan apa yang ditawarkan Hakimi. Hatinya mahu menerima tetapi
masih risau dengan sikap sombong lelaki itu. Manalah tahu selepas melakukan
pekerjaan yang ditawarkan, dia akan dicampak ke tepi. Apa lagi, untuk menerima
apa yang ditawarkan, Hakimi meletakkan syarat supaya pekerjaannya dilepaskan.
Hakimi tidak mahu imej buruknya terseret dalam dunia baru penuh glamor itu
kelak.
“Awak fikirlah. Saya jamin awak tak rugi. Anggap
ni peluang untuk awak ubah corak kehidupan awak,” ujar Hakimi masih mengharap.
Kalau ikut akal logiknya, mana ada orang yang akan menolak tawaran seperti itu.
Gadis itu tersenyum. Tanganya mengacau
minumannya. Pandai Hakimi memujuk. “Apa yang Encik Hakimi tawarkan ni bersifat
sementara. Mana boleh jamin masa depan saya. Sedangkan pekerjaan yang saya ada
sekarang nilah periuk nasi saya,” ujar gadis itu cuba menarik tali.
Hakimi memandang gadis itu seketika. “Macam
nilah... awak tolong saya, saya tolong awak. Saya akan carikan awak kontrak
untuk meneruskan kerjaya sebagai model. Awak tolong saya dulu. Lagipun awak ada
pakej yang baik,” pujuk Hakimi dengan janji yang belum pasti.
Gadis itu masih buat muka serba salah. “Susah
saya nak buat keputusan,” keluhnya. Andai nanti yang dikejar tidak dapat, yang
dikendong keciciran bagaimana? Padahlah dirinya.
“Awak fikirlah baik-baik,” kata Hakimi mendatar.
Dia malas hendak memujuk banyak kali.
Mereka diam seketika. Memberi ruang untuk gadis
itu berfikir.
Lima minit berlalu gadis itu bersuara semula.
“Hmm... kalau dah rezeki datang bergolek depan
kaki, takkan saya nak tendang balik, kan?” ujar gadis itu. Mungkin dia memang
perlu melakukan penghijrahan. Sampai bila nak jadi GRO? Nasiblah apa yang bakal
terjadi nanti. Lagipun bukan susah sangat hendak kembali menjadi GRO andai
Hakimi gagal mendapatkan kontrak model untuknya. Selagi dia masih cantik,
mana-mana kelab pun sedia menerimanya. Cuma bayaran yang akan diterima masih
tetap begitulah, tidak selumayan bayaran seorang model.
Dia menghulur tangan kepada Hakimi. “Baiklah,
saya setuju.” Gadis itu tersenyum lebar.
Hakimi menghembus nafas lega. Huluran gadis itu
disambut. Fuh... selesai satu masalah.
SATU
penyangkut baju ke satu penyangkut baju diambil dan disangkut semula. Berulang
kali buat benda yang sama, mata Ila naik juling. Sudahnya Vinda dan Bella
dipandang dengan muka hampa.
“Kak Bella... manalah pergi gaun tu?” tanyanya
separuh merengek. Bahu Bella disentuh.
Bella buat muka simpati. Dia juga sudah mencari
tetapi tidak jumpa. Ajaibnya gaun itu boleh hilang sendiri.
“Kak Bella dah
tanya Cdans?” tanya Vinda simpati. Manalah tahu lelaki lembut yang tidak berapa
hendak suka menyibuk itu ada ternampak gaun itu terselit di mana-mana.
“Dah... Tapi dia pun tak tahu,” jawab Bella.
“Lufi?” tanya Vinda lagi.
“Dah. Tapi dia banyak kerja kat luar aje.
Lagilah tak tahu,” beritahu Bella.
Ila menjatuhkan tangannya dari bahu Bella. Lemah
rasa bahunya. Matilah dia kali ini. Gaun berharga itu sudah hilang. Menurut
Bella, kalau pakaian yang diarahkan untuk disimpan dalam almari khas, akan
diguna pakai lagi untuk fotografi atau pertunjukan fesyen mini dalam Maniera.
Dan tidak mustahil arahan untuk mengeluarkan gaun itu akan diterima tidak lama
lagi. Masa itu apa yang hendak diberi? Ila pejam mata dan terus duduk bersila
atas lantai beralas karpet. Dia mendongak memandang Bella dan Vinda.
“Kak Bella... Vinda...” panggil Ila perlahan.
“Alah, kau janganlah risau. Aku tolong kau cari
lagi. Nanti jumpalah tu,” pujuk Vinda.
Ila tersenyum kelat. Nanti itu bila? Dia sudah
mula terasa hendak menangis.
“Cik Ila Nadirah kat bahagian ni ke?” laungan
suara dari pintu masuk membuatkan mata mereka bertiga beralih.
“Cik Ila Nadirah Ali kat bahagian ni ke?”
Ila cepat-cepat berdiri sebaik Bella dan Vinda
memandangnya. Dengan mata yang bulat memandang pemuda itu, Ila melangkah.
‘Tak pasal-pasal aje datang sini, nak apalah
agaknya dia ni? Menyibuk waktu aku tengah kusut macam ni,’ rungut Ila dalam
hati.
Vinda dan Bella berpandangan sesama sendiri.
Cdans yang berada di bahagian belakang memerhati
dengan muka menyampah.
“Saya... ada apa Encik Fradie?” jawab Ila
separuh menjerit. Fradie dihampiri.
Fradie tersenyum. “Saja nak berbual dengan
awak,” beritahunya. Dalam hati mahu mencuba mendekati Ila lagi.
“Hah?” Ila terkejut. “Maaflah, Encik Fradie.
Saya ada banyak kerja lagi,” tolak Ila sopan.
“Oh, saya tengah lapang ni. Mungkin saya boleh
tolong awak,” tawar Fradie mahu mencuri hati Ila.
Ila menjadi serba salah. Alahai... satu per satu
masalah. Sudahlah Hakimi tidak suka dia dan Fradie berkawan. Kalau tiba-tiba
Hakimi muncul bagaimana? Bergaduh lagilah mereka nampaknya.
“Tak perlulah Encik Fradie. Tak elok rasanya
kawan-kawan saya tengok.” Ila memandang Bella dan Vinda yang sudah mula mencari
gaun semula.
“Kalau saya tolong,
kerja awak cepat siap.” Fradie tidak mahu mengalah. Lagipun apa sangatlah kerja
di situ. Bukan dia tidak tahu pekerja di bahagian itu paling tidak banyak kerja.
“Encik Fradie tak boleh tolong saya pun.”
“Awak tak bagi saya tolong, macam mana saya nak
tahu apa yang perlu ditolong tu,” ujar Fradie memujuk. Ada masalah rupanya Cik
Ila ni, bisik hatinya.
Ila mengeluh. Tidak pasti dia boleh memberitahu
Fradie tentang kehilangan gaun itu atau tidak. Dia pejam mata. Satu keluhan
dilepaskan sebelum membuka mata semula.
“Sebenarnya saya tengah cari gaun Pasio yang
hilang. Itu gaun baru, belum guna lagi.” Akhirnya dengan muka sedih diberitahu
juga. Hendak beritahu Hakimi tidak boleh. Hakimi sedang kusut dengan masalah.
Mungkin Fradie memang didatangkan untuk menyelesaikan masalahnya.
“Hmm... memang masalahlah nak cari sehelai baju
dalam timbunan pakaian macam ni.” Mata Fradie melirik ke segenap kawasan bilik
itu.
Ila tersenyum hambar.
“Itulah, saya rasa Encik Fradie tak perlu
tolong. Saya boleh selesaikan sendiri,” ujar Ila.
Fradie tersenyum dan mengangguk. “Kalau macam tu
saya pergi dulu. Good luck,” ucap Fradie sebelum berlalu pergi.
Ila memandang Fradie. “Penyelamatlah konon. Tadi
betul-betul nak tolong. Bila tengok baju ni bertimbun macam gunung, lari,” omel
Ila.
Cdans menghampiri Ila. Sengaja bahu Ila
dilangar. “Takkan dua-dua kau nak?” sindir Cdans. Dia mahu Ila sedar diri.
Jangan terikut-ikut dengan rentak sesetengah perempuan lain yang mahu hidup
senang secara singkat sehingga mensia-siakan masa depan sendiri.
Ila memandang Cdans. Dia tidak faham dengan
kata-kata Cdans.
“Encik Hakimi tu aku tak kenal sangatlah, tapi
kalau Encik Fradie tu kau jangan cari nahas,” beritahu Cdans. Dia sudah lama
memerhatikan perangai Fradie. Kerana Fradie dua orang eksekutif wanita di
bahagian pemasaran bercakaran. Tapi sudahnya kedua-dua mereka Fradie campak
tepi. Fradie mengoda setiausaha di bahagian kewangan pula. Habis manis sepah
dibuang, gadis itu ditinggalkan. Kerana malu gadis itu berhenti kerja. Sekarang
Ila pula. Cdans tidak mahu hal itu berlaku di situ. Ila masih terlalu muda
untuk diperbodohkan Fradie.
Ila memandang Cdans. Adoi... ini lagi satu
masalah. Hampir sebulan di situ, dia masih lagi keliru gelaran yang mahu
digunakan untuk memanggil Cdans. Hendak panggil apa? Abang atau kakak? Auntie
ke uncle?
“Terima kasihlah nyah sebab ingatkan
saya,” ucap Ila sebelum berlalu mendapatkan Vinda dan Bella semula.
“Hei, aku bukan pondanlah!” marah Cdans dengan
suara kepitnya. Mentang-mentang dia dilahirkan begitu. Sesedap mulut sahaja
gadis muda itu melebalnya.
Ila mengangkat tangan dan menolak ke belakang
sebagai isyarat tidak kisah siapa Cdans. Dalam hati terasa hendak
patah-patahkan sahaja tulang sotong itu. Menyibuk!
“Hei, nanti lepas kerja kau selesai,
tolong kemaskan tempat aku yang berselerak tu. Aku kena ikut shooting
kat luar.”
Arahan Cdans membuatkan Ila menoleh semula.
Kenapa dia pulak yang kena? Tukang sapukan ada. “Tengoklah kalau saya baik hati,”
balas Ila. Matanya melirik ke meja Cdans.
Nak jadi pereka fesyen pula ke dia ni? Bersepah
alat jahitan atas meja tu. Aku tahulah tugas diabesar ataukecilkan baju,
keluh Ila dalam hati.
“Hmm... kau pun kenalah tengok juga sampai bila
hati aku ni baik nak simpan rahsia gaun mahal Pasio tu dah hilang,” balas
Cdans. Dia tersenyum jahat. Sekarang dia sudah ada senjata untuk mengawal Ila.
Rasakan.
Ila menjegilkan mata. Tidak suka betul diugut
seperti itu. Cdans dijeling.
“Yalah! Nanti saya kemaskan,” akur Ila. Mengadu
dengan Hakimi nanti baru tau, gumamnya geram.
Cdans tersenyum. Ibu jarinya dinaikkan.
Dengan muka masam Ila menyertai misi mencari
bersama Vinda dan Bella semula.
Fradie menutup rapat pintu bilik itu. Dia
berdiri di hadapan pintu itu seketika sambil memandang ke atas. Senyuman penuh
muslihat terukir di bibirnya.