Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 7

Bab 7

“Hai, buat apa?” sapa Hakimi yang baru keluar dari CIMB bank yang terletak bersebelahan kedai jualan barangan terpakai, Cash Converters itu.

“Buat apa?” tanya Ila yang sedang berdiri di luar kaki kedai itu. Dia terkejut disapa begitu. “Awak menghendap saya ke?”

“Ha’ah... macam tulah agaknya,” balas Hakimi selamba. Ada masa ke dia nak menghendap gadis tu? Dia menegur kerana hendak berbuat baik sahaja. Itupun kerana gadis itu pernah berbudi kepadanya. Kalau tidak, dia buat tidak nampak sahajalah kot. Hehehe... egonya menafikan segala.

Ila terus berjalan menyusuri kaki lima deretan kedai itu. Semenjak kali pertama Hakimi memarahinya tanpa sebab dahulu, dia mula rasa kurang senang untuk berkawan dengan lelaki itu.

Hakimi mengikut Ila dari belakang. “What are you looking for?

Ila menoleh ke belakang. Ya ALLAH, apa hal pulak dia ikut aku ni? gumamnya kurang senang. “Hmm... saja. Cuci mata,” jawabnya. Tak berperasaan ke Hakimi ni? Tak tahu ke orang tak suka? Hati Ila merungut sendiri.

“Kenapa tak guna eye moreaje?” gurau Hakimi.

Ila berhenti berjalan. “Hah?” Dia buat muka keliru saat sedar apa yang dimaksudkan Hakimi. “Oh, saya tak suka guna eye more. Saya guna optrex,” balas Ila pada pertanyaan bodoh Hakimi.

Hakimi tersenyum. “Awak masih belajar lagi ke?” Langkah Ila terus diikuti. Peduli apa gadis itu tidak suka. Dia suka buat semua itu.

“Kenapa?” tanya Ila kembali. Jam di pergelangan tangannya dipandang. Patutlah perutnya menyanyi, sudah hampir pukul 2.00 petang. Sewaktu dia keluar tadi perutnya belum diisi.

“Saja nak tahu,” balas Hakimi.

“Awak?” soal Ila kembali.

“Saya baru habis belajar,” jawab Hakimi jujur. Bezakan orang perempuan dan lelaki? Orang lelaki senang sahaja memberi jawapan. Tetapi gadis bersamanya ini suka bermain sembunyi-sembunyi, geramnya.

“Kerja apa?” Ila belum habis menyiasat. Agaknya apa pekerjaan Hakimi yang kelihatan maco bergaya dan berduit ni? Teringin sangat dia hendak tahu. Jangan-jangan jual orang. Sebab itu tidak habis-habis mengekorinya. Huhuhu... gila!

Hakimi buat muka kurang senang. “Siapa awak? Mak saya?” Setiap kali orang mengungkit soal kerja, dia teringatkan mamanya. Boleh tak gadis itu mengubah topik perbualan? Janganlah bercakap soal kerja. Cakaplah soal merpati yang berderet atas bumbung premis perniagaan di seberang jalan ke? Soal jalan utama di bandar mereka yang setiap pagi, tengah hari dan petang yang sesak teruk kerana warganya pergi dan pulang dari pejabat atau sekolah ke?

“Mungkin awak nampak muka mak awak kat muka sayalah tu,” balas Ila bersahaja.

Hakimi tersenyum. Matanya dipejam kelip beberapa kali. “Tak nampak pulak muka mama saya kat muka awak.” Agaknya kalau yang dilihat itu berubah menjadi Puan Alia pasti dia terjerit di situ.

“Memanglah sebab saya bukan mak awak,” jawab Ila. Eeii... terasa nak picit-picit sahaja mamat ni. Sudahlah, pergi main jauh-jauh. Shuh... shuh... halau Ila di dalam hati.

“Dahlah, jangan cakap pasal mama saya lagi. Buat hilang mood aje,” ujar Hakimi. “Friend?” Dia menghulurkan tangannya.

Ila meletakkan jari telunjuknya ke bibir. Sambil berfikir sejenak dia memandang huluran tangan Hakimi. “Ya, mungkin boleh dipertimbangkan,” jawab Ila tanpa menyambut huluran tangan Hakimi. Karang sudah bersentuh tangan ada perasaan lain pula yang mungkin menjalar di dada. Dia tidak selesa.

Hakimi tersenyum faham.

Ila melintasi jalan menuju deretan kedai di bahagian lain. Hakimi tetap mengikutnya. Ila masuk ke sebuah restoran untuk makan tengah hari. Hakimi ikut juga. Tidak kira dia hendak berkawan dengan gadis itu juga. Biasanya kalau dia menyapa gadis, pasti tidak ditolak atau dielak begitu. Gadis yang ini lain. Bagaikan arnab. Jinak tetapi suka melompat sana sini. Dia tersenyum dalam hati, teruja hendak lebih mengenali gadis seperti itu.

Usai mengambil nasi dan lauk kegemarannya, Ila duduk di meja berdekatan kipas. Hakimi tetap mengekorinya.

Ila merenung Hakimi.

“Saya belanja?” beritahu Hakimi tidak selesa direnung begitu. Salah ke dirinya duduk di situ? Dia memandang beberapa meja lain yang kosong.

Ila buat muka comel. “Sudah semestinya.”

“Ya, kali ni saya bayar. Lain kali bayarlah sendiri,” beritahu Hakimi serius. Sengaja hendak menunjukkan perangai kedekutnya. Agaknya hati gadis seperti itu sensitif tak? Biasanya perempuan yang dia kenal akan merajuk dan tarik muka. Mungkin juga akan bangun dan tidak jadi makan.

Ila buat tidak dengar. Dia membaca doa sebelum makan.

Hakimi mencuri pandang. Memang lain daripada yang lain. ‘Ramai-ramai perempuan yang aku jumpa, mana ada yang nak tadah tangan dan baca doa dulu sebelum makan? Semua terus pelahap aje,’ gumam Hakimi. ‘Eh, tapi kenapa dari tadi aku asyik ikut dia? Aku tersihir ke apa ni? Kalau tersihir takkan aku sedar pulak dia sihir aku, kan?’ omelnya di dalam hati.

“Kedekut,” balas Ila kemudian. Nasi dan lauk disuap ke dalam mulut.

Hakimi tersengih. “Awak kerja kat mana?”

“Saya macam awak. Baru habis belajar,” beritahu Ila jujur.

“Jurusan apa?” Hakimi tanya lagi. Seronok rasanya jumpa orang yang sama-sama menganggur sepertinya. Tidaklah dia rasa berdosa sangat sebab tidak bekerja. Nampak gayanya bolehlah mereka bersidai di tepi balkoni sambil berbual setiap hari.

“Belum lagi. Tunggu keputusan SPM dulu,” jawab Ila. Air cincau disedut.

Hakimi terkejut dengan jawapan yang diberikan Ila. “Oh...” Patutlah Ila kelihatan seperti kebudak-budakan. Baru hendak matang rupanya.

“Kenapa?” tanya Ila tidak faham. Tiada apa yang hendak Hakimi terperanjatkan. Rasanya semua orang boleh nampak dia baru lepas SPM. Atau... Hakimi nampak dia lebih tua daripada usia sebenarnya? Ila terasa hendak menjerit. ‘Tak mungkin aku kelihatan tua daripada usia sebenar. Jahat betullah mata lelaki depan aku ni,’ bentak hati Ila.

“Tak ada apa.” Hakimi meneruskan suapan. ‘Budak lagi. Padan aje mulutnya kalah bertih goreng,’ gumam Hakimi sambil tersenyum dalam hati. Tapi gadis ni comel jugak. Kalau nak jadikan cinta biskutnya tak salah pun. Dia bukan budak sekolah lagi. Boleh dah nak main sayang-sayang ni. Peace (-_-)

“Awak suka kerja apa?” tanya Ila sebaik mereka habis makan. Apalagi yang hendak ditanya. Budak tamat persekolahan seperti dia hanya memikirkan cita-cita sahaja. Manalah tahu minat Hakimi dalam bidang kerjaya boleh membantunya untuk memilih kursus yang sesuai dengan diri nanti.

“Tak tahu. Saya suka bebas. Terikat dengan kerja ni letih,” jawab Hakimi.

Ila buat muka hampa. Lelaki di hadapannya ini memang jenis tidak boleh diharap ke? Mana ada manusia yang malas bekerja di dunia ni. Hakimi ni makan batu ke? Jadi ulat? Ulat dalam batu tu pun nak kena kuis batu tu sedikit demi sedikit baru dapat makan. Hisy! Sah Hakimi ini jenis pemalas. “Semua orang ada cita-cita. Takkan awak tak ada?” Ila mengerutkan dahinya. Apa punya pelik manusia di depannya ini.

“Tak ada.” Hakimi menggeleng. Dia sendiri tidak pasti apa yang dicita-citakan. Sewaktu bersekolah dulu, dia nak jadi cikgu kerana seronok melihat guru mengajar. Bila belajar dalam bidang perniagaan, fikirnya nanti dia akan menjadi peniaga. Tetapi tidak juga. Dia masih penganggur terhormat. Menghabiskan harta yang ada. Dia langsung tidak pernah fikir panjang soal masa depannya. Buat apa hendak fikir banyak-banyak. Hidupnya senang-lenang. Segalanya ada. Lambat laun bahagiannya dalam mana-mana syarikat bapanya akan dimiliki juga.

“Satu bayang pekerjaan pun tak ada?” tanya Ila tidak percaya.

“Tak,” jawab Hakimi yakin.

“Sah, awak tak normal. Ingatkan awak ni seorang yang hebat tadi. Tapi hampeh,” ujar Ila selamba. Sangkanya Hakimi yang bergaya mewah ini punyai kerjaya yang boleh dibanggakan, tapi tidak. Mungkin sudah menjadi lumrah anak orang kaya bersikap begitu. Kalau Hakimi hidup di kalangan orang susah, pasti dia tidak sabar hendak bekerja setelah tamat belajar.

Hakimi tersengih sambil mengeluarkan kotak rokok daripada saku seluarnya.

Ila cepat-cepat bangun dan berjalan menuju ke pintu keluar.

Hakimi turut bangun. Membuat bayaran di kaunter sebelum mengejar Ila yang sudah berdiri di hadapan sebuah kedai gambar.

“Kenapa tinggalkan saya?” tanya Hakimi.

“Saya tak suka asap rokok!” kata Ila tegas. Dia memang tidak suka perokok. Rimas dengan bau asap yang busuk.

Sorry...” Hakimi mencampakkan rokok ditangannya ke atas kaki lima sebelum memijak dengan kasut.

Ila memandang dengan perasaan kurang senang. Ternyata Hakimi tidak suka menjaga kebersihan negara sendiri. Ini salah satu lagi sikap perokok yang tidak disukai. Membuang pontong rokok sesuka hati. Selain mencemar udara, mereka juga mencemar persekitaran. Silap-silap sikap mereka boleh menjadi punca kebakaran. Entah apa yang sedap sangat asap rokok itu agaknya? “Awak tahu tak, perempuan suka lelaki yang bekerjaya.”

Hakimi tercegang seketika dan kemudian dia tersenyum. Budak ni memang cerewet. Tadi tak suka lelaki yang merokok. Sekarang suka lelaki yang bekerjaya pula. Itu semua alasan. Memang perempuan akan berfikir seribu kali untuk menerima tukang kutip tin lusuh sebagai kekasih, fikir Hakimi.

“Memanglah. Sebab perempuan suka lelaki banyak duit,” jelas Hakimi.

“Bukanlah. Maksud saya lelaki yang tidak ada kerjaya macam tak bertanggungjawab.” Ila ingin membuktikan dia bukan seperti perempuan lain yang dikenali Hakimi.

“Kelakar.” Hakimi tidak percaya.

“Kelakar? Awak akan jadi lelaki malang. Tak ada gadis yang inginkan lelaki tak bekerjaya macam awak. Tak ada kerja, tak ada duit.” Ila bertegas dengan pandangannya. Ingat dia lebih muda daripada Hakimi, senang-senang sahaja Hakimi hendak bodohkan dia? Zaman ini banyak bahan bacaan di pasaran yang berkualiti dan boleh mematangkan fikiran manusia jauh ke depan daripada usia. Dia sendiri suka membaca rencana-rencana berkaitan personaliti lelaki dan perempuan. Menilai perwatakan lelaki dan wanita daripada mata pakar.

“Saya tak percaya. Saya ada duit, handsomedan berpelajaran. Semua gadis nakkan saya,” balas Hakimi dengan angkuh. Ila mungkin tidak tahu selama ini dia digilai oleh ramai gadis.

“Gadis yang murah dibeli, mungkinlah,” balas Ila yakin dengan pandangannya.

Hakimi mengetap bibir. “Mustahil!” Dia masih belum puas hati. Padanya perempuan semuanya sama, gila harta dan wang ringgit. Mana ada perempuan yang tidak meterialistik zaman ini. Gadis di hadapannya ini hendak tunjuk baiklah tu. Jangan harap dia terpedaya.

Ila tersengih. “Apa kata kita bertaruh? Kalau tak ada gadis baik yang inginkan awak, awak kena tunaikan permintaan saya.” Orang berlagak seperti Hakimi pasti pantang dicabar.

“Apa permintaan tu?” tanya Hakimi. Gadis ni hendak bertaruh dengan benda yang senang dia dapatkan, fikir Hakimi sinis. Setakat mencairkan hati perempuan dia memang juaralah. Tengok sahaja pelajar sekolah yang lalu di sebelahnya tadi, tertoleh-toleh sampai naik teleng memandang Hakimi.

“Akan difikirkan.” Ila tersenyum. Faham sangat muka berlagak Hakimi itu.

“Jangan minta saya kahwin dengan awak sudahlah,” usik Hakimi.

“Tak mungkinlah,” balas Ila.

“Kecuali kahwin dengan awak, apa-apa pun boleh,” kata Hakimi.

Ila ketawa sambil berpatah balik menuju ke arah tempat mereka datang tadi. Entah kenapa dia seronok pula melayan ego Hakimi. Mungkin dia tidak sabar mahu melihat lelaki itu termalu dengan sikap berlagaknya. Atau selepas makan dia perlukan kawan untuk berbual seketika sebelum meneruskan perjalanan.

“Hei, kalau awak kalah macam mana?” jerit Hakimi.

“Saya tak mungkin kalah,” jawab Ila sebaik Hakimi dekat padanya. Muka Hakimi dipandang.

“Berlagaknya.”

Ila tersenyum. “Saya pasti menang.” Pantas dia menjengkitkan kakinya dan mengambil capdi kepala Hakimi. Selepas itu dia terus berlari.

“Hei, apa awak buat ni?” Hakimi berusaha mendapatkan capNikenya semula.

“Awak tak ada duit nak beli ke?” laung Hakimi. Suka hati gadis itu sahaja mengambil topinya. Hendak pinjam pun cakaplah, boleh dipertimbangkan.

Ila ketawa dan berhenti di hadapan CIMB bank tadi. Suka dia melihat Hakimi termengah-mengah. Seksakan berlari dengan perut yang kenyang? Tetapi dia okey sahaja. Mungkin kerana dia tidak makan sebanyak Hakimi makan tadi.

“Anggap aje macam tu. Tapi dia ada duit.” Jari telunjuk Ila arahkan kepada bank di sebelahnya.

Hakimi yang sudah berdiri di hadapan gadis itu tersengih. Nakal! Bisik hatinya.

“Ambil balik capawak. Pasti mahal, kalau tak awak takkan sanggup berlari mengejarnya,” ujar Ila.

Hakimi memakai cap itu semula. Dia ni memang macam arnab. Comel dan nakal. Berani pulak tu, fikir Hakimi. Penat rasanya dipermainkan gadis tu. Tunggulah ada peluang nanti, pasti dikenakan semula.

“Terima kasih belanja tadi. Saya balik dulu.” Ila memusingkan badan dan meninggalkan Hakimi tiga langkah ke depan.

“Jom saya hantarkan. Kereta saya ada depan awak. Lagipun rumah kita dekat,” tawar Hakimi. Dia mula merancang sesuatu di dalam kepala.

“Jangan! Saya nak pergi sana dulu,” tolak Ila sambil menunding jari ke arah pasar raya Giant yang tidak jauh dari tempat dia berdiri.

“Saya ikut?” pinta Hakimi.

“Lain kali ajelah. Lebih baik awak balik tolong mama awak untuk kenduri malam ini.” Sambil melambai tangan, Ila terus berlalu pergi. Melintas jalan dan hilang dari pandangan Hakimi.

Kenduri? Ila buat Hakimi termenung. Alamak, bencinya dia membayangkan muka Juliesa. Tiba-tiba dia petik jari dan tersenyum. Boleh rasanya. Otaknya sudah pun mencerna apa yang dirancang hatinya awal tadi dengan lebih jelas.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.