USAIsarapan pagi, Ila berbaring di sofa. Dia mulai bosan duduk di rumah.
Apa yang hendak dilakukan untuk menghabiskan masa sebulan ini? Alat kawalan
jauh ditekan. Pagi-pagi begitu, semua siaran TV bagaikan berserabut sahaja di
matanya. Dia tekan butang tutup semula.
Alat kawalan jauh diletak atas meja kopi. Bantal
kecil dipeluk kuat. Ah, memang tekanan betul melalui hari tanpa pekerjaan. Dia
mula merindukan kawan-kawan sekerjanya. Sakitnya perasaan.
Hanim yang memandang hanya menggeleng. Dia faham
keresahan Ila itu.
“Chik...” panggil Ila. Ada sesuatu mencuit
hatinya. Hatinya disapa kerinduan.
Hanim mengalihkan pandangan dari majalah.
“Kenapa?” tanyanya.
“Ila ingat mama,” adu Ila. Dia memang asyik
teringatkan mamanya dua, tiga hari ini.
Hanim terdiam seketika. Wajahnya sedikit
berubah. Kepalanya tertunduk ke bawah. Boleh ke dia buat-buat tidak dengar
sahaja kata-kata Ila itu? Tidak boleh... dia bukan pekak.
“Chik... dengar tak?” Ila merengek.
Hanim mengukir senyuman tawar. Air liur ditelan.
“Sabarlah. Pak cik kamu masih usahakan lagi,” pujuk Hanim. Tidak tahu bagaimana
harus membuka mulut.
“Hari tu achik pergi Jakarta tak jumpa apa-apa
klu mengenai mama ke?” tanya Ila.
Hanim mengeluh.
“Achik, ada yang tak kena, ya?” teka Ila.
Hanim tersenyum hambar. “Sebenarnya Ila...”
“Cakaplah, chik,” desak Ila.
“Kami dah jumpa mereka,” beritahu Hanim
perlahan.
“Hah?” Ila terkejut. Kemudian dia bangun dari
sofa dan melompat mendapatkan Hanim. Tubuh ibu saudaranya itu dipeluk sekuat
hati, menzahirkan perasaan gembira yang tidak terungkap.
Hanim tersenyum hambar.
“Dia orang sihat ke achik?” Ila betul-betul
tidak sabar. Bibirnya mengukir senyuman. Hatinya bahagia.
Hanim mengusap rambut Ila sebelum menarik tubuh
Ila merapatinya. “Dia orang sihat,” beritahu Hanim perlahan. “Tapi...” Hanim
mengeluh lagi. Susahnya dia mahu memberitahu Ila hal yang satu itu. Dia pejam
mata sesaat sambil mengemam bibir.
“Tapi apa?” Ila buat muka tidak puas hati.
Hanim tersenyum hambar. “Ila... dengar apa yang
achik nak cakap ni baik-baik.”
Ila mengangguk.
“Mama dan adik-adik Ila akan balik selepas Pak
Cik Rais selesaikan urusan dengan pihak wisma putra,” beritahu Hanim. Dia tahu
banyak hal yag perlu diuruskan suaminya bagi membolehkan kakak dan anak-anak
saudaranya kembali ke Malaysia melalui saluran yang betul. Apalagi pasport
mereka sudah terlalu lama tamat tempoh. Ada beberapa denda juga harus dibayar
kepada kerajaan Indonesia bagi melicinkan proses itu.
Ila mengangguk. Tetapi dia tidak faham pula
kenapa keluarganya perlu pulang dengan bantuan wisma putra? Hanim dipandang. Ada
sesuatu yang Hanim tertinggal rasanya. Mana lengkap keluarganya tanpa seorang
lagi. “Tadi achik cakap mama dan adik-adik aje, kan?” tanya Ila.
Hanim mengangguk.
“Papa?” Ila buat pandangan pelik. “Papa tak
balik sama?” Hati Ila mula tidak sedap rasa. Apakah papa dan mamanya sudah
bercerai? Dia mula membuat andaian. Ah, dia tidak peduli. Dia tetap mahu
mempersoalkan kenapa dirinya ditinggalkan sekian lama? Kenapa susah sangat
mereka hendak mengirim berita kepadanya, sedangkan mereka hidup senang-lenang di
sana.
Hanim kemam bibir. Sebak dadanya mahu menjawab
pertanyaan itu. Dia memandang karpet seketika mencari kekuatan untuk terus
bercerita.
“Achik...” desak Ila. Bahu Hanim digoncang.
Hanim mengangkat muka dan memandang Ila. Matanya
mula berkaca. “Sebenarnya... papa Ila dah tak ada.” Air mata Hanim luruh juga.
Kesal kerana mereka terlambat mendapat berita itu. Bukan mudah juga mahu
mendapatkan berita itu. Andai Rais tidak terserempak dengan Nadia di kedai
menjual barang kraf tempat Nadia bekerja, pasti pencarian itu tidak berakhir.
Kerana pertemuan itu, Rais mengajaknya ke Jakarta. Mereka merancang strategi
bersama Nadia. Membawanya lari ke pejabat kedutaan Malaysia, membuat laporan
polis sebelum mendapatkan adik-adik Ila semula. Nadia tidak mahu hal itu diperbesarkan,
asal dia dan anak-anaknya dapat kembali ke Malaysia semula dah cukup.
“Hah?”
“Bila papa pergi?” tanya Ila sayu.
“Dua tahun lepas,” jawab Hanim. Itu yang
diberitahu Nadia kepadanya.
Ila mengangguk. Pasrah menerima berita itu. Air
mata yang mengalir disapu dengan belakang tangan.
“Macam mana kehidupan mama dan adik-adik kat
sana bila papa dah tak ada, chik?”
Hanim mengeluh. Itu lagi satu masalah. Geram
hatinya mahu bercerita. Melihat keadaan Nadia yang tidak ubah seperti babu
dalam kedai sendiri membuat hatinya mendidih. Andai tidak disabarkan oleh
suaminya ketika itu, mahu sahaja adik ipar Nadia dibelasah seenak rasa.
Mujurlah juga dia di tempat orang. Andai di tempat sendiri pasti dicampaknya
wanita bermuka jahat itu ke dalam lokap. Baru puas hatinya.
“Lepas papa Ila tak ada, mama dan adik-adik Ila
hidup sengsara. Keluarga papa Ila rampas semua harta yang ditinggalkan. Mereka
kata mama dan adik-adik Ila tak berhak. Mama Ila tak mampu melawan sebab tiada
siapa mahu menolong. Dia terpaksa biarkan semua hasil titik peluh mereka suami
isteri dirampas begitu aje. Demi meneruskan hidup dan menyekolahkan adik-adik
Ila, dia dipaksa bekerja sebagai pembantu kedai di salah sebuah kedai yang dulu
milik dia dan papa Ila.” Hanim menarik nafas sebelum menyambung lagi.
“Dia nak bawa adik-adik Ila balik sini. Tapi
ipar-iparnya tak mahu menanggung kos. Dia diugut takkan diberi makan dan minum
kalau terus menyuarakan hasrat tu,” cerita Hanim lagi.
Ila diam. Patutlah dia selalu bermimpi pelik
kebelakangan ini. Keluarganya dalam sengsara di sana. Keluhan dilepaskan.
“Achik cepatlah bawak dia orang balik,” desak Ila. Sedih mengenangkan kekejaman
yang berlaku atas ibu dan adik-adiknya. Dia tidak mahu mereka menderita lagi.
“Sabarlah. Achik pun harap dia orang cepat pulang,”
pujuk Hanim. Suaminya sedang mengusahakan semua itu dengan bersungguh-sungguh.
Mungkin dalam masa sebulan lagi, semuanya akan selesai dan keluarga mereka akan
berkumpul semula.
“Kita doakan semuanya berjalan lancar, ya,”
pujuk Hanim.
Ila tersenyum hambar sambil mengangguk.
Hanim menepuk bahu Ila perlahan, menyuntik
ketenangan ke dalam jiwa muda itu.
“Chik, Ila nak masuk bilik dulu,” pinta Ila.
Hanim mengangguk.