SEMENTARA menunggu Andrew menyimpan buku yang
mereka beli tadi, Ila duduk di atas bangku kayu di halaman rumah Puan Weandy.
Dia menyanyi kecil. Senangnya hati dapat keluar dengan Andrew. Novel yang
dibelikan Andrew dikeluarkan dari plastik.
Muka surat pertama diselak. Dalam mood
hati kembang bagaikan bunga itu elok juga menghayati novel cinta yang dibeli.
Manalah tahu ada tip bercinta yang berguna. Hehehe... bolehlah dia buat Andrew
mengucapkan I love you lebih cepat.
Tiba-tiba dia teringat Hakimi. Aiseh... mamat tu
selalu potong mood. Novel ditangan ditutup kembali. Dia teringat
pertemuan mereka malam tadi. Agaknya Hakimi serius ke dengan syarat yang
diberikan? Berapa banyakkah pula syarat yang ada dalam kepala Hakimi? Huh! Ila
terasa seperti hendak pergi ke rumah Hakimi waktu itu juga.
ANDREW meletakkan beg kertas berisi buku
yang dibelinya di atas meja tulis di dalam biliknya. Sesudah itu dia segera ke
tingkat bawah. Sebelum mendapatkan Ila, dia masuk ke dapur terlebih dahulu.
“Mummy,” sapa Andrew.
“Hmm,” balas Puan Weandy yang sedang sibuk
memasak bubur kacang merah sebagai manisan buat minum petang mereka sebentar
lagi. Dia jarang-jarang berada di rumah. Tetapi jika tidak sibuk di SPAnya,
itulah rutin di rumahnya. Rumah mereka tiada pembantu rumah kerana setelah
Andrew dan kakaknya dewasa Puan Weandy lebih suka mengendalikan urusan rumah
tangga sendiri.
Andrew membuka peti sejuk. Dua kotak minuman
perisa Laici dikeluarkan.
Puan Weandy memerhati. “Kau bawak balik kawan?”
tanyanya.
Andrew mengangguk. “Tadi saya keluar dengan Ila.
Dia kat luar,” beritahu Andrew dengan muka riang.
Puan Weandy diam. Ada riak kurang senang di
mukanya sebaik mendengar nama itu disebut. Dia bukan membenci persahabatan
anaknya dengan gadis itu, tetapi dia bimbang. Bimbang apa yang difikirkan
terjadi. Sebelum apa yang berada dalam kepalanya terjadi, elok rasanya dia
melakukan sesuatu.
Andrew terus berlalu mendapatkan Ila yang dari
tadi menantinya di halaman rumah.
Puan Weandy melihat langkah anaknya itu dari
belakang. Dia sedikit mengeluh. Resah menjentik hatinya lagi.
“AMOI. Sorry, lama kena tunggu,”
sapa Andrew sambil menghulurkan satu kotak minuman kepada Ila.
Ila tersenyum. Kotak minuman di ambil dan dengan
pantas penyedut ditanggalkan. Sekejap sahaja dia sudah menyedut minuman itu.
Kemanisan jus laici itu meresap ke tekak dan memberi rasa nikmat buah sebenar.
Ila meletakkan kotak yang masih berisi minuman itu ke atas meja besi berbentuk
bulat di hadapannya itu.
“Terima kasih sudi keluar hari ni,” ucap Andrew.
Ila tersenyum lagi. Andrew tidak perlu berterima
kasih pun, dia memang sudi menemani lelaki itu jika ada masa. Bersama Andrew
dia dibuai rasa gembira yang luar biasa. Perasaan pertama yang menjalar dan
meresap dalam hatinya dan dia sedar itu yang dinamakan cinta. Namun, cinta ini
baru menyapa sahaja, belum benar-benar bertapak dalam hatinya. Jadi... dia
harus bersabar lagi.
“Sebelum saya sibuk dengan kuliah macam awak,
bolehlah saya teman awak,” balas Ila.
Andrew tersenyum. Dia tahu tidak lama sahaja
lagi keputusan SPM akan diumumkan. Singkat sangat masa mereka dapat bersama.
Muka Ila direnung seketika. Tidak tahu kenapa dia menyukai gadis itu sedangkan
merekaberlainan bangsa. Mungkin antara mereka ada keserasian.
Ila naik malu pula direnung begitu. Hisy, merah
pipinya. Dia petik jari, mengembalikan Andrew ke alam nyata.
Andrew tersenyum lagi.
Ila angkat-angkat kening.Hendak tahu apa
yang difikirkan Andrew. Manalah tahu hati Andrew sehati dengannya. Senang
cerita. Tidak perlu lagi menyimpan harapan dan menyembunyikan rahsia hati.
Andrew tersipu. “Saya suka kawan dengan awak.”
Ila tersengih. Ayat yang sama pernah dicakapkan
Hakimi,
“Ila...” panggil Andrew sambil memandang tepat
ke mata Ila. Mata itu cantik mempersona walaupun sederhana besar. Jantung
Andrew terus berdegup laju. Sesungguhnya rasa hati sendiri tidak boleh
dinafikan lagi. Ya, dia sudah jatuh cinta. Dia mencintai gadis itu. Mungkinkah
cintanya akan dibalas, atau dia akan kehilangan gadis itu sebaik menyuarakan
hasrat di hati?
Ila mengetap bibir dan menundukkan kepala. Dia
memaniskan muka. Menunggu Andrew meluahkan rasa hatinya.
“Hmm...”
“Andrew...” panggil Puan Weandy tiba-tiba.
Ila
mengukir senyuman sebagai penganti ucapan selamat. Puan Weandy membalas mesra.
“Ada apa mummy?” Andrew sudah bangun mendapatkan
Puan Weandy.
Ila memerhati langkah Andrew. Dia bangun,
mengambil beg sandang yang dibawa tadi dari atas sebuah lagi kerusi besi.
“Andrew, saya balik dulu,” laung Ila. Hilang perasaan gembiranya hendak duduk
di situ lebih lama. Beg plastik berisi novel dibimbit.
Andrew berpaling. “Okey,” balasnya sambil
membuat isyarat telefon dengan tangan.
Ila mengangguk dan tersenyum.
Puan Weandy memerhati dengan rasa kurang senang.
Namun, mukanya dimaniskan.
“Balik dulu, auntie,” laung Ila sambil tangannya
membuka pintu pagar kecil.
Puan Weandy tersenyum.
Ila terus masuk ke dalam rumhnya. Dia berbaring di atas katil,
melepaskan penat. Ah, selesa. Lama juga dia dan Andrew keluar. Naik lenguh
kakinya tawaf satu JJ tadi. Ila cuba memejamkan mata seketika. Tiba-tiba dia
terdengar suara Hakimi menyanyi.
“Aik, tak kerja ke mamat tu?” tanya Ila. Hari ni
hari Sabtu.Selalunya, mamat tu bekerja. Dia pantas bangun dan keluar ke balkoni.
“Hai,” tegurnya sebaik berada di balkoni.
Hakimi sekadar memandang. Gitar di tangan terus
dipetik.
“Orang tegur tak nak jawab, sombong,” protes
Ila. Muka Hakimi dipandang dengan tepat. Geram pula hatinya dilayan acuh tidak
acuh seperti itu. Dia merajuk lagi nanti baru Hakimi tahu.
Hakimi berhenti memetik gitar. “Bukan sombong.
Tengah hayati lagu.”
Ila tersengih. “Hayati lagu sedih?” Dia tidak
tahu lagu apa yang dinyanyikan Hakimi, tetapi rangkap lagu itu kedengarannya
mendayu dan pilu.
Hakimi sengetkan mulut. “Susah sangat nak nampak
bintang. Sedihlah...”
Ila tergelak manja. “Bintang apa siang-siang
macam ni?” tanyanya sambil mendongak ke langit. Awan masih cantik, putih bersih
seperti kapas dengan kepulan bentuk-bentuk yang pelbagai. Luas benar laut
angkasa itu.
“Ada. Awak aje yang tak nampak,” balas Hakimi.
Ila menggaru kepala. Ada ke bintang di siang
hari? Adalah agaknya. Sebab langit cerah tu yang tak nampak, bicaranya dalam
hati. “Tak kerja ke hari ni?” tanya Ila tidak mahu melayan rajuk Hakimi. Hendak
dikatakan Hakimi demam kerana berhujan malam tadi tidak pula.
“Dah berhenti,” beritahu Hakimi dengan muka
tidak berperasaan. Sengaja dia hendak melihat reaksi Ila. Agaknya gadis arnab
itu akan mengambil berat dengan perihal hidupnya tak? Apalagi mereka sudah
tidak dapat berada lebih dekat setiap hari.
Ila mejongketkan kening dan membuat muka
terkejut. Dia terasa tidak sedap hati. “Sebab saya ke?” tanya Ila dengan muka
bersalah. Sungguh dia tidak mahu Hakimi membuat keputusan hanya kerana dirinya
dipecat. Dia juga tidak mahu dituduh menyuruh Hakimi berbuat begitu demi
menyusahkan Mira. Yang berlalu tu biarlah, kerana dia selalu percaya di sebalik
kelukaan pasti ada bahagia yang bakal Tuhan hadiahkan.
Hakimi tersengih. “Awak ni percaya aje, kan?”
gelaknya di hujung kata. Puas hati dapat mengenakan Ila. Balasan kerana membuat
dia tertunggu-tunggu di situ seperti burung bangau mengharapkan ikan di musim
kemarau.
Ila menjeling geram. Memanglah dia percaya sebab
Hakimi nampak serius. Menyesal dia menjenguk Hakimi. Andai tahu Hakimi ingin
mempermainkan dirinya, elok dia tidur sahaja tadi.
“Tadi saya jemput mama dari hospital. Jadi
cutilah. Bukan berhenti,” beritahu Hakimi. Dia mengukir senyuman.
Ila mengangguk. Baru dia teringat tentang Puan
Alia yang masih kurang sihat. Semenjak mama Hakimi dimasukkan ke hospital,
belum sekali pun dia melawat wanita itu. Semuanya kerana kesibukkan waktunya
bekerja di Maniera. “Auntie Alia apa khabar?” tanya Ila kemudian.
“Sihat. Kalau sakit, dia kat hospital lagi,”
jawab Hakimi.
“Awak...” Ila sudah tidak sabar mahu bertanyakan
syarat ciptaan Hakimi.
“Biar saya cakap dulu,” potong Hakimi.
Ila herotkan sebelah bibir dan mengangguk.
“Jom kita keluar kejap,” ajak Hakimi. Kakinya
terasa lenguh pula berdiri terlalu lama di balkoni.
Ila menggeleng. Penatnya masih belum habis.
Kakinya pun sudah terasa kejang.
“Jomlah,” ajak Hakimi sedikit mendesak.
Ila menggeleng lagi.
Hakimi merenung tajam. “Awak kena setuju sebab
yang ni termasuk dalam syarat,” beritahu Hakimi. Dia tahu Ila pasti hendak tahu
syarat seterusnya apa. Hahaha... terkena juga gadis arnab ni.
Ila menyengetkan mulutnya tidak puas hati. “Mana
boleh!” bantahnya sedikit tertekan. Hakimi ini sudah kenapalah agaknya. Suka
sangat menyeksa dirinya.
“Apasal tak boleh? Awak dah setuju, ikut
ajelah,” balas Hakimi selamba. Dia tahu Ila tiada pilihan dan gadis itu dengan
rasa terpaksa akan menurut katanya. “Alah, tak payah nak buat muka cekodok basi
tu. Jom kita pergi taman kejap. Saya nak beritahu syarat-syarat yang lain,”
beritahu Hakimi.
“Alah, tak payahlah pergi taman. Kat sini pun
boleh, kan?” tolak Ila.
Hakimi tersengih. “Tak nak”
“Ish, suka paksa-paksa orang,” rungut Ila.
Hakimi menaikkan ibu jarinya. “Tapi...” tambah
Hakimi.
“Tapi apa?” marah Ila.
“Kita naik motor. Awak bawak,” beritahu Hakimi
dengan muka comel.
“Hah?” Ila menjeling. Memang tak betul Hakimi
ni.
“Nak manja-manja pun tak boleh. Nanti saya dah
tak ada dalam hidup awak, baru awak tahu rindu ke tak,” rungut Hakimi tetapi
sempat juga hendak mengarut. Matanya dipandang ke atas sambil bersiul kecil.
“Tak ada maknanya nak rindu-rindu awak tu,”
balas Ila dengan mata yang dikecilkan.
“Yalah, siaplah kita ni, kan?” Hakimi buat ayat
merajuk.
Ila mengerutkan dahi sebelum berpura-pura
tersengih.
“Cepat. Saya bagi lima minit untuk awak sampai
depan rumah saya,” arah Hakimi sebelum berlari masuk ke biliknya.
Ila genggam tangan. Geram.
PUAN WEANDY menjeling Andrew dengan
perasaan kurang senang. Dua biji mangkuk kecil berisi bubur kacang merah
diletakkan di atas meja makan.
“Terima kasih, mi,” ucap Andrew.
Puan Weandy mengangguk. Bangku bulat ditarik dan
dia duduk. “Andrew...”
“Kenapa, mi? Dari tadi macam ada perkara yang
mummy nak sampaikan,” tanya Andrew.
“Mummy bukan nak campur urusan kamu. Tapi, kamu
masih belajar. Mummy tak nak kamu terlibat dengan cinta,” kata Puan Weandy.
“Apa lagi kalau kamu sudah mula suka pada budak Melayu tu,” sambung Puan Weandy
berhati-hati.
Andrew memandang mangkuk buburnya. Keakraban dia
dan Ila yang menjadi punca mamanya kelihatan resah rupanya.
Puan Weandy memandang Andrew. Dia yakin Andrew
faham apa yang tersirat di hatinya. “Senang cakap, mummy tak nak kamu masuk
Melayu,” tambah Puan Weandy. Elok dia berterus-terang daripada membiarkan
Andrew terkelip-kelip berfikir, tetapi dia tahu Andrew faham.
Andrew mengukir senyuman. Ternyata perasaan
indah yang baru berputik itu telah dicantas mummynya. Tapi boleh ke dia
berhenti daripada menyayangi Ila? Atau dia harus mencari cara lain supaya Ila
terus di hatinya? “Mi... we're just friends. Bukan macam apa yang mummy
fikirkan,” sangkal Andrew meskipun sedar hatinya memang mencintai Ila.
“I am your mother. I know what you are
thinking. Do not try to lie,” tegur Puan Weandy. Mana mungkin Andrew
menipunya jika setiap hari dia memerhatikan tingkah anaknya itu. Setiap kali bermesej,
matanya akan bercahaya. Senyumnya meleret. Sewaktu berbual dengan Ila di
halaman rumah mereka juga, riak anak itu kelihatan bahagia. Kalau bukan kerana
hatinya sedang jatuh cinta, apakah kategori perbuatan anaknya itu?
Andrew mengeluh. Dia sayang mummy tetapi hatinya
juga menyayangi Ila. Apa yang harus dilakukan?
“Kalau pun kamu mahu juga bercinta, bercintalah.
Tapi, tolong jangan pilih gadis Melayu.”
Andrew menarik nafas. “Mi, kenapa mummy tak mahu
terima gadis Melayu? Apakah mummy memusuhi orang Melayu?”
Puan Weandy menggeleng. “Bukan... Mummy tidak
memusuhi orang Melayu,” nafi Puan Weandy. Bukan itu maksudnya.
“Kalau bukan begitu, apa alasannya, mummy?”
tanya Andrew.
Puan Weandy mengeluh. Dia diam. “Sebabnya, mummy
tak nak kamu tukar agama.”
“Kenapa?”Andrew sedar, jika dia menginginkan
gadis Melayu, dia harus mengikut agama gadis itu. Tetapi dia tidak berfikir
sejauh itu. Hubungannya dengan Ila baru masuk fasa suka-suka, bukan cinta
sepenuhnya. Perkahwinan masih terlalu jauh daripada bayangannya.
“Andrew, kamu satu-satunya anak lelaki keluarga
Yong. Mummy tak nak bila kami mati nanti, kamu sebagai anak lelaki tidak dapat
menyembah kami. Kamu faham adat agama kita, kan?” jelas Puan Weandy.
Andrew tertunduk diam.
“Lagipun mummy tak nak rasa bersalah dengan
datuk nenek moyang kerana gagal mendidik kamu,” tekan Puan Weandy. Dia bukan
cerewet tetapi sekadar mahu menjaga waris keturunan Yong sebaik mungkin.
Andrew kehilangan kata-kata. Mujur dia belum
meluahkan perasaan tadi. Andai mummynya tidak menganggu perbualan dia dan Ila
tadi, pasti lidahnya sudah terlanjur menyampaikan rasa hati. Selepas itu apa
akan terjadi? Ila mengelarnya penipu kerana mempermainkan perasaan gadis itu?
Huh!
“Mi, I'm sorry. Please give me time to think,”
pinta Andrew.
“Kamu fikirlah baik-baik,” kata Puan Weandy.
Hakimi yang sudah lama menunggu kehadiran Ila tersenyum apabila melihat
kelibat gadis itu. Tetapi semakin gadis itu menghampiri kawasan rumahnya, dia
mengerut dahi. Kenapa enjin motosikal Ila tidak berbunyi? Dia tidak puas hati
dan terus meluru keluar dari pagar rumah. Sebaik berada di jalan, Hakimi buat
muka geram. Ila sengaja hendak mencari pasal dengannya petang itu.
“Dah siap? Jomlah,” ajak Ila selamba.
Seolah-olah dia tidak membuat kesilapan.
Hakimi menunjukkan muka tidak puas hati. “Naik
benda ni?” soalnya geram. Lain diminta, lain pula yang Ila bawa. Gadis arnab ni
ada masalah pendengaran ke? Tak pun masalah mengencam objek, gumam hatinya.
“Ha’ahlah, ada benda lain lagi ke?” Ila menoleh
ke belakang. Sengaja buat-buat tidak faham dengan reaksi yang diberikan Hakimi.
Lelaki itukan suka sangat mempermainkan dirinya. Sekarang giliran dia pulalah.
“Tadikan saya suruh awak... hmm.” Malas Hakimi
hendak mengulang permintaannya di balkoni tadi.
“Nak naik, tak?” desak Ila. Hatinya mula
bersorak suka. Padan muka Hakimi.
Hakimi mengecilkan mata. Dahinya berkerut. “Sebenarnya awak rindu saya bawak awak macam
dulu tu, eh,” sakat Hakimi. Teringat perkenalan kedua mereka dulu. Kalau tidak
kerana peristiwa itu, belum tentu lagi mereka berada sedekat itu sebagai kawan.
Ila buat muka geli. Kemudian dia tersengih dan
menggeleng. Hakimi banyak sangat berangan.
“Jangan nak perasanlah Encik Hakimi? Benda alah
ni ada dua tempat duduk, dua pasang tempat kayuh dan dua pasang alat pemegang.
Tak ada maknanya awak nak bawak saya. Kita bawak diri masing-masing,” balas Ila
bersahaja. Dia tahu Hakimi pasti begang. Rasakanlah. Tak peduli orang penat nak
ajak keluar juga, rungut hati Ila.
Hakimi memuncungkan mulutnya. Hisy, memang dia
terkena. Kalau banyak cerita nanti, Ila balik pula. Naik jugalah. “Tak apa. Ada
lori, ada bas...”
“Hari-hari awak terbabas,” sambung Ila sambil
ketawa. Suka dia kerana berjaya membuli Hakimi.
Mereka mula
mengayuh basikal kembar itu.
Hakimi yang mengayuh di belakang Ila terasa mahu
mengetuk sahaja kepala gadis arnab itu. Ada ke patut basikal berkembar itu yang
dibawanya. Grrr...
“Encik Hakimi,” panggil Ila.
“Encik, encik... awak tu bukan pekerja Maniera
lagi,” marah Hakimi. Dia tidak suka Ila memanggilnya begitu. Ila bagaikan
sengaja mahu meletakkan jurang antara mereka.
Ila mencebik. Nak bagi penghormatan pun salah,
omel hatinya.
“Cakaplah,” arah Hakimi geram bila Ila diam.
Janganlah nak buat perangai merajuk lagi. Dia rimas.
“Hmm... sejak jadi bos ni awak dah makin
garanglah,” kata Ila. Sikap garang Hakimi semakin menjadi-jadi pula.
“Mestilah,” balas Hakimi angkuh.
Ila tersengih sambil menayang gigi. Tetapi
sah-sah perbuatannya Hakim tidak nampak. “Hmm.. tak nak cakap pasal Manieralah.
Nak cakap pasal syarat awak tu.”
“Alah, carilah tempat boleh duduk dulu.
Terjerit-jerit bercakap macam ni. Seluruh taman orang boleh pasang telinga jadi
saksi. Kalau saksi angkat nikah tak apa juga,” usik Hakimi.
Ila diam. Hakimi dah mula melalut. Mereka sudah
masuk kawasan rekreasi Taman Botanic. Mata Ila memerhati bangku yang kosong.
“Kita duduk kat sanalah. Lapang dan redup,”
beritahu Ila sambil matanya melihat pohon-pohon besar yang tegak merendang.
Cantik alunan daun-daun yang disapa angin petang. Daun-daun kering yang
berguguran pula kelihatan seperti musim luruh di luar negara. Dia suka dengan
fenomena itu.
Hakimi mengangguk.
“Awak, saya dah tak payah berlakon jadi girlfriend
awak depan Cik Juliesa lagi, kan?” tanya Ila sebaik teringatkan hal itu.
Hakimi mengerut dahi. Kenapa itu yang
ditanyakan? Mereka ke situ hanya kerana hal mereka berdua sahaja. Dia tidak
mahu nama orang ketiga diseret masuk dan merosakkan suasana.
“Awak dengan dia dah rujuk balik ke?” tanya Ila.
Manalah tahu lepas ini Hakimi ada ura-ura hendak berkahwin pula. Tidak perlulah
dia meluangkan masa dengan bakal tunangan orang itu lagi.
“Siapa cakap?” tanya Hakimi.
“Saya nampak awak dengan dia,” beritahu Ila.
Bukan dia cemburu. Dia hanya hendak mengetahui kedudukan hubungan Hakimi dan
Juliesa sahaja.
“Kat mana?” tanya Hakimi. Dia terlupa yang dia
dan Juliesa ada keluar bersama sebelum ini.
“Depan Maniera hari tu,” beritahu Ila lurus.
“Saya keluar makan dengan dia aje. Kenapa?” soal
Hakimi. Ila cemburu ke?
“Kenapa apa?” Ila bertanya kembali.
“Awak jelous ke?” tanya Hakimi tanpa
selindung.
“Hahaha... tak ada maknanya,” balas Ila. Tetapi
pada hari dia ternampak Hakimi dan Juliesa, hatinya memang dicuit perasaan
cemburu. Mungkin masa itu dia marah dengan cara Hakimi melayan Juliesa. Sekejap
suka, sekejap benci. Tiada pendirianlah mamat tu.
Hakimi tarik muka. Benarkah Ila langsung tidak
ada apa-apa peasaan terhadapnya?
Ila memandang Hakimi sebelum mengukir senyuman.
“Awak... sebenarnya saya penatlah. Tadi baru balik dating dengan Andrew.
Sekarang kena dengar syarat merapu awak pulak kat sini,” keluh Ila sambil
duduk.
Hakimi menghembus nafas. Tidak suka mendengar
Ila mulai rapat dengan Andrew. Mulalah akal jahatnya datang. Yang bukan-bukan
dirancangnya sebagai syarat. Biar merepek asal Ila tidak jauh daripadanya.
Tetapi sampai bila pula? Dia ada misi untuk mengambil alih syarikat ibunya.
Hendak kena kahwin pula tu. Nak ke Ila yang baru hendak mengenal hidup ini
menjadi isterinya? Mahu pula ke ibunya menerima menantu semuda itu?
“Woi, berangan ke?” sergah Ila bila Hakimi masih
berdiri terpacak dan berfikir.
Hakimi menggaru keningnya sebelum duduk di
sebelah Ila. Wajahnya hambar seketika. Ada banyak lagi masalah yang mahu
difikir rupanya. Kenapalah hidup ini tidak seindah mimpi?
“Dalam dua bulan lagi. awak akan jadi mahasiswi,
kan?” tanya Hakimi. Itu satu lagi halangan untuk dia mendekatkan diri dengan
Ila. Tetapi dia tidak kisah, andai Ila ditawarkan menyambung pelajaran jauh
dari tempat tinggal mereka. Dia sanggup berulang alik dua ke tiga kali seminggu
untuk menemui gadis arnab tu. Andrew boleh buat macam tu? Pastilah tidak. Jadi
dia ada lebih banyak peluang berbanding Andrew. Hati Hakimi kembali tersenyum.
Ila mengangguk. “Mungkin,” jawab Ila.
“Jadi, syarat yang seterusnya... saya nak awak
selalu boleh freekan masa bila saya ajak keluar,” beritahu Hakimi mahu
mengambil kesempatan dengan masa yang ada walaupun dia tidak perlu berbuat
demikian.
Ila ketawa. Syarat Hakimi itu boleh tahan juga
mendera dirinya.
“Saya ni anak dara orang, bukan isteri awak,”
jawab Ila.
“Hmm... kalau awak nak jadi isteri saya lagi
senang. Tak payah nak bersyarat lagi dah,” balas Hakimi dengan muka tak
berperasaan.
“Kalau saya nak kena ikut selera awak, syarat tu
jadi tak adil dan tak untungkan saya. Jadi, tak naklah,” balas Ila.
“Saya yang bagi syarat tu. Jadi, awak kena
terima aje tanpa bantahan. Kalau membantah, malam karang saya hantar rombongan
meminang ke rumah nenek awak,” ugutnya dengan senyuman jahat.
Ila merenung Hakimi. “Helo, jangan nak buat
pasal!” Lelaki ni kenapa? ‘Orang tak mahu, dipaksa-paksa pula. Siap nak
membabitkan nenek aku pulak lagi tu,’ rungut hatinya.
“Tak nak saya buat pasal, terima ajelah. Saya
bukan ajak awak keluar hari-hari,” tekan Hakimi. Ila ingat senang hendak lari
daripadanya? Jangan mimpi!
Ila menyengetkan mulut. Dia terkena lagi. Hakimi
ni bukan boleh percaya. Semalam dengan beraninya dia datang ke rumah Hanim.
Tidak mustahil juga dia akan buat apa yang dicakapkan tadi. Argh... “Okey, tapi
sampai bila?” Setuju Ila dengan muka sedih.
“Tak payahlah nak buat muka macam tu. Tak lawa
pun,” tegur Hakimi.
Ila menjeling geram. Hakimi ni memang tidak
sensitif langsung dengan perasaan orang perempuan.
“Selamanya,” beritahu Hakimi kemudian.
“Hah? Gila?” bantah Ila.
“Gila tak gila awak dah cakap okey. Kira
setujulah tu. Orang Islam tak boleh munafik,” kata Hakimi.
Ila menjegilkan mata. Wah! Hakimi sudah pandai
hendak mengkuliahkan dirinya.
“Kalau syarat awak tu untuk sebulan, bolehlah
saya pertimbangkan. Kalau sampai kita sama-sama tua dan saya kena tunggu awak
mati dulu, memang tak adil,” bantah Ila.
Hakimi senyum. Keningnya dinaikkan.
“Alah, rilekslah. Belum tentu lagi saya ada aje
dengan awak,” kata Hakimi.
Ila mengerut dahi. Dari hari itu, Hakimi asyik
bercakap bagaikan orang hendak pergi mati. Kenapa? Mulalah dia tidak sedap
hati.