Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 13)

BAB 13

“HOI! Baju pengantin siapa, ni? Letak sepah-sepah,” jerit Que sambil pantas bangun semula dari duduknya, bila terasa ada sesuatu di bawah punggungnya.

“Baju kau, lah.”

“Hah! Aku?”

“Dah tu... Mr. El hantar untuk aku dengan Rin, ke?”

Que melopong mendengar itu. Biar benar??? Tidak berkedip matanya memandang baju tersebut. Baju macam ini yang El suruh Que pakai? Isy! Ini sudah kira melanggar tatasusila, eh bukan, perjanjian. Kan sudah beritahu hari itu lagi yang dia tidak mahu pakai yang seksi-seksi. Baju sudah cantik, labuh sampai buku lali tapi, tidak ada lengan dan bertali agak halus. Dibuatnya putus masa majlis, isy, tidak sanggup! Hendak mampus!!! Ini melanggar etika cara berpakaiannya juga. Mesti katakan tidak! Tidak elok untuk kesihatan jika begini.

“Mak aii! Seksi gila ni! Tak naklah aku pakai baju ni!”

Que berpusing ke belakang. Eh! Lupa... Mak ada sini. Baru sampai... Kesian dia tercegat macam Cikgu Bedah hilang pen di muka pintu itu saja. Cara tebar pandangan memang macam penyelia sedang buat seliaan dan siasatan. Pantas Que menuju ke arah maknya semula.

“Mak, maaf, orang lupa mak ada. Ni lah, budak dua orang ni, suka bersepahkan barang. Tu yang orang geram tu. Mak tengoklah dia orang tu.”

“Maaflah mak. Bukan Mai tak nak jemput masuk. Tadi lagi Mai nak ajak masuk tapi suara anak mak yang bertuah sangat ni, dah macam petir. Terkejut Mai,” terang Mai sambil mendapatkan mak Si Que.

“A’ah mak. Dah elok-elok kami nak terus sambut mak, jadi terencat pula bila dengar dia menjerit tadi,” tambah Rin pula.

Kedua-duanya segera bersalaman penuh hormat dengan mak Que. Memang mereka mesra pun. Panggilan pun sudah tidak ada mak cik macam awal-awal dulu. Lebih selesa membahasakan mak Que dengan panggilan mak juga. Bertambah mesra kata mak Que. Lagipun, bukan tidak biasa menerima kunjungan mak Que ke rumah itu. Selalu juga. Dan mereka amat senang dengan sifat keibuan dan ambil berat mak Que itu. Terubat rindu pada ibu masing-masing yang jarang datang menjenguk.

Maklumlah, Que satu-satunya anak bagi maknya. Mereka pula, ada adik-beradik lain yang memerlukan lebih perhatian. Ada yang masih bersekolah. Jadi kenalah mengalah dan mereka yang kena balik kampung menemui orang tua dan keluarga. Jadi, bila mak Que datang berkunjung, dapatlah menumpang kasih ibu. Dapatlah bermanja sama. Que tidak lokek. Maknya boleh dikongsi asal saja dia tetap mendapat lebih. Normallah begitu, kan? Sudah memang dia anak maknya.

“Tak apa, Mai, Rin. Mak faham. Que ni pun, bilalah nak berubah. Bercakap mengalahkan petir.”

Que singai saja. Memang salahnya. Terima saja. Lagipun mak sendiri yang tengah beri ceramah sekarang ini. Tadah telinga tanpa banyak bicara. Kunci mulut diam-diam. Tidak baik lawan cakap mak.

“Sihat kamu semua,” sambung mak Que lagi.

“Alhamdulillah, mak,” jawab Mai dan Rin serentak.

Mak Que mengangguk-angguk beberapa kali, tanda mengerti.

“Alhamdulillah...” balas mak Que pula. Tanda syukur.

“Eh! Masuklah, mak. Kesian mak, mesti penat. Nasib baik tak naik motor Si Que ni, kan mak? Kalau tak, lagi patah pinggang nak sampai ke rumah ni.”

Mak Que hanya senyum.

“Yalah. Terima kasih daun keladi Cik Mai, kerana pinjamkan kereta. Sungguh baik hati.”

“Jom mak. Rin dah masak. Kejap lagi, bolehlah kita makan.”

“Dan Cik Rin, terima kasih juga, kerana sudi pinjamkan kaki tangan untuk masak makan malam kita.”

“Kasih diterima,” jawab Mai dan Rin serentak sekali lagi. Tersenyum simpul mereka sedang Que dalam geram membulatkan mata. Terus mereka semua ketawa. Lucu pula.

“Ni baju siapa?” tanya mak. Ketika itu mereka semua sudah berada di ruang tamu dan baru saja duduk.

Que, Mai dan Rin saling berpandangan. Hendak kata cuba sembunyikan sesuatu dari mak, sudah tentu tidak. Mereka memang tahu yang mak akan sampai pada hari tersebut. Dan hari tersebut juga Que ada tugas luar alam.

“Mak.... Sebenarnya orang kena temankan bos orang pergi majlis makan malam. Tu yang dia sewakan baju ni untuk orang. Mak bukan tak tahu yang orang mana ada baju gaun bagai macam ni. Orang banyak pakai jean dengan baju-T aje. Baju kurung pun, orang pakai cuma masa raya dengan pergi majlis kenduri kendara aje,” Que buka mulut menerangkan perkara yang sebenar.

Mak terdiam seketika. Direnung baju itu lama. Sekali lagi mereka bertiga saling berpandangan. Dalam fikiran sudah berlegar bahawa mak pasti tidak suka. Apatah lagi yang anaknya kena jadi ‘teman’ untuk bosnya. Atas dasar apa, ya tidak? Yalah, seorang penghantar surat boleh naik taraf sampai jadi teman bos pula. Besar betul mandat yang Que dapat. Agak pelik.

“Mak, orang tak nak pergi, tapi bos orang paksa. Bukan buat apa pun, cuma teman dia pergi makan malamtu aje. Tak ada mabuk-mabuk ke, apa ke, mak. Lepas tu, baliklah. Mak percayalah pada orang,” tambah Que lagi bila mak masih juga diam tidak bersuara. Dia yang risau. Dia yang bimbang. Dan dia yang tidak senang duduk sebenarnya. Takut mak marah.

“Tak sangka, ya. Kerja hantar surat pun boleh sampai jadi ‘teman’ bos pergi majlis ya, Que? Kelas anak mak! Tak sia-sialah mak bagi restu jadi penghantar surat, ya? Teman tapi mesra, ke?”

“Mak!!!” Que sudah bengang.

Mak sengaja mengusiknya. Uwa... Tidak suka macam ini. Mak buli Que. Yang lagi dua orang itu, sudah gelak sakan. Mana tidak gelak. Mak diam, rupanya tengah atur ayat yang sesuai untuk kenakan Que. Jangan buat-buat lupa. Mak itu jenis yang berfikiran terbuka. Setakat pergi makan malam, takkanlah mak hendak marah, kan? Yang seronoknya, bukan selalu fenomena ini berlaku. Hanya ketika mak ada bersama di rumah itu saja mereka dapat dengar dan lihat Que kalah. Bercakap dengan mak, mana boleh menang. Kalau dengan mereka berdua, memang dia saja yang menang.

***********

Que termenung lama. Hendak buat macam mana, ya? Lama sudah dia memikir. Dari petang, semasa balik ambil mak dari stesen bas lagi sudah mula fikir. Sampai sekarang ini juga masih memikir. Jarum saat tetap berjalan. Jarum minit juga tidak mungkin berhenti kecualilah bateri jam itu kehabisan tenaga. Masa terus berlalu tanpa menunggu dia walau sedetik lebih pun. Tinggal beberapa dentingan waktu saja lagi dia mesti menunjukkan muka seperti yang dia sendiri persetujui. Itulah dia! Siapa suruh setuju saja? Kan diri sendiri yang tidak tentu hala.

Tapi, bab yang bagi persetujuan itu, tidak adalah berat sangat. Okey saja. Bab yang kena pakai baju ala-ala tidak cukup kain ini yang sangat berat. Sungguh berat. Memanglah dia akui yang kadangkala pun dia hanya berseluar pendek paras lutut ketika di rumah. Pakai baju tidak ada lengan juga. Tapi, itu setakat di dalam rumah. Hanya dilihat oleh Mai dan Rin. Paling teruk pun mak yang tengok. Habis-habis teruk pun kena tegur dengan mak. Itu pun, dia buat tidak dengar saja kerana dia memang tidak mempraktikkan berpakaian kurang sopan di luar. Itu prinsipnya.

Sekarang ini, tanpa budi bicara, dia disuruh memakai pakaian yang melanggar kod etika berpakaiannya. Memanglah buat dia haru-biru. Sampai ‘you look blue’ sudah mukanya, memikir. Pucat lebam bukan pucat lesi. Kalau ikutkan hati yang tengah tidak puas hati ini, mahu saja dia batalkan persetujuan yang telah di buat antara dia dan El. Tapi, atas sifat perikemanusiaan, hatinya masih membuat timbang tara akan hal tersebut. Sebab itu, dia berfikir tidak habis-habis lagi. Hmm...

“Que, apa yang kamu termenung lagi, tu? Kata nak pergi teman bos ke majlis makan malam? Maghrib sudah, isyak baru lepas, apa lagi yang Que fikir,” tegur mak yang baru masuk ke dalam bilik Que.

Dia berlabuh di birai katil Que. Selepas makan malam bersama Mai dan Rin tadi, dia terus duduk berbual dia ruang tamu. Lagipun, Que kata dia mahu bersiap jadi, mak tidak mahu mengganggu.

“Mak... Orang tak tahu nak buat macam mana dengan baju ni. Malu nak pakai. Banyak sangat yang terdedahnya,” adu Que manja.

“Kamu dah cuba?”

“Dah. Tak sangguplah nak pakai, mak.”

Mak tersenyum penuh makna. Sangat memahami perangai anak daranya yang seorang ini. Que memang nakal tapi bab-bab yang melanggari batas agama, sebolehnya dia elak. Itu kelebihannya. Sebab itu jugalah, sebagi mak, dia tidak pernah sangsi melepaskan Que kerja berjauhan darinya. Nak-nak, jadi penghantar surat. Banyak buruk dari baiknya buat seorang perempuan. Tapi, dia percaya yang Que tahu jaga diri dan batas pergaulannya.

“Dah tu... Que nak pakai baju apa? Tukar baju lain? Kata tadi Que tak ada baju yang sesuai, kan?”

“Itulah dia, mak. Karang kalau orang pakai jean aje, mesti dia marah. Dah sewa mahal-mahal, orang tak nak pakai pula. Nanti dia kata orang mengada-ngada. Macam mana ni, mak? Takkan mak pun sokong orang pakai baju macam ni,” rengek Que lagi.

Buntu, buntu juga. Tapi, masa tetap berlalu pantas. Dia melirik jam dinding yang sudah menunjukkan hampir ke pukul 8.40 malam.

Mak senyum lagi. Direnung wajah Que yang kerisauan.

“Mai! Rin! Masuk sini, nak. Mak nak minta pendapat kamu berdua ni,” panggil mak tiba-tiba.

Sudah! Mak hendak libatkan makhluk yang dua orang ini pula. Habislah Que kena kutuk kaw-kaw nanti. Mak ini pun! Gunalah talian hayat lain. Ada ke yang dua orang itu! Erk! Tapi, mana ada orang lain lagi di rumah ini? Itu sajalah makhluk yang sanggup bersusah senang dengannya. Kena kutuk pun sudah biasa. Sampai kadangkala, rasa macam kena puji pula. Habis teruk pun dia luku saja budak dua orang itu, kalau melampau sangat ideanya. Hmm...

“Ya, mak! Mak nak suruh kita orang buat apa,” tanya Mai mewakili Rin juga.

Kala itu mereka sudah berdiri di ambang wati. Eh! Salah lagi... Di ambang pintulah. Peraturan di rumah itu, jika mahu masuk bilik sesiapa pun, kena minta dan dapat izin terlebih dahulu. Kalau tidak, jangan cari pasal main redah sesuka hati. Ada yang perang sabil nanti. Bukan kedekut. Bukan lokek. Cuma sekadar menghormati hak privasi orang lain. Itulah yang mereka amalkan. Elok apa begitu. Saling tahu hak masing-masing apatah lagi kawan karib. Tapi, mak diberi kelonggaran. Tidak perlu ketuk pintu pun tidak apa. Special case.

“Laa.... Kau tak siap lagi ke, Que?” tanya Rin pula bila matanya tertancap pada Que yang masih berlunjur di atas katilnya.

Gaun malam yang El hantar tadi masih juga terletak elok di sebelah Que. Cuma sudah terkeluar dari dalam casing bagnya.

“Inilah yang mak nak minta pendapat kamu berdua. Que ni malu nak pakai baju seksi macam ni. Mak pun tak suka dia pakai seksi-seksi. Jadi, kita nak buat macam mana supaya nampak elok aje Que pakai tanpa terdedah sana sini. Kamu berdua rasa, macam mana kita nak gayakan baju ni?” panjang lebar mak beri penjelasan.

Yang dua orang lagi itu, sudah duduk santai di depan mak. Mak, duduk atas katil sambil sebelah kaki mencecah lantai. Mai dan Rin, duduk di bawah berhampiran dengan mak. Cis kek betul! Macam dia orang pula anak mak.

“Kejap ya mak, bagi Mai fikir. Kau pun fikir sama, Rin.”

Rin hanya mengangguk. Muka sikit punya serius. Siap pandang atas lagi. Tengah fikir sangatlah begitu. Ke tengah berangan dia yang jadi teman El? Hmm...

“Mak, kalau pakai inner kat dalam, okey tak?” usul Mai. Setakat ini, hanya itu yang terlintas. Sekurang-kurangnya, tutup juga mana yang patut.

Que bagi jelingan manja.

“Seksi jugak tu! Inner tu ketatlah, Mai. Macam nangka kena sarung je nanti,” balas Que kurang bersetuju.

“Hmm... Mak rasa boleh. Luar boleh tutup dengan selendang, tapi kalau ada cadangan lain, kita tengok cadangan lain dulu.”

“Panaslah mak, pakai berlapis-lapis. Pengsanlah Que macam ni.”

“Kalau tak nak panas, pakai jelah baju ni. Terdedah sikit, senang masuk angin,” selar Mai geram. Orang sudah bagi idea, banyak pula ‘cekadak’nya.

Mak, kalau beri pendapat memang tidak pernah berat sebelah. Tidak kiralah dengan anak sendiri atau bukan sekali pun. Tetap adil dan saksama. Sayang, mak!

“Okey! Okey! Apa kata, kau pakai cardigan kat luar. Aku ada cardigan baru, yang aku rasa sesuai dengan warna baju ni. Kejap aku ambil, eh.”

Terus Rin hilang, menuju ke biliknya. Yang lain, sekadar menganggukkan kepala. Kira itu juga satu cadangan yang baik. Bukan kata cadangan Mai tadi tidak baik. Elok juga, jika sudah tiada kaedah lain. Kemudian, Rin masuk semula bersama baju yang dia sebutkan tadi.

“Apa macam? Okey tak, yang ni? Mak? Mai? Que?” tanyanya sambil tersenyum memegang baju itu seperti model sedang memperagakan produk. Yang tidak sesuainya, Rin pakai baju tidur. Model tersesat!

“Eh! Okey sangat ni, Rin. Que? Aku rasa, yang ni cadangan terbaik,” sokong Mai pula.

Mak, seperti biasa akan tersenyum melihat telatah tiga orang ‘anak-anaknya’ itu. Bahagia bila melihat mereka bertiga sentiasa sepakat. Itulah yang dia mahu. Sudahlah duduk jauh dari keluarga. Bila sepakat begini, susah senang, ada juga yang ambil peduli.

“Mak?” Que tetap mahu pandangan mak.

“Okey. Cantik juga baju tu dikenakan dengan... Apa nama tadi, Rin? Cardigun? Cardigran? Ala-carte?”

Meletus tawa mereka bertiga mendengar lawak mak. Mak ini pun... Dalam keadaan yang separa kritikal macam ini pun, sempat lagi buat lawak.

“Hah... Ketawa pun anak mak ni. Kalau tidak, muka tu ketat aje. Senyum pun tak nak. Risau sangat bos dia tak senang hati nanti,” usik mak seperti biasa.

Que, kalau mak sudah mengusik, terus tidak boleh kata apa. Kalah sebelum berjuang jadinya.

“Mak ni...”

Hahahaha..... Yang dua orang ini, memang nasi tambah. Back up terbaik buat mak. Sabar sajalah. Tapi, mereka semua ini juga yang memeriahkan kehidupan sehariannya. Itu dia akui. Akan sepi harinya tanpa mereka.

“Eh! Cepatlah bersiap, Que. Dah dekat pukul sembilan ni. Lambat pula kau sampai sana nanti. Tertunggu-tunggu pula bos kau tu karang.”

Que bagi jelingan manja lagi sekali pada Rin. Mulut perempuan ini memang terlebih insurans agaknya.

“Pakai baju tu cepat, Que. Nanti aku solekkan muka kau. Baru vogue nanti. Silap hari bulan, bos kau tu terus terpikat nanti.”

“Kau berdua ni, saja je nak kenakan aku, kan? Mentang-mentanglah mak ada sini, sedap aje mengutuk aku.”

“Alah... Kalau mak tak ada pun, kami tetap kutuk kau juga, kan? Tak ada beza, Que. Dah, cepatlah!"

Maka dengan itu, bermulalah sesi ‘transformasi’ buat Que. Khusus untuk malam itu saja. Que jadi orang lain secara luaran. Memang lain! Memang bersesuaian cardigan milik Rin dikenakan dengan gaun malam pilihan El. Sungguh elegantpenampilannya. Cantik! Di tambah pula dengan solekan yang tidak keterlaluan tapi menarik hasil sentuhan magis Mai yang memang pandai mengadaptasi serta memainkan kombinasi warna ke wajah sesiapa saja.

Dia kan ala-ala mak andam terlampau, gitu! Que nampak lain benar. Seperti bukan Que yang berdiri di depan mereka sekarang ini. Mak pun senyum panjang tanpa ulas bicara. Terpegun pastinya, melihat wajah anaknya sungguh sempurna dalam versi seorang wanita. Que tidak pernah bersolek. Kelainan yang mereka dapat lihat membuat mereka teruja untuk memandangnya semula.

Satu lagi permintaan Que, oleh kerana dia sering menutup kepalanya atau lebih tepat rambutnya dengan baseball cap, jadi dia minta untuk mereka berdua lakukan sesuatu agar rambutnya akan di tutupi juga malam ini. Memanglah dia tidak memakai tudung tapi dia tidak pernah membiarkan rambutnya dapat di lihat sesuka hati. Atas sebab itu, dia sentiasa bertopi.

Jadi, untuk memenuhi permintaannya malam ini, sekali lagi Mai dan Rin lakukan ‘sesuatu’ ke atas penampilannya agar lebih menarik, biar pun bertutup kepala. Mai sudi meminjamkan knitted cap seperti yang selalu Siti Nurhaliza dan Fida Aziz pakai itu. Topi ala-ala serkup kepala itu baru dibelinya dan demi untuk memastikan yang penampilan sahabatnya menarik, dia sanggup berikan pada Que. Sebagai hadiah.

“Hmm... Cantiknya anak mak! Sejuk mata yang memandang. Mak suka Que pakai macam ni. Lembut dan nampak ayu sungguh.”

“Mak, ni.... Janganlah usik Que macam tu. Risau nak bergerak ni. Susah. Selalu pakai jean, kena pakai kain macam ni, rasa pendek langkah.”

“Que pakai macam ni elok, apa. Kan, Mai? Rin?”

Keduanya hanya mengangguk. Kesian pula lihat Que yang terkulat-kulat diusik oleh mak. Mereka tahu yang hati Que mungkin sedang tidak keruan saat itu. Semakin menghampiri detik yang dijanjikan, bebayang resah di wajahnya jelas kelihatan. Kesian dia. Mesti kekok dan tidak pasti bagaimana mahu bereaksi di sana nanti. Tidak apalah, Que. Jadikan ini satu subjek pembelajaran untuk meningkatkan pengetahuan. Kot nanti betul-betul dapat kahwin dengan Mr. El, kira sudah ada pengalaman, kan? Yang lain-lain, tolak tepi dulu.

“Jom Que, aku hantar kau. Takkan nak naik motor dengan gaun macam ni, kot! Mahu rabak karang. Jomlah nanti lambat pula. Mak, Rin... Mai hantar Que kejap ya.”

Previous: (BAB 12)
Next: (BAB 14)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin