Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 5)

BAB 5

QUE merentap majalah yang sedang dibaca oleh Mai. Pantas tingkahnya mengalih kedudukan. Terjerit Mai dibuatnya. Terus saja dia bangun. Pertama, kerana terperanjat. Kedua kerana Que memang suka mengganggu ketenteramannya. Suka sangat ‘mengacau’. Kalau sehari tidak mengganggu dirinya, tidak sah agaknya. Ada saja yang dia buat untuk mengusik Mai.

Mai menjeling geram. Sedang Que, selamba saja duduk hampir dengan tempat Mai. Bagai tiada apa-apa yang berlaku. Dibelek majalah tersebut isi ke isi. Sedikit pun tidak menghiraukan Mai yang sudah bercekak pinggang di depannya. Sesekali dia menyisip milo suam yang masih berasap nipis. Lega. Mug milo diletakkan semula di tengah meja kopi. Dia sambung meneliti isi kandungan majalah tersebut.

Mai cuba mengambil majalahnya semula, pantas tangan Que melarikannya ke tangan yang lagi satu. Bila, Mai mencuba lagi, terus Que lakukan perkara yang sama; melarikan majalah tersebut ke tangan sebelah pula. Namun, matanya masih ralit memerhati isi kandungan majalah tersebut tanpa sedikit pun memandang Mai yang sedang kegeraman. Selamba saja tingkahnya. Siap menyandar santai lagi di sofa tersebut. Cis tat betullah Que ini! Selamba badak saja lagaknya.

Mahu cerita sikit sejarah dari mana datangnya cheese cake, cheese tart, cis tat, cis kek, semua itu ya. Que kata, dari dia sebut 'cis bedebah!', yang tidak sedap didengari langsung, ada baiknya dia tukar kepada perkataan yang lebih enak dan manis. Yang sedap dijadikan halwa telinga. Seronoksaja didengari ketika menampan gegendang telinga. Cis tat dan cis kek, kan manis. Sedap. Enak. Yummy! Itulah mulanya asal perkataan 'cis' yang Que suka guna.

“Que!!!!” jerit Mai masih lagi berdiri tegak dengan kedua tangan mencekak pinggang.

Comelnya gaya. Macam budak darjah satu saja.

“Hmm...” jawabnya bersahaja sambil terus membaca.

Kononnyalah. Padahal dia sudah hendak ketawa melihat reaksi Mai yang sedang geram. Diintai gerak geri Mai dari ekor matanya.

“Bak baliklah majalah tu! Aku tengah syok baca. Kacau aje. Kau baca nantilah,” rengek Mai seperti biasa.

Dia sudah duduk di sebelah Que. Menempel di sebelah gadis itu.

Dengan Que dia memang begitu. Ala-ala manja. Boleh kata mereka rapat jugalah. Sejak lima tahun mengenali antara satu sama lain, sampai sekarang ini pun, mereka jarang berenggang. Walaupun bekerja di tempat yang berlainan, mereka tetap tinggal menyewa di rumah yang sama.

Kalau hendak diikutkan, jarak tempat kerja Mai agak jauh dari rumah sewaan mereka itu. Tapi, demi sayangkan persahabatan yang sudah lama dan mesra, dia tidak sanggup berpindah ke rumah sewa lain yang lebih dekat dengan tempat kerjanya.

“Nak baca, ambillah. Siapa larang?” selamba Que menjawab tapi, matanya masih juga tidak berganjak dari membaca satu artikal.

Bukanlah menarik sangat pun, tapi sengaja mahu menyakat Mai. Mai agak manja. Suka diberi perhatian. Kadangkala, seperti keanak-anakan sedikit perangainya. Tidak reti marah dalam erti kata sebenarnya. Kira dia ini agak lurus bendullah juga. Eleh, cakap orang! Dia pun apa kurangnya. Sama saja gayanya. Suka juga dimanja. Suka juga diberi perhatian lebih. Nama pun perempuan.

Sekali lagi Mai cuba mengambil majalah tersebut dari tangan Que. Tapi, sepantas itu juga Que menjauhkannya dari Mai. Sengaja dijelingnya Mai. Tanda tidak mahu diganggu ketika sedang ralit ‘membaca’. Membaca sangatlah, ya?

Mai sudah tarik muka. Merajuk manjalah itu! Muncung, sudah panjang sedepa. Makin seronok Que menyakatnya.

“Bak lah balik! Que ni, teruklah. Suka kacau Mai. Pergilah buat kerja lain.”

“Ini kan, kerja juga.”

“Kerja apanya. Duduk melepak macam ni, kerja ke?”

“Kerja... Menyakat kaulah.”

Mai menjelingnya tajam.

“Bak sini!”

Que buat tidak dengar. Langsung tidak mengendahkan rengekan Mai itu.

Geram dengan Que yang bagai tiada reaksi, Mai mula bertindak agak agresif. Dek kerana geram dia tidak hiraukan perkara lain. Sambil melutut di atas sofa tersebut dia sedang menyerang Que. Que yang sudah tersepit di hujung sofa, pastinya tidak dapat bergerak bebas. Walau dia cuba melepaskan diri, bukan mudah baginya untuk berbuat begitu. Mai sedang menghalang pergerakannya dengan berlutut dan menekan lengan kiri Que. Nasib baiklah Mai tidak duduk di atasnya. Memang tidak mudah untuk bergerak.

“Woi! Kalau ya pun nak berasmaradana luar alam, tak ada tempat lain, ke? Atas sofa tu juga yang di pilih. Koyak rabak karang sofa tu. Mencemar pandangan betullah kau orang berdua ni. Sumbang mahram!”

Sumbang mahram? Cis kek betullah bahasa dia.

Keduanya terus terhenti. Duduk elok sebelah menyebelah. Macam anak murid kena marah dengan guru besar. Terus tidak berani berkelahi. Kalau suara ala-ala ‘mak tiri’ ini sudah bergema seluruh alam, baik buat sedar diri. Sebelum jadi halilintar yang membelah bumi, baik cuba hentikan. Parah nanti. Itu sudah kira aura mak tiri sedang meresap namanya. Kedua-dua belah tangan sudah bercekak di pinggang. Eleh, kalau pinggang ramping, tidak mengapa juga. Ini, kus semangat. Mantap dan montel.

Rin. Seorang lagi teman serumah mereka. Kira mereka ini memang tiga serangkailah dari dulu. Teman rapat, boleh juga di kategorikan begitu sebab sejak mengenali satu sama lain, keakraban mereka memang terserlah. Sukar dipisahkan lagi. Sudah lima tahun begitu. Sejak dari sekolah menengah lagi mereka saling mengenali. Hingga masing-masing sudah bekerja pun, masih juga ingin sentiasa bersama.

Dulu, masa zaman duduk asrama, memang mereka tinggal sebilik pun. Sudah biasa begitu. Mungkin bila mereka sudah saling mengenali sekian lama, keserasian itu lebih mudah diserap. Itu yang buat mereka selesa bersama. Sudah saling mengenali dan mengetahui tentang perangai masing-masing. Buruk, baik, semua sudah faham.

Rin ini, lain sikit. Dia, boleh di anggap seperti kakak sulung di antara mereka. Tegas, sedikit garang tapi bertempat, juga sangat baik hati sebenarnya. Mulut saja pot pet pot pet tapi hatinya baik. Sering juga menjadi pelindung buat kedua rakannya. Sebab itu dia diiktiraf menjadi ‘kakak’.

Que, di tengah-tengah. Agak gila-gila perangainya tapi masih terkawal. Suka pada benda dan hobi yang pelik. Mana tidak pelik. Jarang perempuan minat ‘biking and racing’. Que, suka motor dan segala yang bersangkut paut dengan pemotoran. Kira ala-ala minah rempit. Kerja pun sebagai penghantar surat. Kadangkala jadi pendiam juga. Mood terlebih pusing. Manja, tapi tidaklah semanja Si Mai itu.

Mai, paling bongsu. Memang perangai kadang-kadang boleh buat sakit jiwa. Manja + mengada-ngada. Macam budak-budak. Tapi, itu yang seronok. Seronok menyakat kerana Mai tidak pandai marah betul-betul. Kalau tarik muka pun bukan kerana apa. Hanya mahu diberi perhatian. Tapi, dengan mereka-mereka saja. Di luar, dia tetap okey. Semua pun okey.

“Apalah kau ni, Rin. Sumbang mahram pula. Kau ingat aku ngan Mai ni pasangan lesbian, ke? Dengar dek orang karang, percuma aje kena cop ‘lesbi’.”

“Dah tu, bergomol kat sofa tu, siapa suruh? Naik geli aku tengok kau orang tadi tahu, tak? Macam apa aje gaya. Sorang kat bawah. Sorang menenggek kat atas. Isy! Mengerunkan,” jawab Rin sambil ternaik-naik bahunya bagi membayangkan kegeliannya.

Cis kek betul!

“Ada, ke? Mana ada kan, Que?” Mai sudah berpaling ke arah Que, meminta persetujuannya.

Pantas Que mengangguk tanda mengiakan.

“Sedap mulut dia aje mak cik ni kata kita bergomol. Aku nak ambil balik majalah aku ni lah. Kau bukan tak tau Que ni hah,” kata Mai lagi sambil menunjal bahu Que dengan hujung jari telunjuknya. Que terdorong ke barat sedikit. “Suka sangat mengacau aku membaca. Tu yang aku geram tu. Bukan buat perkara sumbang mahram pun. Bergasak adalah,” sambung Mai lagi.

Sekali lagi Que hanya mengangguk, mengiakan. Mug milo dicapai dan dibawa ke bibir. Disisip milo yang masih berbaki. Melegakan tekak. Letih woo! ‘Bergomol’ dengan Mai bak kata Rin tadi. Haus jadinya.

“Tu lah dia! Engkau berdua ni, kerja lain tak ada. Berkelahi aje. Rimaslah aku dengan perangai tak matang kau orang ni. Macam budak-budak! Bila dua-dua ada kat rumah, macam nak runtuh rumah ni kau berdua buat. Bising! Karang kalau jiran-jiran kompelin, baru padan muka tu. Hormatlah sikit kat orang sebelah menyebelah. Masing-masing kan nak berehat masacuti macam ni. Ni tak! Kau berdua ni tahu memekak aje. Tak faham aku. Telinga aku ni pun boleh pekak lama-lama, tau!”

Mulabalik! Ratu membebel betullah dia ini. Sumbat dengan kertas majalah ini karang, baru tahu. Terus senyap.

“Bosanlah Rin, tak ada buat apa. Menyakat Si Mai ni, hilanglah sikit bosan aku. Nak menyakat kau, bukan kau suka pun. Percumaaje aku dapat sepak terajang kau nanti. Tak pun, kau bagi aku penampar Jepun kau tu. Sia-sia aje. Mai, tak. Dia suka aku sakat dia.”

“Amboi! Sedap mulut kau aje kata aku suka ya, Que?”

“A’ah. Bila masa entah? Suka-suka aje kata orang suka. Memang kena penampar Jepun kalau kau sakat aku. Aku memang pantang orang terperanjatkan aku. Cepat aje tangan aku ni melayang.”

“Tu yang aku tak berani nak sakat kau tu. Belum teringin nak kena penampar Jepun kau tu. Teleng kepala aku nanti. Kot nanti kalau aku mengidam, mahu aku sendiri yang minta.”

“Penampar aku kau tak nak rasa ke, Que?”

“Kau kan suka aku sakat kau. Apa kes pulak nak bagi aku penampar juga?”

“Bila masa aku kata suka kena sakat dengan kau? Terpaksa suka adalah. Dah kau tak dapat sakat Rin, akulah jadi mangsa. Karang kalau aku tak layan, kau merajuk bawa motor laju-laju. Siapa yang susah?”

“Mereka dengan keluarga mereka juga,” jawab mereka bertiga serentak. Kemudian, pecah tawa mereka tanpa mampu ditahan-tahan.

Begitulah mereka. Mulanya agak serius berbicara. Macam hendak gaduh pun ada. Jika orang yang tidak biasa dengan mereka pasti menganggap mereka ini seperti tidak sehaluan. Ada saja yang tidak kena antara mereka. Isu-isu yang dibicarakan seringkali mengundang prasangka dan menghangatkan suasana. Tapi, selalunya pasti berkesudahan dengan gelak ketawa. Di situlah terjalinnya kemesraan di antara mereka. Saling memahami diri masing-masing. Saling menjaga hati juga.

Previous: (BAB 4)
Next: (BAB 6)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin